Memaparkan catatan dengan label video tsunami di Jepun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label video tsunami di Jepun. Papar semua catatan

Ahad, 13 Mac 2011

Full Video Tsunami di Jepun


Masa aku dengar berita radio Jumaat lepas tentang tsunami di Jepun, aku tak ambil kisah sangat. Ingatkan kecil sahaja. Petangnya baru aku sedar, bencana itu agak besar. Itu yang mendorong aku tulis entri Sabah dilanda Tsunami?, hanya kerana kemungkinan akan berlaku bencana yang sama di Sabah. Niatnya hanya satu: sebarkan maklumat dengan meluas agar lebih cepat diketahui umum. Kalau betul akan berlaku bencana yang serupa di Sabah walaupun mungkin pada skala yang lebih kecil, sedikit sebanyak ramai blogger telah mendapat maklumat melalui blog. Hanya itu sahaja harapan aku.

Malamnya, aku saksikan dalam berita di TV. Hanya sedikit visual ditayangkan. Maklumlah, maklumat belum diterima sangat lagi. Dalam visual seketika itu, hanya nampak bangunan dan harta benda sahaja yang musnah. Tanpa manusia. Kira agak lega juga kerana tidak libatkan ramai orang. Angka yang dikeluarkan ketika itu hanya 200 orang sahaja terbunuh. Esoknya angka meningkat 300 orang. Hanya rasa lagi lega bila dapat tahu 100 rakyat Malaysia di Jepun selamat, terutama para pelajar walaupun yang diketahui hanyalah pelajar tajaan Mara sahaja.

Ketika ini aku masih lagi tidak anggap bencana ini besar dan menyeluruh walaupun semua orang membicarakan hal ini. Sebab utama, angka kematian sangat rendah berbanding kejadian pada 2004. Ini kerana Jepun sebuah negara maju. Rakyatnya dah tahu tentang gempa bumi berkenaan lebih awal. Mangsa 200 orang itu bukan sebab gempa, tetapi sebab tsunami.

Namun, bila aku tengok Full video ini, barulah aku tahu...kawasan tersebut dah jadi Padang Jarak Padang Tekukur. Sama macam tsunami Aceh pada 2004. Saujana mata memandang ranap begitu sahaja. Rapuhnya hasil ciptaan teknologi manusia;



Ini jarak dekatnya yang aku selalu nampak kat TV;

Bila lihat arus pusar sebegini...fuhhhh sangat menakutkan.

Silalah ke youtube untuk dapatkan lebih banyak lagi video terkini. Dah banyak dimuatnaikkan.

Malaysia sangat prihatin dengan musibah ini telah menghantar 6 ekor anjing untuk membantu mengesan mayat, pasukan perubatan dan bantuan yang lain. Mercy juga akan ke sana.

Selain kebocoran radiasi reaktor nuklear yang berlaku di Fukushima yang dikesan berdasarkan peningkatan radio aktif dibebaskan ke persekitaran, Jepun juga berdepan dengan empangan Fukushima yang pecah.

Jepun memang akan lumpuh ekonominya untuk seketika, walaupun aku sangat yakin hanya seketika sahaja. Namun, pada masa yang sama, banyak negara lain juga turut mendapat impak daripada bencana ini seperti negara kita. Ekonomi kita sangat bergantung kepada negara Matahari terbit ini setelah kita amalkan Dasar Pandang Ke Timur.

Paling mudah, di negara kita pun banyak kilang-kilang elektronik dan segala macam kilang yang tenaga kerjanya dah tentulah warga Malaysia selain Indonesia dan Bangla (Itu baru kilang). Kalau Jepun bermasalah, dah tentu kita juga turut bermasalah. Kalau mereka tutup kilang di negara kita, bayangkanlah berapa ramai penduduk negara kita akan kehilangan pekerjaan. Sangat ngeri untuk membayangkannya, tambah lagi pada ketika semua barang telah naik harga ini.

Gempa bumi yang berlaku berulang-ulang kali di Jepun, seterusnya tsunami hebat ini menyebabkan lebih 17 negara lain di dunia mengeluarkan amaran tsunami di negara Masing-masing. Kepada saudara (adik) Kazen yang meninggalkan komen di entri aku yang lepas itu, harapnya lebih mendalami ilmu mantik dan bahasa. Silalah fahami makna yang berlapis-lapis sebalik ayat berkenaan.

Ini entri terakhir aku tentang tsunami. Aku janji!

Jumaat, 11 Mac 2011

Sabah dilanda Tsunami?

Masa dengar berita tengahari tadi, aku tak peduli sangat pasal gempa bumi yang berlaku di Jepun. Berita jam 5 petang baru aku betul-betul dengar sepenuhnya.

Rakaman televisyen, stesen ootage on public broadcaster NHK, kerosakan teruk akibat tsunami, dengan puluhan kereta, bot dan bangunan dihanyutkan air. Sebuah kapal besar telah dihanyutkan tsunami yang merempuhnya ke arah tembok penahan di bandar Kesennuma, wilayah Miyagi.

Kawasan Sendai


Yang ni lebih jelas sikit;


Tsunami setinggi 10 meter melanda Miyagi.

Di Tokyo, banyak kebakaran. Sebanyak 4 juta kediaman sekitar Tokyo terpaksa bergelap kerana bekalan elektrik telah terputus. Gempa yang berlaku kali ini merupakan gempabumi paling kuat di Jepun dalam tempoh 140 tahun.

Kebakaran besar telah berlaku di loji penapisan minyak di Chiba. Beberapa loji nuklear dan minyak telah ditutup serta merta sebagai langkah keselamatan. Perintah darurat pula dikeluarkan di kawasan loji nuklear Futushima.

Sebuah hotel di Sendai telah runtuh. Usaha menyelamat giat dilakukan untuk mengeluarkan mangsa. Beberapa lebuh raya utama di Jepun juga telah mengalami kerosakan teruk.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 pada skala Richter yang berlaku di pantai Honshu, Jepun pada jam 1.46 petang tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia. Walau bagaimanapun, ketika dihubungi radio Malaysia Klasik Nasional, seorang pegawainya, Puan Zuraidah (kalau tak silap) meminta seluruh penduduk di kawasan Sandakan dan kawasan pantai timur Sabah supaya berhati-hati dan menjauhi kawasan pantai antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam kerana dijangkakan akan berlaku ombak besar dan kenaikan aras laut.

Kalaupun tsunami tidak berlaku di bahagian pantai Sabah, kemungkinan untuk berlaku kenaikan aras laut dan angin kuat tetap ada dengan peratusan berlaku tsunami dianggarkan 30 peratus sahaja. Jadi, kepada penduduk Sabah terutama di kawasan pantai, sila berhati-hati. Elak dan cegah itu lebih baik dari ubatinya.

Kemaskini:
Berita Utama jam 8 malam tadi menyatakan, Bahagian GeoFizik dan Tsunami Malaysia mengesahkan bahawa tidak akan berlaku tsunami di Sandakan dan sepanjang pantai di Timur Sabah.

Alhamdulillah. Apa-apapun, kuasa Allah itu lebih besar daripada jangkaan manusia. Nak selamat, tak payahlah pergi laut dan pantai malam ni ya...tangguh dulu pergi esok. Lagipun, memalam macam ni banyak nyamuk!

PsssT: China yang dilanda gempa sehari sebelum tu, awal-awal lagi dah beri amaran tsunami kepada rakyatnya. Begitu juga Filipina dan Indonesia.