Isnin, 23 Disember 2013

Maaf, Daku Hanya Insan Biasa


Daku Hanya Insan Biasa. Insan biasa yang banyak kelemahan, hingga ada masanya, lebih yang lemah itu menyebabkan diambil kesempatan.

Daku Hanya Insan Biasa. Yang terlalu biasa. Yang tak punya apa selain harapan dan impian. Harapan dan mimpi yang besar ini sentiasa mengekang, selalu mengejar dan kerap membelenggu. Ada ketikanya buatkan aku terkedu sendiri. Arah manakah sebenarnya hidup ini? Masih jauhkah lagi aku perlu berlari dan mendaki?

Daku Hanya Insan Biasa, yang sentiasa teringin menjadi anak yang terbaik kepada kedua ibu bapanya. Anak terbaik yang tidak menyusahkan mereka di dunia, apalagi akhirat. Yang akan menyenangkan hati mereka. Namun aku tetap insan biasa.

Daku Hanya Insan Biasa, yang sentiasa sahaja mahu menjadi pekerja terbaik. Nak penuhi KPI tahunan menggunakan jalan yang lurus. Bukan jalan bengkang bengkok. Namun jalan lurus yang terlalu jauh itu akhirnya tetap jadi bengkok pula hingga aku jadi serba salah untuk teruskan atau berdiri statik pada tahap itu sahaja. Aku jadi keliru. Aku jadi serba salah. Mana mahu dituju? KPI yang ditetapkan dengan pelbagai rencam itukah, ataukah KPI yang diri tetapkan? Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan bumi ini, berikanlah daku hidayah untuk terus berada di jalan menuju kebenaran.

Daku Hanya Insan Biasa, yang ingin menjadi sahabat terbaik. Sekalipun aku sedar sangat banyak lemahnya diri ini tatkala bersahabat. Tak mampu menyenangkan hati sahabat, tak mampu membantu sebaiknya tatkala diperlukan. Aku tetap insan biasa itu. Yang serba kurang. Namun, hati jadi sayu andai hanya mampu memandang. Lalu apakah cara terbaik?

Daku Hanya Insan Biasa, yang ingin mengembirakan rakan-rakan sekalipun tanpa ucap. Namun aku terlalu takut andai terlebih menyayangi membuatkan diri lemas dalam kepayahan andai suatu hari nanti mereka perlu aku lepaskan satu persatu. Serikkah buatkan aku begitu mengekang diri, ataukah remuk redam carik disiat masih membenih luka maha dalam? Daku Hanya Insan Biasa. Terlalu biasa. Tak mampu untuk mengubah banyak cerita dunia.

Maaflah, Daku Hanya Insan Biasa. Aku hanya tahu berlari dan mendaki, hingga terlupa untuk menghargai. Hingga terlupa untuk berterima kasih kepada ramai yang memberi termasuk diri. Hingga terlupa untuk menikmati.


Sabtu, 21 Disember 2013

Saat Mengenangmu Biarpun Hanya Kenangan Yang Menemani




The Heirs buat hatiku melantun-lantun. Setiap hari kena dengar dua lagu OST The Heirs ni hingga melodinya dah meresap dalam sanubari, hilangkan stress jumpa orang-orang yang kurang bermotivasi hu hu hu

Changmin (2AM) - Moment FMV (The Heirs OST)



Kau penuhkan kekosongan hati ini…buat aku lebih menghargai hidup sendiri
Degup jantungku terhenti, masa terhenti…setiap saat daku mengenang
terlukis sudah cintamu..


Lena Park - Only With My Heart



Kenangan bersamamu tetap menemani
Biarpun daku sendirian…senyumlah.
Memori yang kita ukir bersama tetap segar sepanjang masa
Cheeeeewahhhhh!


Setelah kuberikan harapan sejauh ini,



Tergamaknya kau tinggalkanku tanpa pesan…biarkan aku terawang tanpa arah




Tidakkah kau tahu betapa deritanya bila cinta ditolak?
Aku ada di sini, namun kau tidak pernah menyedarinya, sedangkan
Kau sentiasa ada di hatiku…dalam jaga, dalam lena…setiap tarik nafasku



Namun cinta bukan untuk dipaksa

Aku suka bila dia orang hepi macam ni…ohhhh! Sangat hensem itu jejaka!



Dahlah tu berangan...kita tengok siri lain pulak ya...
Parah betul kena angin K-Pop ni hu huhuhuhu




Jumaat, 20 Disember 2013

Terima Kasih Ya Allah, Dengan Segala Yang Kumiliki


Ini enteri tentang motivasi diri. Tentang bagaimana memandang orang dan diri sendiri yang memiliki.

Seringkali kita memandang “buah cempedak di luar pagar”, sedangkan kita terlupa tentang indahnya mawar berkembangan di pasu sendiri. Itu biasa berlaku kepada kita, kepada dakupun.

Kita melihat keluarga orang bahagia gembira ria, sedangkan kita pula terlupa untuk menghargai keluarga sendiri. Ada Mek ayah, sejauhmana kita gembirakan mereka. Gembirakah mereka miliki anak seperti kita? Kita ada adik beradik yang ramai tetapi sering terlupa untuk tanya khabar. Gembirakah mereka ada adik beradik macam kita, ataukah termengkelan perasaan dengan perangai kita yang terlalu mementingkan diri sendiri?

Kita tertekan dengan kerja seharian di pejabat, namun pernahkah kita terfikir bagaimana perasaan orang lain yang tidak memiliki kerja pun. Apa sahaja yang boleh mendatangkan rezeki, mereka sanggup lakukan walaupun hanya mengutip kotak dan tin, menyusur lorong-lorong busuk mencari sesuatu yang boleh mendatangkan rezeki. Berpanas berhujan tak mengira hari, berpeluh hamis tak kira waktu. Kita yang berada dalam pejabat berhawa dingin bak musim salji ini pun masih lagi mengadu susah dan tertekan? Bukankah dulu kita sendiri juga yang cari kerja…dah dapat kerja, silalah kerja. Kalau tak mahu kerja, masih ramai lagi orang lain nak kerja. Usah tambah kerja orang lain dengan perangai tak senonoh kita main-main masa kerja…berapa banyak “kerja” daaaaaa!

Kita (bukan aku tu ya!) lemas bila tak ada anak. Namun, pernah tak kita terfikir bahawa dalam dunia yang luas ini kita masih lagi beruntung kerana punya suami yang baik dan penyayang. Ada orang lain suaminya suka bergusti dan westling. Lambat buka pintu pun digustinya bini, dilanyaknya macam dalam gelanggang westling. Terfikirkah kita bahawa masih ramai lagi perempuan di Malaysia ini tak ada suamipun. Susah senang dia hidup sendiri. Senyum tangis pun dia sendiri. Masih tak beruntungkah nasib kita berbanding orang lain?

Kita dok mengeluh kehidupan kita susah. Nak beli rumah mahal harganya mengalahkan beli kapal selam. Namun, pernah tak kita terfikir bahawa masih ramai makhluk di Malaysia ini yang gelandangan walaupun ramai juga gelandangan di Kuala Lumpur itu makin demand sejak ramai sukarelawan datang menolong. Ramai lagi yang tak mampu menyewa rumah walaupun hanya bawah rumah orang seperti P.Ramlee dalam Ibu Mertuaku itu.

Kita tak punya barang mewah seperti idaman ramai orang. Kalau boleh nak guna beg Prada, LV yang ribu riban tu…nak emas berlian intan suasa penuh hingga lengan macam pokok krismas bergerak tu, nak perabut dan pinggan mangkuk yang diimport dari luar Negara. Macamlah kalau kita makan dalam pinggan perex bagai tu rasanya berbeza berbanding makan dalam pinggan plastik macam kat kantin sekolah tu. Kalau boleh kita nak pakai kasut Jammy Choo walaupun pergi pasar malam, sedangkan…pernah tak kita terfikir, bahawa ada orang lain tak punya kakipun untuk pakai kasut, apalagi nak bermimpi pakai kasut yang mahal.

Pernah tak fikir begitu? Pernah terfikir tak? Ataukah kita hanya memandang diri kita yang serba serbi kekurangan, kemudian membandingkan pula dengan sejuta kelebihan yang ada pada orang lain? Kita nak rumah bak istana Negara, nak kereta spot Lomboghini atau Ferarri…kalau boleh, jalan yang kita pijakpun berkilau emas berlian. Ingat Ratu balqis apa??? Ingat kita ni nabi Sulaiman apa???

Tak salah berazam nak kejar kesenangan dunia, namun usah pula sampai lupa untuk bersyukur. Biarpun sibuk mendaki awan, usahlah lupa tunduk ke bumi memandang hijau rumput yang terhampar. Biarpun rumput berada di bawah, ia tetap lembut menadah tumit kaki tanpa mengira kita menapak dengan sopan atau kita terpelanting jatuh dari langit.

Sebesar-besar kekayaan di dunia adalah Iman. Jangan biarkan ia menjauh.

Alhamdulillah. Daku syukuri dengan setiap nikmatMu yang dikurniakan. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang kufur nikmat.


Khamis, 19 Disember 2013

Ingatkan Gajah Je Ada Belalai


Sepanjang hidup aku, tak pernah pulak dengar ada belalai lain selalin daripada belalai gajah. Tetiba hari ni baca Mstar, ada berita tentang kejadian belalai air yang didakwa sebagai putting beliung melanda Johor Bahru. Entri aku juga ada tulis tentang tu, tapi tak adalah panjang lebar, hanya sebagai catatan pendek sahaja. Selebihnya aku linkkan ke blog lain jika ada pembaca nak tengok gambar-gambar dan video puting beliung melanda Johor Bahru.


Namun begitu jurucakap Jabatan Meterologi mengesahkan bahawa Imej dan klip video yang mendakwa berlaku kejadian 'puting beliung' di Johor dan tersebar di Internet pada petang Rab itu sebagai fenomena belalai air.

Belalai air ialah pusaran angin yang terbentuk di permukaan air dan kerap berlaku di iklim tropika. Ia sering terjadi ketika ribut petir berlaku. Kekutan angin yang dibawa tidak sekuat puting beliung.

Mmmmmmm hari ni baru aku tahu tentang fonomena alam ini. Ilmu baru!

Menurut saksi yang nampak kejadian terdapat gulungan puting beliung di langit Johor Bahru tu, mereka melihat gulungan itu membentuk angin yang sangat kuat. Namun begitu fonomena berkenaan tidak terdapat dalam catatan satelit Jabatan Meterologi Malaysia. Analisis gambar dan video berkaitan dengan insiden itu dan mengesahkan ia bukan fenomena puting beliung sebaliknya belalai air yang muncul dalam tempoh masa yang singkat sahaja.


U Elak Jumpa I Kan?

Orang kata, kalau orang tu tak dapat nak fahami kita, baiklah lupakan terus. Ya…nak jadi kawan pun ada tahap pemahaman yang tertentu juga. Asyik kita sahaja nak kena faham, lama-lama boleh bertahan ke? Apalagi kalau nak lebih dari seorang kawan.

Bagi aku, hidup ni mudah sahaja. Ada orang boleh jadi kawan untuk aktiviti beli belah. Ada kawan sesuai untuk aktiviti redah belukar hendak anak biawak kemudian tembak dengan lensa. Ada orang yang lain hanya sesuai untuk berada di majlis mewah bertemankan neon galak lip lap lip lap. Dan, tak kurang pula hanya sesuai bergelumang mentari terjun masuk laut dan mengejar duyung di Antara timbunan indah karang.

Kalau beruntung, kita akan punya seseorang yang boleh bersama kita di semua tempat itu. Yang sentiasa berdiri di sisi sekalipun tanpa berkata apa-apa. Yang sentiasa mendengar dengan mata dan hati. Dan yang sentiasa menyokong segala usaha kita biarpun tanpa sepatah lafaz. Namun, kita tahu dia akan sentiasa sebegitu di sisi biarpun dia tak mampu nak lap air mata sendiripun, apalagi air mata kita. Untunglah bila ada insan begitu di sisi. Usah lepaskannya pergi.

Namun, amat malang benarlah kalau kita punyai seseorang yang datang dan perginya sesuka hati dia sahaja. Masa kita senang dia tak ada, masa kita susah dia entah di mana. Munculnya pula hanya menuntut apa yang perlu kita lakukan untuk dia tanpa sedarpun dia tak pernah lakukan apa-apa buat kita. Dia hanya jadi angin yang tidak kita Nampak, tak mampu kita miliki, tak upaya kita tahu kehadirannya.

Perlukah persoalkan “U Elak Jumpa I Kan?” bila tiba-tiba munculnya hanya melalui SMS setelah duri yang tersangkut direngkungku berjaya kutarik perlahan dan ubati lelas itu. Bukan salah dia aku tertelan duri, bukan salah dia juga ada parut dek tikaman duri itu. Soalnya, kemana dia kala duri itu begitu mencengkam rengkung. Bukannya dia tak tahu aku tercekik duri waktu itu.

Ini bukan soal dendam atau membalas semula. Ini soal hati. Hati itukan sukar untuk dimengertikan. Lalunya, bila hati menjadi hambar, bukan ada sambal belacan boleh ditambah buat pengubah rasa.Atau letak kicap agar membantu tekak untuk menelan.