Khamis, 26 Ogos 2010

Edisi Siasat Terjah Bangi, Intai Bilik Anak Dara


Ini siri Edisi Siasat yang aku tubuhkan beberapa saat lepas. Sesedap rasa je kan?
Semasa nak berbuka puasa petang semalam, aku jadi geram. Apa taknya, sebelum ni hati bengggggkak je sebab banyak peralatan dapur nampak macam dah susut. Kemuncaknya petang semalam apabila semua sudu kat dapur dan lenyap kecuali garfu dan sudu teh. Macam mana nak cibak kuah? Nak guna senduk? Guna sudu teh? Guna garfu?

“Saya nak makan mehun sup ni dengan apa, kak?” tanya Syikin dengan bengang.
“Hirup je terus dari mangkuk,” Selamba kodok tak masuk akal tak jawapan aku tu? Habis tu, nak buat macam mana lagi? Guna jari? Sendiri mau ingatlah! Itu kata Nabil, aku tukang kutip dan letak kat sini je.

Aku dah sedar tentang peralatan dapur yang makin berkurangan ini berminggu yang lalu, namun diamkan saja. Hanya agak sahaja dalam hati. Hanya syak sahaja. Tak baik tuduh-tuduh orang tanpa bukti tau! Kena cari bukti dahulu. Makanya...bermulalah aktiviti mencari bukti cara Edisi Siasat macam yang pernah NTV7 buat satu ketika dahulu. Hasilnya?

Jeng...... jeng....... jeng .....


Aku tahu, memang tak beretika untuk skodeng bilik orang tanpa izin. Namun, dalam situasi tertentu, sebagai Tuan Tanah Kedaung yang sewakan bilik-bilik rumah ni kepada penyewa, aku memang ada hak itu. Manalah tahu kan kot tetiba je ada bayi dah reput ke kat dalam bilik, ada sisa tulang dinasour zaman entah kambria mana ke diseludup masuk...tak pun dah jadi stor tempat simpanan mercun dan bunga api ke, kalau jadi apa-apa aku tetap juga kena pikul tanggungjawab. Polis akan soal aku dahulu berbanding orang lain. Apa aku nak jawab masa tu? Tak tahu? Rasa macam tak logik sahaja bila aku yang iklankan “bilik kosong untuk disewa” tetiba boleh jawab “tidak tahu” bila berlaku perkara-perkara yang boleh popularkan aku hingga masuk Berita Utama jam lapan malam di TV3. Itu lagi pelik bunyinya kan? Mmmmmm kenapa imaginasi aku sangat tinggi saat ini?

Prosedur kerja aku buat adalah seperti berikut;
1. Buka pintu bilik masa tiada siapa ada di rumah kecuali aku. Hanya buka dan lihat ke dalam bilik sahaja ya...tak masukpun. Kerja-kerja macam ni tak pernah lagi aku buat sebelum ini. Buka surat orang pun aku tak pernah buat, inikan pula buka pintu bilik orang. Ini pertama kalinya. Namapun Edisi Siasat kan?
2. Lihat jika ada kelainan dalam bilik itu. Jika tiada, terus tutup kembali. Bagi bilik yang berkunci (aku ada kunci pendua...namapun tuan tanah kan, kenalah ada kunci pendua hu hu hu), kunci semula bilik tersebut tanpa masuk pun.
3. Bila dah jumpa kelainan, terus ambil ambil gambar dari pintu bilik (jarak jauh). Kemudian, fokuskan gambar itu untuk gambar yang lebih dekat tanpa masuk ke dalam bilikpun. Hasilnya?

Hasilnya memang tidaklah begitu cukup memeranjatkan. Hanya, terkejut badak cheQ. Terkejut Cipan cheQ. Terkejut gajah cheQ. Terkejut singa cheQ. Terkejut penyu cheQ. Terkejut ungka cheQ. Terkejut segala macam jenis hidupan yang ada di Zoo Negaralah pendek katanya (Panjang tak kata!). Adakah anda seperti saya? Mengalami simptom-simpton terkejut yang luar biasa? Tahu apa yang buatkan saya terkejut ala-ala Zoo Negara tu?

Kujie ada menulis tentang intai bilik anak dara diblognya. Tapi yang akak kita tu skodeng adalah blog-blog anak manis. Skodeng secara maya di rumah maya juga. Tak nak skodeng kat Bangi juga ke Kak KuJie? Manalah tahu, kot-kot la nak buat calon menantu...alahai! calon menantu hu hu hu sendiri mau ingatlah!




Hasilnya, berjaya mengesan semula 3 biji pinggan, 2 mangkuk...mmmm sudu depa letak tang mana? senduk? Alahai...nak masuk bilik airpun tak dapat. Nak kena masuk dalam bilik lah pulak. Mana boleh masuk ni. Dahlah hari ni opis cal...ada mesyuarat jab lagi ni. Sudu belum jumpa lagi ni macam mana? Petang ni nak hirup mehun sup dalam mangkuk lagi ke?

Aku rasa macam nak menyorok ke dalam gerobok tempat simpan gas. Sumpah! Tak tipu! Sepanjang aku buat aktiviti sewakan bilik ni, inilah pertama kali aku jumpa kes macam ni. Sebelum ni budak-budak yang menyewa bilik ni hanya bawa masuk makanan dah siap masak sahaja ke dalam bilik. Itupun sudah membiakkan bau yang kurang menyenangkan. Apalagi kalau tambah dengan sidai baju cucian kat tingkap. Hapak!

Alahai anak dara zaman sekarang. Masak nasi pun dalam bilik. Jerang air dalam bilik. Nasib baik tak ada dapur dan tong gas segala. Sangat kreatif, tapi tak kena tempat! Pemalu lah tu, konon!

Rabu, 25 Ogos 2010

Kakitangan Awam Dapat Duit Raya


Sekejab tadi TV3 mengumumkan yang kerajaan Malaysia akan beri duit raya kepada kakitangan awam Gred satu hingga 54 dan pesara kerajaan sebanyak RM500. Ia melibatkan sejumlah 1.24 juta orang penjawat awam dan 500 ribu orang pesara kerajaan. Secara keseluruhan, duit raya berkenaan berjumlah RM934.6 juta.

Terima kasih dengan duit raya. Tak sia-sia aku kerja kuat siang malam. Bolehlah beli baju raya tahun ni ya...

Selasa, 24 Ogos 2010

Sembelih Anak, Ore Kelate Memang Gedebe


Mesti orang Kelantan akan marah aku dengan tajuk yang kontroversi itu. Marahlah. Akupun orang Kelantan. Aku pun gedebe jugak. Alahaiiiii!

Seorang kanak-kanak disembelih bapanya di Kelantan kira-kira jam sebelas setengah pagi tadi. Penyembelihnya juga turut cedera dipercayai cuba membunuh diri selepas kejadian itu, tetapi berjaya dihalang. Pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai bunuh. Bapa kanak-kanak terbabit dipercayai pernah menerima rawatan mental di hospital sebelum ini.

Menurut kajian yang dilakukan pakar psikologi, 30 peratus penduduk negara kita berdepan dengan masalah mental. Entah berapa peratus yang kronik. Aku termasuk dalam golongan tak kronik kot...hanya sakit mental dengan orang-rang tertentu yang tak tahu nak hormat orang lain sahaja, atau dengan bahasa paling mudah golongan yang “kekurangan menerima ajaran”. Minta maaflah, merosokkan perbendaharaan Bahasa Melayu sedikit kat situ...

Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Namun, Ramadhan kali ini dugaan memang besar. Baru dua hari lepas seorang kanak-kanak meninggal dunia kerana letupan mercun (bapanya sudahpun ditahan reman hari ini), hari ini kita kehilangan seorang lagi pemimpin pada masa hadapan. Mana tahu, dia sepatutnya jadi Perdana Menteri pada tahun 2030 nanti. Namun, apa yang pasti...bila sudah tersurat sebegitu, kita memang tidak mampu untuk menilai apa yang tersirat. Moga-moga dia di tempatkan bersama para kekasih, yang akan menanti kedua orang tuanya di pintu syurga. Aminnnnn.

Hari ini juga, kecoh dengan kejadian surau disimbah cat merah gara-gara marah ditegur kerana main mercun. Nasib baik pak aji surau tu tegur main mercun, kalau aku...lagi suruh ada. suruh pi ambil bom di Gaza untuk bebudak tu main. Dah hilang jari, baru nak menyesal. Sebelum hilang, orang tegur sikit...melenting simbah cat.

Mmmmm memang menuntut kesabaran yang tinggi. Kalaulah setiap hari kita dihidangkan dengan macam-macam hal sebegini, dengan buang bayi, dengan kes dera...apa tak bertambahnya masyarakat yang mengidap sakit mental. Apa tak meningkatnya tekanan darah aku, walaupun sebelum ini doktor dah istiharkan tekanan darah rendah, tak mustahil tekanan itu berubah jadi tinggi. Sekarang ni, apa-apapun boleh berlaku. Dalam satu hari sahaja macam-macam hal jadi, dalam satu hari sahaja macam-macam hal berlaku...kalau semua hal ini disimpan dalam otak dan mendak jadi sel-sel mati, memanglah boleh jadi sakit mental. Bukan aku aje yang kena, anda yang baca entri ini pun boleh terencat mental. Awas!

Berbalik kepada tajuk, benar ke orang Kelantan itu gedebe? Itu kena buka entri baru. Orang-orang gedebe ini sangat diperlukan untuk menjaga kedutaan Malaysia di Indonesia sekarang ni. Ada berani?

Isnin, 23 Ogos 2010

Hantar Je Penjual, Penyimpan dan Pengimport Mercun Ke Gaza



Tengah mengantuk gila ni, tapi nak juga pos satu lagi entri.

Entri ni aku tulis sebab nak ucapkan tahniahlah kepada orang-orang dewasa yang bersemangat waja betul nak kumpul harta benda dan wang berkoyan-koyan dengan seludup, jual dan simpan mercun ni. Aku memang sangat kagum dengan kerja keras mereka, maklumlah sangat berkerja keras.

Walaupun pihak berkuasa memang sangat membenteras kegiatan penjualan dan penyeludupan mercun setiap masa, namun, aku sangat takjub dan nak tabik springlah dengan kekentalan semangat para penyeludup. Maklumlah, berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memeriahkan musim perayaan yang akan datang tak berapa lama lagi tu. Dan, aku nak cadangkan kepada mereka ni supaya pergi Israel sekali, mintaklah barang sekontena dua meriam dan peluru berpandu yang mana dia orang tak pakai lagi kat sana tu...bolehlah kita guna masa raya nanti. Bukan apa, nak meriahkan lagi hari raya nanti.

Nak tahu dia orang ni berani ke penakut, kita bawa mereka secara percuma ke Gaza, macam Fauziah Latiff dan Faizal Tahir buat tu...misi keamanan sejagat. Masa tu baru boleh tengok tahap berani dia orang ni cecah angka berapa. Lagipun, kalau ada kat Malaysia ni, ngabehkan boreh je...buek nyusohkan orang. Kalau pergi sana, paling kurang bolehlah tolong angkat bom ke, meriam ke...peluru berpandu ke...banyak juga faedahnya.



Sekalung takziah kepada keluarga mangsa mercun, adik Khairul Ariff Ayub. Alfatihah. Kalau tak rasa sayu bila baca Berita Harian hari ni, maknanya...ada sesuatu yang tak kena dengan hati anda. Tapi lagi sayu bila baca kat sini .
Oklah, nak tidur sekejab, pandai-pandai sendirilah fikir!

Gadis Melayu: Realiti dan Fantasi


Ceritera 1

Di satu ruang. Beberapa insan.
Mereka bukan bisu namun tanpa suara dan kata-kata.
Mereka bukan musuh, tidak juga sahabat.
Kala komunikasi telah mati, kosongkah ruang atau
Dirikah terapung tanpa rasa?

Ceritera ii

Ramai bercita-cita nak menyertai Gadis Melayu. Anggun. Bergaya. Dikenali. Berkualiti.
Sebelum isi borang menyertai program realiti tersebut, adakah anak-anak gadis ini telahpun bersedia dengan benda-benda remeh dalam hidup mereka?
tak perlu risau dengan hal-hal yang besar seperti perlu masak dengan rasa yang sedap dan hebat, petah berbicara macam juara debat dunia, atau membaca al-Qur’an bak seorang qariah tersohor negara. Boleh tak lakukan hal-hal sepele sebegini dahulu?
1. Beri salam bila masuk rumah. Walaupun tak ada sesiapa di rumah, malaikat masih sudi menyambut salam itu. Percayalah.
2. Senyum bila bersua dengan orang lain, walaupun tidak kenal. Tak luak pun senyum itu biar diberikan kepada entah berapa juta orang. Wajah kita yang ayu itu akan lebih ayu dengan senyum manis itu. Cubalah.
3. Walaupun anda hanya goreng telur dan rentung dikuali, laplah dapur yang anda gunakan itu. Kesan minyak akan tinggalkan kesan lekit. Tak kan tak rasa segan dengan chef Wan yang masak keliling dunia, tak tinggalkan kesan lekitpun. Takat telur mata kerbau goreng yang rentung, kesan lekit itu sampai satu rumah?
4. Sentallah kuali yang telah berjaya anda rentungkan masa goreng telur mata kerbau itu. Dah lah kuali itu bukan anda punya, gunakan dengan percuma pula...nak sental dengan sabun yang percuma itupun anda tak boleh lakukan? Pergi rumah mak mertua nanti bagaimana? Kalau dah kamera ada depan kuali untuk siaran langsung hari langsung pertandingan akhir Gadis Melayu nanti, anda tak akan kekok nanti.
5. Jari jemari anda masih lagi akan halus dan lembut walaupun anda berjaya basuh semua peralatan yang diguna hingga tanggal kesan minyaknya. Hingga hilang kesan arang pada pantat kuali dan periuk. Tengok tak rancangan Shahirah pergi kenduri dengan sunlight? Dia tetap ayu dan bergaya walaupun kena sental pinggan mangkuk dan periuk belanga yang banyak begitu. Kalau masa kenduripun dia masih boleh kelihatan anggun bergaya, takkan anda tak boleh. Dua tiga biji pinggan sahajapun, bukan banyak mana!
6. Kalaupun anda tak pernah kerja cleaner atau bahagian kebersihan di Kementerian Kesihatan, anda masih tak perlukan sijil pengesahan mana-mana jabatan kerajaan macam nak dapatkan sijil halal perlu disahkan jakim. Takat nak buang habuk dalam rumah, sekejab je pun hayun penyapu, semua dah bersih. Tak perlu ada QC pun untuk sahkan status bersih tu. Baik untuk kesihatan kaki juga.
7. Tak perlu juga belajar hingga ke universiti empat menara yang bergading-gading untuk anda pegang batang mop. Anggap sahaja anda hayun kayu golf di kelab golf terkemuka dunia disamping Harimau Kayu je...opssssss marah pulak Tiger Wood. Hayun mop tu baik untuk kesihatan. Berat badanpun boleh kawal, tak perlu guna macam-macam produk kesihatan yang mengandungi racun berjadual. Anda juga yang anggun bergaya dengan berat badan dalam piawai. Tak perlu membazir ke slim world. Mahal tu! Jangan membazir.

Dah masa untuk solat subuh. Kalau dibiarkan, harus lagi melalut panjangnya ni. Anggap sahaja entri ini adalah entri orang kempunan tak sempat nak habiskan neskefe panas masa sahur tadi. Siapa suruh liat nak bangun awal?