Isnin, 1 Disember 2008

Hari AIDS Sedunia



TANGGAL 1 Disember 2008 merupakan ulang tahun ke-20 sambutan Hari AIDS Sedunia yang mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1988. AIDS adalah singkatan bagi Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit. Peringkat ini adalah peringkat terakhir Jangkitan HIV. Pada peringkat ini sistem daya tahan tubuh melawan penyakit dan kanser telah lumpuh. Pesakit akan mendapat gejala jangkitan oportunis dan barah tertentu.

HIV (Human Immunodeficiency Virus) HIV adalah singkatan bagi sejenis virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang. HIV menyebabkan AIDS.

Kes jangkitan HIV pertama telah dikesan pada tahun 1981 di California Amerika Syarikat. Jangkitan ini bermula di kalangan golongan homoseksual diikuti biseksual dan heteroseksual. Kawasan yang paling teruk adalah Sub Sahara Afrika diikuti oleh Asia Selatan (India) dan Asia Tenggara (Negara Thai). Di Malaysia, kes pertama HIV dikesan pada tahun 1986. HIV/AIDS paling teruk berlaku di benua Afrika dengan 5.5 juta daripada 47 juta penduduknya dijangkiti virus HIV, sementara secara keseluruhan sekitar 33 juta hidup dengan HIV/AIDS di seluruh dunia.

Ketiadaan ubat dan rawatan khusus untuk menyembuhkan HIV/AIDS, kos rawatan yang sangat tinggi dan implikasi sosio-ekonomi yang sangat hebat sepatutnya dapat mendorong agar setiap remaja supaya mempertingkatkan pengetahuan yang lengkap mengenai HIV/AIDS. Semua orang tidak terlepas dari bahaya dijangkiti sama ada secara langsung ataupun tidak.

AIDS atau Acquirred Immune Deffiency Syndrome yang disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus), merosakkan sistem pertahanan badan. Akibatnya seseorang itu akan mudah dijangkiti penyakit yang sebelumnya tidak berbahaya, menjadi amat berbahaya selepas jangkitan dan boleh mendatangkan maut. Sehingga kini masih belum ditemukan penawar yang mampu mengubati penyakit ini.

HIV pula adalah virus yang disebarkan secara dominannya melalui hubungan syahwat yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti hubungan homoseksual dan heteroseksual yang tiada pertalian pernikahan. Ia juga boleh disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih najis dadah.

HIV adalah virus yang berjangkit dari individu ke individu melalui peralihan kuantiti tertentu cecair badan yang mempunyai virus tersebut, seperti darah, sperma, cecair vagina dan susu badan. Cecair ini tidak akan berpindah dengan mudah kecuali melalui aktiviti khusus yang berada di bawah kawalan manusia seperti melalui hubungan seks, pemindahan darah tercemar, cucukan jarum tercemar (sengaja atau tidak) atau dari ibu kepada anak semasa mengandung, kelahiran atau penyusuan badan. Terdapat juga kes-kes di mana AIDS dijangkiti melalui pemindahan darah, namun jumlahnya adalah amat sedikit.

HIV yang menjangkiti kanak-kanak selalunya dipindahkan melalui jangkitan ibu semasa mengandungkannya. Namun begitu, sekiranya orang dewasa tidak mempunyai kuman pembawa sudah pasti kanak-kanak juga tidak akan dapat dijangkiti.

Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa kadar jangkitan HIV telah meningkat ke tahap yang tertinggi dalam tahun 2004 dimana dianggarkan sebanyak 39.4 juta orang dijangkiti AIDS diseluruh dunia dan telah membunuh sebanyak 3.1 juta orang pengidapnya.

Malaysia juga tidak terkecuali dengan statistiknya yang amat membimbangkan. Sebanyak 19 kes baru dikesan setiap hari dengan peningkatan 300% dari tahun 1999 hingga 2003. Sejak mula dikesan pada Disember 1986 hingga Disember 2004, sebanyak 64,439 kes HIV/AIDS dilaporkan, dan daripada jumlah itu, 9,442 merupakan kes AIDS dan melibatkan 7,195 kematian. Majoriti pengidapnya adalah dari golongan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.

Acquired': Bermaksud jangkitan yang dipindahkan dari seorang individu kepada lain individu dan bukan diperolehi dari keturunan.

Immunodeficiency: Menerangkan keadaan di mana keupayaan semula jadi badan melindungi dirinya dari penyakit-penyakit dan jangkitan telah sangat lemah dan tidak lagi boleh melindungi dirinya dari jangkitan dan berbagai jenism penyakit dan barah.

Syndrome: Membayangkan gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala berpunca dari sebab/keadaan atau gabungan tanda-tanda dan gejala-gejala dalam satu kombinasi tertentu sebagai gambaran klinikal satu-satu penyakit.

Antara objektif utama sambutan Hari AIDS Sedunia adalah untuk memupuk kesedaran dalam masyarakat pelbagai peringkat mengenai keperluan memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat masing-masing dalam usaha untuk menangani pandemik AIDS. Selain itu, ia juga bagi meningkatkan penglibatan dan sokongan pemimpin dan ketua masyarakat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan HIV/AIDS di dalam dan luar negara. Sambutan ini juga membantu mengingatkan para pemimpin terbabit mengenai janji-janji yang perlu ditunaikan dalam meningkatkan dan meneruskan usaha mengawal penularan HIV dan AIDS.

Islam memandang bahawa menghidap AIDS bukanlah suatu dosa, tetapi perbuatan yang melanggar hukum syara’ dan boleh menghantarkan kepada jangkitan HIV, itulah yang membawa kepada maksiat dan dosa. AIDS hanya akan berkubur sekiranya punca kepada penyakit ini dihapuskan. Dan punca kepada masalah ini hanya akan dapat dihapuskan sekiranya hukum Allah yang suci ini dilaksanakan secara kaffah, bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Dostana







Pagi tadi (Jumaat, 21 November 2008, 8.35 pagi), baru sahaja mata mahu dilelapkan setelah semalaman berjaga dengan membaca, menelaah, menaip dan...main game juga, diri dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Ada pos ekspress menggunakan GDEX daripada Airtime Management. Dah pasti aku tertanya-tanya surat saman daripada siapa. Sebab apa. Biasanya surat sebegitu yang gunakan pos ekspress atau berdaftar. Kalau setakat bil telefon atau bil untuk bayaran masuk jamban setiap hari (IWK), tidak pernah pula mereka membazir sebegitu.

Kata adik itu, tengahari baru dia hantar. Aku pesan siap-siap dengannya supaya ambil masa sikit menunggu disebabkan kakiku ini. Mata terus sahaja lelap sebaik panggilan ditamatkan. Otak sudah tidak mampu untuk berfikir lagi hinggalah mata terbuka semula pada jam 10.45 pagi. Itupun kerana tuntutan perut. Kalau tidak kerana perut yang minta untuk di isi, belum sanggup lagi untuk aku bangkit. Baru dua jam tidur sejak semalam.

Saat selesai mengunyah tiga keping roti bersalut tuna mayonis, adik itu tiba di depan pintu pagar rumah yang berkunci. Terjengkit-jengkitlah aku naik ke bilik mengenakan pakaian yang sopan sedikit sebelum terkial-kial kemudiannya membuka gril dan pintu gelungsur cermin (sliding door). Berbantukan tongkat, langkah tiba juga ke pagar di tengah panas terik itu.

Kala dibuka envelop putih itu, hanya empat keping pass percuma sahaja yang terisi di dalamnya. Filem Dostana. Filem Hindi. Ohhhh, tidakkkkkkkkkkkkkkkk!!!! Mimpikah aku?

Semua yang aku ajak untuk pergi tonton wayang percuma itu ketawa terbahak-bahak. Entah-entah sampai tergolek-golek di lantai. Pertama, sebab mereka memang tak minat tengok filem Hindi. Mereka lebih suka tengok cerita hantu dari industri filem Hong Kong. Boleh ketawa, kata mereka. Keduanya, aku tak pernah pergi panggung untuk tengok filem Hindi. Kalau tengok pun hanya tayangan di TV pada hari Sabtu sebab tak ada tayangan lain lagi yang nak ditengok. Dah tentu mereka ingat aku dah buang tebiat. Baru terseliuh pun dah buang tebiat, apalagi kalau kena sakit yang kaw-kaw boleh pendekkan umur (mulut dia orang memang ada insuran. Ikut sedap je nak cakap apa).

Bila cerita dengan kakak pasal pas percuma itu, kakak pun pelik. Kenapa filem Hindi. Kenapa tak filem Melayu ke, Indon ke, Korea ke, Perancis ke...sebabnya keluarga kami bukannya kaki filem Hindi. Kami memang cukup hairan bila ada orang suka filem Hindi. Menonton filem Hindi tiada dalam budaya keluarga kami. Dulu kakak iparku kaki filem Hindi. Sekarang katanya sudah tidak berminat lagi. Mungkin sebab selalu kena perli dengan abang. Kini, aku akan masuk panggung untuk tengok filem Hindi? Biar betul!!!

Bosan menjalani hidup dengan rehat yang panjang sebegini, jari terlebih gatal dan hantar sms ke siaran Time Radio Highway (THR) yang tiap malam kudengar keasyikan lagu-lagu hindustannya (filem tak berapa suka tonton, tapi lagu-lagunya agak merdu juga didengar sesekali). Sementara siang mendengar Klasik Nasional. THR jadi pilihan pada malam hari hanya kerana pengacaranya yang ceria itu, Gina. Tawanya buatkan dunia terasa indah. Akhirnya aku kemaruk mendengar suaranya. Pelik bukan? Lagi pelik bila cubaan pertama peraduan yang mereka anjurkan itu berjaya. Hadiahnya hanya 4 keping pass percuma filem Dostana. Apapun, terima kasih THR, terima kasih Sendi Mutiara yang jadi penaja.

Asalnya ada juga niat untuk merewang pergi tengok walaupun filem Hindi. Rasanya kalau tak tahan untuk duduk tiga jam di dalam panggung, aku keluarlah. Namun, setelah disemak, hanya beberapa buah panggung TGV sahaja yang tayang iaitu TGV Bukit Tinggi, kelang; Sunway Piramid, PJ dan Capital Square, KL. Memandangkan kaki masih lagi lebam, bengkak pun belum surut, rasanya upaya dan daya untuk gunakan pengangkutan awam ke Kuala Lumpur itu agak tipis. Jadinya, biarlah pas percuma itu kusimpan jadi kenangan sahaja. Ada sesiapa nak pass tersebut? Boleh dipertimbangkan, kiranya anda berminat. Ini dia rupanya pas itu.
Pass 1

Pass 2



Pass 3

Pass 4

Ni jadual mutakhir filem ni hingga 3 Disember 2008.


Dostana (U) - Hindi

Genre: Komedi


TGV Sunway Pyramid

5:20 PM 11:30 PM

TGV CapSquare, KL

12:30 PM 3:30 PM 6:30 PM 9:30 PM

Masih ada dua hari lagi untuk gunakan pass ni ....

Dell Inspiron 1420

Impian untuk miliki komputer riba sendiri sudah lama terpendam. Terlalu lama sebenarnya. Bertahun-tahun yang lalu. 2004, ada “seseorang” menyatakan padaku yang dia terima tawaran dari kawannya yang kononnya berkerja dengan Kastam Diraja Malaysia untuk pasarkan komputer riba jenama Accer dengan harga yang murah. Konon-kononnya barang rampasan kastam kerana elak cukai. Harga asal komputer itu mengikut pasaran semasa sekitar RM6 ribu hingga RM7 ribu. Untuk kami harganya tidak sampai RM3 ribu.

Sayangnya, kami tidak boleh beli satu sahaja kerana ianya dipacking (tiga atau lima unit-sudah lupa yang mana satu. Maklumlah, dah tua kan...) setiap sekotak. Jadinya, terpaksalah mencari beberapa orang lain yang nak beli komputer riba sama. Dipendekkan cerita, aku berjaya cari 5 buyer (termasuk diri sendiri) dan kumpulkan RM7500. Bila tiba masa untuk dapatkan komputer riba itu, berjuta alasan yang kuterima. Kalah citrawara ataupun cerekarama di TV jalan ceritanya. Kalau difilemkan kisah itu, boleh jadi box office wa cakap luuu...dan akhirnya, merangkaklah aku berkerja siang malam, buat part time sana sini mencari duit untuk mengganti wang pendahuluan yang telah diambil itu. Dan diri pula, untuk pertama kali dalam sejarah hidup digelar Sang Penipu.

Kata orang, seseorang manusia itu akan dikenang dengan kesilapan yang dilakukan biarpun silap itu hanya sekali. Namun silap itulah yang akan disebut berjuta kali. Silap itulah yang akan diulang-ulang, bukannya bagaimana orang itu belajar daripada kesilapan itu. Baiknya yang dilakukan sehayat akan terlupakan. Itu kata orang. Entah betul, entahkan tidak. Sama-samalah kita tengok nanti ya. Bila aku dah mati nanti, tolong sms bagi tahu apa yang manusia atas muka bumi ni cakapkan pasal aku. Jangan risau, nanti aku bawa “Orang Kuning” (bukan itik ya) masuk liang lahad sama. Line mesti clear punya! (Sah-sah DIGI marah aku ni...jangan kena saman udah ler, memang tak mampu nak bayarpun!)

Dan kini, setelah empat tahun berlalu, Allah berikan kesempatan untuk kumiliki jua harta ini. Bonus yang dianugerahkan sebelum Aidilfitri dahulu dengan sedikit top up pada bulan berikutnya membolehkan impian ini menjadi nyata. Terima kasih Pak Lah, berikan kami bonus sebulan. Terima kasih Malaysia yang aman makmur, berikan kesempatan untuk kakitangan kerajaan dapat bonus sebulan gaji. InsyaAllah, aku akan kerja bukan sahaja untuk kerajaan Malaysia, namun demi Islam, demi anak bangsaku (Terlebih patriotik lah pulak...tapi, memang macam itulah kira-kiranya. Sebab itu, aku paling tak suka orang Malaysia tak sedar diri yang burukkan negara Malaysia yang kucintai ni. Nak aje hantar orang yang tak bersyukur macam tu ke Iraq. Okey tak idea tu?)

Sekalipun komputer riba ini tidaklah secanggih mana, namun ia telah jadi “kesayangan hamba” yang menemani sepanjang malamku. Warnanya biru. Jenama Dell Inspiron 1420. Isi perutnya seperti berikut;

Microsoft Windows XP
Version 2002 Service Pack 3
Intel (R) Pentium (R) Dual CPU
T3200 @ 2.00 GHZ
1.99 GHZ, 1.99 BB of RAM


Sepanjang seminggu terlantar di katil, DIA telah temaniku dengan setia. Diiringi lagu-lagu merdu yang adakalanya kudengar bersama siaran radio di sebelah. Nak tengok dengan lebih jelas, beginilah rupanya dari pelbagai sisi.











Macam-macam warna ada...pilih mana yang berkenan di hati....

Sekali tengok, macam dah berkenan ni...















Charger dia simple dan mudah. siap dengan getah untuk ikat wayar. nampak kemas.

cute je beg dia

Jumaat, 28 November 2008

Puisi Spontan



Puisi ni (kalaulah boleh dikatakan sebagai puisi), tercipta secara spontan. Kutulis khas kepada seorang pembaca setia blog ini. Masa sekolah dulu bercita-cita nak jadi doktor, tapi tak dapat keputusan yang terbaik untuk matapelajaran sains. Setelah itu, bercita-cita pula nak kahwin dengan doktor (hu hu hu sampai sekarang pun cita-cita tu tak tercapai sebab doktor ni lemah lembut sikit berbanding aku yang brutal ni...). Jadinya, ilmu untuk merawat itu tak termiliki sebab aku tak minat dengan kerjaya Jururawat. Alasannya, takut darah. Padahal, doktor pun main dengan darah juga. Alasan!

Anda dialu-alukan untuk beri pendapat dan komen sebelum puisi ini dihantar ke mana-mana penerbitan. Itupun belum tentu lagi depa nak terima dan siarkan. Harap-harapnya puisi ini boleh jadi puisi yang akan dikaji pelajar sekolahlah ye...hu hu hu, belum hantar lagi angan-angan dah sampai ke awan. Dari gaya angan tu aku dah tau memang tak akan diterima. Biasanya macam itulah!


Sang Pejuang yang Terluka Parah

Kembali dari perjalanan yang jauh terpenuh sesat
dalam lesu tanpa upaya mengheret kakipun
hanya kayu mati menongkat tempang diri
kutemu seorang pejuang yang terluka parah

Darah yang mengalir dari lukanya
telah kehitaman
Balur dan lelah terpenuh seluruh diri
mengalirkan nanah
Patah riuk kakinya bertopangkan senapang kehabisan peluru
Tanpa topi pelindung kepala.

Berikan aku seteguk air, pintanya.
Rakus dia habiskan bekal air terakhirku.
Rawatlah aku untuk kembali bertempur
pohonnya berkali.

Aku terduduk di rumput kering
Menyandarkan belakang ke pohon tak berdaun
Meneliti diri sendiri
Tatih ini berbantukan dahan mati yang kukutip di perjalanan
Keluar dari sesat kuharung onak duri
meredah jalan pulang nan berliku
Lelasnya berbekas di betis
Masih tertusuk duri tak terbuangkan
Masih berbekas calar pedihnya
Upaya diri hanyalah sisa.

Duhai Sang Pejuang yang cedera parah,
aku telah lelah untuk terus berlari
aku sudah letih menghayun langkah
Di bawah pohon terpenuh ranting ini
sama-sama kita membalut luka
Sambil bercerita tentang harapan
sebelum menyambung perjalanan
sebelum kembali ke medan perang.




Segala pendapat, pandangan dan saranan sangat dialu-alukan. Kepada Sang Pejuang yang Terluka Parah, tabahlah!

Khamis, 27 November 2008

Budak Kelantan: Realiti dalam Filem?




Aku berkesempatan menonton filem Budak Kelantan di KLCC. Tarikh dah lupa, ampun! Mmmmm 10 November 2008. Terima kasih kepada teman sepenontonanku, walaupun aku tau, dia bukannya paham sangat pun...hu hu hu


Sinopsis Budak Kelantan


Buchek dan Jaha, dua teman sekampung dengan kehidupan berbeda. Buchek, seorang graduan manakala Jaha, lepasan Sekolah Henry Gurney.
Zaman kanak-kanak dan ketenangan di bumi Kelantan ditinggalkan hanya untuk dipertemukan kembali di Kuala Lumpur, kota idaman yang juga kota penuh dugaan. Pertemuan itu mendedahkan kehidupan hitam Jaha–pedagang dadah, jual perempuan dan liar, mendorong Buchek untuk membantu membawa balik ke pangkal jalan sehingga sanggup mengorbankan cintanya apabila menyedari temannya itu jatuh hati pada kekasihnya, Che Nor.
Buchek rela melepaskan Che Nor, namun mampukah cinta mengubah manusia seperti Jaha yang selama ini hidup berkiblatkan Barat itu? Salahkah Che Nor mempertahankan cintanya pada Buchek dengan alasan soal hati bukan sesuatu yang boleh diperdagangkan? Sedang Buchek pula mempertikaikan pendirian Che Nor yang dianggap lebih mementingkan diri daripada perintah Tuhan.

Satu pembunuhan berlaku lalu mencetuskan satu transisi dalam episod cinta dan hidup Jaha, Buchek serta Che Nor. Jaha terlibat dalam kemalangan semasa melarikan diri dari pihak berkuasa.


Aku tak nak komen banyak pasal filem ni. Ada betul ada tak betulnya. Cumanya, bab-bab kejahatan tu dipertontonkan terlalu banyak. Sedangkan insafnya Jaha itu diketengahkan sekejab sahaja. Itupun tak sempat dibawa ke pangkal jalan, dah pun mati katak (mati ke?) jatuh motor.

Kalau aku, aku lebih suka watak-watak Jahat Jaha tu dibuat secara flashback je. Buatlah Jaha menung kat tangga masjid mana-mana dengan tongkat dan kudung kaki akibat kemalangan masa lari itu ke…barulah Nampak pengajarannya kat situ. (Nasib baik bukan aku yang buat filem, kalau tak...tak tau lerr ape jadinya hu hu hu) Kalaulah orang yang tengok filem ni berfikiran cetek dan anggap bahawa boleh buat jahat, macam mana?

Satu lagi…kalau Jaha tu kaki segala kaki (dadah, ubat batuk, jual perempuan…), biasanya kehidupan dia bukanlah di flat murahan yang tak ada kemudahan apa-apa kecuali bantal busuk, tilam buruk dan satu TV sahaja. Dah pasti boleh guna kereta, bukannya motor cabuk macam tu je…



Amaran: Jika anda tidak suka melihat segala macam aksi kekerasan dan keganasan, tak payahlah tengok filem ni. Tapi, kalau anda suka tengok kehidupan manusia gelandangan (bukan tak ada manusia jenis ini dalam reality, banyak pun), bolehlah hayatinya dan fahaminya dalam filem ini, dan belajarlah memahaminya dengan hati…


Waktu tayangan di panggung dah habis kan? Belilah DVDnya kalau keluar nanti…tapi bahasanya, faham-faham sendirilah. Tengok tajuknya pun dah tahu!