Sabtu, 17 November 2012

Istanbul Aku Datang Kutip RM1 Juta 5 Hari Tayangan


Menurut Pengurus Besar Red Films dan juga penerbit, Istanbul Aku Datang, Lina Tan, FILEM Istanbul Aku Datang apabila berjaya mengutip RM1 juta sepanjang lima hari pertama tayangan. Filem ni ditayangkan di 70 pawagam dan akan ditayangkan sehingga hujung bulan ini. Kalau sambutan bagus, mungkin lagi dua minggu akan ditayangkan di pawagam. Pada hari pertama ditayangkan filem ini dikatakan sudah mula ‘trending‘ di Twitter.

Filem arahan Bernard Chauly ini menggandingkan Lisa Surihani, Tomok dan Beto Khusyairy. Penggambaran filem secara keseluruhannya dijalankan di Istanbul, Turki. Filem ini juga menampilkan Aizat Amdan, yang pertama kali muncul di layar perak.

Filem hasil kerjasama Grand Brilliance dan Red Films itu mengisahkan Dian (Lisa Surihani) yang bertekad pergi ke Istanbul untuk meyakinkan kekasihnya, Azad, (Tomok) supaya melamar sebelum Dian pulang ke tanah air. Namun perancangan dan kegembiraan Dian terbantut apabila Azad meminta dia menyewa rumah sendiri. Dian cekalkan diri dan meminta bantuan seorang lelaki Turki untuk menyewakan sebuah bilik. Malangnya, Dian telah ditipu sehingga memaksanya untuk berkongsi rumah dengan Haris (Beto). Lalu, berlakulah konflik mengenai perebutan apartmen dan lebih malang, Azad mengetahui bahawa Dian menyewa rumah bersama seorang lelaki.

Rasa-rasanya, nak kena tengok tak?





Jumaat, 16 November 2012

Amanah Saham Akhirat


Enteri ini bagi sesiapa yang seronok nak melabur dalam Amanah Saham Akhirat.

Memandangkan kami (aku le tuh) berasal dari negeri paling miskin di Malaysia…PM kita yang terchenta sendiri yang mashorkan tu, kalau tak, aku pun tak tau, makanya…kami sangat-sangat memerlukan bantuan para dermawan yang baik hati.

Dahlah kami ni tak dapat royalty petroleum kan…rayuan Ku Li pun tak ada siapa nak pandang, apalah lagi rayuan kami rakyat marhaen ni. Jadinya sebelum Mek meraung lagi anaknya susah nak balik sejak diistiharkan negeri paling miskin, dok jadi negeri paling miskinpun ada aje orang luar yang suka pun. Jomlah ramai –ramai tolong kami ya.

Menurut Majlis Agama Islam Melaka, Perkataan Wakaf dari segi bahasa bermaksud ’terhenti atau ’tertahan’. Dari segi istilah ialah menyerahkan harta atau sebahagian hartanya kepada milik atau pada hukum milik Allah S.W.T; dengan tujuan mendampingkan diri kepada Allah; dan akhirnya mensedekahkan manafaat atau hasilnya kepada pihak kebajikan yang ditentukan oleh pewakaf selama-lamanya.

Wakaf juga terkenal dengan nama sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan pahalanya dari masa ke semasa selagi pahalanya dimanafaatkan.

Jadinya, bagi yang nak tambah Sahat Akhirat dengan pelaburan jangka panjang, bolehlan menderma dan sedekahkan ke projek Lebuh Raya Rakyat yang akan dibina menghubungkan Kota Bharu dan kuala Krai. Mudah sikit kami nak balik beraya ya…


AKAUN AMANAH PEMBINAAN LEBUHRAYA RAKYAT KOTA BHARU - KUALA KRAI

Bank: Maybank Islamic Berhad

Nama Akaun: Akaun Amanah Pembinaan Lebuhraya Rakyat Kota Bharu - Kuala Krai

NO. AKAUN: 553104558661

Email: info@lebuhrayarakyat.com


Ini bukannya entri berkaitan politik ya.



Bagi aku, royalty tu memang hak rakyat Kelantan, sama seperti hak kami untuk dapatkan pembangunan yang setimpal. Kalau dah hak kami dinafikan, aku memang sangat suka bila Kerajaan negeri Kelantan sanggup buat sendiri lebuhraya ini.

Memanglah macam-macam orang yang akan boikot, kutuk dan sabotaj, tapi andainya lebuhraya ini menjadi kenyataan akulah orang pertama yang akan gembira. Tahu kenapa?

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Apabila matinya anak Adam, terputuslah amalan kecuali 3 perkara: Sedekah (wakaf), Ilmu yang bermanafaat & Anak yang soleh mendoakannya.

Jadi, bila kita bersedekah, buat amal wakaf sebegini, selagi masih digunakan orang ramai, maka berterusan kita dapat manfaatnya. Bayangkanlah berapa lama lebuh raya itu akan digunakan?

Selamat melabur dalam Amanah Saham Akhirat.




Khamis, 15 November 2012

Penjawat Awam Itu Macam 'Monyet'?



Kata ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek Fernandez, “penjawat awam ibarat macam 'monyet'”  ketika mengulas isu pertukaran Datuk Bandar MBPJ. Fernandez dalam akhbar Malay Mail berkata "let’s see who the candidates are. If they are going to nominate some monkeys, we will reject"

Aku dulu sekolah pondok je, tak faham lah apa maknanya tu. Hanya sepatah je yang aku faham…”monyet” tu je yang faham pun.

Kenyataan ahli majlis MBPJ itu berhubung pemilihan calon Datuk Bandar MBPJ oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menggantikan penyandang Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang dinaikkan pangkat ke jawatan baharu. Perlantikan Datuk Bandar MBPJ berada di bawah bidang kuasa pihak JPA.

Bila seorang ahli majlis menyebut penjawat awam yang  bakal jadi Datuk Bandar sebagai "monyet',", makanya ahli majlis tu “anak monyet” ke “bapak monyet” ya?

Banyak yang aku nak tulis komen, tapi kalau aku tulis kang…payah jugak. Lagipun, sempena Tahun Baru Hijrah pada hari ni, aku berazam untuk kurangkan berkata-kata. Semoga terlaksana.




Jumaat, 9 November 2012

Yakini Rezeki Yang Kita Terima


Aku selalunya akan singgah di kedai makan abang ni, lokasinya di kafe berhampiran satu dewan kuliah. Orangnya peramah dengan minda yang hebat, maklumlah bertahun juga dia hidup di luar Negara jaga anak-anak dan temani isterinya sambung belajar di UK.

Kalau di Bandar Baru Bangi, makan tengahari dengan satu nasi, satu sayur, satu ikan dan satu neskefe ais, harganya paling murah RM9. Dengan abang ni, boleh dapat RM6. Alhamdulillah. Paling utama rasanya kena dengan tekak aku termasuk neskefe aisnya yang sedap itu.

Sejak dulu aku nampak kafe sebelah menyebelah dah banyak kali tukar orang. Yang dia punya masih tetap juga ramai pelanggan. Mungkin orang suka sebab dia peramah. Dia tak berkira. Dia sentiasa sahaja penuhi keinginan pelanggan. Jam sepuluh pagipun kalau ada pelanggan nak makan yang jenis ala-carte, dia sediakan je walaupun masa itu mereka tengah kelam kabut siapkan makan tengahari.

Tak berkiranya dia itu hinggakan kepada soal bayaran. Dahlah harganya lebih murah, andai sekupang dua, dia memang tak berkira. Kalau belian kita berharga RM5.30, RM5 je dia ambik kecuali kita bayar dengan duit kecil secukupnya. Katalah harganya RM6 dan kita hanya ada not RM5 dan RM10…abang tu akan mintak dengan kita RM5 sahaja dengan pesanan RM1 lagi tu boleh bayar lain kali. Ada masanya, jumlah itu hingga cecah RM3.

Ini yang buatkan aku takut. Risau sebab kira aku berhutang dengan dia. Aku pernah juga risau kalau-kalau aku lupa nak bayar lain kali itu. Namun dengan selamba aje dia cakap “Kalau lupa, saya halalkan aje. Jangan risau,”

Anehnya, aku tak pernah pula lupa bakinya itu. Akan bayar semula bila pergi lain kali tanpa perlu dia ingatkan. Kalau kita lupa, dia juga tak ingatkan kitapun. Prinsipnya mudah sahaja: kalau rezeki kita, Allah akan bagi juga tak kira dengan cara apa sekalipun.

Minggu lepas, aku beli makanan lagi dengan abang ni, dan bayar juga baki yang sebelumnya. Dia berkata “Saya tak risau kalau tak bayar semuapun, sebab saya tahu…semua orang kat sini pasti akan bayar walaupun saya tak kenal sangatpun mereka. Tapi kalau buat kat “luar”, memang perlu niatkan sebagai sedekah sahaja kerana mereka tak akan datang semula untuk bayar kecuali beberapa orang je…”

Alhamdulillah, aku berkerja bersama orang-orang yang jujur rupanya, walaupun masih ada juga yang jenis suka “makan” kita ;)

Walaupun, daku ini bukanlah sedap pun untuk dimakan hu hu hu 

 


Kat Mahsyar Lagi Panas, Jangan Banyak Komplen


Entri Hari Jumaat.

Semalam, ada acara rasmi. Pagi-pagi dah melawa kenakan pepel sedondon dari tudung, hingga kain baju. Nasib baik lipstick tak lekatkan warna unggu juga.

Acara patutnya bermula tepat 9 pagi. Kelam kabut dari pejabat jam 8.50 pagi, ingatkan dah terlambat sangat-sangat. Rupanya para urusetia tengah hadapi masalah teknikal. Jadi kami diminta sarapan dulu.

Bila masuk tempat sarapan tu, mak oiiiii! Tak ada ekon la pulak. Awalnya tak perasan, bila rasa semacam, bertanyalah daku dengan orang sebelah “Tak ada ekon ek?”

Jawapannya satu ayat penuh “Kat Mahsyar lagi panas, jangan banyak komplen”

Terdiam. Terkapa. Tak terkata apa. Namun, hati di dalam bagai disentap-sentap. Dalam terpinga-pinga itu, aku hanya sempat berfikir “aku sedang komplen ke?”

Acara berlangsung separuh hari, hingga makan tengahari. Kepala masih lagi terfikir-fikir tentang ayat sendiri.

Dari senak kepala fikir, aku putuskan untuk melihat dari sudut positif agar sentap kepalaku itu berkurang. Anggap sahaja dia tengah dating bulan, tak pun dalam proses nak menopause. Tak pun semalam gaduh dengan laki yang ajak maid Indonesia lari balik Makasar.

Sepanjang petang, semua itu masih juga berlegar dalam kepala. Cuba memujuk hati yang dia tak sengaja. Atau aku yang tersentap lebih. Akhirnya aku sedari…mungkin ada ketikanya aku pernah menyinggung hati sesiapa tanpa sedarinya. Sila maafkan aku ya… 

Jadinya, sempena hari Jumaat nan mulia ini, aku mengambil kesempatan untuk memohon maaf dengan semua yang membaca catatan ini, andai ada patah kata mengguris rasa, ada singgul sindir nan menyentuh hati. Maaf zahir batin walaupun raya lambat lagi.