Memaparkan catatan dengan label menjaga nama baik ibu bapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label menjaga nama baik ibu bapa. Papar semua catatan

Isnin, 17 Mac 2014

Anak Sapalah Tu!

Kita selalu dok sebut “Anak Sapalah Tu!” tiap kali budak-budak buat perangai pelik dan memalukan. Kadang-kadang, ayat itu juga ditujukan kepada budak-budak yang hebat dan mengagumkan kita pencapaiannya.

Bila budak-budak buat perangai pelik dan memalukan, kita rasa kesian terhadap mak bapaknya. Pernah terfikir tak, sejauhmana kita sebagai anak cuba menjaga nama orang tua agar tidak ada pertanyaan “Anak Sapalah Tu!”

Mungkin had masa untuk kalian menjaga nama baik ibu bapa dan wali kalian tidak sepanjang daku. Bagi perempuan, bila dah berkahwin, kena jaga nama baik suami pula. Tanggungjawab ibu bapa dah lepas. Namun, untuk lelaki, sepanjang hayat perlu berbakti, berkhidmat dan menjaga nama baik ibu bapa mereka.

Jadi, usah salahkan daku andai tingkahku agak sedikit berbeza dengan orang lain, kerana daku masih lagi perlu menjaga nama baik ibu bapa dan waliku. Bila sesuatu perkara itu tidak disukai Mek ayah, aku berusaha untuk hindarinya. Nak tahu antaranya? Dah tentu melibatkan pergaulan dengan bukan mahram.

  1. Keluar berdua-duaan dengan lelaki yang telah beristeri (walaupun di tempat awam) tanpa ditemani oleh orang ketiga. Sebaik-baik orang ketiga itu adalah isteri lelaki berkenaan sendiri, terutama bagi yang mengaku mendapat restu isteri untuk tambah cawangan. Aku amat kagum dengan beberapa orang yang pernah berjumpa denganku termasuk untuk belanja makan yang memahami situasi ini tanpa aku nyatakan sepatahpun. Dan aku tahu, betapa budimannya mereka.
  2. Keluar lewat malam tanpa urusan yang sangat-sangat penting. Kalau sekadar untuk makan, minta maaflah. Dalam usia sebegini, daku dah malas nak keluar pada waktu sepatutnya kita dah masuk tidur. Daku bukan remaja muda belia lagi, melainkan remaja purba jua adanya.
  3. Urusan kerja melibatkan berlainan jantina aku sudahkan di tempat kerja. Biarpun dalam kes-kes tertentu perlu juga berlaku komunikasi di luar waktu kerja, namun dalam situasi yang tidak menimbulkan fitnah.
  4. Kes tuntutan insuran kesihatanku (lelaki) memerlukan agen insuran datang juga ke rumah, dan dia datang berdua. Kali kedua, dia datang seorang tetapi jiranku yang prihatin itu turut keluar rumah dan bersembang di depan pagar. Alhamdulillah, Allah telah mudahkannya. Baik tak jiranku itu?

Mungkin akan ada yang kata “makan kat kedai mamak je pun…tempat terbuka. Apa fitnahnya?” Bukan seorang dua yang berkata begitu, terutama lelaki yang telah beristeri.Barangkali mereka menganggap aku sengaja mengelak untuk keluar bertemu santai dengannya.

Ya, tempatnya sudah terbuka, tetapi tetap makan berdua kan? Bayangkan apa jadi bila isteri ternampak? Kaum keluarga isteri tertengok? Rakan-rakan sepejabatku, musuhku barangkali, tukang fitnah mungkin? Usahlah berkata “Niat kita baik…”

Ya…niat kita memang baik. Semasa Safwan membantu membawa pulang Aisyah yang tertinggal dalam perjalanan juga niatnya ikhlas. Namun Abdullah bin Ubay telah menfitnahnya hingga akhirnya turun ayat;
“Sesungguhnya, orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakan. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar,” An-Nur ayat 11.

Itu Aisyah, isteri Rasulullah. Bagaimana pula dengan daku?

Niatku hanya mahu menjaga nama baik Mek ayah. Orang nak kata jual mahal pun tak apalah. Nak kata pesen lama pun buleh jugak…ambo tak kesah pun. Asalkan Mek ayah tak rasa malu ada anak perempuan macam ambo. Aku tetap percaya kepada jodoh walaupun ada yang mulut tak ada insuran pernah kata “Awak tak akan kahwin sampai bila-bila kalau tak kahwin dengan saya”.

Mungkin ya…mungkin tidak. Semuanya urusan Allah. Aku percaya itu!