Dulu,
aku tak adalah fikir bukan-bukan bila gunakan perkhidmatan udara untuk pergi
mana-mana. Kadang-kadang bagasi tak
letak manggapun tetapi ikut situasi semasa, kita letak mangga berderetpun orang
yang pakar ni boleh aje selinap buka bagasi kita. Lupa dah kat mana aku tengok
video youtube tunjuk betapa mudahnya untuk buka bagasi kita walaupun bermangga
bagai. Dan kita tak tahu pun bagasi tu dah kena buka!
Dulu,
kita risau barang hilang sebab tu kunci bagasi. Sekarang ni, tambah lagi satu
kerisauan iaitu risau kalau ada orang masukkan barang tak tentu dalam bagasi
kita. Tak pepasal kita pulak yang kena. Dah banyak kes jadi. Siakap keli awal
minggu pun ada siarkan pengalaman sepasang suami isteri hampir jadi mangsa bila
orang tak dikenali minta daftarkan bagasinya atas nama mereka.
Beberapa
tahun dulu aku kerap bertugas di Kuching dan Kota Kinabalu. Bila pergi sebab
bertugas, ada masanya tak bawa bagasi besar gedabak pun, cukup hanya dua tiga
helai pakaian yang boleh bawa masuk ke dalam pesawat sahaja. Jadi, bagasi tu
tak gunapun.
Satu kali
tu di lapangan terbang Kuching, masa nak daftar masuk untuk balik KL aku nampak
ada dua orang pakcik tengah sembang fasal lebihan bagasi untuk anaknya yang
akan sambung belajar di Jordan atau Mesir tah. Budak lelaki. Suci murni je
wajahnya. Berat bagasi yang dibawa ikut timbangan berat untuk penerbangan
antarabangsa, sedangan dia perlu guna penerbangan domestik ke Kuala Lumpur dahulu.
Kiranya terlebih dalam 10kg begitulah. Banyak juga nak kena bayar tu.
Tak fikir
panjang, aku terus dekati mereka dan bagi salam. Tanya apa masalah mereka,
kemudian tawarkan untuk gunakan had bagasi aku yang tidak digunakan pun itu. Awalnya
mereka berat hati nak terima, katanya karang timbangan bagasi aku pula yang tak
cukup. Bila aku tunjukkan beg kecil yang aku bawa dan beritahu hanya itu sahaja
bagasi aku dan beg itu akan dibawa masuk pesawat, mereka bersetuju dengan wajah
berseri-seri.
Di kaunter
daftar masuk aku beritahu petugas hal tersebut. Biasanya bagasi adik tu akan
didaftarkan atas nama aku, tetapi bagasi adik tu telah didaftarkan semuanya
atas nama adik tu. Alhamdulillah. Mungkin petugas tu jugak dah jatuh cinta
dengan wajah bersih adik tu nak sambung belajar. Dan Allah dah mudahkan urusan
adik tu.
Bila
fikirkan semula dan baca banyak kisah bagaimana rakyat negara kita tertipu
dijadikan keldai dadah, aku jadi insaf dengan kebendulan diri sendiri. Namun,
untuk kes adik tu, aku tak menyesal bantu dia. Melihatkan keluarganya, wajahnya
sendiri...dah menampakkan hatinya.
Kawan-kawan,
bila travel, sila beringat dengan bagasi. Kalau rasa patut balut dengan plastik
tu...balutlah. Bukan sahaja supaya barang berharga dalam bagasi tak hilang tapi tidak juga
dimasukkan baranganan seperti dadah dll. Sekarang ni, bukan dalam filem sahaja
wujud benda-benda begini, tapi dah banyak berlaku dalam dunia nyata. Tak pepasal
masuk ke dalam dengan salah yang tidak kita lakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan