Jumaat, 26 September 2008

Zakat Fitrah Itu...




Diantara kemuliaan bulan ramadhan ialah kerana didalamnya Allah s.w.t mensyariatkan kewajipan ibadat zakat fitrah. Zakat fitrah adalah ibadat yang diwajibkan kepada umat islam untuk menyucikan jiwa, membersihkan harta dan menampal kekurangan yang berlaku sepanjang berpuasa pada bulan Ramadhan. Ia juga sebagai bukti kecintaan kita kepada Allah s.w.t, mengatasi kecintaan kepada segala kenikmatan harta dunia yang sementara. Ia merupakan sifat yang digambarkan oleh Allah s.w.t sebagai antara sifat-sifat orang yang benar-benar beriman.


Firman allah didalam surah al-anfal ayat 3-4, bermaksud:

“Mereka adalah orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat beberapa darjat ketinggian disisi Tuhan mereka dan keampunan serta rezeki yang mulia (disyurga)”

Zakat dari sudut bahasa bermaksud tumbuh dan bertambah. Harta yang dibayar sebagai zakat, ia sebenarnya menumbuh dan menambahkan lagi harta yang dimiliki oleh pembayar tersebut. Fitrah dari sudut bahasa ialah terbelah. Ada pun dari sudut syari‘at, Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dibayar pada penghujung bulan Ramadhan.

Dalil Zakat Fitrah


‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya:

Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum kepada hamba dan orang yang merdeka sama ada lelaki mahu pun wanita, anak kecil mahu pun dewasa daripada kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1503 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah)]


Hukum Zakat Fitrah

Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuan berpendapat bahawa hukum zakat fitrah ialah wajib. Ada segelintir yang berpendapat kewajipannya telah dibatalkan berdasarkan sebuah riwayat lain, iaitu:


أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَدَقَةِ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ تَنْزِلَ الزَّكَاةُ فَلَمَّا نَزَلَتْ الزَّكَاةُ لَمْ يَأْمُرْنَا وَلَمْ يَنْهَنَا وَنَحْنُ نَفْعَلُهُ

Maksudnya:

Rasulullah S.A.W memerintahkan kami untuk membayar zakat fitrah sebelum turunnya (kewajipan membayar) zakat (tahunan). Maka tatkala disyari‘atkan (kewajipan membayar) zakat (tahunan), baginda tidak lagi memerintahkan kami (untuk membayar zakat fitrah) mahu pun melarang kami (dari membayar zakat fitrah). Namun kita tetap melakukannya (membayar zakat fitrah). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 2505 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah sebelum disyari‘atkan zakat tahunan)]
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) telah menolak pendapat segelintir ini dengan hujah bahawa hadis di atas tidak menunjukkan adanya pembatalan. Sebaliknya sikap diam Rasulullah S.A.W kerana perintah baginda yang awal sudah mencukupi tanpa perlu untuk baginda mengulanginya. Lebih daripada itu, pensyari‘atan sesuatu yang baru tidak semestinya bererti pembatalan terhadap sesuatu yang lama. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 4, ms. 139]


Hikmah Zakat Fitrah

‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan hikmah zakat fitrah sebagai:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Maksudhnya:

Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. [Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1609 (Kitab al-Zakat, Bab zakat fitrah)]

Jumhur ulamak menyatakan bahawa waktu bagi menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima iaitu:
1- Waktu harus: Menunaikan zakat pada awal bulan ramadhan.
2- Waktu wajib: Menunaikan zakat fitrah mulai terbenam matahari pada akhir ramadhan.
3- Waktu afdhal: Menunaikan zakat fitrah sebelum menunaikan solat hari raya.
4- Waktu makruh: Menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya tanpa keuzuran.
5- Waktu haram: Menunaikan zakat fitrah selepas hari raya tanpa keuzuran.
Sudahkah anda membazar Zakat Fitrah?

Saya mampu membeli sandel Polo (selepas diskaun 20 peratus harganya menjadi RM43.95), apalah sangat nilainya Zakat Fitrah yang hanya berjumlah RM5.20 (di Selangor darul Ehsan) itu. Terlalu jauh bezanya kan. Sandel itu letaknya di kaki pun sanggup dihabiskan dengan jumlah sebesar itu, sedangkan Zakat Fitrah ini lebih besar “nilai” nya berbanding harga RM5.20 itu.

Fikir-fikirkanlah. Selamat menunaikan Zakat Fitrah.

Tiada ulasan: