Jumaat, 16 Mei 2014

Menanti Ramadhan


Sekarang Rejab dah…dua bulan lebih kurang Ramadhan akan bertamu. Bukan sahaja tak sabar untuk jalani Ramadhan 2014, tetapi ada sesuatu yang istimewa bakal berlaku Ramadhan tahun ini.

Felixia Yeap mengumumkan bakal mengucap dua kalimah syahadah menjelang Ramadan ini bersempena dengan ulang tahun kelahirannya Julai depan. Alhamdulillah. Dia juga tidak sabar-sabar menjalani ibadah puasa. Buat masa ini, dia sedaya-upaya mencari masa untuk membaca buku agama dan masih lagi dalam peringkat mengenali agama Islam termasuk menghadiri kelas dan ceramah agama.
comey kan Felixia Yeap bila bertudung begini

Dulu, dia dikenali sebagai gadis simbol seks, kini bekas model majalah Playboy Bunny ini kelihatan lebih ayu dan jelita bak wanita Muslimah. Bertudung litup mengalahkan gadis Islam sendiri. Gadis berbangsa Cina, Yeap Chin Yee atau lebih dikenali sebagai Felixia Yeap ini pernah gemparkan masyarakat Islam apabila mengambil keputusan untuk bertudung walaupun bukan beragama Islam.

Setelah berhijab, golongan Adam yang mengacau sudah berkurangan. Dia tidak lagi dipandang pada aset fizikal sebaliknya mulai dilihat dari segi keperibadian, cara pemikiran, intelek dan bakat. Sejak berhijab, ibunya sendiri telah menyaksikan perubahan positif yang ketara dialaminya.

Semoga niat murni ini dimakbulkan Allah. Alhamdulillah, bertambah seorang lagi umat Muhammad S.A.W.

Komen aku: yang dah Islam bolehlah belajar pakai tudung Ramadhan ni...comey apa bertudung ;)


Khamis, 15 Mei 2014

Kisah Si Kambing Yang Telah diHitamkan


Ada masa kita boleh bau kedatangan musibah. Ada masa deria ke 6 kita boleh tahu kita bakal jadi kambing hitam. Walaupun kita bukanlah putih sangat, namun menjadi kambing hitam adalah sesuatu yang tidak pernah menyeronokkan sesiapa.

Itulah namanya konspirasi. Memasing cuba elakkan leher sendiri demi sesuap nasi. Asal tak kena batang leher sendiri, tak apalah. Kita selamat. Apa kita kira tentang batang leher orang lain yang kena kalaupun dia bukanlah sepatutnya yang kena. Bukan salah dia. Tapi, sebab dia nampak “lemah” dan boleh kita pijak, maka dialah bakal menerima takdir.


Bila aku menjadi dia, tengah fikir sama ada melakukan mogok lapar atau buat laporan ada bom bakal meledak di satu pejabat yang tidak lagi kukuh strukturnya. Yang aku tahu, walaupun bakal runtuh, masih ramai lagi sedang impikan bulan dan bintang.

Salah akukah andai batu jemala ini mengatakan “keruntuhan” itu lebih baik dari tegak berdiri. Dah cemuih tengok manusia banyak ilmu tetapi gunakan ilmu itu untuk lepaskan diri sendiri dan belit manusia lain.Nak lepaskan diri sendiri, silalah...perlu ke belit orang lain untuk kita lepaskan diri?

Semoga dia cepat insaf sebelum terlambat. Kalau dah nyawa hujung rengkung, mampu lagikah nak ucapkan maaf dari hati nan putih, apalagi cium kaki orang tu? Ataukah ego jua yang jadi raja.

Mmmmmm syaitan memang tak pernah lupa dengan janjinya untuk menyesatkan umat. Makanya, kambing itu akan jadi hitamlah pada pandangan kita walaupun sang kambing telah meningkatkan penggunggunaan supplemen kesihatan dan kolagen. 

Komen aku: jangan jadi kambing kalau tak mahu dihitamkan...


Rabu, 14 Mei 2014

Seronok Sangat Ke Rampas Suami Orang?


Cuba cerita apa seronoknya rampas suami orang? Nak jugak aku tahu. Mana tahu boleh jadi panduan untuk lari dari digoda suami orang.


Kalau suami orang tu boroi, papa kedana tak adalah susah sangat nak elak. Masalahnya, suami orang tu bukan sahaja kacak hensem bergaya mulut manis kalahkan madu tualang, ekonomi pun boleh tahan.

Susah juga hati nak istiqamah!



Guru Sekolah Menengahku

Aku bukanlah pelajar cemerlang yang jadi target guru-guru untuk pecah rekod sekolah. Tak pernah. Aku kenal ABC masa darjah satu…maklumlah, tak pernah masuk walaupun tadika KEMAS.

Bila dah pandai membaca, aku terdedah dengan bahan bacaan bermutu sahaja. Kakak aku langgan mingguan kanak-kanak. Aku tumpang baca. Dia beli Dewan Pelajar, aku turut baca. Bila kakak masuk sekolah menengah, dia beli Dewan Siswa, Dewan bahasa, Dewan Masyarakat…pun aku tumpang baca. Sambil-sambil tu curi-curi baca juga Hikayat Hang Tuah abang aku punya walaupun bukan faham apapun.

Bila masuk sekolah menengah, terutama tahun peperiksaan SRP dan SPM. Kami yang asal dari negeri paling miskin di Malaysia (menurut kata PM kita yang encem tu…kalau kalian rasa dia hensemlah!) memang jarang mampu nak pergi tuisyen berbayar. Masa cikgu dok mengajar dalam kelas, jangan dok main kalau rasa diri tak reti.

Namun begitu, aku nampak ada inisiatif cikgu-cikgu masa tu untuk buat kelas tambahan. Percuma sahaja. Tanpa mintak bayar minyak petrol cikgu, penah lelah cikgu, dahaga kering tekak lapar cikgu. Semuanya percuma. Diadakan selepas sekolah ataupun pada hari Sabtu. Baru sekarang aku mengerti betapa besarnya pengorbanan itu! Terima kasih tak terhingga, cikgu!

Adakala aku boleh nampak yang usaha cikgu itu terlebih bersungguh berbanding anak murid. Ramailah yang datang tetapi bukan semua datang untuk belajar. Ada yang datang sekolah semata-mata sebab tak nak berada di rumah pada hari sabtu. Ada yang datang semata-mata nak jumpa buah hati sahaja. Belajar pun main-main.

Masa tingkatan 3, Cikgu Khalil selalu buat kelas tambahan untuk mata pelajaran Perdagangan dan Matematik, Cikgu Rohani Husin mata pelajaran sains. Bila naik tingkatan empat, Cikgu Zulkifli Deraman yang hensem dengan lesung pipit dalam di kedua-dua pipinya itu paling rajin buat kelas tambahan untuk Matematik Tambahan, Fizik dan Matematik manakala mata pelajaran Biologi dan Kimia cikgu buat kelas tambahan masa tingkatan lima sahaja.Opssss! lesung pipit itu buatkan dia tersangat kacak, tapi...dia memang kacak pun!

Bila dah keluar dari sekolah itu baru aku sedar bahawa mereka adalah guru-guru yang hebat. Mencurahkan ilmu dengan gigih tanpa putus asa dan sanggup buat kelas tambahan percuma padahal kami kebanyakannya main-main je lebih.

Terima kasih, cikgu. Walaupun aku tak pernah dapat cemerlang dalam semua mata pelajaran tersebut, aku sangat hargai usaha murni mereka. Halalkan ilmu itu ya, cikgu. Semoga ilmu tersebut berkat dan berpanjangan pahala mengiringi semua cikguku itu hingga ke syurga. Selamat Hari Guru untuk semua guru di Malaysia.

PsssT: Entri ni aku tulis lama dulu, tapi…baru hari ni diterbitkan sempena Hari Guru…..

Selasa, 13 Mei 2014

Bila Rasa Diri Tidak Dihargai


Ini entri motivasi untuk diri sendiri setelah lamaaaaaaaaaaaaaaaaaa sangat bercuti seronok melepak kat rumah sesedap rasanya nak bangun pagi jam berapa nak tidur pukul berapa terbongkang tak payah buat kerja tapi gaji masuk tiap-tiap bulan. Fuhhhhhhh! Lengkap satu ayat!

Ini juga tentang entri motivasi buat diri sendiri setelah tekan gear 6 TURBO tahun lepas hingga Berjaya siapkan tesis tetapi penilaian tahunannya sangat mengecewakan dalam hidup ni kerana dikatakan pekerja yang tidak bermotivasi dan perlu masuk kem motivasi bagai. Titik. Tarik nafas dulu.

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz terkemuka negara yang aku sudah lupa namanya, tetapi aku sedang pegang kisah ini untuk motivasikan diri pada waktu pertengahan tahun sebegini untuk terus gigih berjuang menghabiskan kerja tahun ini, kemudian mengubah pencapaian diri dengan gear 10 extra turbo. Kisahnya begini:

Dalam satu bengkel motivasi sebuah agensi terkenal, ustaz ini perlu beri ceramah motivasi menyedarkan sebilangan pekerja hampir nak pencen yang tidak bermotivasi langsung buat kerja. Keadaannya seperti terpaksa buat kerja dan menunggu-nunggu tarikh pencen dengan penuh rasa lemau.

Ustaz ini menyedari tentang seorang pekerja wanita berwajah muram, tidak bersemangat dan terlihat sekali seakan sedang memaksa diri untuk berkerja sebelum pencen dua bulan lagi. Di akhir sesi, pekerja wanita berkenaan bertemu dengan ustaz berkenaan, maka terjadilah dialog seperti di bawah (yang telah diubahsuai sepenuhnya tanpa menghilangkan maksudnya);

Wanita nak pencen: Ustaz, saya rasa diri saya tidak dihargai di tempat kerja. Apa yang saya buat, baik macam manapun, hebat macam manapun tidak pernah dihargai. Tak ada siapa yang “nampak”…tak naik pangkat, tak naik gaji, tak ada pujian…malah, bos tak pernah sebut nama saya sedikitpun. Kewujudan saya tidak disedari langsung. Macam mana saya nak bermotivasi?
Ustaz: Akak ikhlas tak masa buat kerja tu?
Wanita nak pencen: tentulah ikhlas, Ustaz. Saya kerja kerana Allah.

Termenung sat ustaz tu. Kemudian ustaz pun bertanyakan tentang anak-anak dan keluarga wanita tersebut. Tiba-tiba air muka wanita itu berubah ceria. Dia sangat teruja bercerita tentang kejayaan anak-anaknya dalam pelajaran. Ada yang dah kerja bagus-bagus, ada yang sedang habiskan belajar, ada yang tengah praktikal. Dia tidak pernah berhadapan dengan masalah dengan anak-anaknya sama ada masalah soaial, perangai, disiplin dan sebagainya. Setiap perkara tentang keluarganya yang bahagia itu cukup mengembirakannya.

Ustaz: Akak tahu tak bahawa Allah telah melihat segala usaha akak di tempat kerja itu dengan menghadiahkan sebuah keluarga yang bahagia untuk akak? Anak-anak berjaya dan dengar kata, baik dan hormat orang tua… tak ada masalah kewangan kronik dikejar ahlong, makan pakai walaupun sederhana tetapi sentiasa cukup. Sentiasa gembira. Itulah caranya Allah menghargai keikhlasan akak. Akak nak tak naik pangkat, popular di pejabat…tetapi pada masa yang sama mempunyai anak-anak yang degil, tak dengar kata, terlibat dalam gejala social…dadah dan macam-macam masalah yang budak-budak sekarang ni lalui?

Wanita nak pencen: Tak nak, ustaz. Saya sayang keluarga saya…

Ada kala kita tidak nampak apa yang telah Allah berikan, namun selalu memandang dan mengira-ngira apa yang manusia lain berikan kepada kita sedangkan apa yang manusia lain berikan itu tidak adalah sebesar yang dah Allah anugerahkan itu. Makanya, marilah kita bersyukur dengan apa yang telah dianugerahi itu tanpa terlalu memandang “apa yang kita tak ada” hingga melupai “kelebihan” yang Allah bagi tu. Sesungguhnya, apa yang tidak kita ada itu adalah “terbaik untuk kita” pada masa ini kerana kalaupun kita adanya sekarang, belum tentu kita mampu nak jaga atau hargainya.

Okeh, jom buat kerja. Masa masih ada 7 bulan lagi sebelum 2014 berakhir. Fuhhhhhh! Cepatnya masa berlalu. Sangat banyak lagi yang belum dibuat dan diselesaikan.

Errrrrrrrrrrrrrrrrrrrr hari ni Wesak kan? Cuti kan? kan kan kan?
Okeh, jom sambung tidur!!! Esok je pergi kerja!