Akhirnya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh membatalkan hari ketiga Konsert Future Music Festival Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil setelah enam orang maut, manakala tiga lagi masih kritikal akibat mengambil dadah methamphetamine berlebihan. Dadah ini dikenali sebagai ‘designer drug’ atau synthetic drugs dipanggil meth.
Enam orang yang meninggal dunia ketika hadiri konsert itu adalah warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22; Victor Wong E Hern, 26; Sabreena Kamaruddin 21; M.Suresh, 28; Syazana Sohaime, 23; dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27. Dua orang yang kritikal ialah warga Singapura dan seorang lagi warga tempatan, dalam lingkungan umur 19 dan 27 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ketika kejadian, semua mangsa yang berusia 19 hingga 27 dipercayai membeli dadah jenis syabu dari luar sebelum menggunakannya untuk berhibur di dalam stadium. Hasil bedah siasat mendapati mereka terlebih mengambil dadah dan suhu badan terlalu panas.
Sepanjang konsert yang berlangsung sejak Khamis lalu, 19 ditahan kerana kesalahan mengambil dadah.