Isnin, 20 Disember 2010

Tanda2 rakan serumah dah dapat Gaji

Ni bukan entri menyindir, hanya sekadar dapatan pemerhatian yang aku lakukan tanpa melakukan temubual dan kaji selidikpun. Kalau masa belajar dahulu, inilah tandanya bila loan dah dapat. Bila kerja, ini juga tandanya bila gaji dah masuk akaun tiap hujung bulan. Nak tahu apa tandanya? Kat bawah aku senaraikan berdasarkan pemerhatian tak rasmi aku.

1. Balik lambat dengan senyum manis
Biasanya dia sampai rumah jam 5.30 petang. Bila musim baru dapat gaji, jam 10 malam pun belum timbul lagi mukanya depan pintu. Kalau biasanya, senyuman ikut musim, maka kalau terlihat senyumnya manis di hujung bulan itu, tandanya dia dah terima gaji. Dia akan jadi lebih peramah. Gembira. Wajah yang berseri-seri. Senang hati je...sedangkan sebelum itu, mukanya nan jelita itu terlihat teduh macam bulan gerhana. Sebelum ini, moodnya sentiasa sahaja tidak elok. Masuk rumahpun dihentaknya grill macam nak tercabut. Muka kelat. Terus sahaja masuk bilik dan senyap. Salam pun lupa nak bagi.

2. Beli belah sakan
Tiap hari dia akan balik sedikit lambat dengan barangan yang dibeli penuh tangan. Macam-macam keperluan dapur, pelbagai jenis jajan, makanan dalam tin, megi dan sebagainya termasuk kotak-kotak air minuman, minuman segera 6+1 dan lain-lain. Penuh peti ais di isi. Pada musim inilah dia akan beli berplastik sayur (yang kemudiannya akan dibuang kerana tidak tahan lama), lauk yang meriah; ayam, udang, ketam, sotong dan pelbagai jenis sosej atau ayam goreng segera dalam peket. Berbeza sakan berbanding bila dah masuk tengah bulan; plastik megi pula dipunggah keluar dari gerobok. Opssssss! Tak ada salahnya makan megi, hanya aku sahaja tidak boleh nikmati makanan itu. Hanya, mewah itu hanya seminggu dalam sebulan sedangkan tiga minggu lagi hadap megi. Sadis jugak begitu ya...

3. Tak masak dahhh...semuanya beli
Minggu ke tiga dan ke empat setiap bulan, dia akan bangun awal untuk masak bekal. Masuk dalam taperware dan bawa ke tempat kerja. Setiap hari. Bila musim terima gaji, bukan sahaja dah tak masak untuk makan malam di rumah, malah sepanjang minggu itu akan sentiasa sahaja makan di luar. Order sahaja. Dapur memang tak berasap dah untuk seminggu dua.

4. Tak lekat di rumah
Tangga pusat beli belah dah jadi macam tangga rumah sendiri. Entah berapa kali ulang dalam seminggu. Setiap tempat jualan murah akan dikunjungi walaupun taklah beli apa-apapun. Apa salahnya buat lawatan sambil cuci mata kan? Kalau rasa berkenan nanti bolehlah beli apa-apa yang patut. Paling tidakpun boleh masuk panggung wayang. Tengok kartun penyu pun jadilah walaupun untuk tayangan tengah malam. Bukan selalu pun tengok wayang kan?

Ramai yang mengalami sindrom seperti di atas setiap kali datangnya musim terima gaji. Entahlah! Berapa banyak gaji yang dapatpun tetap tak akan cukup andai tidak melakukan perancangan ekonomi secara berhemah. Paling utama, sisihkan jumlah tertentu untuk simpanan yang akan sangat berguna pada masa susah yang kita tidak akan jangka bila datangnya.

Dah siap tulis entri ni barulah aku perasan satu perkara; adakah aku cemburu dengan cara hidup mereka? Mmmmm aku dah ada cara hidup sendiri yang aman damai tanpa perlu kacau hidup orang lain. Dan aku gembira memilih cara hidup sebegini. Biarlah aku cemburu kepada orang lain ajelah ya...bukan cara sebegini. Aku tak mampu untuk makan megi tiap hujung bulan. Alergic dengan megi...

pSSSSt: Sentiasa sama sahaja cara hidup tak kira awal, tengah atau hujung bulan, sebab: hu hu hu banyak hutang, termasuk hutang nyawa...oH! Usah contohi daku!

Sabtu, 18 Disember 2010

NOMAD Moden di Bulan Disember

Saat ini aku berada di tengah kerancakan Bandaraya Kuching. Kerja lagi hu hu hu sangat penat, namun jadual sangat padat hingga kembali semula ke Bangi pada hari Krismas.

Awal bulan lagi jadual aku dah padat. Hujung minggu ke Melaka selama dua minggu berturut-turut, dan minggu ini berada di Seberang Laut China Selatan. Kembali dari sini, aku hanya ada masa sehari untuk cuci baju dan angkut beg semula ke tempat lain yang beribu batu jauhnya.

Dengan jadual yang ketat itu, entri aku agat terbatas kerana koleksi entri yang aku ada dah makin susut. Semua entri yang muncul di blog ini sebenarnya telah aku setkan siap-siap sebelum diri kalut menguruskan urusan dunia dan akhirat ini (harapnya termasuklah urusan akhiratlah ya, bukankah kerja itu juga untuk akhirat?...sila betulkan niat anda, maka kerja juga akan jadi urusan akhirat. Paling utama, NIAT kena betul).

Jadinya, kepada teman-teman yang sentiasa sudi ziarahi teratak daku nan tak sepertinya ini, terima kasih daun keladi diucapkan. InsyaAllah, aktiviti menziarahi istana anda semua akan saya lakukan selepas Krismas.

Kepada rakan-rakan yang baru singgah, yang pertama kali datang...harapnya tinggallah pesan sepatah dua kata agar kedatangan anda daku maklumi. Nanti aku boleh pergi balik blog anda. Memanglah, kalau tak tampal pesan dan komenpun aku boleh tahu siapa yang datang, tapi...lambat sikitlah sampainya tu kan ;)

Juga, mohon maaf andainya komen rakan-rakan juga agak lambat untuk “diluluskan” siarannya, kerana bila dah keluar dari daerah Bangi ini, masa tersangat suntuk untuk online dan buka email. Email rasmipun beberapa hari tertinggal, apalagi bila email tersebut tidak rasmi.

Biarpun aku jadi Nomad moden sepanjang Disember ini hingga datangnya Krismas, kalian tetap akan dapat menatap entri baru di sini (dengan kadar yang sederhana). Terima kasih semua dengan sokongan anda. Waaaaa dari cara tulis tu macamlah aku glamer sengat-sangat kan? Apa salahnya praktis, mana tahu tahun depan tetiba je jadi glamer hu hu hu 

PsssT: Jom Ngangkung hu hu hu hu -----> sempat lagi tu!

Jumaat, 17 Disember 2010

Masjid Tengkera, Melaka

Entri sebelum ini dah cerita pasal Melaka, sila baca Bersantai ke Melaka untuk mengetahui serba sedikit tentang itu. Ahad lepas aku ke Melaka lagi sekali, terkurung selama tiga hari di Everly Resort, Tanjung Keling tanpa sempat untuk jelajah tanah bersejarah itu sepenuhnya. Gula Melaka yang Cik Bintang kirim pun aku hanya sempatkan diri semasa perjalanan balik ke Bangi sahaja. Namun, sempat juga aku bazirkan masa selama setengah jam mencari Masjid Tengkera. Dah banyak perubahannya berbanding dahulu.

Jadi, kali ini kita belajar sejarah ya…sempena berada di bumi bersejarah ni…


Masjid Tengkera adalah masjid yang kedua tertua di negeri Melaka. Ia di bina pada tahun 1728 (M) bersamaan 1141 (H). Masjid ini dibina pada zaman pemerintahan Belanda dan terletak di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Malaysia selepas Masjid Kampung Hulu di Melaka.

Pada asalnya, masjid ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Indonesia. Masjid ini telah diperbaharui dua kali pada tahun 1890 dan 1910. Jika kita teliti dari sudut seni bina, masjid ini menggabungkan senibina Cina dan Islam dan mempunyai persamaan dengan masjid Kampung Laut di Kelantan, disamping mempunyai bentuk yang sama dengan masjid Demak di Jawa, Indonesia. Keunikan reka bentuk Masjid Tengkera pada zaman itu membuktikan bahawa Islam telah bertapak di Melaka sejak 600 tahun yang lalu.

Masjid ini berbentuk segi empat tepat dengan bumbung tiga tangkup. Bumbung masjid ini menggabungkan bentuk bumbung rumah limas, istana Sultan Mansur, bentuk pagoda dan bentuk piramid. Masjid ini sangat unik dan mempunyai seni bina yang sangat halus disegenap sudut, baik di pintu masuk, tingkap, dinding, tangga, mimbar, menara dan pintu gerbangnya; dihiasi dengan batu mar-mar cina yang indah.

Berhampiran dengan masjid terdapat makam Sultan Hussein Muhamad Shah, Sultan Johor yang telah menyerahkan dan mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles (Syarikat Hindia Timur - Inggeris pada tahun pada 6 Februari 1819). Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhamad Shah mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.

Masjid ini berada di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negeri Melaka.


PsssT: hujung minggu nanti, rumah ini sepi kembali. Usah malu untuk singgah ya…aku sentiasa hargainya hingga kembali lagi pertengahan minggu hadapan. Saat anda membaca entri ni, saya sedang berlari-lari arnab ke KLIA…

Selasa, 14 Disember 2010

Mana Nak Angkut Kasut Aku Tu?

Sempena Kontes Cerita Paling Lawak Sedunia yang aku anjurkan dalam blog ni, aku nak kongsi satu cerita lawak yang pernah berlaku. Untuk menyertai kontes ini, cerita lawak berkenaan tidak semestinya anda alami sendiri, asal lawak dan boleh buat orang tersenyum, kira okey aje. Tak kesahlah kisah yang pernah anda baca atau dengar, atau alaminya sendiri…asalkan anda gunakan ayat sendiri untuk cerita, masih boleh diterima untuk peraduan ini.

Kisah ini berlaku sekitar tahun 1996, 1997 atau 1998 yang lalu. Dah lama tu, tapi tetap aku ingat sampai hari ni. Masa tu aku masih lagi student. Pada satu hari minggu, aku telah ke KL, lebih tepat lagi Sentral Market untuk jumpa seorang kawan. Jumpa tau, bukan pergi dating. Pada masa tersebut, manalah ada lagi KLCC ke, Midvaley ke, Time Squere ke…kira macam Central Marketlah tempat yang popular untuk bertemu sesiapa selain Lot 10.

Masa itu juga baru sahaja diperkenalkan komuter. Jadi, dari Bangi aku ke sana naik komuter dan turun di stesen Kuala Lumpur. Masa tu manalah ada lagi stesen Midvaley atau KL Sentral. Tak wujud lagi (Apa nak wujudanya stesen tu kalau Midvaley sendiri pun belum wujud). Jadinya, dari stesen keretapi KL tu, aku berjalan ikut Daya Bumi, Pejabat Pos Besar dan seberang sungai melalui jambatan ke CM. Masa tu juga, rail LRT sebelah CM tu baru je siap separuh, belum sepenuhnya lagi.

Selepas jumpa kawan yang akan ke Sabah itu, aku menapak semula ke stesen KL melalui bawah terowong rel LRT untuk menyeberang sungai. Di bawah terowong itu, ada seorang tukang kasut (warga Indonesia) sedang menyiapkan kasut-kasut pelanggan. Masa tu tak ada orang. Jadi, aku pun singgahlah sekejab. Maklumlah, student memang kayap untuk beli kasut baru. Kenalah tampal tapak kasut selalu.

Abang itu berikan aku selipar Jepun kaler biru (kalerpun aku masih ingat lagi tau) untuk aku pakai sementara dia siapkan tapak kasut aku. Aku duduk kat kerusi kecil yang dia sediakan sambil perhatikan dia buat kerja.

Tiba-tiba, abang tu kemas semua barang-barang dia. Masukkan semua kasut-kasut yang perlu dia betulkan ke dalam kotak kayu (termasuk kasut aku), kemudian selamba badak je pergi dari situ. Alamak! Apa dah jadi ni?

Alamak! mana boleh jadi ni. macam mana aku nak balik Bangi nanti? tak kan nak pakai selipar Jepun kaler biru tu kot? Kasut aku macam mana? Esok nak masuk kelas pakai apa? [hanya satu itu ajelah kasut yang aku ada. Mahal pulak tu kasut tu (aku beli di Petaling Street dengan harga RM6.90 tu tau…mahal!]

Menceceh je dia hilangkan diri dari situ. Sekelip mata lesap. Nak je aku jerit “Wehhhhh! Kasut buruk aku!!!!”

Malangnya aku hanya terpinga-pinga sahaja. Lidah kelu untuk menjerit. Kepala blur sekejab.

Aku dah putus asa. Nak tak nak kenalah balik bangi dengan pakai selipar Jepun warna biru tu juga. Baik sikit dari jalan kaki ayam kan? Penganiayaan mental betul!
Bila aku bangun, keluar dari terowong tu…aku nampak pihak berkuasa DBKL berlambak kat kawasan tu. Patut pun Abang si tukang kasut tu lari…rupa-rupanya ada penguatkuasa. Penguatkuasa tu pula semuanya muda belia lagi. Mereka jerit sekali je, terus abang tukang kasut tu menapak datang semula. Tertunduk-tunduka dia buka semula kotak harta karun yang dilarikannya tadi. Terpaksalah dia tampal kasut aku sampai siap kat situ.

Apa jadi pulak dengan aku?

Huh! Teruk kena urat dengan abang-abang penguatkuasa. Macam-macam tanya. Akhirnya tanya nombor telefon. Masa tu henset belum masuk Malaysia lagi kot. Kalau ada pun mahal tahap dewa. Jadi, bagi ajelah nombor telefon apa-apapun, bukannya dia boleh check masa tu juga kan? Hu hu hu jahat!

Abang tukang kasut tu pula sambung melarikan dirinya selepas siap tampal tapak kasut aku hu hu hu …sangat tak kelakar kan?

Apa-apa je lah labu, asalkan ada yang boleh senyum sikit-sikit tu pun kira okeylah ya…

Hah, apalagi? Dah boleh mula tulis cerita lawak yang kelakar gila untuk Kontes Cerita Paling Lawak Sedunia dah ni…Selamat melawak ;)

Isnin, 13 Disember 2010

Bersantai Ke Melaka

Awal Disember lepas (macamlah bulan Disember dah lepas tu...baru je nak masuk satu pertiga ;) ), jabatan tempat aku bertugas telah berjaya menganjurkan satu seminar peringkat antarabangsa dengan kerjasama UNISCO. Jadinya, sepanjang dua hari tersebut, kami sangat sibuk menguruskan perjalanan seminar berkenaan. Entri ini tak akan ceritakan tentang seminar tersebut yang memang bersifat antarabangsa itu, nanti semua orang bosan nak baca. Maklumlah, benda-benda serius ni jarang-jarang orang nak baca, sama jugalah nak tulis pun. Aku pun malas jugak nak tulis, sebab penat nak kena fikir kan hu hu hu yaaaaa ampunnnn!

Salah seorang peserta dari India. Pengerusi tengah pening kepala tu pun dari India juga;


Jadinya, entri ini akan ceritakan pasal rombongan cik Kiah ke Melaka. Cik Kiah? Siapa itu cik Kiah?

Hu hu hu ...ada sesiapa pernah tengok tak satu drama kat tv masa sukan komenwealth kat KL entah tahun berapa dahulu. Sempena sukan tu, satu rombongan orang kampung nak pergi ke Bukit Jalil tengok acara sukan, tetapi macam-macam hal yang jadi. Aku sendiripun dah lupa kesudahan drama tu macam mana. Jadi, selepas drama yang penuh dengan susah payah nak pergi tengok sukan Komenwealth itulah, sesiapa yang buat rombongan akan sebut “rombongan Cik Kiah”.

Namapun seminar antarabangsa, jadi datanglah peserta-peserta yang bersifat antarabangsa seperti dari India, Jepun, Filipina, Indonesia dan Bhutan (pertama kali aku dengar ada negara namanya Bhutan). Selepas seminar berkenaan, kami sebagai penganjur telah adakan dua siri rombongan pendek kepada peserta antarabangsa yang berminat. Siri rombongan pertama ke Putrajaya dan Kuala Lumpur. Rombongan ni aku tak ikut sebab dibuat malam hari. Lagi pula, macam dekat sangatlah pulak Putrajaya tu kan...dah biasa sangat. Pergi malam-malam tengok lampu ajelah. Nak ambil gambar pun bukannya reti ambil malam hari hu hu hu...alasan tak leh blah kan?

Mereka juga dibawa makan-makan ala Malaysia di kedai Mamak sekitar Bangi. Menurut cerita, peserta dari Jepun menambah dua kali tosei, 3 gelas teh o ais dan makan sambil menangis dan berpeluh kerana kepedasan. Namun begitu, dia tetap juga makan dengan sambal tersebut sambil lap peluh, lap air mata dan berkata “Ohhh hot! hot! hot!”

Satu kedai mamak terpesona dengan aksi tersebut. Namun kami sangat bangga kerana perkenalkan realiti hidup masyarakat malaysia kepada mereka. Maksudnya, bukan hanya makan di hotel sahaja. Tekak aku tak berapa nak terima sangat makanan hotel ni, sekali sekala bolehlah. Hari kedua pun dah terkenang-kenangkan asam pedas dan sambal belacan. Ada la sambal belacan di hotel tapi rasanya tak berapa nak kena dengan tekak aku yang biasa makan kat tepi jalan ni ya...

Aku ikut rombongan keesokannya yang pergi ke Melaka. Guna bas UKM.


Ahli rombongan adalah: 2 orang pemandu bas. 2 orang peserta Iran, 1 orang peserta Bhutan, 2 orang RA (Pembantu penyelidik), Ketua Rombongan dan Aku. Bayangkanlah begitu ramainya rombongan kami itu. Tengokkan basnya, macam 40 orang je muat kan? Hu hu hu peserta lain pula terlibat dengan macam-macam program, termasuk terpaksa berkejar ke lapangan terbang untuk penerbangan balik. Maklumlah, kalau dah pergi berjalan tu, dah tentu tak akan dapat tepati masa sepenuhnya.

Apabila membawa peserta asing, maklumat tentang Melaka perlu kami selidik dengan lebih tepat. Maklumlah, Melaka kan dapat pengiktirafan UNISCO. Seminar kami ini juga antara penajanya UNISCO.

Mereka sempat hilang setengah jam tanpa kami mampu mengesannya dalam pusat beli belah. Ohhhh sangat letih mencari. Terima kasih kepada pihak pengurusan di Dataran Pahlawan.



Kita tengok apa depa ni nak buat;



Bagi makan ikan hu hu hu


Jomlah kita layan gambar-gambar sepanjang di Melaka tu...





Nak interprem sekejab. Jarang berpeluang buat gini kan?










Tak banyak tempat yang sempat kami kunjungi sebenarnya. Masa terlalu singkat, sedangkan kami pula tidak mahu terlalu mendesak mereka mengejar masa kerana ini adalah acara santai. Singgah Tanjung Bidara kejab...5 minit sahaja. tak ada apa yang mengujakan.




Baliknya melalui jalan kampung supaya mereka dapat lihat suasana alam dan rumah-rumah Melayu. Akhirnya, kami sahaja yang tengok kerana mereka tertidur keletihan.




Ketika anda menatap entri ini, saya telah berada di Melaka semula. Untuk beberapa hari. Urusan Kerajaan Malaysia. Amanah negara ya, bukan untuk makan angin. Dan, sudah pasti akan cari asam pedasnya. Ada sesiapa sudi masakkan asam pedas paling sedap untuk saya?