Memaparkan catatan dengan label masjid Baitul Rahman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masjid Baitul Rahman. Papar semua catatan

Isnin, 8 Mac 2010

Keindahan Masjid di Aceh

Masjid tidak sekadar menjadi rumah ibadat yang perlu dibanggakan. Pada masa yang sama, masjid mempunyai nilai kesenian yang tersendiri, memaparkan keindahan, nilai seni dan kehalusan ukirannya. Kita memang berbangga dengan masjid-masjid di Malaysia yang besar, indah dan tersendiri seperti masjid kristal nan terapung di Trengganu, masjid Shah Alam, masjid Putrajaya, malah mana-mana masjid terkemuka di negara kita. Setiap kali kita melangkah ke dalamnya, kita pasti akan rasa bangga dengan keindahan, keunikan, keteguhan, dan keselesaannya.
Masjid Baitul Rahman yang sedang giat dibesarkan.

Jika anda berkunjung ke Aceh, hati tentu akan terpegun dengan keindahan dan kesenian yang ada pada setiap masjid di Serambi Mekah itu.Masjid-masjid di Aceh tidak mendapat dana daripada pemerintah. Jadi, khariah di kawasan berkenaan perlu mencari inisiatif sendiri untuk dapatkan dana bagi pembinaannya. sepanjang penjelajahan dari Banda, di Aceh, melewati Lhoksamawee hingga akhirnya tiba di Langsa sejauh hampir hampir 500km, aku tidak pernah menemui biarpun satu masjid yang kecil binaannya, melainkan sangat besar tersergam. Sebahagian daripada masjid-masjid ini masih lagi dalam pembinaan. Mereka mendapat dana hasil sumbangan orang ramai, termasuk tapak untuk binaan. Selebihnya adalah kerja keras ahli kariah memungut derma secara sukarela, termasuklah dengan cara berdiri di tengah-tengah pembahagi jalan (line putih), menahan setiap kenderaan yang melalui jalan tersebut dan memohon derma. Dah lah depa bawa kereta memang laju, risiko untuk kena langgar tu memang tinggi. Keistimewaan masjid-masjid di Aceh terletak kepada reka bentuknya yang penuh dengan kesenian tempatan. Terdapat banyak tiang-tiang yang besar memegang bumbung dengan ukiran dan bentuk yang pelbagai. Sebahagian besar masjid ini pula hanya mempunyai dinding pada bahagian mengadap kiblat sahaja, bahagian lainnya dibiarkan tanpa dinding. Sesiapa sahaja boleh masuk ke dalam bangunan masjid dari mana-mana arahpun. Tak timbul masalah perlu solat di kaki lima masjid kerana pintu masjid berkunci rapat.
Di bawah adalah Musolla yang terletak berhampiran dengan makam Tun Sri Lanang. Kami tiba pada waktu senja, ketika azan berkumandang memecah keheningan. Pembahagian antara tempat solat muslimin dan muslimat pula adakalanya sangat rendah dan terdedah. Memang nampak muslimah yang solat di bahagian belakang. Kita tak biasa macam tu, jadi rasa janggal pula. Tambahan pula untuk aktiviti kemaskan diri selepas selesai solat. Nak betulkan tudungpun rasa kekok, apalagi kalau nak tambah lipstik. Nak baring sesaat dua lagilah tak akan buat. Kelainan yang lain; kamar kecil di bahagian wanita dalam beberapa buah maasjid di Aceh ada sedikit persamaan dengan kamar kecil di masjid Nuiji, Beijing (sekitar tahun 2002. Menurut Cik Bintang, semasa dia ke sana pada 2009, kamar kecil di masjid Nuiji sudahpun ada perubahan. Normal macam di Malaysia). Kamar kecil itu tidak berpintu. Begini rupanya; Agak kekok sedikit untuk kita buang air kecil bila begini reka bentuknya. Apalagi kalau orangnya macam aku, ada orang melintas di sekitar tandas yang tertutup pintupun boleh merencatkan aktiviti dalam kamar kecil itu, apalagi kalau terbuka sebegini. Entah bagaimanalah nanti.

Walaupun begitu, ada dua persamaan antara masjid di Aceh dan di Malaysia. Pertama; sebahagian besar telekung di semua masjid yang kami singgah di Serambi Mekah ini juga berbau, hapak dan tidak begitu selesa untuk digunakan. Kedua, tahap kebersihan di bilik air disebahagian besar masjid ini tidak begitu memuaskan berbanding di masjid Putrajaya atau masjid biru di Shah Alam. Hal sebegini berlaku mungkin kerana pengurusan mereka tidak begitu teratur berbanding di beberapa buah masjid negara kita yang lebih terurus.

Dahlah ya, lain kali sambung bila rajin.

Khamis, 4 Mac 2010

Setelah 6 Tahun dibadai Tsunami


Tsunami yang membadai jadikan Aceh bagai Padang Jarak Padang Tekukur. Ranap. Musnah. Hancur. 2004 bagai tahun celaka. Di mana-mana sahaja ada mayat. Di mana-mana sahaja ada keluarga yang masih lagi tercari-cari anggota keluarga yang hilang. Dan ada antaranya, belum lagi menemui mayat orang yang dicintai hingga kini. Hilang tanpa jejak, dipanggil tanpa tinggalkan makam.
Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda yang baru

Aceh yang bergelora ketika itu, bagaikan terhenti denyutnya seketika. Hanya ada ratap tangis. Hanya tinggal keluh resah duka nestapa. Yang mati, mayatnya bergelimpangan hingga berbulan baru disemadikan. Yang tinggal, tetap juga kalut dikejar mimpi ngeri dan trauma. Kini, sesudah 6 tahun, bumi Aceh kujejaki untuk pertama kalinya dalam hidup. Sesudah 6 tahun mereka meratap tangis dalam duka, wajah Aceh terlalu asing bagiku yang sebelum ini hanya kutatap dikaca TV; ketika itu kosong dan lapang dalam puing yang berantakan.

Ketika menatap keluar dari pesawat, mata tertegun dengan hijau kawasan padinya yang terhampar. Saujana mata memandang. Di bahagian utaranya Selat Melaka membiru. Saat kaki melangkah keluar, mata tertancap terminal lapangan terbang antarabangsa Iskandar Muda yang menyambut kami. Memang tidak percaya. Agam. Tersergam idah. Penuh dengan infrastruktur dan kemudahan moden (masih baru lagi beroperasi, banyak toko-tokonya masih lagi kosong). Sepanjang perjalanan ke hotel di tengah Banda, Aceh, mata kami acap kali terbeliak menyaksikan pembangunan yang sangat pesat. Tiada sedikitpun kesan tsunami yang dapat kami kesan. Bangunan-bangunan yang tersergam itu besar-besar belaka, lalu lintasnya sibuk dengan kenderaan (tetapi penghuninya lebih sopan dan bertertib sedikit berbanding di Bandung: yaaaa ampun, maafkan aku kalau perbandingan sebegini akan menyakitkan hati antara kalian, namun sekadar berkongsi rasa sahaja). Disetiap bulatan, didirikan replika dalam pelbagai bentuk (pengaruh Belanda masih lagi tertinggal di sini).
Kita juga akan dapat lihat begitu banyak masjid yang sebesar-besar alam didirikan di setiap ceruk di Aceh ini. Besar. Cantik. Indah. Mengagumkan. Lebih penting, pembinaan masjid ini adalah usaha persendirian khariah berkenaan tanpa bantuan daripada pihak pemerintah sedikitpun termasuk tapak untuk pembinaannya. Semuanya berdasar sumbangan orang ramai. Ini menyebabkan jangka masa pembinaan masjid-masjid ini memakan masa yang sangat panjang untuk disiapkan. Anak-anak mudanya pula sangat berinisiatif mengutip derma untuk pembinaan masjid. Meraka akan berdiri di tengah-tengah jalan (atas garisan putih) bersama gayung atau baldi yang akan dihulurkan kepada setiap kenderaan yang lalu.

Aku berpeluang bertemu dengan salah seorang imam masjid Baitul Rahman, Prof. Dr. Azman Ismail. Beliau adalah bekas pensyarah berjawatan profesor di salah sebuah universiti di Banda, Aceh sebelum pencen dan menjadi Imam di masjid ini (sebelum tsunami hingga kini). Menurutnya, masjid ini di bina pada zaman Sultan Iskandar Muda lebih 400 tahun lampau. Masjid ini pernah diruntuhkan, dan pernah juga dibangunkan oleh Belanda untuk menarik orang Islam supaya menerima Belanda.

Tsunami menyebabkan masjid ini retak di sana sini walaupun sebahagian besar bentuk fizikalnya masih lagi utuh. Perpustakaan yang terletak di tingkat bawah masjid ini juga turut rosak bersama khazanahnya. Perpustakaan ini kemudiannya telah dibaiki kerajaan Brunei dengan buku-buku di dalamnya disumbangkan kerajaan Malaysia dan Singapura. Pagarnya pula baru sahaja dibina selepas berlaku tsunami, mendapat bantuan dari Singapura, Malaysia dan Aceh sendiri berdasarkan sumbangan orang ramai. Kini, masjid ini masih lagi dalam proses pembesarannya. Bekalan elektrik telah terputus, mereka gunakan enjin yang akan dihidupkan pada masa solat sahaja, manakala airnya diambil dari sumur berdekatan (dipam).
Kawasan petempatan mangsa tsunami yang diberikan dikenali sebagai kampung Jackie Chan sempena nama artis berkenaan yang telah membangunkan kawasan ini. Namun akhirnya, petempatan i ni dijual kepada orang lain kerana letaknya di kawasan bukit dan agak jauh dari pusat bandar.
Kapal janakuasa elektrik yang berada di tengah laut, didamparkan di kawasan perumahan. Beberapa buah rumah dipercayai terbenam di bawahnya.
Sesayup mata memandang datangnya kapal ini...
Menurut Imam masjid, pada hari berlaku tsunami tersebut, di sekeliling masjid terdapat banyak mayat. Kenderaan dan runtuhan bangunan bergelimpangan. Masjid tidak dapat digunakan selama 7 hari. Tiga orang Imam masjid dan seorang muazin juga turut terkorban dalam tragedi tersebut (di kawasan masing-masing, bukannya dalam kawasan masjid). Pada hari Jumaat selepas berlakunya tsunami, masjid masih lagi tidak dapat digunakan untuk solat Jumaat kerana masih banyak mayat dan darah. Mayat-mayat ini hanya di simpan di dalam masjid tetapi belum lagi dikapankan. Pada malam ke 13, masih lagi ada mayat di kawasan masjid. Mayat-mayat ini dikumpulkan NGO dan pemerintah, dihitung dan dibawa ke mobil untuk dikebumikan di perkuburan Masal (kubur besar). Terdapat beberapa kuburan masal telah dibina yang setiap satu daripadanya memuatkan berpuluh ribu mangsa tsunami dalam satu liang lahad. Jumlah keseluruhannya dianggarkan 46, 817 jenazah. Lebih sejam mendengar perkisahan tentang tsunami yang telah menjadi sejarah itu, kami diajukan dua persoalan yang tidak dapat kami jawab;
1. Mengapa semua kuasa barat berlumba-lumba untuk membantu Aceh berbanding Sri Lanka atau negara lain?
2. Setelah menyaksikan azab yang sengeri itu, mengapa manusia begitu mudah untuk lupakannya? Kalau dahulu lalai, kini kelalaian itu diulangi lagi. Dahulu mereka tidak titikberatkan hukum Allah, kini masihkah mahu dilakukan juga?


Coretan ini sudah terlalu panjang. Sempena maulidur rasul yang mulia ini, jom sama-sama kita fikirkan semula apa yang sepatutnya dan yang tak patut kita lakukan dalam jengkal usia nan kian pendek.