Isnin, 8 Mac 2010

Keindahan Masjid di Aceh

Masjid tidak sekadar menjadi rumah ibadat yang perlu dibanggakan. Pada masa yang sama, masjid mempunyai nilai kesenian yang tersendiri, memaparkan keindahan, nilai seni dan kehalusan ukirannya. Kita memang berbangga dengan masjid-masjid di Malaysia yang besar, indah dan tersendiri seperti masjid kristal nan terapung di Trengganu, masjid Shah Alam, masjid Putrajaya, malah mana-mana masjid terkemuka di negara kita. Setiap kali kita melangkah ke dalamnya, kita pasti akan rasa bangga dengan keindahan, keunikan, keteguhan, dan keselesaannya.
Masjid Baitul Rahman yang sedang giat dibesarkan.

Jika anda berkunjung ke Aceh, hati tentu akan terpegun dengan keindahan dan kesenian yang ada pada setiap masjid di Serambi Mekah itu.Masjid-masjid di Aceh tidak mendapat dana daripada pemerintah. Jadi, khariah di kawasan berkenaan perlu mencari inisiatif sendiri untuk dapatkan dana bagi pembinaannya. sepanjang penjelajahan dari Banda, di Aceh, melewati Lhoksamawee hingga akhirnya tiba di Langsa sejauh hampir hampir 500km, aku tidak pernah menemui biarpun satu masjid yang kecil binaannya, melainkan sangat besar tersergam. Sebahagian daripada masjid-masjid ini masih lagi dalam pembinaan. Mereka mendapat dana hasil sumbangan orang ramai, termasuk tapak untuk binaan. Selebihnya adalah kerja keras ahli kariah memungut derma secara sukarela, termasuklah dengan cara berdiri di tengah-tengah pembahagi jalan (line putih), menahan setiap kenderaan yang melalui jalan tersebut dan memohon derma. Dah lah depa bawa kereta memang laju, risiko untuk kena langgar tu memang tinggi. Keistimewaan masjid-masjid di Aceh terletak kepada reka bentuknya yang penuh dengan kesenian tempatan. Terdapat banyak tiang-tiang yang besar memegang bumbung dengan ukiran dan bentuk yang pelbagai. Sebahagian besar masjid ini pula hanya mempunyai dinding pada bahagian mengadap kiblat sahaja, bahagian lainnya dibiarkan tanpa dinding. Sesiapa sahaja boleh masuk ke dalam bangunan masjid dari mana-mana arahpun. Tak timbul masalah perlu solat di kaki lima masjid kerana pintu masjid berkunci rapat.
Di bawah adalah Musolla yang terletak berhampiran dengan makam Tun Sri Lanang. Kami tiba pada waktu senja, ketika azan berkumandang memecah keheningan. Pembahagian antara tempat solat muslimin dan muslimat pula adakalanya sangat rendah dan terdedah. Memang nampak muslimah yang solat di bahagian belakang. Kita tak biasa macam tu, jadi rasa janggal pula. Tambahan pula untuk aktiviti kemaskan diri selepas selesai solat. Nak betulkan tudungpun rasa kekok, apalagi kalau nak tambah lipstik. Nak baring sesaat dua lagilah tak akan buat. Kelainan yang lain; kamar kecil di bahagian wanita dalam beberapa buah maasjid di Aceh ada sedikit persamaan dengan kamar kecil di masjid Nuiji, Beijing (sekitar tahun 2002. Menurut Cik Bintang, semasa dia ke sana pada 2009, kamar kecil di masjid Nuiji sudahpun ada perubahan. Normal macam di Malaysia). Kamar kecil itu tidak berpintu. Begini rupanya; Agak kekok sedikit untuk kita buang air kecil bila begini reka bentuknya. Apalagi kalau orangnya macam aku, ada orang melintas di sekitar tandas yang tertutup pintupun boleh merencatkan aktiviti dalam kamar kecil itu, apalagi kalau terbuka sebegini. Entah bagaimanalah nanti.

Walaupun begitu, ada dua persamaan antara masjid di Aceh dan di Malaysia. Pertama; sebahagian besar telekung di semua masjid yang kami singgah di Serambi Mekah ini juga berbau, hapak dan tidak begitu selesa untuk digunakan. Kedua, tahap kebersihan di bilik air disebahagian besar masjid ini tidak begitu memuaskan berbanding di masjid Putrajaya atau masjid biru di Shah Alam. Hal sebegini berlaku mungkin kerana pengurusan mereka tidak begitu teratur berbanding di beberapa buah masjid negara kita yang lebih terurus.

Dahlah ya, lain kali sambung bila rajin.

Khamis, 4 Mac 2010

Setelah 6 Tahun dibadai Tsunami


Tsunami yang membadai jadikan Aceh bagai Padang Jarak Padang Tekukur. Ranap. Musnah. Hancur. 2004 bagai tahun celaka. Di mana-mana sahaja ada mayat. Di mana-mana sahaja ada keluarga yang masih lagi tercari-cari anggota keluarga yang hilang. Dan ada antaranya, belum lagi menemui mayat orang yang dicintai hingga kini. Hilang tanpa jejak, dipanggil tanpa tinggalkan makam.
Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda yang baru

Aceh yang bergelora ketika itu, bagaikan terhenti denyutnya seketika. Hanya ada ratap tangis. Hanya tinggal keluh resah duka nestapa. Yang mati, mayatnya bergelimpangan hingga berbulan baru disemadikan. Yang tinggal, tetap juga kalut dikejar mimpi ngeri dan trauma. Kini, sesudah 6 tahun, bumi Aceh kujejaki untuk pertama kalinya dalam hidup. Sesudah 6 tahun mereka meratap tangis dalam duka, wajah Aceh terlalu asing bagiku yang sebelum ini hanya kutatap dikaca TV; ketika itu kosong dan lapang dalam puing yang berantakan.

Ketika menatap keluar dari pesawat, mata tertegun dengan hijau kawasan padinya yang terhampar. Saujana mata memandang. Di bahagian utaranya Selat Melaka membiru. Saat kaki melangkah keluar, mata tertancap terminal lapangan terbang antarabangsa Iskandar Muda yang menyambut kami. Memang tidak percaya. Agam. Tersergam idah. Penuh dengan infrastruktur dan kemudahan moden (masih baru lagi beroperasi, banyak toko-tokonya masih lagi kosong). Sepanjang perjalanan ke hotel di tengah Banda, Aceh, mata kami acap kali terbeliak menyaksikan pembangunan yang sangat pesat. Tiada sedikitpun kesan tsunami yang dapat kami kesan. Bangunan-bangunan yang tersergam itu besar-besar belaka, lalu lintasnya sibuk dengan kenderaan (tetapi penghuninya lebih sopan dan bertertib sedikit berbanding di Bandung: yaaaa ampun, maafkan aku kalau perbandingan sebegini akan menyakitkan hati antara kalian, namun sekadar berkongsi rasa sahaja). Disetiap bulatan, didirikan replika dalam pelbagai bentuk (pengaruh Belanda masih lagi tertinggal di sini).
Kita juga akan dapat lihat begitu banyak masjid yang sebesar-besar alam didirikan di setiap ceruk di Aceh ini. Besar. Cantik. Indah. Mengagumkan. Lebih penting, pembinaan masjid ini adalah usaha persendirian khariah berkenaan tanpa bantuan daripada pihak pemerintah sedikitpun termasuk tapak untuk pembinaannya. Semuanya berdasar sumbangan orang ramai. Ini menyebabkan jangka masa pembinaan masjid-masjid ini memakan masa yang sangat panjang untuk disiapkan. Anak-anak mudanya pula sangat berinisiatif mengutip derma untuk pembinaan masjid. Meraka akan berdiri di tengah-tengah jalan (atas garisan putih) bersama gayung atau baldi yang akan dihulurkan kepada setiap kenderaan yang lalu.

Aku berpeluang bertemu dengan salah seorang imam masjid Baitul Rahman, Prof. Dr. Azman Ismail. Beliau adalah bekas pensyarah berjawatan profesor di salah sebuah universiti di Banda, Aceh sebelum pencen dan menjadi Imam di masjid ini (sebelum tsunami hingga kini). Menurutnya, masjid ini di bina pada zaman Sultan Iskandar Muda lebih 400 tahun lampau. Masjid ini pernah diruntuhkan, dan pernah juga dibangunkan oleh Belanda untuk menarik orang Islam supaya menerima Belanda.

Tsunami menyebabkan masjid ini retak di sana sini walaupun sebahagian besar bentuk fizikalnya masih lagi utuh. Perpustakaan yang terletak di tingkat bawah masjid ini juga turut rosak bersama khazanahnya. Perpustakaan ini kemudiannya telah dibaiki kerajaan Brunei dengan buku-buku di dalamnya disumbangkan kerajaan Malaysia dan Singapura. Pagarnya pula baru sahaja dibina selepas berlaku tsunami, mendapat bantuan dari Singapura, Malaysia dan Aceh sendiri berdasarkan sumbangan orang ramai. Kini, masjid ini masih lagi dalam proses pembesarannya. Bekalan elektrik telah terputus, mereka gunakan enjin yang akan dihidupkan pada masa solat sahaja, manakala airnya diambil dari sumur berdekatan (dipam).
Kawasan petempatan mangsa tsunami yang diberikan dikenali sebagai kampung Jackie Chan sempena nama artis berkenaan yang telah membangunkan kawasan ini. Namun akhirnya, petempatan i ni dijual kepada orang lain kerana letaknya di kawasan bukit dan agak jauh dari pusat bandar.
Kapal janakuasa elektrik yang berada di tengah laut, didamparkan di kawasan perumahan. Beberapa buah rumah dipercayai terbenam di bawahnya.
Sesayup mata memandang datangnya kapal ini...
Menurut Imam masjid, pada hari berlaku tsunami tersebut, di sekeliling masjid terdapat banyak mayat. Kenderaan dan runtuhan bangunan bergelimpangan. Masjid tidak dapat digunakan selama 7 hari. Tiga orang Imam masjid dan seorang muazin juga turut terkorban dalam tragedi tersebut (di kawasan masing-masing, bukannya dalam kawasan masjid). Pada hari Jumaat selepas berlakunya tsunami, masjid masih lagi tidak dapat digunakan untuk solat Jumaat kerana masih banyak mayat dan darah. Mayat-mayat ini hanya di simpan di dalam masjid tetapi belum lagi dikapankan. Pada malam ke 13, masih lagi ada mayat di kawasan masjid. Mayat-mayat ini dikumpulkan NGO dan pemerintah, dihitung dan dibawa ke mobil untuk dikebumikan di perkuburan Masal (kubur besar). Terdapat beberapa kuburan masal telah dibina yang setiap satu daripadanya memuatkan berpuluh ribu mangsa tsunami dalam satu liang lahad. Jumlah keseluruhannya dianggarkan 46, 817 jenazah. Lebih sejam mendengar perkisahan tentang tsunami yang telah menjadi sejarah itu, kami diajukan dua persoalan yang tidak dapat kami jawab;
1. Mengapa semua kuasa barat berlumba-lumba untuk membantu Aceh berbanding Sri Lanka atau negara lain?
2. Setelah menyaksikan azab yang sengeri itu, mengapa manusia begitu mudah untuk lupakannya? Kalau dahulu lalai, kini kelalaian itu diulangi lagi. Dahulu mereka tidak titikberatkan hukum Allah, kini masihkah mahu dilakukan juga?


Coretan ini sudah terlalu panjang. Sempena maulidur rasul yang mulia ini, jom sama-sama kita fikirkan semula apa yang sepatutnya dan yang tak patut kita lakukan dalam jengkal usia nan kian pendek.

Isnin, 1 Mac 2010

Mohon Sumbangan. SEGERA!!!!!

Sebelum upload cerita dari serambi Mekah, saja je nak tampal entri ni dulu. Kisahnya begini;

Bulan November aku ke Bandung, kemudian Disember ke Langkawi, seterusnya minggu lepas ke Aceh pula. Ketiga-tiga borang klaim sudah dihantar (kalian ke Aceh pagi tadi hantar), namun entah sangkut di meja mana hingga kini masih lagi belum dilunaskan tuntutan. Memang macam tu gamaknya standard kerja gomen ni kan, bab klaim ni, kucing dah tumbuh tandukpun belum dapat lagi. Sebelum ni memang sabau ajelah, buat tak peduli dan ambil pusing. Berlagak macam anak Duli yang Maha Mulia je kan? Hu hu huu

Bulan Disember patutnya aku dapat bayaran penuh main KUTU sebanyak RM1800. Aku main kutu tu semata-mata nak beli kamera. Jadinya, macam konfiden je dapat bayaran tu, pertengahan bulan Disember (konon-kononnya musim perayaan xmas ada potongan harga yang kaw-kaw punya hebatnya, jadi terus je aku rembat satu kamera dengan harga RM1050-terlebih bujet sikit sebenarnya. Tapi, sebab hati tak kuat dengan godaan encik Samsung yang hensem itu, aku beli jugalah. Tapi sampai sekarang tak pernah menyesal pun beli en Samsung tu, terutama bila pergi Aceh tempohari.) terbelilah dengan rasminya En.Samsung yang merah dan chomel tu. Mana-mana pergipun aku usung ;)

Tunggu punya tunggu, nanti punya nanti, tarikh pun dah banyak berubah. Bulan Disember dah langkau ke Januari. Bayaran KUTU yang aku terima hanyalah RM800 sahaja. Masih berbaki lagi RM600. Bila ditanya bila nak bank in, jawapannya sangat mudah dituturkan: Bulan ni pakai banyak duit sikitlah, anak-anak sekolah. Boleh tunda bulan depan tak? Kini Januari dah lama berlalu, Februari juga dah habis. Mac dahpun tersengih depan muka aku ni…namun, bayaran RM600 tu masih lagi aku belum terima. Sebelum Tahun baru Cina hari tu, aku Tanya lagi. Jawabnya: “Cuti CNY nanti balik kampong nak kutip duit”. Aikkkkkkkkkkkk teknologi dah makin canggik, klik klik pun dah boleh beli tiket kapai terobang, nak bayar duit kutu kena langkau dua negeri? Dah pun masuk bulan tiga tahun yang baru, sayang oiiiiiii!

Aku ni yuran blaja pun belum bayar lagi, nasib baik dapat daftar bulan lepas. Kalau tak bayar, semester depan kantoi lagilah nampaknya. Kamera yang gah itu aku guna duit yang lain dulu, sekarang ni semua dah pakai. Pergi Aceh buatkan aku muflis walaupun masa pergi tu bergelar JUTAWAN. Mintak pendahuluan tak sempat dapat, kalau klaim, tak tunggu 2-3 bulan memang tak sah. Jadinya, ada tak sesiapa nak bagi sumbangan IDEA macam manalah nak jadi ceti kutip duit kutu dari orang yang tak reti-reti nak bayar tu? Haaaaahhhhhh tunggu apalagi? Bagilah idea!
update 8Mac 2010:
Terima kasih dengan pandangan anda terutama Inche Caluk yang cadangkan supaya upah ah long untuk kutip utang. Rasanya depa ni ada baca blog ni kot hu hu hu, tak sempat buka iklan untuk upah ahlong lagi, semalam malam, depa dah bayar. Bila semak maybank2u pepagi buta hari ni, memang dah ada penambahan jumlah baki akaun berbanding dua hari lepas yang hanya ada RM7 dinggit lebih je.
Yang klaim tu dah pasti belum dapat lagi kerana depa bayar bersama gaji bulanan. Kena tunggu hujung bulan ni dahulu, itupun kalau depa memang dah proses. kalau dapat bersama dengan gaji bulan ini untuk satu klaim pun, dah kira boleh tarik nafas sikitlah. Tak harap pun untuk dapat semuanya sekaligus.

Selasa, 23 Februari 2010

Berpetualang di Bumi Ulamak

Aku dah berada di Seberang. Di sebuah tempat bergelar Serambi Mekah. Di tanah yang pernah musnah dibadai tsunami ngeri lewat 2004. Dan selepas lima tahun bencana ngeri itu berlaku, banyak yang dapat dilihat. Banyak yang boleh diketengahkan. Banyak juga yang perlu dipelajari.

Terlalu banyak yang ada di sini. Antara ingin membingkiskannya sebagai satu catatang seorang bergelandangan (di hati, di minda) dan petualang (hati, minda, kotak fikir), namun sesaat kemudian, hati jadi berbelah bahagi. Pengalaman ini memang berharga untuk diri. Andai dibingkiskan di ruang yang sering mencatatkan bisikan hati ini, harganya itu ditafsirkan bagaimana? Satu perkongsiankah? Ataukah nanti dikatakan sebagai penyakit hati yang terlalu menuntut rasa riyak dan bangga?

Menantikan Rabu sebagai tarikh keberangkatan kembali ke tanahair, ada pelbagai rasa yang terisi. Antara rindukan sambal belacan, dan mahu menggunakan peluang sebaiknya di sini untuk menimba pengalaman dan ilmu, bauran itu akhirnya bagai tak bersisa saat kepala disadaikan ke bantal empuk.

Khamis, 18 Februari 2010

Temani Tidurmu dalam Lena beradu

Aku sangat suka lagu ni sejak dahulu lagi. Tiap patah katanya begitu bermakna, penuh dengan keindahan dan makna yang mendalam. Kiranya daku ke seberang, kutinggalkan lagu ini sebagai peneman. Boleh gitu?


Halim Yazid - Aku Hanya Nak Ke Seberang

Aku pahat kayu cengal
harap-harap jadi perahu
dayung hebat pengayuh sebenar
teras kuat teras tembusu

layar bertingkat serupa kapas gulung
tiangnya tegak dari batang nibung
panji kain suluk atma
tenunan kekasih wajah di kamar

esok perahu nak turun ke air
harung nak lalu samudera bertabir
tinggal pantai awal terakhir
lawan badai ribut dan petir

ombak jangan gila melanda
harap tenang laut kuala
dayung jangan patah tak kuasa
layar tiang jangan binasa

bergatung jiwa seluruh harapan
nekad rasa arah tujuan
serah segala padaMu tuhan
aku hanya nak ke seberang…