Isnin, 30 Jun 2014

Benci Pandang Pertama

Ramadhan ke dua.

Orang selalu sebut tentang cinta pandang pertama. Mendapat panahan cinta saat kali pertama mata saling berpandangan, rasa pun berubah dari mata turun ke hati.

Pernah jumpa kes benci pandangan pertama? Aku pernah alaminya.

Dalam satu bengkel, aku dapati seorang peserta perempuan ni selalu bercakap sinis denganku. Suka menyindir-nyindir dan bercakap jenis pukul anak sindir menantu. Dia sedaya upaya cuba cari peluang untuk hentam aku tak kira keadaan. Baginya satu kepuasan pula bila aku terkebil-kebil tak faham dengan gelagatnya itu.

Kursus tu ambik masa beberapa hari. Aku memang tak akan bertikam lidah dengan orang-orang yang bawa aura negatif. Aku tak mahu terjangkit aura tak baik itu. Namun, dia akan sedaya upaya untuk dekati aku semata-mata nak sembur aku dengan ayat-ayat sindir pesannya itu. Apa yang boleh aku buat kecuali senyum. Jahat benar aku pada pandangan matanya, sedangkan kami tak pernah jumpa pun sebelum itu.

Sebenarnya, aku juga pelik kenapa dia sentiasa cari hal dengan aku aje. Apa salah aku pada dia kerana selama ini seingat aku itulah kali pertama kami bertemu. Dia bukannya kenal aku pun, setelah sebut namaku barulah dia jadi begitu. Anehnya, dengan orang lain dia tak ada masalah itu, hinggakan ada peserta lain menyedari sikap aneh dan peliknya itu.

Di akhir bengkel itu, dia membuat pengakuan bahawa “aku” yang dia kenal itu begitu berbeza dengan apa yang dia diberitahu. Terkejut badak sekejab. Nampak benarlah ada orang sedang menyebarkan berita tak benar tentang aku, dan dia pula dah terpedaya dengan cerita itu.

Dia minta maaf. Katanya aku tidak sebegitu. Dan dia hairan mengapa “orang itu” yang barangkali aku kenal barangkali aku tak kenal sebarkan cerita sebegitu. Dan aku pula tidak tanyakan pun siapa si pembawa mulut itu. Bukan tak mahu tahu siapa empunya angkara, tetapi aku kesian dengan dia ini yang sangat-sangat menyesali apa yang telah dilakukannya kepada aku. Dah tentu pandangannya kepada si pembawa berita dah jadi lain.

“Awak tak nak tahu ke siapa yang bawa mulut?” dia macam tahu aje apa yang bergelodak di dasar hati aku ni. 

Sebenarnya sangat sangat nak tahu, tapi waktu tu aku hanya senyum dan kata “Kalau saya tahu siapa dia, dah tentu saya akan bermusuh dengan dia…saya juga akan tanamkan hal yang buruk juga tentang dia. Benda macam ni akan berlarutan sampai bila-bila,” nasib baik setan tak cucuk masa tu.

Aku nampak matanya merah dan dia tertunduk. Ya, aku tak tahu siapa penyebar fitnah itu. Namun aku tahu, hati orang ini telah berjaya aku curi. Sudah pasti juga kepercayaan dan tanggapannya kepada si penyebar fitnah itu juga sudah berubah.

Kami berpisah dengan peluk-peluk gesel pipi. Dan kini, aku sudah lupa siapakah orang itu. Bukankah itu yang terbaik?

Apa kata, di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita jauhi sikap syak mengesyaki, buruk memburuk dan fitnah menfitnah. Dengan satu ayat sahaja mampu membawa kita lebih dekat dengan syaiton nirrajim.




4 ulasan:

makcikkantin berkata...

susah kan kalu ada penyucuk ni....kadang hidup tàk senang di buatnya.
you hv done right, congrats

azieazah berkata...

Allahuakbar. Sampai hati dia. Sampai hati orang itu. Geram la pulak kita!

Nor Azimah Ali berkata...

tindakan yg anyss ambil tu sangat betul, kalau kita tahu siapa yg buat cerita buruk tu, mungkin kita plak akan berdendam dalam diam-diam, hati kita jadi lain terhadap dia.

moga dilindungi Allah selalu

Nor Azimah Ali berkata...

moga kita dipandu Allah selalu dalam mendidik hati.