Jumaat, 8 November 2013

Kenali Rakan Bila Bermusafir

 
Orang kata, ketika bermusafirlah kita akan kenal siapa rakan kita. Betul ke?

Betullah kot! Bijak pandai mengatakannya begitu. Rasulullah s.a.w melarang bermusafir seorang diri.

Pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya,

“Apakah engkau kenal lelaki itu?”

Pemuda itu menjawab, “Tidak ya amirul mukmimin.”

Saidina Omar bertanya lagi. “Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?” Orang itu jawab, “Tidak pernah,”

Lalu bertanya lagi Saidina Omar, “Apakah engkau pernah berjiran dengannya? Orang itu menjawab,’Tidak pernah.’

Lantas ditanya Omar lagi, “Macam mana engkau kenal dia?

Dijawab si pemuda. Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik.’

Omar berkata, “Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya.”

Terima kasih Cik Bintang, jadi seorang sahabat yang baik. Semasa di Seoul tempoh hari, kami berkenalan dengan Zu dan Yam dalam perjalanan ke Namimara Republic (Pulau Nami). Esoknya, mereka ikut kami ke Pergunungan Soerak pula (Soerak-san).

Menghabiskan masa dua hari mengenali masing-masing adalah pengalaman yang indah juga. Ada kala kita tak pernah sangka boleh kenal, baik dan menikmati kesukaan yang sama padahal sebelum ini (semasa di bumi Malaysia) tidak pernah tersua pun. Akhirnya, mereka kongsikan tentang pengembaraan mereka di Seoul yang teruji dengan erti persahabatan.

Bagi aku mudah sahaja. Mengembara memang menguji banyak perkara. Masa inilah kita lebih faham tentang rakan kita. Masa inilah rakan kita itu akan faham tentang kita. Kalau hanya asyik kita sahaja yang berusaha untuk memahami dia, mendahului semua keinginannya, maka di mana pula erti persahabatan itu?

Hidup perlu memberi dan menerima. Saling memahami. Kalau kita mahu diri difahami, luangkanlah masa sesaat untuk memahami rakan kita itu. Tak kan semuanya kita sahaja nak menang? Tak kan hanya keinginan kita sahaja mahu dipenuhi?

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
 
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk"
 
 
Jika terdapat sahabat bersikap memusuhi, mengkhianati, bermasam muka dan seumpamanya akibat daripada tidak puas hati dan tidak mampu bertoleransi, makanya, buangkan sahaja dia dari hidup kita. Tak rugipun. Semasa kita tak punya masalahpun dia sudah tunjukkan belangnya, secara pasti…ketika kita bermasalah dan perlukan bantuannya satu ketika nanti, memang sah dia antara orang yang tidak boleh diharapkan langsung. Belum apa-apa lagi dia sudah gagal menjadi seorang sahabat yang baik.


Al-Qamah al-Attaridi pernah wasiatkan kepada anaknya;

Wahai anakku! Jika kamu dihadapkan pada suatu keperluan untuk bertemankan seseorang, maka bertemanlah dengan orang yang apabila engkau melayaninya nescaya dia menjagamu. Apabila kamu menemaninya, dia mempertimbangkan penghargaan kepadamu. Jika engkau memerlukan satu perbelanjaan, dia menyediakannya. Berkawanlah dengan orang yang apabila kamu menghulurkan tangan kepadanya dengan suatu kebaikan, dia akan menghulurkan tangannya juga. Jika dia melihat kebaikan padamu, dia akan menghargainya. Jika dia melihat suatu keburukan padamu, dia menutupnya. Berkawanlah engkau dengan orang yang apabila engkau memintanya, dia akan memberi kepadamu. Jika engkau diam, dia memulakan bercakap denganmu. Jika engkau ditimpa bencana, dia menolong kamu. Berkawanlah engkau dengan orang yang apabila engkau bercakap, dia membenarkan perkataanmu. Jika engkau berdua saling berusaha tentang sesuatu perkara, dia mementingkan urusanmu. Jika engkau berdua berselisih, dia mengutamakan engkau”



Hishhhh! Panjang lah pulak entri ni. Kita sambung lain kali je lah ya…
 
 
 
 
 
 

1 ulasan:

eelobor berkata...

kita pun belum berkenalan lagi nih.... bilo nok singgoh mmari make alah kut nim pulok?