Memaparkan catatan dengan label Tanah Suci Mekah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tanah Suci Mekah. Papar semua catatan

Sabtu, 27 November 2010

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Ketiga

Entri ini adalah sambungan entri terdahulu di Pertama: Perantau Balik Beraya. Sesak Itu Indah, Kedua: Acara Qurban Dijalankan Secara Persendirian

Aidiladha juga disambut dengan meriah di Kelantan kerana;

Ketiga: Walaupun Tak Mampu Pergi Haji, Ganti dengan Qurban

Semua orang Islam bercita-cita untuk jejakkan kaki ke tanah suci Mekah. Ada ke yang tak nak? Sila angkat tangan ya kepada sesiapa yang tak mahu pergi ke sana biarpun hanya sedetik.

Walau bagaimanapun (ceeeewah formal bebenor pulak lah ayatnya!) Bukan semua orang ditakdirkan mempunyai keupayaan dari segi kewangan, fizikal dan mental. Macam aku sendirpun, walaupun orang nampak selalu sahaja pergi merata ceruk Malaysia (dunia belum habis ceruk lagi pergi…hanya dua tiga inci sahaja pernah jejak), namun semua itu dengan urusan kerja. Bila namanya pergi sebab kerja, maka perbelanjaannya Kerajaan Malaysia yang tanggung. Hakikat sebenar, aku masih belum layak untuk menunaikan umrah atau haji kerana: masih dikelilingi hutang piutang. Hutang belajar belum bayar, hutang yuran pengajianpun masih tertunda seribu (sahaja) tetapi awal tahun depan akan menjadi dua ribu pula sebab dah mula semester baru, hutang itu hutang ini…kalau ikut perkiraan aku…hingga 2018 baru separuh hutang berjaya aku langsaikan. Itupun setelah membayarnya dengan gigih setiap bulan dengan jumlah yang tetap.

Jadi, bagaimana nak jejak kaki di Tanah Haram itu? Nak jual tanah (macam yang selalu orang kita buat), aku hanya ada beberapa pasu tanah sahaja di depan rumah. Itupun dah tanam bunga. Ada 6 pasu lagi masih kosong belum isi tanah. Buat loan? Berhutang lagi! Layakkah orang yang dikelilingi hutang macam aku ni mengerjakan umrah dan haji?






Bila tak mampu untuk mengerjakan Haji atau Umrah, sebahagian besar daripada kita akan melakukan ibadah Qurban. Banyak hikmahnya. Tinggi nilainya bila dilakukan dengan ikhlas. Janganlah pula jadi ibadah qurban macam dalam cerita Habil dan Qabil pula ya…semua orang memang dah tahukan kisah tu? Jangan kata Habil dan Qabil yang pernah tayang di tv3 tu sudahlah ya! Nak kena luku tu!

Apa yang aku nak ketengahkan di sini adalah, ibadah Qurban yang dilakukan ini BUKANnya GANTI ibadah Haji, iaitu tak payah pergi haji. Maksud aku di sini adalah, kita tak mampu nak pergi Haji setiap tahun, tetapi kita mungkin mampu untuk laksanakan ibadah Qurban ini kerana kosnya tidaklah setinggi nak pergi haji. Karang ada pulak yang kata aku sebarkan ajaran sesat pulak kang…ni bukan ajaran dari Kerajaan Langit ya.





Bila lakukan ibadah Qurban, saat paling syahdu adalah semasa niat, iaitu ketika darah binatang korban tersebut mengalir dan proses jual beli yang berlangsung sebelumnya. Masa melapah, memasak atau makan tu tak rasa apapun. Rasa kenyang je kalau terlebih makan. Kalau zaman aku kecil dahulu, mungkin masa itu ramai yang berpendapatan rendah, sangat seronok bila musim Aidiladha ini. Walaupun kami tidak mampu lakukan ibadah Qurban, atau lakukannya sekali sekala sahaja, namun…mendapat daging pemberian orang lain memang sangat mengujakan. Dapatlah merasa sekali sekala makan daging yang elok sedikit berbanding kalau beli sendiri. Hanya daging-daging yang berkualiti rendah (berurat-urat), lemak (ayah dan abang sangat sukakan lemak berwarna kuning hingga sekarang) dan bahagian yang orang lain tak suka seperti kaki, yang mampu kami rasa.

Apabila lakukan ibadah sebegini, terutama bila ada ahli keluarga terdekat dan jauh pergi mengerjakan Haji pada tahun tersebut, masing-masing akan berlumba-lumba untuk melakukannya. Ada yang buat ibadah Qurban untuk diri sendiri, untuk mak ayah, untuk aqiqah anak, kenduri arwah dan sebagainya. Maklumlah setahun sekali sahaja. Kalau boleh buat ramai-ramai, rasa seronok juga. Sebab itu jadi lebih meriah. Kat Mekah meriah dengan suasana baru, rupa bentuk bangunan baru dah meriah juga dengan orang juta-juta lemon, kat Kelantan meriah pula dengan sembelih lembu.




Di Kelantan, kesedaran untuk lakukan ibadah Qurban ni memang sangat tinggi. Walaupun kerja sendiri seperti buat bendang, menoreh atau berniaga kecil-kecilan, apabila sampai je bab melakukan ibadah Qurban ni, mereka macam tak kesah dan mampu aje. Kalau tengok rumah mereka, ada yang nampak nak roboh. Tak ada kenderaan pun, walau motor buruk (ada lagi ke yang tak ada motor buruk?). Menjual di Pasar Siti Khadijah tu pun kat tepi tangga sahaja. Bawa kelapa dua tiga biji, bunga kantan satu plastik, sayur-sayur kampung…habis sahaja hasil jualan untuk hari itu, mereka akan balik. Tak ada niatpun nak tambah lagi banyak-banyak untuk jadi kaya cepat (ini cerita mak cik aku, seorang janda. Dia berjualan hanya isi masa hariannya dan untuk keperluan harian sahaja. Nampak macam tak ada cita-cita tapi akaun dia lebih tebal dari aku sebab dia ada tanah getah yang orang lain usahakan. Hasil jualannya itu hanya untuk makan hari itu sahaja. Dia kena kerja sebab dah biasa kerja sejak muda)

Kesedaran untuk melakukan ibadah Qurban inilah menjadikan ramai orang di Kelantan menyertai acara ini. Sekiranya anda jelajah negeri Kelantan pada Aidiladha, anda akan temui ibadah Qurban ini dilakukan di merata tempat. Dibuat secara persendirian juga, bukannya diuruskan mana-mana organisasi di kampung atau daerah. Mungkin orang kampung pun dah tak larat nak tubuhkan AJK sebab kalau dikumpulkan semua satu kampung, berkemungkinan akan ada berpuluh ekor lembu atau kerbau (biasanya lembu) perlu dikorbankan. Letih tu. Boleh meninggal AJK nak uruskan.

Mengenang meriahnya Aidiladha, rasa sangat berbaloi untuk bersesak balik kampung walaupun hanya ditemani awan gemawan sahaja.