Memaparkan catatan dengan label aku insan biasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aku insan biasa. Papar semua catatan

Isnin, 23 Disember 2013

Maaf, Daku Hanya Insan Biasa


Daku Hanya Insan Biasa. Insan biasa yang banyak kelemahan, hingga ada masanya, lebih yang lemah itu menyebabkan diambil kesempatan.

Daku Hanya Insan Biasa. Yang terlalu biasa. Yang tak punya apa selain harapan dan impian. Harapan dan mimpi yang besar ini sentiasa mengekang, selalu mengejar dan kerap membelenggu. Ada ketikanya buatkan aku terkedu sendiri. Arah manakah sebenarnya hidup ini? Masih jauhkah lagi aku perlu berlari dan mendaki?

Daku Hanya Insan Biasa, yang sentiasa teringin menjadi anak yang terbaik kepada kedua ibu bapanya. Anak terbaik yang tidak menyusahkan mereka di dunia, apalagi akhirat. Yang akan menyenangkan hati mereka. Namun aku tetap insan biasa.

Daku Hanya Insan Biasa, yang sentiasa sahaja mahu menjadi pekerja terbaik. Nak penuhi KPI tahunan menggunakan jalan yang lurus. Bukan jalan bengkang bengkok. Namun jalan lurus yang terlalu jauh itu akhirnya tetap jadi bengkok pula hingga aku jadi serba salah untuk teruskan atau berdiri statik pada tahap itu sahaja. Aku jadi keliru. Aku jadi serba salah. Mana mahu dituju? KPI yang ditetapkan dengan pelbagai rencam itukah, ataukah KPI yang diri tetapkan? Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan bumi ini, berikanlah daku hidayah untuk terus berada di jalan menuju kebenaran.

Daku Hanya Insan Biasa, yang ingin menjadi sahabat terbaik. Sekalipun aku sedar sangat banyak lemahnya diri ini tatkala bersahabat. Tak mampu menyenangkan hati sahabat, tak mampu membantu sebaiknya tatkala diperlukan. Aku tetap insan biasa itu. Yang serba kurang. Namun, hati jadi sayu andai hanya mampu memandang. Lalu apakah cara terbaik?

Daku Hanya Insan Biasa, yang ingin mengembirakan rakan-rakan sekalipun tanpa ucap. Namun aku terlalu takut andai terlebih menyayangi membuatkan diri lemas dalam kepayahan andai suatu hari nanti mereka perlu aku lepaskan satu persatu. Serikkah buatkan aku begitu mengekang diri, ataukah remuk redam carik disiat masih membenih luka maha dalam? Daku Hanya Insan Biasa. Terlalu biasa. Tak mampu untuk mengubah banyak cerita dunia.

Maaflah, Daku Hanya Insan Biasa. Aku hanya tahu berlari dan mendaki, hingga terlupa untuk menghargai. Hingga terlupa untuk berterima kasih kepada ramai yang memberi termasuk diri. Hingga terlupa untuk menikmati.