Tarikh yang cantik kan? 11.12.13...
Selamat pengantin baru Cik Ta @ Rozita Che Wan. Tetiba!
Bila banjir luar jangka melanda Pahang, hingga
Kuantan lumpuh dek banjir besar…aku terkenangkan kisah banjir yang kami alami sejak kecil. Kejadiannya berlaku di negeri paling miskin di Malaysia, kata pak menteri.
Sebenarnya, aku sedih bila ada golongan tertentu kata “hangpa tak rasa…sedaplah cakap”. Yaaaa ketika ini aku tak rasa, pernah kalian tahu apa yang aku dan keluarga aku alami sejak berpuluh tahun dulu dan kini?
Luahan mangsa banjir di Kuantan boleh jadi iktibar.
Sejak aku celik mata, aku memang dah kenal apa itu banjir. Sebabnya? Aku lahir pada 19 Januari…makanya, masih lagi berada di musim banjir. Boleh bayangkan lahir pada musim banjir? Januari dah dekat ya…sila menabung untuk belikan aku kek besau!
Sekarang ni, semua orang nak melahirkan anak akan ke hospital kecuali lahirkan anak luar nikah tak sah taraf. Cari penyakitlah pi beranak di hospital. Dulu-dulu, kami dilahirkan di rumah sendiri sama ada guna bidan kampong atau bidan kerajaan yang dijemput ke rumah. Tengokkkkkk? Klasik tak cara aku dilahirkan? Dan musim banjir pula? Lagi klasik jadi ceritanya!
Dan aku pernah membantu Mek melahirkan adik (bongsu dan kedua bongsu. Yang kedua bongsu tak panjang umur, meninggal selepas 19 hari dilahirkan) kat rumah kami sendiri. Ohhhhh! Ini tak ada kaitan dengan kisah banjir…melalut ke lain je ni!
Bagi kami yang berada di negeri Kelantan dan juga Trengganu, kejadian banjir dah jadi biasa. Dah lali, dan sekarang ni kejadian banjir di negeri ni tidak sehebat dahulu. Kalau dulu-dulu…asal masuk sahaja bulan November, bersiaplah kemas barang letak tempat tinggi-tinggi walaupun rumah kami memang dah tinggipun tiangnya. Kemungkinan untuk air naik hingga cecah lantai rumah tetap ada. Maka berminggu-minggulah kami berada dalam rumah makan ubi kayu rebus, pisang kebatu rebus dan segala benda-benda yang berebus itu tanpa dapat bantuan dari mana-mana pihak. Ada sesiapa kesah? Tak ada!
Sebabnya mudah sahaja…kami tak pindah ke petempatan banjir yang halal. Dan ada masanya, tak ada pun pusat pemindahan banjir tu kalau takat sebuah dua je rumah tenggelam. Maka pindahlah kami ke rumah saudara mara yang lain. Itupun kalau saudara mara itu jenis makhluk yang boleh terima saudara lain yang susah.
Masa kakak aku ambil periksa SPM, hari tu hari terakhir dia periksa. Masa pagi hujan turun dengan lebat sangat-sangat. Dia gagah jugak pergi kayuh basikal ke sekolah. Basahpun jawab soalan exam jugak. Walaupun sekolah tak tenggelam, tapi jalan nak pergi ke sekolah tu tetap naik air juga di kawasan tertentu. Kami pulak tidak diberitahu boleh ponteng ambil exam kalau banjir. Masa tu kami bukannya ada radio atau TV. Yang utama adalah nak ambik exam. Kalau tak ambil exam, kang tak pepasal tahun depan kena ulang lagi sekali. Itu yang kakak dok gagah juga pergi sekolah kayuh basikal buruk.
Masa kakak pergi tu, jalan belum tenggelam sepenuhnya lagi. Jadi dia sempat pergi sekolah dan exam. Bila dia balik…kawasan dekat dengan rumah kami dah tenggelam. Motor memang dah tak boleh lalu. Basikal apalagi.
Kami dok melongo tunggu dia kat rumah. Masa tu ayah ke bendang tangkap ikan. Musim banjir begitu, kalau tak pergi tangkap ikan keli ke…haruan ke…mana nak dapat sumber ikan? Nak beli telur atau makanan dalam tin macam sardin, kami bukanlah orang senang. Rakyat marhaen, adik beradik pulak ramai…7 orang. Musim hujan, mulut masing-masing asyik lapar aje! Tetiba rasa rindu nak makan makanan masa jadi miskin tegar dulu…poli ubi kayu, ubi rebus, lempeng blab la bla
Sebelum datang musim hujan, kami memang dah siap sedia dengan bekalan ikan masin dan beras agar tidak kebulur. Sebabnya mudah…kalau nak harapkan bantuan banjir macam orang sekarang ni dapat, kira bermimpi di siang harilah. Sepanjang kami merasa erti banjir, kami tak pernah terima walau satu tin sardin, walau sebiji beras walau satu paket magi pun. Itu keluarga kami, keluarga orang lain kami tak tahu!
Dah lambat tunggu kakak tak juga sampai-sampai, Mek suruh kami pergi tunggu simpang depan jalan. Tak adalah jauh sangat, tak sampai 1KM pun, setengah kot. Jadi aku dengan adik pun redahlah hujan pergi sana. Mana ada payung. Tapi masa tu budak lagi kan…bila kena hujan seronok aje. Boleh harung banjir, boleh aje. Sambil tunggu dia kat simpang tu, kami main air.
Lama jugak kami tunggu baru kakak sampai. Rupanya dia dah heret basikal entah berapa kilometer sebab air dah naik cecah jalan. Nak kayuh basikal memang tak larat dan berat. Terpaksa heret je sambil berjalan sambil harung banjir dengan kasut sekolah yang dah berlubang. Kepala je tak basah sebab ada payung…itulah satu-satunya payung yang kami ada huh u huh u yang lain semuanya basah berjeruk.
Kamipun tolak basikal tu sama-sama dan bila sampai rumah kakak memang dah gigil-gigil sejuk. Walaupun begitu, lepas letak basikal kat tempat selamat, hulur alat tulis dia ke rumah…dia main hujan dalam pakaian seragam sekolah lepaskan perasaan sebab dah habis SPM. Kami dua orang apalagi…seronoklah main sama hingga gigil-gigil satu badan ketar biru semuanya kesejukan baru masuk rumah.
Kalau musim banjir tu bersamaan pula dengan selesai musim menuai padi, maka kami ada satu kerja sampingan. Tangkap ikan atau tangkap belalang untuk buat lauk. Sekarang ni mana ada orang tahu macam mana rupa belalang goreng yang sedap itu…budak kampong macam aku yang jenis marhaen ni aje ada pengalaman makan benda-benda eksotik begitu.
Belalang yang ramai pada musim tuai padi akan jinak bila hujan. Senang kami kutip kat batang padi. Kami masukkan dalam botol dan balik rumah kami akan proses untuk masak. Buang bulu dan kaki belakang yang panjang tu. Kalau belalang tu besar (bukan semua jenis belalang boleh makan ya…jenis belalang minyak kat sawah padi ni je), kami buang juga kepalanya. Macam ikan bilis juga…yang kecik tu kita goreng macam tu je…tapi kalau besar kita belah buang najisnya.
Cara masaknya mudah aje. Tumis bawang merah & putih bersama cili giling, masukkan sedikit santan, gula (orang kelantankan wajib ada gula) dan garam. Masukkan belalang, masak api perlahan hingga garing dan rangup. Simpan dalam balang, boleh makan dengan nasi panas.
Kerja tangkap ikan haruan, keli atau ikan puyu di sawah sama ada tahan joran (kami panggil tauk), bubu ataupun kalau ayah, dia suka “menyuluh”. Maksudnya, dia akan guna lampu picit waktu malam untuk kesan ikan, kemudian guna parang untuk tetak ikan tersebut. Biasanya akan dapat ikan yang lebih besar. Kalau nak makan ikan sungai, pergilah tahan pukat kat sungai atau tali air. Dapatlah ikan lampam atau ikan-ikan lain (dah lupa apa nama). Itulah sumber lauk kami sepanjang musim tengkujuh. Tak ada ikan air tawar dan ikan sawah ni baru kami makan ikan masin dengan jimat-jimat.
Selain itu juga, kami akan makan ubi kayu rebus atau ubi keledek (setelo) dengan paling mudah kami rebus. Air tak payah beli, lebih jimat dari goreng atau buat cik Mek Molek. Ada kala pisang rebus. Semua ubi ni kami akan gali bila dah musim banjir yang taklah berapa dalam airnya. Sekali gali hanya satu dua perdu je. Cukup untuk sekali dua rebus. Jadi gotong royong ajelah kami adik beradik. Dan kami tanam masa sebelum banjir lagi dengan jangkaan masa menuai bila tiba banjir…supaya kami tidak akan kelaparan bila musim hujan.
Untuk masak, kami guna kayu api. Masa tu tak ramai orang kampong kami mampu guna dapur gas. Hingga sekarang masih ada dapur kayu itu di dapur rumah kami. Kalau kalian pandai masak menggunakan dapur kayu, kira hebat dan boleh tabik spring hu huhuhu dan sumber kayu keringnya kami akan simpan stok sejak tengah tahun lagi. Bila musim banjir…boleh guna tanpa masalah.
Bila musim tengkujuh, di tempat kami hujan akan berlarutan selama berminggu-minggu. Kalau ada sehari dua cuaca terik, kami sangat bersyukur sebab boleh keringkan kain baju selain dari turunkan paras air di kawasan rumah. Musim ini biasanya musim semua budak-budak duduk dalam rumah. Jarang terlepas untuk main banjir sebab nanti baju basah. Tapi kalau dah nak main banjir, pakai spender je atau bogel terus huh u huh u seksi tak?
Adakala kami menunggu-nunggu juga Mek bagi arahan “pergi cerut (sabit) rumput untuk kambing”, “pergi gali ubi”, “pergi ambil kayu api bawah bangsal”. Selepas selesai setiap tugasan tu kami akan main air banjir jernih itu. Bina rakit batang pisang atau terjun-terjun tepi parit. Tapi Mek selalu ingatkan jangan pergi ke kawasan tertentu yang dalam. Mek selalu cakap kawasan mana kami boleh main. Kalau ingkar arahan, mudah aje…berbirat belakang dapat upah penyapu lidi.
Apa bezanya banjir kami zaman itu dengan zaman sekarang? Pertama airnya jernih. Jadi kami tak rasa jijik dan kotor main air walaupun tetap juga ada najis lembu ayam itik yang dibawa air. Tapi tak adalah berlumpur bagai dengan kaler teh susu macam sekarang.
Kedua, kami bersedia dan kami tak harapkan bantuan orang lain. Sejak aku kecil sampai sekarang, keluarga kami tak pernah menerima walau satu tin sardin atau satu butir beraspun. Kami hidup dengan cara marhaen kami tetapi kami tak kebulur. Mungkin sebab kawasan kami tu tak adalah teruk benarnya bila dilanda banjir.
Ketiga, ayah gunakan inisiatif sendiri untuk dalamkan dan lebarkan parit kawasaan kami. Tebas semak samun rumput dalamnya. Jadi saliran air sempurna. Cepat aje air mengalir ke sungai berdekatan. Lambat sikit untuk air naik ke rumah kami. Malah, jalan raya ke rumah kami itu juga jalan milik persendirian yang kami usahakan sendiri. Tanpa harapkan kerajaan negeri (masa itu BN masa kini PAS) bina untuk kami.
Rumah kami jauh dari rumah orang, berhampiran dengan kubur juga. Dan kubur itu kepunyaan arwah Tok Ayah. Jalan ke rumah kami itu ayah buat sendiri dengan menukarkan secarik tanah kami sendiri dengan tuan tanah-tuan tanah yang terlibat. Kini jalan itu digunakan oleh ramai jiran kami. Sebab jauh dari rumah orang lain jugalah, maka kami menikmati letrik TNB pada tahun 1990. Itupun nasib baik ayah aku tu tak buat sendiri tenaga solar sendiri, kalau tak…tak ada maknanya
kenaikan tariff elektrik yang semua orang dok sibuk sekarang ni. Dan, ayah juga tak mahu terima bekalan air bersih kerajaan negeri kerana dia mempunyai telaga sendiri yang lebih bersih. Otai tak ayah aku? Jadi…jangan nak rasuah dia dengan kebendaan, walaupun dia miskin, dia tak pelahap.
Itu cara kami tinggal di negeri paling miskin itu. Kami miskin tetapi kami buat sendiri apa keperluan untuk mudahkan hidup kami. Kami tak mintak dengan kerajaan negeri (dulu BN sekarang PAS) dan meroyan bila tak dapat. Apa yang aku nampak, tiap kali nak pilihanraya, ramai pemimpin politik pergi rumah kami hulur apa yang kami tak mintak pun untuk beli undi. Dan Mek ayah…tetap menerima tetamu tak kira dari parti politik mana yang pergi tanpa sesiapa tahu dia undi parti mana. Kami pun tak tau depa undi parti mana huh u huh u hebat tak depa?
Mungkin akan ada yang kata “padan muka hangpa…pasai apa hangpa dok pilih pembangkang…pi mampuih la tak dapat bantuan!”.
Untuk makluman, kejadian itu bukannya berlaku pada tahun 2013, tetapi lebih 20 tahun lepas semasa Kelantan di bawah pemerintahan BN yang berkaliber itu. Aku bukan nak politikkan isu banjir, namun itu hakikat yang perlu kami telan. Itu yang kami lakukan. Dan kami, tak juga kaya dari dulu hingga kini…hanya kami menikmati seadanya apa yang kami usahakan. Jadi, bila pemimpin politik kata “kalian tak reti balas budi,”, ayah boleh sahaja berbangga menjawab “Apa budi kalian pada kami?”. Ada sesiapa berani jawab?
Akhir kata, ini
bukan entri tentang politik, bukan juga
politikkan isu banjir, tetapi cerita keluarga kami di negeri paling miskin sana bila harungi hujung tahun sebegini. Dan kami tak pernah merintih tidak cukup itu ini, tidak dibantu itu ini. Kami dah biasa dan dah terlatih untuk menyelesaikan sendiri semua masalah. Kami dah biasa merancang sebelum terjadi. Bezanya banjir kami dengan
banjir di Kuantan yang serius itu adalah…kami dah biasa dan bersedia sebab dah kerap alami. Mereka di Kuantan itu jarang atau tidak pernah merasa banjir sebegitu dan sebesar itu, mereka tidak jangka apalagi bersedia. Mereka juga tidak mampu mengawal situasi semasa seperti: kami dalamkan, besarkan dan terangkan parit berdekatan rumah, mereka tidak boleh lebarkan sungai, parit atau longkang kawasan mereka termasuk sampah sarap yang ada kerana semua itu bidang kuasa pihak berwajib. Kalau hangpa tetiba pi besarkan longkang majlis perbandaran, tetiba kena saman sapa nak jawab?
Semoga mangsa banjir tabah hadapi ujian sebesar ini.
Panjang kan entri ni? Silalah tabah!