Khamis, 20 Mac 2014

Mek Fobia Aku Nak Balik Kampung Naik Kapal Terbang

Mek memang jarang telefon anak-anak kecuali ada hal penting. Bagi dia dan kami juga, anak-anak yang patut telefon mereka (mek dan ayah). Bila ada miscall dari kampong, memang akan suspen.

Masa aku pergi buat fisioterapi Rabu lepas, Mek ada telefon tetapi aku tak dengar. Telefon dok dalam beg. Jadi, bila ke parking kereta, aku berhenti kat taman di halaman hospital Serdang tu seketika dan telefon Mek semula.

Suara Mek lemah je, serak dan sedikit batuk-batuk. Katanya, petang sebelum tu dia rasa nak pitam. Tahun lepas, masa dia tak sihat, aku ambil cuti dan balik seminggu. Terus je dia sihat hanya dengan aku picit-picit tiap malam dengan losyen. Tak payah jumpa doktor pun. Ayah gelakkan dia kemain masa tu.

Kali ni terasa juga nak buat begitu, orang kata terapi jiwa. Tapi dengan keadaan begini, perjalanan yang panjang untuk balik kampong akan mudaratkan aku pula. Elok-elok dah ok sikit, kang melarat lagi lama pulak. Lagi pun dah nak cuti sekolah. Kakak dan adik dah pasti akan balik kampong. Rumah tu akan riuh rendah hiburkan hati mereka. Tahan je lah hati dulu…

Kata Mek, aku boleh tompang adik yang balik kampong masa tu. Tapi, aku tak boleh duduk lama. Perjalanan panjang itu buat aku fobia sebenarnya. Sekarang ni, nak duduk 30 minitpun rasa sangat derita…mulalah gelisah nak pi baring huh u huhu macam mana nak duduk 8 jam dalam perjalanan balik kampong tu?

Aku beritahu, Raya nanti balik kampong naik kapal terbang. Mek senyap tetiba. Kemudian dia cerita tentang Penerbangan MH370 yang hilang dan masih belum lagi dijumpai itu. [Errr...tiket beli tempah lagi ni macam mana?] Barangkali Mek dah lupa pengalaman aku naik pesawat yang tergelincir di landasan dulu tu...

Aku: Kalau nak mati…mana-mana pun boleh mati. Atas katil pun mati jugak walaupun tak naik kapal terbang. Lagipun, bukan hari-hari kapal terbang MAS hilang. Dah naik bertahun-tahun pun, baru kali ni hilang...selama ni, sampai aje pun pergi mana-mana.

Nasib baik Mek boleh terima. Nasib baik kehilangan MH370 berlaku selepas Mek ayah dan pergi menunaikan haji.




Rabu, 19 Mac 2014

TRW Pray For MH370


Prihatin dengan MH370...semoga segala usaha mencari dan menyelamat dimudahkan.


Selasa, 18 Mac 2014

Nak Kena Sama Pendapat Baru Boleh Geng Ke?


Prinsip aku mudah sahaja: selagi tidak jatuh hukum “haram” makanya, kalian berhak memilih untuk tentukan apa yang kalian nak. Aku tak boleh nak kata apa. Aku tak boleh nak hukum apa.

Tapi, kalau kalian rasa nak mintak pendapat aku…silalah bagi tahu. Takat yang termampu aku akan kongsikan pandangan aku yang tak adalah terang benderang benar. Rabun dan kabur jua adanya. Namun, pendapat aku itu tidak libatkan mana-mana pihak kecuali aku sahaja.
kalau kalian tahu sukarnya mencari orang kita aniaya di padang mahsyar...usahlah aniaya orang biarpun dengan kata-kata. Kiranya dikau tetap memilih jalan itu jua, makanya...silalah cari aku antara sekian ramai makhluk allah itu, urusanku denganmu di dunia ini telah tamat. Teruskan rundingan di sana nanti.

Bila tanya pendapat aku, janganlah pula nak paksa aku bersetuju dengan pendapat kalian pula. Dah tentulah ada persamaan dan perbezaan. Bila pendapat itu sama, bukan bermakna aku satu geng dengan kalian…dah tentu aku ada alasan sendiri dengan setiap pendapat itu.

Begitu juga bila pendapat kita tak sama, usah paksa aku ikut arus kalian. Aku punya alasan yang tersendiri. Bila tak sama pendapat, bukan bermakna aku tak boleh geng dengan kalian. Boleh aje. Kita hanya berbeza pendapat tetapi kita masih lagi sama-sama Islam. Tak begitu?



Isnin, 17 Mac 2014

Anak Sapalah Tu!

Kita selalu dok sebut “Anak Sapalah Tu!” tiap kali budak-budak buat perangai pelik dan memalukan. Kadang-kadang, ayat itu juga ditujukan kepada budak-budak yang hebat dan mengagumkan kita pencapaiannya.

Bila budak-budak buat perangai pelik dan memalukan, kita rasa kesian terhadap mak bapaknya. Pernah terfikir tak, sejauhmana kita sebagai anak cuba menjaga nama orang tua agar tidak ada pertanyaan “Anak Sapalah Tu!”

Mungkin had masa untuk kalian menjaga nama baik ibu bapa dan wali kalian tidak sepanjang daku. Bagi perempuan, bila dah berkahwin, kena jaga nama baik suami pula. Tanggungjawab ibu bapa dah lepas. Namun, untuk lelaki, sepanjang hayat perlu berbakti, berkhidmat dan menjaga nama baik ibu bapa mereka.

Jadi, usah salahkan daku andai tingkahku agak sedikit berbeza dengan orang lain, kerana daku masih lagi perlu menjaga nama baik ibu bapa dan waliku. Bila sesuatu perkara itu tidak disukai Mek ayah, aku berusaha untuk hindarinya. Nak tahu antaranya? Dah tentu melibatkan pergaulan dengan bukan mahram.

  1. Keluar berdua-duaan dengan lelaki yang telah beristeri (walaupun di tempat awam) tanpa ditemani oleh orang ketiga. Sebaik-baik orang ketiga itu adalah isteri lelaki berkenaan sendiri, terutama bagi yang mengaku mendapat restu isteri untuk tambah cawangan. Aku amat kagum dengan beberapa orang yang pernah berjumpa denganku termasuk untuk belanja makan yang memahami situasi ini tanpa aku nyatakan sepatahpun. Dan aku tahu, betapa budimannya mereka.
  2. Keluar lewat malam tanpa urusan yang sangat-sangat penting. Kalau sekadar untuk makan, minta maaflah. Dalam usia sebegini, daku dah malas nak keluar pada waktu sepatutnya kita dah masuk tidur. Daku bukan remaja muda belia lagi, melainkan remaja purba jua adanya.
  3. Urusan kerja melibatkan berlainan jantina aku sudahkan di tempat kerja. Biarpun dalam kes-kes tertentu perlu juga berlaku komunikasi di luar waktu kerja, namun dalam situasi yang tidak menimbulkan fitnah.
  4. Kes tuntutan insuran kesihatanku (lelaki) memerlukan agen insuran datang juga ke rumah, dan dia datang berdua. Kali kedua, dia datang seorang tetapi jiranku yang prihatin itu turut keluar rumah dan bersembang di depan pagar. Alhamdulillah, Allah telah mudahkannya. Baik tak jiranku itu?

Mungkin akan ada yang kata “makan kat kedai mamak je pun…tempat terbuka. Apa fitnahnya?” Bukan seorang dua yang berkata begitu, terutama lelaki yang telah beristeri.Barangkali mereka menganggap aku sengaja mengelak untuk keluar bertemu santai dengannya.

Ya, tempatnya sudah terbuka, tetapi tetap makan berdua kan? Bayangkan apa jadi bila isteri ternampak? Kaum keluarga isteri tertengok? Rakan-rakan sepejabatku, musuhku barangkali, tukang fitnah mungkin? Usahlah berkata “Niat kita baik…”

Ya…niat kita memang baik. Semasa Safwan membantu membawa pulang Aisyah yang tertinggal dalam perjalanan juga niatnya ikhlas. Namun Abdullah bin Ubay telah menfitnahnya hingga akhirnya turun ayat;
“Sesungguhnya, orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakan. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar,” An-Nur ayat 11.

Itu Aisyah, isteri Rasulullah. Bagaimana pula dengan daku?

Niatku hanya mahu menjaga nama baik Mek ayah. Orang nak kata jual mahal pun tak apalah. Nak kata pesen lama pun buleh jugak…ambo tak kesah pun. Asalkan Mek ayah tak rasa malu ada anak perempuan macam ambo. Aku tetap percaya kepada jodoh walaupun ada yang mulut tak ada insuran pernah kata “Awak tak akan kahwin sampai bila-bila kalau tak kahwin dengan saya”.

Mungkin ya…mungkin tidak. Semuanya urusan Allah. Aku percaya itu!

Ahad, 16 Mac 2014

JAIS Pantau Raja Bomoh Tikar Terbang


Aku memang hangin satu badan bila Raja Bomoh melakukan ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, kononnya bagi membantu usaha mengesan kehilangan pesawat MH370. Tak ada maknanya! Tengok pun dah tahu dia tidak gunakan cara Islam walaupun kononnya melakukan bacaan yasin dan solat hajat. 


Bila Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd. Saad berkata Bomoh VIP itu bakal dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor, hati aku lega sikit. Sikit sahaja. Sebabnya, perbuatan itu meninggalkan impak yang besar.

Bukan sahaja satu dunia ketawakan Malaysia dengan pelbagai parody, namun akan ada segelintir manusia mengatakan perkara itu tak apa. Bomoh itu boleh, tak salah. Lama-lama akan jadi budaya sedangkan hakikatnya, menduakan Allah itu syirik. Hukum syirik itu sangat berat dalam Islam, tertanggungkah bahu memikulnya?

Jika siasatan JAIS ke atas Ibrahim Mat Zin, 80, mendapati perbuatannya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar, maka dia akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor. Tak tahulah kot ada tangan kebal boleh jadikan dia tak salah. Tak pun dia kan bomoh hebat, katanya. Kata dialah. Kalau tak hebat, mana berani dia tampar KJ macam buaya, ye tak? Hishhhhhh!
cantik tak jersi baru? TRW sokong Pray for MH370

Tak tahu nak katalah kalau melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing dan tikar terbang bersama dua biji kelapa di KLIA itu masih belum cukup untuk dikatakan salah. Kalau bab pak Brahim Bubu @ Bomoh Ibrahim Mat Zin nak tampar KJ macam tampar buaya tu bolehlah nak kata tak salahpun. Itupun kalau KJ buat donno je tak nak saman kes ugut.

Harapnya jangan hanya pantau dan siasat sahajalah ya…sila ambil tindakan. Jangan pulak nanti senyap je lepas ni.