Isnin, 1 Disember 2008

Dell Inspiron 1420

Impian untuk miliki komputer riba sendiri sudah lama terpendam. Terlalu lama sebenarnya. Bertahun-tahun yang lalu. 2004, ada “seseorang” menyatakan padaku yang dia terima tawaran dari kawannya yang kononnya berkerja dengan Kastam Diraja Malaysia untuk pasarkan komputer riba jenama Accer dengan harga yang murah. Konon-kononnya barang rampasan kastam kerana elak cukai. Harga asal komputer itu mengikut pasaran semasa sekitar RM6 ribu hingga RM7 ribu. Untuk kami harganya tidak sampai RM3 ribu.

Sayangnya, kami tidak boleh beli satu sahaja kerana ianya dipacking (tiga atau lima unit-sudah lupa yang mana satu. Maklumlah, dah tua kan...) setiap sekotak. Jadinya, terpaksalah mencari beberapa orang lain yang nak beli komputer riba sama. Dipendekkan cerita, aku berjaya cari 5 buyer (termasuk diri sendiri) dan kumpulkan RM7500. Bila tiba masa untuk dapatkan komputer riba itu, berjuta alasan yang kuterima. Kalah citrawara ataupun cerekarama di TV jalan ceritanya. Kalau difilemkan kisah itu, boleh jadi box office wa cakap luuu...dan akhirnya, merangkaklah aku berkerja siang malam, buat part time sana sini mencari duit untuk mengganti wang pendahuluan yang telah diambil itu. Dan diri pula, untuk pertama kali dalam sejarah hidup digelar Sang Penipu.

Kata orang, seseorang manusia itu akan dikenang dengan kesilapan yang dilakukan biarpun silap itu hanya sekali. Namun silap itulah yang akan disebut berjuta kali. Silap itulah yang akan diulang-ulang, bukannya bagaimana orang itu belajar daripada kesilapan itu. Baiknya yang dilakukan sehayat akan terlupakan. Itu kata orang. Entah betul, entahkan tidak. Sama-samalah kita tengok nanti ya. Bila aku dah mati nanti, tolong sms bagi tahu apa yang manusia atas muka bumi ni cakapkan pasal aku. Jangan risau, nanti aku bawa “Orang Kuning” (bukan itik ya) masuk liang lahad sama. Line mesti clear punya! (Sah-sah DIGI marah aku ni...jangan kena saman udah ler, memang tak mampu nak bayarpun!)

Dan kini, setelah empat tahun berlalu, Allah berikan kesempatan untuk kumiliki jua harta ini. Bonus yang dianugerahkan sebelum Aidilfitri dahulu dengan sedikit top up pada bulan berikutnya membolehkan impian ini menjadi nyata. Terima kasih Pak Lah, berikan kami bonus sebulan. Terima kasih Malaysia yang aman makmur, berikan kesempatan untuk kakitangan kerajaan dapat bonus sebulan gaji. InsyaAllah, aku akan kerja bukan sahaja untuk kerajaan Malaysia, namun demi Islam, demi anak bangsaku (Terlebih patriotik lah pulak...tapi, memang macam itulah kira-kiranya. Sebab itu, aku paling tak suka orang Malaysia tak sedar diri yang burukkan negara Malaysia yang kucintai ni. Nak aje hantar orang yang tak bersyukur macam tu ke Iraq. Okey tak idea tu?)

Sekalipun komputer riba ini tidaklah secanggih mana, namun ia telah jadi “kesayangan hamba” yang menemani sepanjang malamku. Warnanya biru. Jenama Dell Inspiron 1420. Isi perutnya seperti berikut;

Microsoft Windows XP
Version 2002 Service Pack 3
Intel (R) Pentium (R) Dual CPU
T3200 @ 2.00 GHZ
1.99 GHZ, 1.99 BB of RAM


Sepanjang seminggu terlantar di katil, DIA telah temaniku dengan setia. Diiringi lagu-lagu merdu yang adakalanya kudengar bersama siaran radio di sebelah. Nak tengok dengan lebih jelas, beginilah rupanya dari pelbagai sisi.











Macam-macam warna ada...pilih mana yang berkenan di hati....

Sekali tengok, macam dah berkenan ni...















Charger dia simple dan mudah. siap dengan getah untuk ikat wayar. nampak kemas.

cute je beg dia

Jumaat, 28 November 2008

Puisi Spontan



Puisi ni (kalaulah boleh dikatakan sebagai puisi), tercipta secara spontan. Kutulis khas kepada seorang pembaca setia blog ini. Masa sekolah dulu bercita-cita nak jadi doktor, tapi tak dapat keputusan yang terbaik untuk matapelajaran sains. Setelah itu, bercita-cita pula nak kahwin dengan doktor (hu hu hu sampai sekarang pun cita-cita tu tak tercapai sebab doktor ni lemah lembut sikit berbanding aku yang brutal ni...). Jadinya, ilmu untuk merawat itu tak termiliki sebab aku tak minat dengan kerjaya Jururawat. Alasannya, takut darah. Padahal, doktor pun main dengan darah juga. Alasan!

Anda dialu-alukan untuk beri pendapat dan komen sebelum puisi ini dihantar ke mana-mana penerbitan. Itupun belum tentu lagi depa nak terima dan siarkan. Harap-harapnya puisi ini boleh jadi puisi yang akan dikaji pelajar sekolahlah ye...hu hu hu, belum hantar lagi angan-angan dah sampai ke awan. Dari gaya angan tu aku dah tau memang tak akan diterima. Biasanya macam itulah!


Sang Pejuang yang Terluka Parah

Kembali dari perjalanan yang jauh terpenuh sesat
dalam lesu tanpa upaya mengheret kakipun
hanya kayu mati menongkat tempang diri
kutemu seorang pejuang yang terluka parah

Darah yang mengalir dari lukanya
telah kehitaman
Balur dan lelah terpenuh seluruh diri
mengalirkan nanah
Patah riuk kakinya bertopangkan senapang kehabisan peluru
Tanpa topi pelindung kepala.

Berikan aku seteguk air, pintanya.
Rakus dia habiskan bekal air terakhirku.
Rawatlah aku untuk kembali bertempur
pohonnya berkali.

Aku terduduk di rumput kering
Menyandarkan belakang ke pohon tak berdaun
Meneliti diri sendiri
Tatih ini berbantukan dahan mati yang kukutip di perjalanan
Keluar dari sesat kuharung onak duri
meredah jalan pulang nan berliku
Lelasnya berbekas di betis
Masih tertusuk duri tak terbuangkan
Masih berbekas calar pedihnya
Upaya diri hanyalah sisa.

Duhai Sang Pejuang yang cedera parah,
aku telah lelah untuk terus berlari
aku sudah letih menghayun langkah
Di bawah pohon terpenuh ranting ini
sama-sama kita membalut luka
Sambil bercerita tentang harapan
sebelum menyambung perjalanan
sebelum kembali ke medan perang.




Segala pendapat, pandangan dan saranan sangat dialu-alukan. Kepada Sang Pejuang yang Terluka Parah, tabahlah!

Khamis, 27 November 2008

Budak Kelantan: Realiti dalam Filem?




Aku berkesempatan menonton filem Budak Kelantan di KLCC. Tarikh dah lupa, ampun! Mmmmm 10 November 2008. Terima kasih kepada teman sepenontonanku, walaupun aku tau, dia bukannya paham sangat pun...hu hu hu


Sinopsis Budak Kelantan


Buchek dan Jaha, dua teman sekampung dengan kehidupan berbeda. Buchek, seorang graduan manakala Jaha, lepasan Sekolah Henry Gurney.
Zaman kanak-kanak dan ketenangan di bumi Kelantan ditinggalkan hanya untuk dipertemukan kembali di Kuala Lumpur, kota idaman yang juga kota penuh dugaan. Pertemuan itu mendedahkan kehidupan hitam Jaha–pedagang dadah, jual perempuan dan liar, mendorong Buchek untuk membantu membawa balik ke pangkal jalan sehingga sanggup mengorbankan cintanya apabila menyedari temannya itu jatuh hati pada kekasihnya, Che Nor.
Buchek rela melepaskan Che Nor, namun mampukah cinta mengubah manusia seperti Jaha yang selama ini hidup berkiblatkan Barat itu? Salahkah Che Nor mempertahankan cintanya pada Buchek dengan alasan soal hati bukan sesuatu yang boleh diperdagangkan? Sedang Buchek pula mempertikaikan pendirian Che Nor yang dianggap lebih mementingkan diri daripada perintah Tuhan.

Satu pembunuhan berlaku lalu mencetuskan satu transisi dalam episod cinta dan hidup Jaha, Buchek serta Che Nor. Jaha terlibat dalam kemalangan semasa melarikan diri dari pihak berkuasa.


Aku tak nak komen banyak pasal filem ni. Ada betul ada tak betulnya. Cumanya, bab-bab kejahatan tu dipertontonkan terlalu banyak. Sedangkan insafnya Jaha itu diketengahkan sekejab sahaja. Itupun tak sempat dibawa ke pangkal jalan, dah pun mati katak (mati ke?) jatuh motor.

Kalau aku, aku lebih suka watak-watak Jahat Jaha tu dibuat secara flashback je. Buatlah Jaha menung kat tangga masjid mana-mana dengan tongkat dan kudung kaki akibat kemalangan masa lari itu ke…barulah Nampak pengajarannya kat situ. (Nasib baik bukan aku yang buat filem, kalau tak...tak tau lerr ape jadinya hu hu hu) Kalaulah orang yang tengok filem ni berfikiran cetek dan anggap bahawa boleh buat jahat, macam mana?

Satu lagi…kalau Jaha tu kaki segala kaki (dadah, ubat batuk, jual perempuan…), biasanya kehidupan dia bukanlah di flat murahan yang tak ada kemudahan apa-apa kecuali bantal busuk, tilam buruk dan satu TV sahaja. Dah pasti boleh guna kereta, bukannya motor cabuk macam tu je…



Amaran: Jika anda tidak suka melihat segala macam aksi kekerasan dan keganasan, tak payahlah tengok filem ni. Tapi, kalau anda suka tengok kehidupan manusia gelandangan (bukan tak ada manusia jenis ini dalam reality, banyak pun), bolehlah hayatinya dan fahaminya dalam filem ini, dan belajarlah memahaminya dengan hati…


Waktu tayangan di panggung dah habis kan? Belilah DVDnya kalau keluar nanti…tapi bahasanya, faham-faham sendirilah. Tengok tajuknya pun dah tahu!

Bila Hati yang Sakit...

Aku bukanlah layak untuk tulis benda-benda yang tak nampak macam ni, sebab tu lah aku petik je artikel ni. So, marilah sama-sama kita hayatinya. Kita memang tahu adanya benda-benda GHAIB macam ni yang mengganggu kehidupan seharian yang adakalanya kita turut menyampah bila jumpa benda-benda gini...

Penyakit Ego


Dipetik dari Jabatan Mufti Negeri trengganu
http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=13&parent=06






Apabila seseorang manusia itu alim iaitu banyak ilmu dan lebih dari orang lain sama ada ilmu dunia dan akhirat, dan apabila seseorang itu berpangkat besar atau bila seseorang itu otaknya lebih daripada orang lain atau bila seseorang itu kaya atau keturunan mulia dan ternama seperti raja, ulama, orang besar dan bila seseorang itu berkelulusan tinggi dan bila seseorang perempuan itu cantik dan bila seseorang lelaki itu gagah maka rasa tinggi diri, sombong, angkuh dan takabur hingaplah pada hatinya. Sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak sengaja. Sebab apabila seseorang itu mampu, berkebolehan, berjaya, istimewa, lebih dari orang lain maka lenyaplah rasa kekurangan, kelemahan dan kehambaan diri kepada Allah SWT dari hati nuraninya.


Maka ruang yang kosong itu segera pula diisi oleh rasa hebat, rasa besar, rasa istimewa, rasa tuan bahkan rasa Tuhan. Apabila hati sudah jadi begitu meninggilah diri dengan yang lain, memandang rendah sesama hamba Allah, jijiklah dia terhadap manusia yang lemah dan hina maka sombonglah ia , angkuh dan takaburlah ia, aama ada secara sengaja dan dirancang ataupun bukan secara dirancang dan tidak disedari. Sebab ada orang apabila tahu dia istimewa maka dia pun mengaturlah hidupnya sebagai orang yang istimewa dan berusahalah dia menjaga statusnya.


Sebaliknya ada pula orang yang sedar keistimewaan dirinya tetapi kerana dia faham ajaran Islam maka tidaklah mahu ia membesar-besarkan dirinya. Tapi oleh kerana taqwanya lemah maka dia tidak dapat mengawal nafsu yang sudah rasa istimewa itu dari bertindak dengan perangai orang-orang yang sombong dan takabur dan dia tidak mahu sebab dia tahu sikap itu dosanya besar tetapi dia tidak dapat melawan nafsunya. Maka termasuklah juga ia di dalam senarai orang yang sombong, ego dan takabur.


Sifat mazmumah (yang sangat dibenci) oleh Allah ialah penyakit ego (sombong) sebab ego itu membawa implikasi yang sangat buruk. Iblis laknatullah kerana penyakit ego telah derhaka kepada Tuhan. Firman Allah:-


Terjemahannya: "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, sujudlah kamu kepada Adam maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takabur dan ia termasuk golongan orang-orang kafir". (Surah Al-Baqarah : 34 )



Kerana merasa dirinya lebih istimewa daripada Adam, dia lebih mulia, lebih pandai, lebih senior dalam syurga maka sepatutnya dialah yang menjadi ketua dan orang lain sujud kepadanya. Tiba-tiba Allah meminta dia sujud pada Adam yang dipandang rendah itu, hatinya menolak dia lupa bahawa dia hamba Allah, keistimewaan itu pemberian Allah yang mana kalau Allah tarik kesemuanya kembalilah ia selaku hamba yang dhaif.


Hatinya yang sudah dikuasai rasa hebat diri itu sudah cukup keras hingga dia tidak dapat sujud ketika Allah perintahkan ia berbuat begitu. Sombongnya ia dan mendapat kemurkaan Allah lalu Allah menarik balik pinjamanNya kepada Iblis lantas dihukum buang dari syurga ke satu tempat buangan yang susah dan hina iaitu di dunia ini.


Namun Iblis sangat sombong sudah dihukum pun dia tidak mahu merendah diri juga bukannya dia minta ampun dengan Tuhan untuk sujud pada Adam malah dimintanya untuk menghasut dan menggoda manusia supaya manusia semua kufur dengan Allah dan masuk neraka. Pernah juga Iblis memberitahu Nabi Musa a.s yang dia ingin bertaubat lantas Nabi Musa bertanya kepada Allah bagaimana caranya Iblis boleh bertaubat. Allah berfirman minta dia sujud di kubur Nabi Adam, mendengar itu dengan sombongnya Iblis pun bangun dan berkata. 'waktu Adam hidup pun aku tidak sujud padanya inikan pula waktu dia sudah mati! tidak jadilah aku bertaubat', kata Iblis.


Begitu sekali kesombongan Iblis, dia cukup kenal Allah, sudah nampak api neraka namun kesombongannya membuatkan dia pandang kecil pada Allah. Maka sekarang Iblis pun mengamuklah di tengah manusia untuk menjahanamkam anak cucu Nabi Adam agar semuanya masuk neraka bersamanya.



Berapa ramai hari ini orang yang hatinya sudah jadi seperti hati Iblis. Merasa diri istimewa hingga memandang rendah pada orang lain, kalau ditegur melenting bahkan mencabar orang yang menegur hinggakan demi memuaskan hati sanggup melakukan dosa-dosa yang boleh tercampak diri ke neraka. Allah berfirman dalam Hadis Qudsi:


"Kibir atau sombong itu selendangKu. Sesiapa yang memakai selendangKu nescaya dia tidak akan mencium bau syurga".


Itulah sombong namanya iaitu perangai Iblis, akhlak terkutuk dan siapa memilikinya maka nerakalah tempatnya. Rasulullah SAW dan para sahabat serta para ambia' dan solehin (orang soleh) sangat tawadhuk orangnya yakni merendah diri sesama manusia. Firman Allah dalam Al-Quran:


Terjemahannya: "Telah lahir Rasulullah di kalangan kamu, sangat susah dengan kesusahan kamu dan menginginkan keselamatan bagi kamu dan penyayang dengan orang-orang mukmin". (Surah At-Taubah:128)


Itulah hati orang yang tawadhuk yang rasa dirinya hamba Allah dan orang lain adalah saudara-saudaranya yang dikasihinya. Dia tidak merasa dirinya lebih dari orang lain walaupun dia telah diangkat oleh Allah menjadi kekasih Allah manusia paling mulia dan paling tinggi pangkatnya, terkenal namanya, luas pengaruhnya tetapi dia rasa dia hamba Allah seperti juga orang lain. Kalau dia tidak mahu susah orang lain pun tidak mahu susah, kalau dia tidak mahu dimalukan, dimarah, dicaci dan dihina orang lain pun begitu juga. Kalau dia suka kepada keselamatan dan kebahgiaan maka orang lain pun turut demikian.


Begitu dia menimbang perasaan orang sebab dia mengasihi orang lain seperti mana dia kasihkan dirinya. Hasilnya Rasulullah sangatlah menyayangi dan menghibur sahabat-sahabatnya dan seluruh orang-orang mukmin. Pada orang yang memusuhi beliau didoakan,


"Wahai Tuhan berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui". Sebab itu Rasulullah boleh duduk dan bermesra dengan kasih sayang dengan orang-orang miskin dan orang-orang kekurangan malah baginda memohon kepada Allah : "Jadikanlah aku orang miskin, matikanlah aku dalam kemiskinan dan masukkanlah aku dalam syurga bersama-sama orang-orang miskin". (Hadith Riwayat Tarmidzi)


Begitu hati Rasulullah dia tidak rasa yang dia istimewa dan hebat walaupun segala keistimewaan Allah limpahkan kepadanya, Sebab padanya keistimewaan itu semuanya hak Allah kerana itu baginda cukup hati-hati dengan nikmat itu malah dia takut ketika isterinya Siti Aisyah Ummul Mukminin bertanya."kenapa tuan bersusah-payah begini sekali beribadah pada Allah hingga bengkak-bengkak kaki dan terjatuh-jatuh? bukankah tuan sudah dijamin selamat di akhirat bahkan disediakan syurga paling tinggi untuk tuan?".


Lantas dijawab baginda,"terpulanglah pada Tuhan untuk buat atau beri apa saja pada hamba-Nya ini, namun aku adalah hamba-Nya yang lemah dan kurang segala-galanya yang patut menyerah diri sepenuhnya pada Tuhanku itu". Didalam kitab diriwayatkan suatu kisah bagaimana Alah bertanya kepada pesuruh-pesuruh-Nya: "Musa, engkau siapa?" Jawab Nabi Musa,"Ana Kalamullah". "Ibrahim, engkau siapa?" Jawab Nabi Ibrahim,"Ana Khalilullah". "Isa, engkau siapa?" Jawab Nabi Isa, "Ana Rohullah". Kemudian Allah bertanya kepada Nabi kita,"Muhammad, engkau siapa?" Jawablah Rasulullah dengan rendahnya."Ana yatim". terus Allah menyahut,"Engkau kekasihku, Habibullah".


Orang yang merendah diri Allah angkat setinggi-tingginya. Rasulullah boleh makan sedulang dan duduk sebelah-menyebelah bertindih lutut dengan orang dusun yang selekeh, miskin, fakir di majlis makan baginda. Baginda bagaikan seorang ayah yang kasihnya lebih pada anaknya yang cacat dan lemah.


Itulah Nabi kita yang patut kita contohi dan hayati agar benar-benar kita menjadi pengikutnya dan pewarisnya. Dan rupanya roh baginda yang terus hidup itu memandang kita dengan penuh kasih rindu dan supaya disyafaatkan kita nanti di hari kiamat.


Sayidina Abu Bakar habis harta bendanya dikorbankan untuk perjuangan Islam kemudian dia berkata,"Yang tinggal padaku hanyalah Allah dan Rasul dan aku merasa cukup dengan keduanya. Sayidina Umar yang keras dan tegas melaksanakan hukum Allah berkata,"Sekiranya diberitahu bahawa semua orang masuk syurga kecuali seorang maka aku rasa akulah yang seorang itu". Dia merasakan dialah yang paling banyak dosa sebab itu dia sangat merendahkan diri pada rakyatnya. Ditanggungnya guni gandum di belakangnya dan dibawa ke rumah seorang janda bersama anak-anaknya yang ketiadaan makanan. Khadamnya meminta agar dialah yang menanggung guni gandum itu lantas dijawab Sayidina Umar."Bukan engkau yang akan menanggung beban tanggungjawab di akhirat nanti".


Kesombongan manusia hari ini jarang dimuktamarkan sedangkan itulah punca bagi segala krisis di dunia ini. Penyakit yang bahaya ini jika dibiarkan melanda dunia tanpa usaha untuk mengubatinya maka akan ranplah dunia ini nanti dikerjakan oleh manusia yang sudah mengikut telunjuk dan sikap Iblis itu. Bila-bila masa saja Allah boleh hantar penyakit-penyakit bahaya pada kita bahkan bila-bila masa Allah boleh miskinkan kita jika Allah mahu.


Sepatutnya kita takut dengan Allah, bila terbuat perangai sombong segeralah bertaubat jangan sampai Allah murka. Namrud yang kononnya hendak lawan Allah, baru nyamuk masuk telinga terus ke kepala bermain-main di dalam otaknya itupun tewas terus mati masuk neraka. Firaun yang sombong mengaku dirinya Tuhan maka Allah belah lautan tenggelamlah ia mati dek air jadi bangkai yang tercampak.


Apalah dibanggakan kehebatan kita itu, dia tidak menyelamatkan kita malah mungkin kalau salah gayanya sebab nikmat itu boleh jatuh di dunia apalagi di akhirat........jatuh neraka hidup menderita. Kitakan dari setitis mani, air mani itu kan hina? kalau jatuh ke air itik pun tidak sudu di daratan ayam pun tak patuk. Maka kalau kita mahu sedar diuntung patutnya kita selalu menghinakan diri kita dan merasa hina untuk Allah sehina air mani. Kemudian bermurah hati dengan manusia, hiburkan manusia sebagaimana kita suka dihiburkan barulah orang suka dengan kita.


Katakan selalu pada diri:


"Wahai diri, engkau bagaikan sampah yang selau menyusahkan orang. Bila-bila masa Allah boleh buangkan engkau ke dalam bakul sampah-Nya iaitu Neraka Jahannam".


Dan selawatlah pada Nabi sebanyak mungkin setiap masa sebagai ubat untuk melembutkan hati.


"Tuhanku, aku tidaklah layak untuk syurgamu tetapi aku idak pula sanggup menanggung siksa nerakamu oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku.....ampunkanlah dosaku bahawa sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar".


Hujan...


Langit menangis lagi petang ini. Setiap petang sejak dua minggu lepas. Kalaulah di rumah...bestnya boleh tarik selimut.




"Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."(Al Quran Al Karim Surah Al An'aam ayat 99).
Rindunya nak main hujan...