Sabtu, 17 Ogos 2013

Salah Siapa Bila Anak-Anak Lupakan Orang Tua?

Ini cerita keluarga kami.

Sejak kecil aku melihat kesukaran hidup Mek ayah. Kami tak ada apa-apa. Malah, masa aku kecil dulu, ayah pernah kata yang dia “tak ada harta untuk bagi anak-anak, tapi…kalau nak belajar, ayah akan usahakan”.

Kamipun belajar. Ada yang Berjaya, ada yang kantoi tengah jalan. Adik yang bongsu pula ambil keputusan untuk jadi petani. Katanya nak teruskan legasi ayah.

Kami sentiasa ingat tentang kesukaran semasa kecil. Baju hanya bertukar setahun sekali. Hanya masa raya. Bila dah besar sedikit, ada kalanya rayapun tak ada baju baru. Hingga sekarang, aku dah terbiasa tak punya baju baru pada hari raya. Tak ada baju baru pun kami tetap beraya dengan cara kami.

Bila masing-masing dah kerja, kami cuba ubah taraf hidup kami. Kami tak mahu Mek ayah hidup susah dan banting tulang macam dulu lagi. Kami bantu sikit sorang. Masing-masing macam dah tahu apa tanggungjawab sendiri tanpa perlu diberitahu.

Mek ayah pun tak pernah minta apa-apa, tetapi kami sebagai anak akan berusaha untuk lengkapkan segala keperluan. Kalau sorang sikit, kan dah banyak. Anak-anak Mek dan ayah kan ramai. Menantu-menantu juga ramai.

Jadi, bila Mek ayah Nampak mewah dan segak bergaya…nak heran apa. Mereka kan ada 7 orang anak.

Jadinya, salah kami ke mewahkan mak bapak kami sendiri?

Bila ada anak-anak yang lupakan mak bapak…lupa mewahkan mak bapak macam kami buat, salah kami juga ke?

Bila ada anak abaikan orang tua, salah kami ke? Bila anak-anak pentingkan diri sendiri sahaja, kami juga yang salah?

Mmmmmmmmmmm latihlah anak kenal tanggungjawab, baru mereka bertanggungjawab. Diri sendiri juga kenalah bertanggungjawab, kepimpinan melalui tauladan. Baru jadi. Kalau takat jadi ketam, memang tak adalah!

 


Jumaat, 16 Ogos 2013

Ciri-ciri Orang Yang Muflis


Sempena Jumaat yang mulia, nak kongsikan kata-kata motivasi yang diberikan Doc Ensem Macham-Macham Adaaaa pagi tadi;

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu?”

Lalu jawab sahabat:

“Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.”

Lantas Baginda s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang muflis ini. Sungguh kasihan aku dengan mereka yang muflis bukan sahaja di dunia, malah berlanjutan hingga ke akhirat. Semoga mereka ini dilimpahi taufik dan hidayah serta berkesempatan untuk kembali semula ke jalan yang lurus.

Kata Mek, biarlah hitam rupa, asalkan putih hati.

Komen aku: Mmmmmm semoga Mek bukan aje putih rupa, putih hatinya. Syukur alhamdulillah ya Allah, dahlah rupaku tak hitam (walaupun aku rasa kulitku hitam), moga-moga hatiku jua tidak ternoda diselaputi warna hitam.



Apa Nak Buat Bila Jiwa Kacau?


Semalam aku ada tulis pasal Kalau Dah Bukan Rezeki. Ya lah, kalau dah memang bukan rezeki kita, nak buat apa. Kenalah terima walaupun syahdu.

Aku selalu pun berpegangkan kepada “Kalau dah rezeki kita, memang tak ke mana…Allah dah tentukan apa yang terbaik untuk kita”. Jadi, entri semalam bukan pasal tak puas hati dengan ketentuan itu.

Hanya rasa sayu, sendu, syahdu... sebab rasa macam tak adil. Bukan tak adil dengan ketentuan ilahi, tetapi rasa tak adil dengan pertimbangan manusia. Apapun, sendu syahdu tu dahpun dibuang jauh-jauh. Dah okey pun jiwa dan minda ni. Dah sambung buat kerja semula dengan gila-gila! Gila pun tak pa!

Bawa hati seketika mengubat rasa je. Asalnya, nak pi menabung di Parkson Alamanda. Hu huh u sila jangan amalkan shopping waktu jiwa tengah kacau, kang muflis tak pepasal.

Sebenarnya malas nak keluar. Jadi, apa nak buat bila jiwa kacau? apa nak buat bila tertekan? apa nak buat untuk ubati hati sendiri?

Kalau aku, mudah je. Makan pun boleh. Main games pun boleh. Tidurpun boleh. Kalau hati sebal sangat, pergi sental bilik air dan mop satu rumah. Banyak aktiviti bermanfaat boleh dilakukan.

Jadinya, petang semalam aku mop lantai, menyapu, sental bilik air dan mandi. Kemudian main candy crush. Alhamdulillah, lega.

Sayangnya, lega itu hanya seketika. Bila adik datang, dia bawakan berita yang buatkan suhu hati melonjak 2 ribu darjah celcius. Fuhhhhh! Kalah gunung berapi!

Ketika ini, aku sangat kesian dengan ayah. Dia memang panas baran. Dia memang bengkeng. Pongoh. Gedebe. Bering. Cik Bintang kata “pendekar”. Sangat kesian dengan dia yang tengah menahan perasaan.

Dah lama ayah tak marah orang. Tak libas orang. Aku berdoa tak ada sesiapa kena libas!

PssssT: Kami sedang lalui satu ujian yang menggugat kesabaran. Aku jadi risau bila ayah marah, sebab...ayah lambat nak marah. Bila dia marah bermakna "tiada maaf bagimu".  Namun aku faham kalau ayah tidak lagi berdiam diri kerana sudah agak lama dia buat-buat tak tahu sahaja. Sabar ayah ada hadnya. Usah melampau!

Kang menyesal makan tak habis!

 





Khamis, 15 Ogos 2013

Kalau Dah Bukan Rezeki


Petang-petang hati jadi sayu...macam mendung yang tiba-tiba aje terapung di langit Bangi.

Semalam beria-ria kerja tonggang terbalik, balik jam 9.30 malam kusyuk kerja sampai lupa nak lunch, balik rumah sampung  hingga 4 pagi. Konon semangat kerja dah mari lepas lemau beberapa hari sejak Isnin.

Petang ni lemau semula. 

Rezeki memang Allah yang tentukan, namun hati...sedikit sebanyak tetap juga terasa sayu. Sebabnya mudah sahaja...daku tahu takat mana pencapaian diri, berbanding beberapa orang itu. Tak kan nak kena tunggu umur 50 baru nak dapat? Mmmmmmm nak lari pergi Bruneilah!

Namun, macam kata Cik Bintang, "Rezeki kita Allah bagi dalam macam-macam bentuk".

Ya...macam-macam bentuk. Alhamdulillah. Aku syukurinya. Tapi, hati...macam mana nak ubati ni?

Jom, makan cendol!


Rabu, 14 Ogos 2013

Tiga Beradik Hilang di Ipoh diJumpai di KL


Sekarang ni, banyak benda pelik berlaku. Macam kes ragut masa orang tengah solat tu. Pelik tak? Tak masuk akal pun ada!

Tiga beradik didapati hilang semasa berada di rumah ibu mereka di Taman Meru 2B, Ipoh petang semalam telahpun ditemui di Kuala Lumpur. Fuhhhhhhh! Jauh gila untuk budak-budak umur bawah 12 tahun!

Semalam, ibu mereka membuat laporan polis berkaitan kehilangan Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8 , dan Syauratul Syafiyah, 6, disedari ibu dan bapa kanak-kanak terbabit, Safarela Azwa Ishak, 36, dan Rizaudin Md. Zin kira-kira pukul 6.30 petang.

Menurut ibu mereka, hanya pintu pagar hadapan dalam keadaan terbuka namun tiada langsung tanda kediaman terbabit dipecah masuk. Kalau baca akhbar online lewat malam ni, ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dah pun dijumpai di Kuala Lumpur, dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Pelik betul. Baca ajelah akhbar esok untuk tahu maklumat lanjut. Kepala dah penat nak fikir macam mana budak bertiga tu boleh berada di Kuala Lumpur.

Kemaskini: dijumpai di rumah Ibu saudara mangsa di Gombak.

Komen aku: mmmmm kot ya pun nak beraya dengan anak buah, tak kan tak habaq maknya...