Khamis, 4 Mac 2010

Setelah 6 Tahun dibadai Tsunami


Tsunami yang membadai jadikan Aceh bagai Padang Jarak Padang Tekukur. Ranap. Musnah. Hancur. 2004 bagai tahun celaka. Di mana-mana sahaja ada mayat. Di mana-mana sahaja ada keluarga yang masih lagi tercari-cari anggota keluarga yang hilang. Dan ada antaranya, belum lagi menemui mayat orang yang dicintai hingga kini. Hilang tanpa jejak, dipanggil tanpa tinggalkan makam.
Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda yang baru

Aceh yang bergelora ketika itu, bagaikan terhenti denyutnya seketika. Hanya ada ratap tangis. Hanya tinggal keluh resah duka nestapa. Yang mati, mayatnya bergelimpangan hingga berbulan baru disemadikan. Yang tinggal, tetap juga kalut dikejar mimpi ngeri dan trauma. Kini, sesudah 6 tahun, bumi Aceh kujejaki untuk pertama kalinya dalam hidup. Sesudah 6 tahun mereka meratap tangis dalam duka, wajah Aceh terlalu asing bagiku yang sebelum ini hanya kutatap dikaca TV; ketika itu kosong dan lapang dalam puing yang berantakan.

Ketika menatap keluar dari pesawat, mata tertegun dengan hijau kawasan padinya yang terhampar. Saujana mata memandang. Di bahagian utaranya Selat Melaka membiru. Saat kaki melangkah keluar, mata tertancap terminal lapangan terbang antarabangsa Iskandar Muda yang menyambut kami. Memang tidak percaya. Agam. Tersergam idah. Penuh dengan infrastruktur dan kemudahan moden (masih baru lagi beroperasi, banyak toko-tokonya masih lagi kosong). Sepanjang perjalanan ke hotel di tengah Banda, Aceh, mata kami acap kali terbeliak menyaksikan pembangunan yang sangat pesat. Tiada sedikitpun kesan tsunami yang dapat kami kesan. Bangunan-bangunan yang tersergam itu besar-besar belaka, lalu lintasnya sibuk dengan kenderaan (tetapi penghuninya lebih sopan dan bertertib sedikit berbanding di Bandung: yaaaa ampun, maafkan aku kalau perbandingan sebegini akan menyakitkan hati antara kalian, namun sekadar berkongsi rasa sahaja). Disetiap bulatan, didirikan replika dalam pelbagai bentuk (pengaruh Belanda masih lagi tertinggal di sini).
Kita juga akan dapat lihat begitu banyak masjid yang sebesar-besar alam didirikan di setiap ceruk di Aceh ini. Besar. Cantik. Indah. Mengagumkan. Lebih penting, pembinaan masjid ini adalah usaha persendirian khariah berkenaan tanpa bantuan daripada pihak pemerintah sedikitpun termasuk tapak untuk pembinaannya. Semuanya berdasar sumbangan orang ramai. Ini menyebabkan jangka masa pembinaan masjid-masjid ini memakan masa yang sangat panjang untuk disiapkan. Anak-anak mudanya pula sangat berinisiatif mengutip derma untuk pembinaan masjid. Meraka akan berdiri di tengah-tengah jalan (atas garisan putih) bersama gayung atau baldi yang akan dihulurkan kepada setiap kenderaan yang lalu.

Aku berpeluang bertemu dengan salah seorang imam masjid Baitul Rahman, Prof. Dr. Azman Ismail. Beliau adalah bekas pensyarah berjawatan profesor di salah sebuah universiti di Banda, Aceh sebelum pencen dan menjadi Imam di masjid ini (sebelum tsunami hingga kini). Menurutnya, masjid ini di bina pada zaman Sultan Iskandar Muda lebih 400 tahun lampau. Masjid ini pernah diruntuhkan, dan pernah juga dibangunkan oleh Belanda untuk menarik orang Islam supaya menerima Belanda.

Tsunami menyebabkan masjid ini retak di sana sini walaupun sebahagian besar bentuk fizikalnya masih lagi utuh. Perpustakaan yang terletak di tingkat bawah masjid ini juga turut rosak bersama khazanahnya. Perpustakaan ini kemudiannya telah dibaiki kerajaan Brunei dengan buku-buku di dalamnya disumbangkan kerajaan Malaysia dan Singapura. Pagarnya pula baru sahaja dibina selepas berlaku tsunami, mendapat bantuan dari Singapura, Malaysia dan Aceh sendiri berdasarkan sumbangan orang ramai. Kini, masjid ini masih lagi dalam proses pembesarannya. Bekalan elektrik telah terputus, mereka gunakan enjin yang akan dihidupkan pada masa solat sahaja, manakala airnya diambil dari sumur berdekatan (dipam).
Kawasan petempatan mangsa tsunami yang diberikan dikenali sebagai kampung Jackie Chan sempena nama artis berkenaan yang telah membangunkan kawasan ini. Namun akhirnya, petempatan i ni dijual kepada orang lain kerana letaknya di kawasan bukit dan agak jauh dari pusat bandar.
Kapal janakuasa elektrik yang berada di tengah laut, didamparkan di kawasan perumahan. Beberapa buah rumah dipercayai terbenam di bawahnya.
Sesayup mata memandang datangnya kapal ini...
Menurut Imam masjid, pada hari berlaku tsunami tersebut, di sekeliling masjid terdapat banyak mayat. Kenderaan dan runtuhan bangunan bergelimpangan. Masjid tidak dapat digunakan selama 7 hari. Tiga orang Imam masjid dan seorang muazin juga turut terkorban dalam tragedi tersebut (di kawasan masing-masing, bukannya dalam kawasan masjid). Pada hari Jumaat selepas berlakunya tsunami, masjid masih lagi tidak dapat digunakan untuk solat Jumaat kerana masih banyak mayat dan darah. Mayat-mayat ini hanya di simpan di dalam masjid tetapi belum lagi dikapankan. Pada malam ke 13, masih lagi ada mayat di kawasan masjid. Mayat-mayat ini dikumpulkan NGO dan pemerintah, dihitung dan dibawa ke mobil untuk dikebumikan di perkuburan Masal (kubur besar). Terdapat beberapa kuburan masal telah dibina yang setiap satu daripadanya memuatkan berpuluh ribu mangsa tsunami dalam satu liang lahad. Jumlah keseluruhannya dianggarkan 46, 817 jenazah. Lebih sejam mendengar perkisahan tentang tsunami yang telah menjadi sejarah itu, kami diajukan dua persoalan yang tidak dapat kami jawab;
1. Mengapa semua kuasa barat berlumba-lumba untuk membantu Aceh berbanding Sri Lanka atau negara lain?
2. Setelah menyaksikan azab yang sengeri itu, mengapa manusia begitu mudah untuk lupakannya? Kalau dahulu lalai, kini kelalaian itu diulangi lagi. Dahulu mereka tidak titikberatkan hukum Allah, kini masihkah mahu dilakukan juga?


Coretan ini sudah terlalu panjang. Sempena maulidur rasul yang mulia ini, jom sama-sama kita fikirkan semula apa yang sepatutnya dan yang tak patut kita lakukan dalam jengkal usia nan kian pendek.

8 ulasan:

joegrimjow berkata...

certia kawan yg pergi kesana mmg best
xjumpe plak link youtube nak bg

aNoZ berkata...

bagus la cerita ni.. bagus... bnyk pengalaman boleh dapat kan.. luas pemandangan

anyss berkata...

Joegrimjow: Yup...Aceh sangat banyak persamaan dengan malaysia...nanti2 kita sambung entri lain pasal aceh lagi ya

aNoz: sekadar berkongsi pengalaman, harapnya tidak ditafsirkan sebagai "nak menunjuk"...UK pun banyak pengalaman yang best kan yang ada masa nampak sempoi di mata kita, tapi manis di mata orang.

laGenDA KodOk HijAU berkata...

bessnya ache rasa aku pon nak ghi.. nak juga lawat makam makan kodok yang terkorban di sana

iza~de~bintang berkata...

Cantik2 gambar hu hu hu

anyss berkata...

Kodok Hijau: Tak sempat tanya pula depa ada buat tak kuburan masal untuk kodok2 yang terlibat.

Iza Cik Bintang: Timer kacih...belum cukup sempurna ;)

rosnanie berkata...

salam anyss,
alhamdulillah, nampaknya mereka sudah hilang trauma dan kembali membangunkan negeri. Harapnya keislaman juga mampu dikembalikan seindah dengan namanya serambi Mekah. Sy ada mencatatkan tentang tsunami dan kelahiran anak sy dm post terbaru

anyss berkata...

Rosnanie: Wsalam, Kalau nak kata dah hilang trauma, sebenarnya sebahagian besar daripada mangsa masih lagi trauma. Hanya, mereka tak mampu nak luahkan kepada sesiapa sebab semuanya hadapi perkara yang sama. Bila kita pergi sana dan tanya dengan mereka semula, mereka dapat luahkan kesedihan yang sekian lama terbuka dalam dada. Kehidupan tetap perlu diteruskan juga, jadi mereka hanya tak bercerita tentang tu sahaja. Kesedihan masih berbekas. Trauma tu dah kurang sikit sebab dah 6 tahun berlalu. Tahun pertama tu mereka masih lagi macam hilang akal juga...bingung untuk buat apa-apapun.
Moga2, kisah mereka berikan kita sedikit sebanyak manfaat. Pembangunan fizikal memang pesat...