Memaparkan catatan dengan label bonus penjawat awam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bonus penjawat awam. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Oktober 2015

Intisari Bajet 2016

Petang ni PM bentang Bajet 2016. Mungkin ramai yang tak teruja manapun nak dengar, tetapi aku tetap juga nak hadap TV sambil kemas sepahan depan TV yang dah macam kandang kuda tu. Sebabnya hanya satu: sejauhmana Bajet 2016 memenuhi keperluan rakyat selepas pelaksanaan GST. Harapnya reaksi aku terhadap Bajet 2016 didengari orang kerajaan walaupun bukan penting sangat bagi mereka yang mendapat rawatan berinsuran di hospital swasta.

Tetiba aku terkagum bila nengok ni di telefon;


Sebenarnya lagi terbelik mata bila tengok di komputer, sebegini;


Syok sendiri kejab huhuhuhu

Apa yang aku catatkan di sini hanya apa yang ada kaitan dengan hidup aku sahaja. Ada juga yang tak catatpun bila dah TERmalas sikit. Berikut adalah intisari Bajet 2016 seperti yang dibentang oleh PM Najib Razak bermula jam 4 petang ini;

1. 5 buah hospital baru akan dibina, tetapi tidak dinyatakan kat mana. Ke aku terlepas dengar? Bangi lahhhhh!!! Bangi yaaaa! Hospital Kajang pula akan dinaik taraf. Sila naik taraf cepat, sesak bebenornya hospital Kajang tu. [di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan pasir Gudang].
2. Lebuh raya PAN Borneo tak ada tol. JELES okeh!!!
3. BR1M diteruskan dan jumlahnya dinaikkan dengan menambah kategori E-kaseh, RM1050 (pendapatan kurang RM40K setahun). Pendapatan isi rumah kurang RM3K mendapat RM seribu (sebelum ini RM950), Pendapatan isi rumah antara RM3001 hingga RM4K, dapat RM800 (sebelum ini RM750), individu bujang 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2 ribu mendapat RM400 (sebelum ini RM350).
4. Untuk penjawat awam: faedah perpindahan gred gaji sebanyak satu kenaikan, tambahbaik 252 skim perkhidmatan, gaji permulaan terendah adalah RM1200 sebulan, kadar minimum pencen adalah RM950 sebulan dengan jangka masa perkhidmatan sekurang-kurangnya 25 tahun dan lantikan tetap pegawai kontrak yang telah berkhidmat lebih 15 tahun. Berkuatkuasa 1 Julai 2016.
5. Perberian khas kepada semua penjawat awam sebanyak RM500, manakala bagi pesara sebanyak RM250, dibayar pada Januari 2016. 
6. Anak-anak dapat pengecualian cukai menyara ibu bapa, masing-masing RM1500 (untuk setiap orang ibu dan bapa), dengan syarat pendapatan ibu bapa kurang RM1500 dan berumur 60 tahun ke atas. Alhamdulillah. Cuba mekanismanya macam mana?Yang ni aku sokong. Dah lama impikan benda ni. Kita bukannya anak buluh betung tadak mak bapak, ye dak?

7. Kerajaan akan membina: 30 sekolah rendah, 27 sekolah menengah, 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh & Tanah Merah, Kelantan, Bagan Datoh, Perak; dan 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah, Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang. Boucer buku juga masih dikekalkan sebanyak RM250.



download Teks penuh ucapan Bajet 2016

Tak nak komen apa-apa. Sakit kepala bau asap. Dah habis bentang bajet, lagi sakit kepala. aduhhhh laaaa!!!


Isnin, 15 Jun 2015

Pembentangan Bajet 2016

Perdana Menteri Malaysia yang sangat dicintai ramai itu mengumumkan Pembentangan Bajet 2016 akan diadakan pada 23 Oktober 2015, ketika berucap pada Majlis Konsultasi Bajet 2016 di Putrajaya.

Ramai yang dok tunggu ucapan Bajet 2016, aku pun! Banyak perkara rakyat nak tahu tentang belanjawan 2016 selepas pelaksanaan GST. Paling tidak, aku nak juga tahu apa yang nak dibuat dengan kutipan gst sepanjang tahun ni. Tak kan nak bina hospital sebijik di Bangi tak mampu. Katanya kutipan 44 juta sehari….kumpul hasil gst sehari pun dan boleh bina hospital kan kan kan. Dah hilang daya upaya dah aku nak terkejar ke Hospital Serdang subuh-subuh lagi untuk dapatkan rawatan. Nak ambil nombor sahaja pun dah kena tawaf 3 pusingan, tunggu daftar diri di bahagian pesakit luar pulak sekurang-kurangnya sejam. Kalau nasib baik bolehlah duduk. Biasanya nasib tak pernah baik. Tak kan mata sanggup tengok pakcik makcik berdiri sedangkan aku yang adakalanya dipanggil jugak makcik ini boleh duduk bersenang lenang tanpa rasa bersalah. Ingat aku ni macam Adlin Aman Ramli yang pura-pura tidur sebab nak duduk dalam iklan LRT tu ke?

Kalau dibina hospital baru di Bangi, hendaknya orang yang buat plan hospital tu kenalah ada pengetahuan sikit tentang reka bentuk hospital. Bukan main taram nak jimatkan kos semata. Ruang pendaftaran tu biarlah bagi luas saujana memandang. Maklumlah manusia di Malaysia ni dah makin bertambah ramai yang sakit. Itu baru sakit fizikal, bukan sakit mental lagi. Jadinya, ruang menunggu, ruang daftar, ruang ambil ubat perlulah luas dan banyak kerusi. Namapun kawasan untuk orang sakit. Makanya, memang ramailah yang tak larat nak berdiri lama.

Pembentangan Bajet 2016 juga sangat dinantikan kerana penjawat awam yang bernaung di bawah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ternanti-nanti kalau-kalau raya tahun ni mereka dapat bonus. Manalah tahu kan, bila dah kutip GST yang perlu dibayar oleh semua orang tu termasuk makcik Kiah dan pakcik mamat yang toreh getah di ulu banat sana, makanya, mampulah kerajaan Malaysia bagi kami penjawat awam ni bonus raya setengah tahun gaji. Kutipan gst kan banyak….mesti mampu punya huh uhuhuhu hihhhh! Sila jangan gelak, boleh tak???

Pada tahun ini CEUPACS menuntut gaji minimum penjawat awam RM1,200 sebulan, berbanding RM900 sebelum ni. Yaaaa lah, dari dok bayar pembantu rumah Indonesia tu RM1200 sebulan walaupun masak guna rice cooker pun tak pandai, gosok baju berlobang, basuh berak anak pun guna kaki, baiklah bagi kenaikan gaji kepada penjawat awam dulu. Barulah namanya beruk dihutan dikasi penyepak, anak dibuaian diberi madu. Haaaaaa baru cerdik namanya walaupun CGPA aku tak adalah cecah 3.85.

Selain itu, Cuepacs turut meminta elaun rumah penjawat awam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan memandangkan sewa rumah agak tinggi pada masa ini. Tang mana nak jumpa rumah sewa RM180 sebulan pun aku tak tau. Kalau area Bangi ni, bilik air pun tak dapat kot huhuhuhu jumpa sewa bilik RM500 pun dah untung di Bangi ni. Bilik yaaa, bukan rumah. Maaflah, aku dah tak terlibat dengan aktiviti sewa menyewa bilik ni. Pening kepala dengan perangai anak dara zaman sekarang. Yaa lah, susah nak kendalikan anak dara yang ada lelaki budiman ni...mmmm jeleslah tu kan hew hew hew!!!

Semua kenaikan tersebut sangat perlu kerana pendapatan isi rumah perlu seimbang dengan gaji Perdana Menteri kita yang terchenta tu. Menurut kajian yang dilakukan portal Listabuzz April lalu, Najib dikatakan memperoleh pendapatan sebanyak 75,775.2 USD (RM284,194.89) setahun. Ini bermakna secara purata, perdana menteri keenam ini memperoleh pendapatan sebanyak RM 22, 826.65 setiap bulan. Jadi, aku bercita-cita untuk memiliki pendapatan bulanan sebanyak RM25 ribu sahaja sebulan. Kata RAKYAT DIDAHULUKAN!!!!


Jumaat, 10 Oktober 2014

Inti Pati Bajet Belanjawan 2015


Minggu lepas minyak petrol RON95 naik harga sebanyak 20 sen. Tahun ni je dah naik dua kali hu hu hu hu Kepala otak aku yang tak berapa nak ada jambul ni tetiba sahaja terlintaskan tentang Pembentangan Bajet Belanjawan 2015 yang diadakan pada hari ni. Mesti ada sesuatu bakal di umumkan PM hari ni.

Kalau ikutkan perkembangan semasa dan desus desas khabar angin yang dah tentulah tak boleh terima pakaipun itu, ramai yang mahukan PM Najib Razak pertimbangkan tentang kos dan harga rumah yang mencanak naik kebelakangan ni. Kalau di bangi, sangat untunglah kalau boleh jumpa rumah teres dua tingkat yang harganya kurang dari RM450 ribu. Boleh kata harganya lebih setengah juta huh u huh u memang sangat berkemampuanlah orang Bangi nak membelinya.

Harap-harapnya, keperluan rakyat marhaen macam aku seperti soal survival, harga barangan, kos pengangkutan, pendidikan anak (errrrr ni bukan aku!), perumahan dan kesihatan lebih diutamakan. Kalaupun kenaikan harga petrol hanya 20 sen sahaja, tetapi barang-barang lain tak naik harga (dah tentulah sangat mustahil!), tak adalah hidup jadi tenat sangat.

Tema bajet belanjawan 2015 adalah 'Meningkatkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal dan Memakmurkan Rakyat', harapnya gah juga pengisiannya yang memanfaatkan rakyat. Bukan golongan tertentu sahaja.Moga aku lebih makmur lepas pembentangan Bajet Belanjawan 2015 ni.

Tentu ramai yang dah tak sabar untuk teliti intipati Bajet @ Belanjawan 2015 yang sedang dibentangkan sekarang ni. Aku akan cuba catatkan kat sini sebagai rujukan untuk tahun hadapan. Apa yang aku catatkan ni hanya yang ada kaitan dengan aku ajelah…tak pun yang mudah aku nak hadam. Yang berbelit dan payah nak faham tu, aku buat tak tahu aje hu huhuhu perkara utama yang nak kena tengok dalam belanjawan Bajet 2015 dah tentulah pemberian bonus kepada kakitangan penjawat awam. Berapa bulan penjawat awam dapat bonus? Dapat tak dua bulan bonus dalam bajet 2015 macam yang dok sebut sebelum ni?


Inti Pati Bajet Belanjawan 2015

Berikut adalah intipati Bajet Belanjawan 2015 yang sempat aku senaraikan;


Pembinaan lebuh raya & kemudahan pengangkutan;

bina lebuh raya Ulu Kelang-
bina lebuh raya taiping-banting
bina lebuh raya damansara-shah alam
bina lebuh raya lingkaran luar KL-lingkaran timur
naik taraf kereta api pantai timur
bina MRT jajaran ke dua Selayang-Putrajaya
LRT 3 hubungkan Bandar utama-Shah alam-Klang


Senarai barangan tidak dikenakan GST:

Buah-buahan tempatan dan import tanpa GST
Buku-buku, akhbar, majalah
Ubat-ubatan (2900 jenis tertentu)
Roti

Behun, mi, kwitiew,
Tepung
300 unit pertama tariff letrik tidak dikenakan GST huh u hu huhu
Juala runcit RON95, Diesel dan LPG tidak dikenakan GST


Cukai di kurangkan satu hingga tiga mata:
Bagi Individu dan isi rumah pada tahun 2015; dikurangkan satu mata. Individu berpendapatan kurang RM4 ribu dikecualikan cukai.

Rasionalisasi subsidi petrol RON95, diesel & LPG: Bangunkan mekanisma baru pemberian subsidi yang akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Arus perdanakan pendidikan teknikal dan vokasional. Pengambilan pelajar ditingkatkan. Peruntukan RM1.2 bilion.
Fasiliti pendidikan dibangunkan dengan bajet RM800 juta.

PTPTN: hanya RM5.6 billion sahaja dikutip. Kerajaan akan ambil langkah baru kepada peminjam yang gagal membayar. 10% rebat diberikan kepada peminjam yang buat bayaran secara tetap selama 12 bulan, manakala 20% rebat untuk peminjam yang membayar semua pinjaman tersebut sehingga Mac 2015.

Mulai 2015, kemasukan ke IPTA, MUET ditingkatkan; bagi sastera dan sains social band 2, undang-undang dan perubatan band 4

Sabah dan Sarawak:
  1. Lebuh raya Pan-Borneo di Sabah dan Sarawak dengan kos RM27 billion
  2. Satu lagi IPT di Sabah dan Sarawak
  3. Hospital dan kemudahan kesihatan
  4. Kukuhkan keselamatan di Sabah, PGA, PDRM, Tentera Darat diluluskan. 2 buah kem akan di bina. Kelengkapan komunikasi dan keselamatan ditambah. Satu pelantar minyak digunakan untuk keselamatan. Landasan lapangan terbang di Lahad Datu dipanjangkan. Perkampungan air dimantapkan secara berperingkat.
  5. Subsidi padi bukit diperkenalkan dengan RM70 juta.
  6. Penguatkuasakan harga kawalan
  7. Tambah kedai rakyat 1 Malaysia



Rumah:
Skim perumahan belia secara perkongsian antara kerajaan, KWSP & peminjam. Ditawarkan kepada belia berkahwin berumur lebih 25 tahun dengan harga rumah tidak melebihi RM…. (Opssss!! Tak sempat salin). Hanya 20 ribu unit rumah sahaja. Pada dua tahun pertama, sebanyak RM200 bulanan akan dibantu oleh kerajaan. Peminjam boleh keluarkan wang dari akaun 2 KWSP untuk menguruskan pemilikan ini.

Mensejahterakan rakyat:
  1. Bantuan persekolahan sebanyak RM100 seorang pelajar sekolah rendah dan menengah bermula Januari.
  2. Boucer buku 1 Malaysia sebanyak RM250
  3. Naikkan elaun sara hidup nelayan zon A jadi RM300, zon B dan C sebanyak RM250. Bagi nelayan darat, sebanyak RM250.
  4. Baik pulih rumah nelayan
  5. Tubuh unit pemantauan GST
  6. Pengangkutan: sedia perkhidmatan bas Bandar-luar Bandar bagi pekerja yang tinggal di seremban, Klang dan …. Tetapi kerja di KL.
  7. Bantuan khas pekebun kecil getah.
  8. Insentif penanaman baru dan tanam semula kepada pekebun kecil kelapa sawit.
  9. Kesihatan: bina hospital seri iskandar & Dungun, klinik kesihatan, tambah klinik 1 Malaysia, klinik kesihatan di cyberjaya. Pembiayaan penyakit serius rebat cukai hingga RM6 ribu (dulu RM5 ribu), meliputi pasangan dan anak.
  10. OKU berkerja dinaikkan jadi RM350, OKU tidak berkerja dapat elaun RM150. Anak OKU dapat pelepasan cukai RM6 ribu.
  11. Pemilikan rumah: bina 80 ribu rumah PRIMA dengan naikkan kelayakan RM10 ribu pendapatan. Bina 26 ribu program perumahan rakyat, 12 ribu unit rumah mesra rakyat, 20 ribu unit rumah inspirasi rakyat di atas tanah sendiri. Pindah milik dikecualikan cukai hingga 31 Disember 2016. Had nilai rumah pertamaku dinaikkan hingga RM500 ribu.

    Penjawat awam;

    Had kelayakan minimum pinjaman perumahan dinaikkan hingga RM120 ribu, manakala jumlah maksimum juga dinaikkan.
    BRIM ditingkatkan kepada RM900, dibayar sebanyak tiga kali setahun.

    Isi rumah berpendapatan bulanan RM3-4, BRIM juga ditingkatkan kepada RM750, juga dibayar 3 kali setahun. Individu bujang mendapat RM300.

    Elaun Ahli parlimen dinaikkan: ADUN Gred 54= jusa C, Ahli Dewan Negara bersamaan Gred 54= jusa C, berkuatkuasa 1 januari 2015, tetapi elaun tersebut ditangguhkan hingga satu tempoh tertentu.

    Pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam, minimum RM500. Pesara pula RM250. Akan dibayar pada Januari 2015.


Teks ucapan penuh belanjawan bajet 2015 boleh di download @ muat turun untuk rujukan. Biasanya boleh muat turun selepas pembentangan bajet belanjawan 2015.

Macam mana? Puas hati? Okeh, aku sedar aku memang banyak bebel dalam entri ni!

Mmmmmm puas hati ke…tak puas hati ke, memang dah gitu ditetapkan Bajet Belanjawan 2015 kali ini. Alhamdulillah, Malaysia masih lagi aman.

Mmmmm kenaikan tarif letrik bermula Januari 2015 ek? Ke sekadar khabar angin? Banguslah kalau hanya khabar angin, tapi biasanya angin tak pandai berkata-kata. Silalah jangan percaya!



Isnin, 11 Ogos 2014

Bajet 2015: Bonus 2 Bulan Untuk Penjawat Awam


Cuepacs minta kerajaan mempertimbang pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam dalam pembentangan Bajet 2015. Cuepacs akan membuat permohonan rasmi dengan menghantar surat pertimbangan kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mengenai pemberian bonus itu.

Lorrrrr! Ingatkan dah hantar. AKAN hantar huh u huhu hu wat penat je baca hu huhuhu hu 

Kalau belum hantar, mintaklah setengah tahun bonus. Kalau mintak dua bulan, biasanya dapat setengah bulan aje. Bila mintak setengah tahun, mana tahu boleh dapat dua bulan h u hu huhu hu sila gelak dengan sopan ya! 

Jumaat, 25 Oktober 2013

Teks Penuh Ucapan Belanjawan Bajet 2014


Teks Penuh Ucapan Belanjawan Bajet 2014 hanya akan dimuatnaik di website Bajet 2014 selepas ucapan pembentangan oleh Perdana menteri. Malam nanti dah boleh download teks penuh ucapan bajet 2014 ni. bolehlah kita teliti setiap perkara. setakat dengar sepintas lalu kat TV atau radio, memang tak boleh nak faham sangat.

Kalau malas nak ke website atas tu...boleh download terus teks penuh ucapan Belanjawan Bajet 2014 . Dalam bentuk pdf ya...

Berikut antara ringkasan dan intisari ucapan bajet @ Belanjawan 2014 yang ada kena mengena dengan aku je ya...

Mulai 2014, pembayar cukai tidak perlu lagi isi borang cukai jika berpuas hati dengan jumlah potongan cukai yang dilakukan.

Subsidi: akan distrukturkan semula supaya orang yang layak sahaja menerimanya.

Cukai jualan dan perkhidmatan dimansuhkan dan digantikan dengan cukai barang dan perkhidmatan @ Cukai GST,  berkuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar 6%

Kadar cukai pendapatan akan diturunkan 1 mata.  Struktur cukai pendapatan individu akan ditambahbaik.

Peruntukan terbesar diberikan kepada bahagian pendidikan. RM54.6 billion daripada jumlah keseluruhan bajet 2014 diperuntukkan untuk bahagian ini.
i.                     Pra-sekolah: tambah bilangan
ii.                   Tingkatkan profesion guru
iii.                  Tambah kemudahan internet sekolah luar Bandar
iv.                 Baiki bangunan sekolah usang

Di peringkat tinggi: tingkatkan penyelidikan dan penulisan.  Penerbitan jurnal ilmiah peringkat antarabangsa, diwujudkan pusat arkeasitasi kebangsaan.

Bantuan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah akan diteruskan.


Voucer buku 1 Malaysia BR1M diteruskan dengan nilai RM250...agak-agaknya aku masih tersenarai tak? hu hu huhuhu 

Menambahbaik kemudahan pengangkutan awam...yang ni aku suka. Boleh jimat kos kalau pengangkutan awam kita cekap.  Kalau ada LRT, MRT dan baas yang cekap untuk aku pergi kerja, dah tentu aku lebih suka guna. Jimat! Masalahnya sekarang...hu hu hu hu malas nak komen, kang kena halau!

Pembangunan luar Bandar: RM41 billion diperuntukkan untuk baikpulih dan naik taraf jalan luar Bandar dan bina lebuh raya. Sediakan air bersih di kawasan luar Bandar. Tengah syok taip, tetiba laptop mati habis bateri huh u huhuhu…tertinggal sudaaaaaaa point utama!

PDRM dan ATM: bina ibu pejabat polis daerah dan kuaters, lengkapkan kemudahan ketenteraan, tambah CCTV di 25 PBT, mantapkan ESCOM, dll

Pemuliharaan alam sekitar dan sumber: program mycarbon, penubuhan yayasan hijau dengan geran pelancaran RM15 juta, RM40 juta untuk dalam dan lebarkan Sungai bertam di Cameron Higlands, dll.

Kesihatan: Seramai 6800 orang jururawat akan ditambah. Pesakit dialysis buah pinggang  akan dibekalkan CAPD bernilai RM15 ribu ringgit diberikan secara percuma. Pesakit diabitik pulak dibantu dengan mengurangkan subsidi gula sebanyak 15 sen hu hu hu hu hu Terima kasihlah Perdana Menteri. Kat rumah kami di kampung tu, gula digunakan sekilo sehari. Nampak tak betapa ramainya tetamu datang rumah kami hu hu hu hu orang datang tak kan tak mau hidang air walaupun tak ada biskut kering. Esok harga gula naik ya!


Bila dengar bab rumah, hu huhuhu dengarnya pasal rumah mampu milik, rumah mesra rakyat, rumah idaman, perumahan 1Malaysia  blab la bla…errrr ada subsidi RM15 ribu? Biar benar…aku tak focus ka? Aku terlelap ka? Mmmmmm memang sah nak kena semak teks penuh ucapan bajet 2014 ni, baru boleh buat pencerahan.

Pelepasan cukai bagi golongan sederhana: pelepasan cukai khas sejumlah RM2,000 bagi golongan  berpendapatan hingga RM8 ribu bagi pendapatan tahun 2013.

Penyeragaman harga barang antara semenanjung dan sabah dan Sarawak dilakukan.  Sebanyak 60 buah kedai rakyat 1Malaysia akan ditambah.

Penjawat awam dihargai melalui menambahbaik 81 skim penjawatan penjawat awam. Ramai orang dok tunggu part akhir ni...

BR1M 3.0 akan ditambahbaik, Pendapatan bulanan isi rumah sebanyak RM3000 ke bawah menerima BR1M 3.0 sebanyak RM600. Malah, Diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan hingga RM4000 yang akan menerima sebanyak RM450, manakala Individu bujang berusia 23 tahun dan ke atas akan menerima sebanyak RM300.

iBR1M (insuran) diberikan kepada semua isi rumah BR1M sekiranya berlaku hilang upaya kekal.

Bantuan  khas kewangan sebanyak RM250 diberikan kepada pesara, kepada penjawat awam dapat bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 akan dibayar pada bulan Januari 2014.

Komen aku: Alhamdulillah seadanya. Malam ni nak pergi beli gula...











Selasa, 20 Ogos 2013

Salurkan Idea Untuk Belanjawan 2014


Perdana Menteri, dalam facebooknya, Datuk Seri Najib Razak mempelawa orang ramai memberi pendapat dan berkongsi maklum balas mengenai Belanjawan 2014.

Belanjawan 2014 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 25 Oktober ini.

Komen aku: Tunggu apa lagi? Inilah masanya kemukakan idea dan cadangan. Nak mintak BR1M 14 kali setahun ka, mintak buat lebuhraya yang entah berapa lama dok umum tu tapi masih jugak tak Nampak sekeratpun tanda-tandanya ka, nak mintak bina jambatan ka…nak mintak tambah jumlah vouncer buku hingga seribu ka, nak mintak computer percuma ka….mintak ajelah apa-apapun. Haaaaa jangan lupa tau mintak bonus penjawat awam barang dua tiga bulan. Orang lain boleh dapat empat lima bulan bonus setahun, tak kan penjawat awam tak boleh dapat. Ye tak? Semua boleh mintak. Dapat belum tentu ya!

Kalau aku, aku hanya nak mintak peratus cukai tahunan tu diturunkan je…kalau dah cukainya juta-juta lemon kena bayar, macam mana nak bayar masuk jamban, nak bayar cukai perkhidmatan di McD…nak masuk KFC pun dah tak mampu. Apalagi nak makan satey haji samuri kajang tu…punnnnnnnnnn ada cukai!

Tak pun, penyelarasan tarif elektrik tu tangguh dulu barang 20-30 tahun boleh tak? Yang naik ari tu pun masih tercirit nak bayar walaupun ada tertulis "subsidi bahan api dibiayai kerajaan persekutuan", harammmmmm tak pernah dapat walaupun tutup semua lampu. Tak kan nak guna pelita ayan pulak hu hu hu hu 

Kesian kan kami rakyat marhaen ni! Mmmmmm apalagi, silalah bagi cadangan untuk Belanjawan 2014.

Mmmmmmm belum makan satey lagi ni. Ada sesiapa buat rumah terbuka bermenukan satey tak?


Khamis, 27 September 2012

Menjelang Belanjawan Bajet 2013


Sejak beberapa hari lepas, sebenarnya bulan lepas lagi
Ramai yang dok teruja tak sabar menunggu pembentangan Bajet 2013
Yang menjangkakan banyak peningkatan dalam pelbagai bidang bakal berlaku
Malah ramai yang anggap Belanjawan 2013 sebagai Bajet Pilihanraya

Jangkaan peruntukan dalam bajet kali ini mungkin meningkat 10-20 peratus
atau sehingga RM300 bilion berbanding dengan RM232.8 bilion dalam Bajet 2012.
peningkatan peruntukan itu sebahagiannya disebabkan
perbelanjaan besar kerajaan dalam projek sedang dibangunkan
di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Aku sangat setuju dengan cadangan rakyat marhaen macam aku ni,
Kalaulah boleh Kekal atau naikkan subsidi minyak
dan kawal kenaikan harga rumah yang melambung-lambung bagai
terutama di kawasan Bangi ni…payah sangat nak cari rumah bawak 300K
paling murahpun setengah juta…manalah kami golongan marhaen
miskin papa kedana hina dina ni mampu nak beli, nasib baik tengok jeling-jeling
pandang-pandang tu tak kena bayar...kalau kena bayar, lagilah papa kami
sampai pencenlah tak merasa tinggal banglo besau dijaga bangla Besau juga
dah tentu beban kami nan miskin ini dapat dikurangkan

Kena sangatlah bila Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) menuntut kuota untuk rumah kos rendah bagi penjawat awam
Walaupun aku tak layak nak mohon pun.
Dulu pernah jugak nak mohon, tapi tak cukup syarat iaitu;
Belum berkahwin. Kalau tak berpeluang kahwin bermakna
Sampai pindah ke alam kuburlah tak ada peluang tinggal sini hu h uhu

Paling ramai dok melopong tertunggu-tunggu depan TV sebab nak dengar
Durian runtuh apa pula yang penjawat awam dapat tahun 2013
Sempena pembentangan bajet @ Belanjawan bagi tahun 2013.

Jomlah tunggu…lenguh dah aku menaip
Mata dah tak larat nak buka dah…
Esok je lah aku buat entri berkaitan intipati Bajet @ Belanjawan 2013
Aku akan tunggu depan TV…manalah tahu kan
Kot lah penjawat awam dapat bonus 3 bulan gaji pulak tahun ni
…mmmmm eloklah aku bermimpi malam ni,
Paling tidak, bagun esok pagi sempat juga aku senyum kan?