Jumaat, 17 Disember 2010

Masjid Tengkera, Melaka

Entri sebelum ini dah cerita pasal Melaka, sila baca Bersantai ke Melaka untuk mengetahui serba sedikit tentang itu. Ahad lepas aku ke Melaka lagi sekali, terkurung selama tiga hari di Everly Resort, Tanjung Keling tanpa sempat untuk jelajah tanah bersejarah itu sepenuhnya. Gula Melaka yang Cik Bintang kirim pun aku hanya sempatkan diri semasa perjalanan balik ke Bangi sahaja. Namun, sempat juga aku bazirkan masa selama setengah jam mencari Masjid Tengkera. Dah banyak perubahannya berbanding dahulu.

Jadi, kali ini kita belajar sejarah ya…sempena berada di bumi bersejarah ni…


Masjid Tengkera adalah masjid yang kedua tertua di negeri Melaka. Ia di bina pada tahun 1728 (M) bersamaan 1141 (H). Masjid ini dibina pada zaman pemerintahan Belanda dan terletak di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Malaysia selepas Masjid Kampung Hulu di Melaka.

Pada asalnya, masjid ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Indonesia. Masjid ini telah diperbaharui dua kali pada tahun 1890 dan 1910. Jika kita teliti dari sudut seni bina, masjid ini menggabungkan senibina Cina dan Islam dan mempunyai persamaan dengan masjid Kampung Laut di Kelantan, disamping mempunyai bentuk yang sama dengan masjid Demak di Jawa, Indonesia. Keunikan reka bentuk Masjid Tengkera pada zaman itu membuktikan bahawa Islam telah bertapak di Melaka sejak 600 tahun yang lalu.

Masjid ini berbentuk segi empat tepat dengan bumbung tiga tangkup. Bumbung masjid ini menggabungkan bentuk bumbung rumah limas, istana Sultan Mansur, bentuk pagoda dan bentuk piramid. Masjid ini sangat unik dan mempunyai seni bina yang sangat halus disegenap sudut, baik di pintu masuk, tingkap, dinding, tangga, mimbar, menara dan pintu gerbangnya; dihiasi dengan batu mar-mar cina yang indah.

Berhampiran dengan masjid terdapat makam Sultan Hussein Muhamad Shah, Sultan Johor yang telah menyerahkan dan mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles (Syarikat Hindia Timur - Inggeris pada tahun pada 6 Februari 1819). Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhamad Shah mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.

Masjid ini berada di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negeri Melaka.


PsssT: hujung minggu nanti, rumah ini sepi kembali. Usah malu untuk singgah ya…aku sentiasa hargainya hingga kembali lagi pertengahan minggu hadapan. Saat anda membaca entri ni, saya sedang berlari-lari arnab ke KLIA…

8 ulasan:

terokai seni berkata...

selamat dalam perjalanan.. ada can n3 baru nanti crita travel kat obersi kot

Unknown berkata...

nak kena pi jugak nanti nih..

ieda berkata...

thanx for the info dikk
kalau gi melaka memang banyak yg kita nak tahu .. cuma x sempat jer huhuhu

Cetusan berkata...

izin gambar buat koleksi ada boleh keee

anyss berkata...

Cemomoi: Alhamdulillah. Dah selamat balik dr Kuching. Kuching pun oversea juga kan? hu huhu nanti akan muncul entri pasal kek lapis ;)

anyss berkata...

Lana: Melaka tak jauh. Kalau ada anak-anak, mesti seronok bawa mereka sambil belajar sejarah

anyss berkata...

Ieda: sama-sama kasih...dua hari pun belum tentu habis, apalagi kalau betul2 jelajah dan ambil setiap info...tapi asam pedas memang tak tinggal ya

anyss berkata...

Zz: silakan. kalau berkesempatan, boleh juga pi amik gambar masjid kg laut kat nilam puri tu...kita bandingkan rupanya ;)