Memaparkan catatan dengan label filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label filem. Papar semua catatan

Rabu, 3 Disember 2008

Dostana II




Semalam aku MC. Korang mesti ingat kaki aku masih tak mampu untuk diangkatkan?


Kakiku memanglah masih belum sihat sepenuhnya. Masih bengkak. Masih lebam. Masih perlu disapu minyak dan diurut. Masih terkial-kial lagi untuk berjalan. Hari Isnin, aku kerja. Malamnya kaki bengkak kembali. Tidak termasuk outstation ke Alor Star pada Jumaat dan kembali Sabtu malam. Ahad, beberapa kali kedua-dua belah kaki kuurut hingga kurang bengkaknya. Namun bengkak itu kembali semula apabila banyak berjalan pada hari Isnin.

Jadinya, pagi-pagi lagi semalam aku jumpa doktor. Dapat MC satu hari. Ingatkan dapatlah 3 hari, bolehlah aku bermaharajalela lagi kat rumah dan layan lagu Hindi. Aku dah kemaruk rehat hu hu hu!

Aku dah bosan terperuk macam jeruk kat rumah. Tahu apa aku buat masa MC sehari, semalam? Aku pergi tengok filem Dostana di Capsquare. Mesti korang tak percaya kan? Ataupun ada yang gelak sampai golek guling-guling di lantai. Ikhlas aku cakap, ni pertama kali aku masuk panggung semata-mata nak tengok filem hindi. Itupun sebab ada pass percuma. Aku kan suka benda FREE ni...hu hu hu

Masuk saja panggung, dah pastilah hanya kami sahaja Melayu kat situ. Lainnya India, Bangla, ataupun Punjabi. Tak ramai yang menonton, tak sampai separuh tempat dudukpun. Hari kerjakan. Dan semua yang berada dalam panggung itu benar-benar menikmati filem ini. Dua jam setengah berada dalam panggung tak terasapun. Terpenuh gelak tawa sepanjang masa. Ada sahaja hal yang mencuit hati menyebabkan tawa meletus. Senak perut!
Ini Pass yang aku guna...


Dostana bermaksud persahabatan. Filem ni simple saja, kisah dua orang lelaki yang terdesak untuk sewa rumah terpaksa mengaku mereka homoseksual (gay) sebabnya tuan rumah tak mahu terima lelaki. Akhirnya kedua lelaki ini jatuh cinta dengan si gadis (anak saudara tuan rumah). Macam-macam mereka buat untuk memikat si gadis termasuk memisahkan gadis tersebut dengan kekasihnya. Akhirnya persahabtan juga yang menang.

Lokasinya di Miami. Jadinya, faham-faham sendirilah fesyen bikini yang ada. Macam-macam. Bagi sesiapa yang minat liuk lentuk Shilpa Shetty menari dengan bikini tu, bolehlah tengok. Ataupun, bagi peminat John Abraham yang nak tengok ketul-ketul badan dia macam ayam KFC (ayam KFC ke? Ntah...betullah kot!) bolehlah tengok. Awal-awal tayangan, badannya yang berketul-ketul itu yang ditayangkan sana sini hingga adakalanya hanya berseluar dalam sahaja. Atau juga, kepada yang nak tengok betapa jambunya Abishek Bachchan yang selama ini terlihat macho itu, kali ini melakunkan watak nurse, silalah tonton. Boleh juga menonton filem ini bagi anda yang berserabut kepala otak dengan pelbagai masalah dunia. Aku percaya, keluar panggung nanti, urat kepala yang tegang akan jadi kendur seketika.

Satu je yang aku tak berapa suka filem ni...lagu-lagunya tak nyaman di telinga dan tidak menusuk ke dasar hati. Semua lagu-lagu yang dimuatkan dalam filem ini tidak kena dengan selera aku. Namun, bagi yang gemarkan lagu-lagu berentak laju, berbunyi bising, bermuzikkan rancak, mungkin anda akan temuinya dalam filem ini. Aku lebih gemarkan lagu-lagu yang menenangkan, menyegarkan, mengundang emosi, lebih berentak perlahan dan sentimental. Jadinya, lagu-lagu dalam filem ini tidak satupun yang mengundang siulan di minda (ingat korang je ke pandai bersiul!).
Ini pass yang satu lagi...untuk tongkat sakti.

Walaupun aku dapat pass FREE, ni bukannya promote FREE, sebabnya, aku ni manusia yang susah nak memuji. Komen je tahu, itu biasanya yang selalu jadi rungutan orang terdekat dengan aku. Namun untuk kali ini, aku memang puji menjulanglah filem ni. Sesiapa yang tak tengok memang rugi. Aku tak pasti filem ini akan ditayangkan di TV atau tidak memandangkan pemandangan 18SX yang agak ketara pada peringkat awal filem. Kecualilah dilakukan PEMOTONGAN yang memang ketara akan mencacatkan jalan cerita kerana setiap scane itu saling berkaitan tidak termasuk sebahagian daripada intro dengan kehadiran Shilpa Shetty yang tak berfungsipun.

Biarpun malamnya aku terpaksa ambil masa dua jam untuk urut kedua-dua belah kaki agar bengkaknya berkurangan, apa yang pasti hati memang puas. Benar-benar puas hati. Tak rasa menyesalpun. Terima kasih kepada tongkat sakti aku, merata jalan jelajah semalam walaupun kaki macam ni. Terima kasih tongkat sakti, tak jemu menapak biarpun terlalu perlahan. Tak jemu juga meminjamkan diri tiap kali perlu turun tangga. Tiap kali perlu melangkah bendul. Bendul? Apa-apa ajelah yang korang panggil, asalkan tempat berbeza tinggi itu perlu kulalui dengan lebih mudah.

Nasib baik ada tongkat sakti. Untung kan kalau ada tongkat sakti...

Khamis, 27 November 2008

Budak Kelantan: Realiti dalam Filem?




Aku berkesempatan menonton filem Budak Kelantan di KLCC. Tarikh dah lupa, ampun! Mmmmm 10 November 2008. Terima kasih kepada teman sepenontonanku, walaupun aku tau, dia bukannya paham sangat pun...hu hu hu


Sinopsis Budak Kelantan


Buchek dan Jaha, dua teman sekampung dengan kehidupan berbeda. Buchek, seorang graduan manakala Jaha, lepasan Sekolah Henry Gurney.
Zaman kanak-kanak dan ketenangan di bumi Kelantan ditinggalkan hanya untuk dipertemukan kembali di Kuala Lumpur, kota idaman yang juga kota penuh dugaan. Pertemuan itu mendedahkan kehidupan hitam Jaha–pedagang dadah, jual perempuan dan liar, mendorong Buchek untuk membantu membawa balik ke pangkal jalan sehingga sanggup mengorbankan cintanya apabila menyedari temannya itu jatuh hati pada kekasihnya, Che Nor.
Buchek rela melepaskan Che Nor, namun mampukah cinta mengubah manusia seperti Jaha yang selama ini hidup berkiblatkan Barat itu? Salahkah Che Nor mempertahankan cintanya pada Buchek dengan alasan soal hati bukan sesuatu yang boleh diperdagangkan? Sedang Buchek pula mempertikaikan pendirian Che Nor yang dianggap lebih mementingkan diri daripada perintah Tuhan.

Satu pembunuhan berlaku lalu mencetuskan satu transisi dalam episod cinta dan hidup Jaha, Buchek serta Che Nor. Jaha terlibat dalam kemalangan semasa melarikan diri dari pihak berkuasa.


Aku tak nak komen banyak pasal filem ni. Ada betul ada tak betulnya. Cumanya, bab-bab kejahatan tu dipertontonkan terlalu banyak. Sedangkan insafnya Jaha itu diketengahkan sekejab sahaja. Itupun tak sempat dibawa ke pangkal jalan, dah pun mati katak (mati ke?) jatuh motor.

Kalau aku, aku lebih suka watak-watak Jahat Jaha tu dibuat secara flashback je. Buatlah Jaha menung kat tangga masjid mana-mana dengan tongkat dan kudung kaki akibat kemalangan masa lari itu ke…barulah Nampak pengajarannya kat situ. (Nasib baik bukan aku yang buat filem, kalau tak...tak tau lerr ape jadinya hu hu hu) Kalaulah orang yang tengok filem ni berfikiran cetek dan anggap bahawa boleh buat jahat, macam mana?

Satu lagi…kalau Jaha tu kaki segala kaki (dadah, ubat batuk, jual perempuan…), biasanya kehidupan dia bukanlah di flat murahan yang tak ada kemudahan apa-apa kecuali bantal busuk, tilam buruk dan satu TV sahaja. Dah pasti boleh guna kereta, bukannya motor cabuk macam tu je…



Amaran: Jika anda tidak suka melihat segala macam aksi kekerasan dan keganasan, tak payahlah tengok filem ni. Tapi, kalau anda suka tengok kehidupan manusia gelandangan (bukan tak ada manusia jenis ini dalam reality, banyak pun), bolehlah hayatinya dan fahaminya dalam filem ini, dan belajarlah memahaminya dengan hati…


Waktu tayangan di panggung dah habis kan? Belilah DVDnya kalau keluar nanti…tapi bahasanya, faham-faham sendirilah. Tengok tajuknya pun dah tahu!