Ahad, 3 Mac 2013

Bila Semporna Bergolak Hatiku Berbolak Balik Tak Keruan


Sebelum buat kerja semalam pada waktu yang dah agak tengah malam, aku buka FB dulu untuk tengok apa-apa yang terkini. Tak ada apa-apa yang menarikpun. Namun bila baca akhbar online di Sinar harian dan berita harian, ada kemaskini yang sangat mengejutkan. Buat jantung nak berhenti berdegup pun ada. Rasa kering darah sekejap.

Aku tulis entri Seorang Lagi Polis terkorban di Semporna dengan hati yang bercampur baur.

Masa pergolakan berlaku di Lahad Datu, aku buat tak kesah sahaja sebab jaraknya ke Semporna lebih kurang 150km. Pada aku jarak itu agak jauh juga, dah tentu mereka tak buat hal di Semporna pulak. Namun, bila seorang lagi anggota polis terkorban dalam serang hendap, hati aku dah mula tak sedap.

Waktu tu jam dah dua belas tengah malam. Abang dan kakak biasanya tidur awal, jadi kalau aku telefon pada waktu sebegitu, memang akan sangat mengganggu. Tambahan pula, selepas telefon aku buat hal tempoh hari, aku belum save nombor abang dalam telefon baru. Sangat cuai bukan?

Pagi tadi berkesempatan telefon abang. Belum tanya apa-apa lagi, dia dah beritahu “abang, kakak dan adik-adik sihat dan selamat kat sini. Pagi tadi kami datang Tawau”.

Suara abang tak ceria macam selalu. Kedengaran juga suara orang penat. Dah pasti semalam dia tak lena tidur dan berjaga sepanjang malam. Tapi aku bersyukur bila dengar suaranya. Dari jauh, hanya mampu berdoa agar semuanya akan tamat dalam waktu yang singkat. Agar mereka yang berada di Tawau, Samporna, Lahad Datu dan Sandakan boleh hidup dengan aman dan selamat.

Agak banyak maklumat yang aku dapat tetapi tak akan aku tulis di sini atas dasar menjaga kerahsiaan maklumat. Ada baiknya pesanan ini kita ambil perhatian;





Sama-sama kita doakan pasukan keselamatan kita yang berada di sana berada di bawah lindungan Allah selalu. Sebagai manusia, hati rasa sangat pilu masa aku tulis entri;


Kepada sebilangan manusia yang suka politikkan semua perkara dalam dunia ni termasuk nyawa orang, Cukup-cukuplah tu. Kalau tak kena kat mereka, selagi itu tak serik. Selagi tu tak cuba berubah. Belajarlah lebih sensitif sedikit. Bukan semua perkara layak dipolitikkan.

Berikut adalah sidang media dilakukan Ketua Polis Negara tentang OPS Sulu;


Kecik nak baca ek? Ok aku salin semula:

Sidang Media oleh YDH Ketua Polis Negara 3 Mac 2013 (Ahad), menyatakan bahawa dalam OPS SULU ini terdapat 3 kejadian iaitu yang pertama kejadian di Kampung Tanduo, Lahad Datu di mana keadaan terkawal dan penceroboh berada dalam kepungan pihak keselamatan kita, PDRM dan ATM berkerjasama untuk menamatkan konflik ini. Setakat ini polis telah berjaya menangkap 3 penceroboh yang cuba melepaskan diri dari kepungan polis di Kampung Tanduo.

Kejadian kedua ialah yang berlaku di daerah Kunak di mana maklumat diterima terdapat satu pendaratan penceroboh di antara Kg. Lormalong dan Kg. Dasar Lama. Seramai 10 orang disyaki orang asing, 3 daripadanya bersenjata dan kini bersembunyi di sebuah rumah. VAT 69 telah dihantar untuk "ground assesment" dan bertindak.


Seterusnya kejadian ke 3 pula berlaku pada 2 Mac 2013 jam 1830hrs. Di mana sepasukan anggota polis telah diserang hendap oleh suspek dengan menggunakan senjatapi sewaktu mereka membuat serbuan di kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Serbuan tersebut telah dijalankan berikutan maklumat diterima dimana penjenayah ini dipercayai berada dikawasan tersebut dan mempunyai senjatapi. Dalam serbuan itu, dipercayai 5 orang pegawai/anggota polis terkorban manakala dipihak penceroboh 2 orang terkorban. Berikutan insiden ini pihak polis juga telah mengepung kawasan sekitar di mana penceroboh ini bersembunyi. Butir-butir lengkap pegawai/anggota polis yang terkorban belum dapat didedahkan buat masa ini bagi menghormati keluarga mangsa.



Subhanallah. Korban dah meningkat ke angka tujuh. Lima lagi perwira negara gugur semalam. DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan sebagai syahid. Aminnn. Takziah kepada seluruh keluarga mereka.

PsssT: Sesiapa yang pernah dan mengetahui tentang Semporna, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau akan mengerti mengapa kita wajar sangat bimbang dengan apa yang berlaku ini.

Video penduduk kampung berpindah bila penceroboh berpecah dan menawan penduduk kampung





Seorang Lagi Polis Terkorban, Pencerobohan Di Lahad Datu Merebak Ke Semporna?


Kalau dilihat jaraknya 150km, jauh juga untuk mereka berpecah dan bergerak dalam kumpulan kecil begitu. Namun, apa-apapun boleh jadi bila ada keinginan dan kesungguhan. Namun, pihak berkuasa mengatakan kedua-dua situasi ini tidak ada kaitan. Kononnya di Semporna libatkan kumpulan Abu Sayaf. Aduhhhhh! Pening esey!

Dianggarkan jam 8 malam semalam (hari ni dah berubah tarikh kan?), telah berlaku pertempuran antara pihak berkuasa dan para penceroboh di Semporna Sabah. Berikut pengesahan PDRM melalui FB;

YDH Tan Sri Datuk Seri Ismail bin Tan Sri Omar mengesahkan bahawa telah berlaku satu kejadian tembak menembak susulan daripada pemeriksaan oleh pihak polis ke atas sebuah premis di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, Sabah, kira-kira jam 7.30 mlm tadi.

Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu. Setakat ini, pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit. Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang.

Dalam kejadian tembak menembak ini, beberapa anggota polis dilaporkan tercedera. Butiran terperinci akan dimaklumkan dari masa ke semasa - FB PDRM.

Keliru juga sebenarnya bila baca akhbar dan FB PDRM. Yang sama hanyalah Semporna, kampungnya berbeza pula. PDRM kata kejadian berlaku di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, manakala akhbar melaporkan kejadian berlaku di kampung Selamat, Semporna. Entahlah labu! Gamaknya kampung tu berada di sempadan antara kedua-dua kampung ini.

Difahamkan juga penceroboh merancang menyerang Balai Polis Lahad Datu.

Lahad Datu dan Semporna itu dua tempat yang berbeza, jaraknya lebih kurang 150km. Jadi, bila berita ditulis secara bersama, menggambarkan bahawa kedua-dua tempat ni macam kampong bersebelahan sahaja. Ke aku je yang salah faham? Entahlah!

Komen aku: Bila Semporna yang jaraknya agak jauh juga itu turut bergolak, hati jadi tak tenang. Moga-moga abang & kakak serta anak-anak selamat. Moga-moga mereka tidak terlibat dalam kancah pergolakan ini. Tengah-tengah malam buta begini, tak selesa pula nak sms atau telefon. Tunggu ajelah esok pagi ya…



Sabtu, 2 Mac 2013

Gambar Ketibaan Jenazah Komando Polis Yang Terkorban dalam Pencerobohan Sulu di Lahad Datu


Entri ini aku buat khas untuk mengenang jasa dan sebagai penghormatan kepada dua orang perwira Negara iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Kopral Sabaruddin Daud yang gugur mempertahankan Negara dalam kejadian tembak menembak di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan bersama para suhada. Aminnnn. Takziah juga kepada seluruh keluarga mereka.

Kumpulan penceroboh Sulu dipercayai seramai lebih kurang 180 orang termasuk 30 orang yang bersenjata api yang di ketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Semua kejadian dan peristiwa berdarah ini boleh baca semula di entri berikut;




arwah Inspektor Zulkifli Mamat dan arwah Kopral Sabaruddin Daud



arwah Inspektor Zulkifli Mamat dan arwah Kopral Sabaruddin Daud Bersama keluarga tercinta


Ketibaan jenazah dinanti dengan rasa sayu




Penghormatan terakhir dari dua orang wanita yang sangat kuat: isteri dan ibu


Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Aminn.




Semua gambar-gambar diambil dari FB PDRM.

Lebih banyak gambar-gambar selepas ketibaan jenazah dan penghormatan terakhir daripada kaum keluarga arwah Zulkilfi Mamat dan Sabaruddin Daun boleh dilihat di blog Bulan Purnama.




Jumaat, 1 Mac 2013

Kenyataan Media PDRM Bertempur Tentera Adik Sultan Sulu


Jam lima petang tadi, pihak berkuasa PDRM telah membuat sidang media berkaitan pertempuran yang berlaku antara pihak berkuasa dengan penceroboh yang mendakwa diri mereka tentera kesultanan sulu di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Boleh baca entri sebelum ini tentang serangan penceroboh dan video serangan penceroboh kampung Tanduo berkaitan.

Bagi mengelakkan salah tafsir, maka aku salin dan tampal sahaja kenyataan sidang media berkenaan yang aku kutip dari FB PDRM, seperti berikut;

LAHAD DATU: Sidang Media oleh Pesuruhjaya Polis Sabah

LAHAD DATU, 1 Mac 2013 jam 6 petang - YDH Dato' Pahlawan Hj. Hamza Bin Taib PJP Sabah, telah mengadakan sidang media berkaitan kejadian tembak menembak yang berlaku di kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Menurut YDH PJP Sabah, kejadian tembak menembak tersebut bermula pada jam 9.59 pagi (1/3/2013-Jumaat) dan telah berakhir setengah jam kemudian selepas 5 orang anggota Pasukan Gerakan Khas bergerak untuk mengetatkan kawalan kepungan di sekeliling Kg.Tanduo di mana kumpulan penceroboh Sulu seramai lebih kurang 180 orang termasuk 30 orang yang bersenjata api yang di ketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram yang telah di kepung sejak 9 Feb lalu.

Menurut YDH PJP Sabah lagi, semasa 5 orang anggota Pasukan Gerakan Khas sedang mengetatkan kawalan kepungan telah terserempak dengan sekumpulan penceroboh tersebut di mana kumpulan penceroboh tersebut telah melepaskan tembakan kearah pasukan Gerakan khas yang telah memaksa mereka membalas tembakan.

Tambah YDH PJP Sabah lagi bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan, Pasukan Keselamatan kita telah mengawal dan bertahan di sepanjang keluasan 10 km persegi dan pihak polis juga telah berjaya merampas sejumlah senjat api dari kumpulan tersebut.

Ekoran dari kejadian tembak menembak ini, YDH PJP Sabah telah mengesahkan 2 orang daripada Pasukan Gerakan Khas kita telah meninggal dunia sementara 3 orang lagi mengalami kecederaan yang kini dirawat di Hospital Lahad Datu dan Sandakan.

Kita harap, semuanya telah berakhir.



Video Pencerobohan Bersenjata Lahad Datu


Berikut tiga video yang tersebar di youtube berkaitan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina kononnya diketuai adik kepada 'Sultan Jamalul Kiram III' Agbimuddin Kiram dan berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Dua orang komando kita telah disahkan maut dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata ini di Kampung Tanduo, Lahad Datu tengahari tadi. Kedua-dua wira Negara tersebut adalah Insp. Zulkifli Mamat dan Kopral Sabaruddin Daud. Walau bagaimanapun terdapat kekeliruan tentang status Kopral Azman Ampong yang dikatakan pihak media turut terkorban sama, yang sebenarnya beliau hanya mengalami kecederaan.


DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang dirahmati. Amin. Takziah kepada seluruh ahli keluarga mereka.

Rakaman video suasana di Lahad Datu, Sabah dari laporan stesyen TV Filipina.




Dalam Bahasa Tagalog





Sebenarnya, video ini lebih menarik.
Agaknya siapa yang muat naik video ini? Ada sesiapa boleh terjemahkan?




Pihak berkuasa lebih ramai dikerah ke sini memandangkan Lahad Datu menangani situasi tegang ini walaupun menteri pertahan dan menteri dalam negeri kita kata keadaan masih lagi terkawal. Perdana menteri kita pun kata situasi masih lagi aman dan terkawal. Walaupun ramai blogger dan khabar angin maya kata berlaku perintah berkurung dikuatkuasakan di Lahad Datu, pihak berwajib mengesahkan bahawa tidak ada arahan perintah berkurung dikeluarkan.

Kejadian tembakan dimulakan pihak penceroboh kira-kira jam 10 pagi tadi. Dalam kejadian berbalas tembakan itu, 2 orang komando dan 12 orang penceroboh telah maut, manakala 3 orang anggota keselamatan turut cedera. Pihak berkuasa turut merampas M-16 dan pelancar roket.

Marilah sama-sama kita doakan semoga keadaan ini berakhir dengan segera. Sayangilah Negara kita.