Selasa, 1 Disember 2009

Ketika Bumi Bandung Kupijak

Dah lama kan blog ni tak dikemaskini kan? Dah berhabuk. Bersawang. Berlumut. Apa-apa sahajalah yang sekawasan dengannya.

Apa-apapun, Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha. Moga-moga dipalitkan kemurnian dalam hati, dianugerahkan kesucian agar lebih banyak pengorbanan mampu kita lakukan untuk orang-orang yang kita sayang, untuk Islam yang kita cintai, untuk bangsa dan negara. Jangan lupa pula untuk diri sendiri.

Aku tak ada cerita tentang musim raya yang meriah itu. Sebabnya, aku beraya sesorang di belakang dapur Secret Recipe sambil sental rumah. Aku kan makcik cleaner, jadinya itu memang dah tugas hakiki aku menyental lantai dan jamban. Itu memang selalu orang anggap. Macam tak layaklah pulak untuk orang lain yang buat kerja-kerja sebegitu kecuali aku. Jadinya, biar ajelah aku tulis pasal bandung. Bukannya “syok” pun cerita pasal cuci jamban kan?

Cerita pasal bandung sebenarnya dah basi kan? Dah lebih dari 3 minggu berlalu, namun baru hari ini punya kesempatan. Jadi, sebahagian daripada semangatnya dah makin suam.

Bumi Bandung kujejak tanggal 10 November dalam gerimis. Langitnya mendung menerima kami. Sejuk anginnya dingin menerpa kulit pipi. Itulah pertama kalinya syurga beli belah ramai rakyat Malaysia ini kujejaki. Ini juga pengalaman pertama di bumi Indonesia ini. Dan pengalaman yang kali pertama itu, beri aku banyak ruang untuk berfikir, banyak rasa syukur juga.

Dari lapangan terbang BDO itu, sepanjang kiri kanan jalannya diwarnai dengan bangunan atau rumah yang tidak tersusun, berbumbungkan bata tradisional yang sering digunakan dalam binaan rumah-rumah lama dahulu (terkenang rumah lama kami yang telah berubah bumbungnya itu), dan padat juga.






Sebahagian besar daripada rumah-rumah ini menggunakan papan sebagai struktur utama walaupun batu bata juga digunakan. Semakin perjalanan menuju pusat bandar, gedung-gedung dan bangunan yang besar dapat dilihat. Namun, antara pembangunan yang menghimpit itu, kita tetap juga dapat melihat rumah-rumah atau toko jualan yang penuh tradisi. Bagi mereka, itu warna kemunduran, namun bagi aku, itu nilai tradisi yang perlu dipertahankan. Apalagi bila melihat betapa halus dan kemas berseninya hasil kerja tangan mereka.



Di sini (Bandung) aku merasai nikmatnya jus aprikot (dah sah memang mahal harganya di Kuala Lumpur) yang sebelum ini aku telan liur saat membaca novel Imam (Abdullah Hussain). Setelah lebih 10 tahun aku khatam novel besar itu, baru kini aku berpeluang menikmati keenakan jus tersebut. Lemak. Manis. Menyegarkan.



Rombongan kami diiringi Pak Polisi. Hanya untuk hari pertama sahaja. Agaknya mereka gusar tentang konflik yang sengaja dibesar-besarkan media kebelakangan ini. Kami juga sebetulnya masih terisi was-was. Maklumlah berada di negara orang. Mati, memang di mana-mana pun boleh saja, namun kalau boleh ada “permintaan” biarlah mati di tanah tumpah darah sendiri. Paling tidak pun, mati hanya sekali sahaja. Tidak perlu risau apa-apa. Yang perlu risau adalah tentang hidup kerana hidup itu yang dua kali. Hidup sesudah mati juga.





Namun, mengenangkan ini bukan kali pertama aku berdepan dengan situasi sebegini, niat tetap diteruskan. Situasi sama aku dah alami masa pergi ke Thailand awal alaf dahulu (dah lupa tahun 2002 ke 2003), semasa Selatan Thai baru tercetus konflik. Masa itu dua buah bas dari Malaysia di bom hadapan hotel. Sepanjang seminggu di Thailand, kami diiringi pasukan polis layaknya rombongan VIP Pak Menteri. Semua jalan ditutup semasa kami melaluinya termasuklah satu kawasan beli belah kraf (lebih kurang sama macam Sentral Market tetapi kawasan tersebut luas dan penuh dengan kedai2 seperti Jalan TAR). Kami hanya mengetahui kekacauan yang berlaku apabila kembali ke tanahair. Dah balik baru rasa kecut perut dan takut. Namun aku amat akui yang aku begitu yakin pemergian ke Bandung ini tetap selamat. Hati kecilku membisikkannya begitu.

Moga-moga konflik yang sengaja dibesar-besarkan pihak tidak bertanggungjawab itu akan mereda nanti. Tak kira apa namanya pun, budaya dan keseniaan antara Malaysia dan Indonesia tak mungkin akan sama. Tak timbul isupun.





Romantiknya makan malam!



















Beca di tengah kesibukan kota Bandung. Teringat teksi (panggilan orang kelate untuk beca) di Kota Bharu kota berbudaya itu, dan beca di Bandaraya Bersejarah, Melaka. Kalaulah mereka juga upgrade sebegitu...


Pasentren boleh ditemui di mana-mana sahaja walaupun di kawasan paling sibuk dengan toko-toko jualan dan tempat beli belah. Dan aku, tiap kali rasa nak beli belah dengan sakannya, akan mengekang niat itu tatkala terpandangkan pintu gerbang sebegini yang ada berselerak di mana-mana. Saat itu aku terkenangkan, di negeri kelahiranku itupun tidak punya sebanyak ini pasentren untuk pengajian agama. Aduhhh! Jiwa tetiba serasa sakit.

Anak kecil ini bukan sahaja comel dipandang, namun tangkas di pentas dan cilik peragakan tarian budaya. Kiranya goyang Inul itu “ngak apa-apa di sini” kerna gadis kecil ini lagi tinggi kemahiran lengguk budayanya.





Di tengah pembangunan pesat Bandung ini, nilai tradisi dan warna tempatan tetap kekal. Belum pupus. Kita akan ketemu bangunan sebegini di merata tempat. Sayang kan, di tempat kita, sedikit demi sedikit kita sudah buangnya. Semakin sukar untuk melihat rupa sebegini walaupun di kawasan kampung. Masing-masing mula membina bangunan teguh mengikut nilai moden hingga bentuk tradisi itu kian hilang tanpa kita sedar.





Hari kedua malamnya, kami dibawa ke Cihampelas, syurga bagi jeans kononnya. Tempat ini dikatakan tempat paling selamat di dunia kerana terdapat ramai hero dunia seperti Superman, Spiderman dan sebagainya. Namun aku hanya tunggu dalam bas sahaja kerana hujan renyai. Selain hujannya yang merenyai, aku juga seeai (istilah kelantan bermaksud, tak selesa dengan keadaan basah) dengan aliran air di permukaan jalan. Lagi pula kami sentiasa diserbu dengan penjual-penjual jalanan yang menawarkan barang dagangan. Mereka gigih mencari rezeki hingga malam, namun adakalanya, barangan yang dijualkan itu tidak aku perlukan. Lagi pula, agak mahal sebenarnya. Aku hampir tertipu di sini. Gara-gara nak beli FM, aku hampir terbeli benda alah itu dengan harga RP50 ribu sekeping. (Bukan tertipu sebenarnya, aku yang salah kira dan salah faham. Nasib baik boleh dikembalikan) Nak selesa, aku hanya tunggu dalam bas sahaja sambil mendengar lagu-lagu merdu dari telefon. Nak ambil gambar Superman pun tak dapat, gelap! (Itu yang termengkelanpun) Nasib baik aku bukannya peminat jeans, kalau tak...mesti hampa dan kechiwa jiwa raga kan?.

Hari kedua, aku bertemu teman kepada temanku yang katanya berkampung halaman di Ciamis. Mengikut ceritanya lewat YM, kawasan asalnya itu sangat indah. Terpenuh tradisi dan masih kekal dengan keindahan semulajadi Sungainya masih dingin dan jernih. Sekitarannya masih hijau (Aku mempercayainya entah berapa juta peratus. Di tengah Bandung yang pesat membangun inipun masih terlihat nilai itu, apalagi 3 jam perjalanan jaraknya dari kota sibuk ini). Semua itu yang aku rindui. Ingin kembali ke zaman antah berantah yang semakin sukar ditemu lagi. Ingin mengenang semula keenakan ubi kayu rebus yang dimakan bersama kelapa parut. Pisang rebus juga. Enak bukan?

Alya sudi ketemu aku dan bazirkan masanya selama 3 jam perjalanan semata-mata untuk bertemu mata. Aku amat amat menghargainya. Dia menantiku di UNPAD. Mujurnya aku pernah melihat fotonya di YM, namun sempat juga aku tersilap orang di pintu utama UNPAD. Diingatkan, terasa lucu juga. Biarpun ada masanya bual kami itu agak kekok kerana masalah bahasa, namun aku begitu menyenanginya.

Esoknya, Alya berjanji untuk dapatkan kami supir bersama mobil dan temani kami keliling sambil beli belah. Asalnya kami hanya perlukan mobilnya sahaja, namun, melihatkan cara pemandu di kota Bandung yang cekap itu, rasanya aku masih belum cukup hebat untuk dibuli di jalanan. Ampun! Kalau di tengah Kuala Lumpur, boleh saja, tetapi di sana, aku sanggup angkat bendera putih.

Jam sepuluh setengah (kat sana dipanggil setengah sebelas) asalnya kami patut bertolak. Alya bersama tante dan anak buahnya juga sampai awal. Namun, keghairahan beberapa orang teman seperjalanan kami untuk beli belah di Pasar Baru sebelum ketibaan Alya menyebabkan kami terpaksa menunggu. Rasa bersalah pada Alya pun ada, namun, apa nak buat. Antara kami itu, aku paling muda (maklumlah aku kan baru 18 tahun dan 1 hari hu hu hu...Eiza mesti gelak tergolek-guling sampai jatuh katil), sentiasa sahaja kena buli dek makcik-makcik ni (buli-buli manja gitu!) walaupun mereka sebenarnya sangat baik dan friendly. Tak menyihir pun!


Lokasi 1: Pasar Baru

Menurut Tantenya Alya, kalau nak beli belah di Pasar Baru, sebaiknya pada waktu pagi kerana tak ramai orang dan boleh tawar menawar dengan lebih meriah. Kita boleh dapatkan harga menarik dengan sebab “harga buka kedai”. Ada masanya kami gunakan alasan itu di semua kedai walaupun dah jam dua belas. Semuanya bermulut manis, panggil “mas” untuk semua lelaki tak kiralah tua ke muda. Ada masanya sengaja saja aku panggil “mas” untuk cowok hensem yang jual air minuman. Bagi perempuan pula, panggil “bu”, namun aku lebih kerap panggil “mbak” dan “neng" walaupun kepada perempuan yang agak berumur dengan alasan “wajah mereka awet muda, tak macam bu”. Tu kan cara nak dapatkan harga murah hu hu hu.



Wajah Bandung saat mendung dilihat dari lantai 8 Pasar Baru...


Kat sini, dah tentu kain mukena (telekung untuk solat) sangat murah. Pendek kata akan terkena kejutan budayalah seketika. Aku yang dah terbiasa dengan barangan yang murah, tidak mudah tertawan dengan harga di jalan TAR atau Nilai Tiga, namun bila berada di sini, kira rabun matalah juga sekejab (Nasib baik sempat mengucap!). Kalau aku boleh rabun mata, maknanya...orang lain akan buta matalah ya hu hu hu hu (jangan marah tapi itulah hakikatnya. Kalau tak percaya, jom ajak aku pergi lagi sekali la la la).



Pasar baru merupakan tempat beli belah lebih dari 8 tingkat (kat sini digelar lantai), memang besar bangunannya ala-ala macam Pertama Kompleks di KL atau Pekan Rabu di Alor Star. Namun, kawasan parking di sini sangat sempit dan terhad. Mungkin sebab masyarakatnya tak ramai yang guna kereta datang ke tempat ini. Mereka gunakan pengangkutan awam kot. Maklumlah bukannya tempat beli belah kelas atasan kan. Kami terpaksa parking di tingkat 8. Nasib baik aku tak termuntah dengan tempat parkingnya yang curam setiap kali naik atau turun ke lantai yang berbeza. Jangan harap aku boleh memandu di sini kalau bukan kereta automatik.

Boleh dikira semua benda boleh dibeli disini dari pakaian, blouse yang cantik-cantik, mukana (telekung sembahyang), jaket kulit, kain ela (kortun 100% yang cantik-cantik lagi, kat KL paling murah RM99 untuk 4 meter, disana boleh dapat RP100 ribu-RM38 je-) dan macam-macam. Apa yang pasti semuanya cantik dan murah, asalkan pandai tawar. Tak tawar pun memang dah murah (berbanding di sini, tapi bagi aku...mmm kena tawarkan lagi).

Petua bila beli belah di Pasar baru: Lantai Basement adalah lantai yang paling murah harganya. Lot-lot kedai di sini juga kecil-kecil. Setiap peniaga yang jual barang di aras ini juga tidak punya stok yang banyak. Ada masanya, apa yang dipamerkan, hanya itulah yang ada. Koleksinya sangat terhad. Semakin tinggi lantainya, harga juga turut tinggi dan mahal. Lot kedainya lebih besar. Susah juga nak tawar.



Bagi peluang anda sengetkan kepala sesaat...latihan leher!



















Tiga jam kat sini tak sedar pun. Aku lebih banyak melilau dan snap gambar sahaja. Di sini aku hanya sempat beli beberapa pasang mukena sahaja walaupun dalam senarai ada banyak juga barang lain yang perlu beli. Namun, bila bersama-sama tante-tante ni, terutama salah seorang daripadanya akan buat kenduri perkahwinan anak perempuannya, jadi tempat yang mereka tuju sudah semestinya ke tempat-tempat yang bukan sealiran denganku. Ada kalanya mereka berada di sesuatu toko itu lebih dari setengah jam untuk pilih kain dan barang-barang. Maklumlah dah 4 orang tante, aku hanya jadi pemerhati. Ada kalanya lepak dengan cowok jual air botol hu hu hu. Boleh saja aku ke lantai lain dengan Alya dan beli belah apa yang aku nak, namun, cara sebegitu akan timbulkan masalah untuk jumpa nanti. Jadinya, terlebih baik aku ikut saja depa. Paling tidak, tidak menyusahkan orang lain untuk tunggu aku.

Kesian juga melihat anak buah Alya. Baru enam tahun, namun terpaksa mengikut tante-tante yang gila membeli belah. Aku yang memang nak membeli hingga terbelah ini pun boleh rasa bosan menunggu, apalagi dia. Apalagi Alya dan tantenya. Secara pribadi, aku memang tahu harga yang mereka dapat itu bukanlah murah sangat, namun dengan keghairahan yang mereka pamer buatkan penjual pegang harga. Aku tahu harga itu masih boleh dikurangkan lagi, namun pada masa yang sama, aku biarkan sahaja mereka dapat harga itu sebabnya memang dah murahpun. Bagilah peluang penduduk tempatan mendapat manfaat dengan kebanjiran orang-orang Malaysia.

Mangga manis. Terlalu murah RP10 ribu untuk 3 kilo. RP10 ribu tu lebih kurang RM4. Bayangkan berapa banyak kami boleh makan buah mangga yang sedap ini!





Kami ke kawasan jualan buku-buku yang popular dikalangan pelajar termasuk di univarsitas (Ya, ampun! Aku sudah lupa nama tempat tu). Kawasan ini penuh dengan toko-toko buku terpakai. Namun buku-buku yang dijual ini banyak yang masih lagi kelihatan baru. Harganya pula boleh ditawar. Diikutkan hati, di sinilah patutnya aku beli belah sakan. Namun apa daya, aku tidak boleh mementingkan diri sendiri. Tante-tante itu lebih gemar shoping barangan lain, bukannya buku. Hanya aku sahaja yang suka di situ. Dan sebagai manusia yang tidak patut benar pentingkan diri sendiri, tempat itu ditinggalkan untuk makan tengahari yang sudah terlewat benar dengan hati yang sangat-sangat berat.


Istimewa sekali kakek ini!








Syurga shoping bagiku hanyalah di sini...


Kami makan tengahari dengan Bakso walaupun asalnya mahu mencari makanan tempatan yang lain. Dah tak ada rezeki kami, lain kali ya Alya. Bakso ini sangat terkenal di sini dan menjadi antara tempat yang dikunjungi artis Indonesia yang dapat ditemu dalam pelbagai sinetron. Gambar-gambar mereka yang pernah makan di sini akan ditampal di seluruh dinding. Walaupun dilihat dari luar, nampak sebegitu, namun sistem yang digunakannya dah ala-ala KFC. Itu yang aku kagum.

Lokasi 2: Cibaduyut.

Kawasan ini popular dengan barangan kulit. Kalau di gedung-gedung yang selesa dengan penghawa dingin, harga memang mengikut diskaun beberapa puluh peratus sahaja. Walaupun masih lagi nampak murah bagi tante-tante itu, namun bagi aku masih lagi mahal untuk barangan separa kulit sebegitu. Namun begitu aku sempat juga sambar sepasang sandal dari sebuah toko kecil. Namun (berapa banyak namun daaaaaaaaaaa) agak kecewa kerana sandal yang dibungkuskan itu adalah sandal yang dipamerkan di rak. Penuh dengan habuk. Itu mulanya aku sedar bahawa toko itu hanya punya yang itu sahaja. Bila balik, agak menyesal juga kerana beli satu sahaja dengan harga hanya RM18 (RP50 000 tu...paling mahal dalam sejarah hidup beli sandal dengan harga tu).

Tante-tante tu pula tidak begitu sukakan tempat beli belah yang sebegini. Maklumlah tidak capai tahap piawai mereka. Tante tu gayanya macam mak datin, barangan separa kulit atau kulit kategori dua atau tiga manalah mereka berkenan. Dan aku pula asalnya nak juga jenguk tas atau kasut kulit walaupun kategori dua tau tiga. Itupun kalau jumpa yang murah. Kalau dijelajah toko-toko di sini, aku memang pasti akan jumpa juga yang sesuai dengan citarasaku (yang tak setinggi mana ini) dan harga yang murah. Namun, ketergesaan tante-tante itu untuk tinggalkan tempat itu dan menjelajah tempat yang lain buatkan rasa tak selesa pula. Aku memang tak suka orang menunggu aku. Tambah pula suasana di sini memang sangat panas. Bising. Berhabuk. Gabungan semua ini memang lengkap untuk buatkan aku migrine. Kepala kian kerap berdenyut hinggakan aku ternaik angin sesaat ketika dikerumun penjual-penjual cenderamata. Bila tersedar hal itu, segera aku masuk semula ke dalam gedung kulit berkenaan. Kalau boleh elak, memang aku akan sentiasa elak.





Lokasi 3: Bandung Supermall

Ini adalah mall beli belah yang tersergam indah. Macam midvaley atau Pavillion. Menariknya di sini, mall ini sangat selamat. Nak masuk pun perlu lalu tapisan keselamatan yang ketat macam di lapangan terbang. Bagi aku, tak ada apa pun berkenan untuk dibeli di sini. Tante-tante itu pula mula rabun mata dengan sale pinggan mangkuk. Nasib baik masa sangat suntuk, kalau tak dah tentu memborong pinggan mangkuk pula. Dan aku...beli 2 keping CD Dengung Klasik instumental, salah satunya tiupan seruling. Agak mahal (boleh beli sehelai blouse yang cantik), namun disebabkan sukar untuk ditemu di tempat lain, rembat ajelah.

Malamnya, migrin aku makin memberat. Ikutkan, malas nak turun makan malam, namun memandangkan perut agak kosong sedangkan aku nak makan ubat, terpaksa juga aku turun dan sertai mereka makan malam. Namun, hanya 10 minit sahaja. Udang goreng celup tepung yang sedap itupun tak sempat aku gigitpun. Bukan tak sempat kutip, tapi tak termakan dah sebab denyut di kepala memang mencengkam. Tante-tante yang masih berbincang tentang ketidakcukupan barangan yang dah dibeli atau apa-apa yang masih belum dibeli lagi itu aku tinggalkan senyap-senyap tanpa mengganggu keghairahan dan kegembiraan mereka. Dan aku sembunyikan diri dalam gebar tebal dengan suhu 16 darjah celsius seawal jam 8 malam waktu tempatan setelah 2 biji pil migrine aku telan sekaligus (sepatutnya sebiji setiap 30 minit). Tengah malamnya terjaga semula dan ambil lagi pil berkenaan sebiji lagi. Orang lain yang shoping sakan, aku lah pulak yang migrine sakan hu hu hu.

Apapun, terima kasih banyak-banyak, Alya. Terima kasih dengan buah tangan berupa gula-gula kelapa dan dodol tempatan dari Ciamis itu. Sedap. Terima kasih juga dengan kerudung coklat itu. Aku suka bangat. Aku dah pakai siangnya juga tetapi bersama tudungku juga kerana kerudung cantik itu agak senteng sedikit. Aku ngak biasa begitu, deh! Dan, teramat terima kasih dengan layanan serta usaha kamu bawakan kami keliling shoping. Aku benar-benar menghargainya.

Tante-tante itu kehairanan sebenarnya. Mereka tidak begitu memahami bagaimana aku boleh mengenali Alya sedangkan itulah kali pertama kami bertemu, itulah juga kali pertama aku ke Bandung. Kak Maznah juga sering mengingatkan “Dia seorang yang sangat baik”. Ya, kamu baik bangat sama kami. Namun waktunya terlalu singkat. Aku masih kepingin berlama-lama di toko-toko buku itu. Juga Tengkuban Prahu.

Hari terakhir di Bandung. Penerbangan sememangnya jam 5 petang waktu tempatan. Jadinya, kami punya waktu sebelum jam 12 untuk ke Pasar Baru lagi sekali. Hanya lima minit berjalan kaki sahaja dari Hotel Golden Flawer yang kami diami. Ingatnya aku nak pergi seorang sahaja tetapi Kak Maznah juga masih mahu membeli beberapa barangan lagi. Aku pula, sebenarnya belum beli apa-apa lagi selain dari 3 helai mukana kiriman Iza si Bintang Chomel. Membeli belah bersama tante-tante itu memang sukar untuk dapatkan harga yang murah. Semuanya mesti lebih dari RP150 ribu. Pesanku kepada kak Maz, jangan lagi keluar berkumpulan kerana kesuntukan masa. Berdua saja sudah cukup.

Akhirnya Pasar Baru kami tuju. Bermula di lantai Basement, kami jelajah dari satu lantai ke lantai yang lain. Dan hari ini, harga yang kami dapat jauh lebih murah. Jadinya, aku sempat tangkap 2 helai blouse dengan harga RM50 ribu setiap satunya (Bila balik, menyesal tak sambar sehelai dua yang mahal sikit dalam RP100 ribu yang boleh guna untuk melaram). Tambah juga beberapa pasang mukana untuk diri sendiri, mek, adik, kakak dan kakak ipar. Juga beberapa benda lain sebagai cenderamata yang sebenarnya tak sempat pun aku pilih melainkan sambar sambil berjalan sahaja. Faktor utamanya kesuntukan masa. Kerana kesuntukan masa itulah sampaikan aku tertinggal untuk beli apa-apa buat adik ipar hu hu hu, kalau dia tahu, memang akan rasa hati. Akhirnya, pusing sana pusing sini, dapat juga aku tarik “sesuatu” untuk dia.

Ke Bandung, aku jadi jutawan yang membawa sejumlah RP2 juta. Bagiku, dah terlalu banyak dah. Anggaranku, jumlah itu akan kubawa balik semula. Akhirnya, RM500 ribu telah kupinjamkan kepada kak Maznah walaupun paginya aku beritahu dia yang aku hanya boleh bagi pinjam dia RP300 ribu sahaja. Setelah campur semua kos termasuk cukai airport, maka sahlah aku telah habiskan RP1.5 juta salama empat hari di bandung.

Tengahari itu, kami makan tengahari bufet di hotel sahaja dengan bayaran RP100 ribu. Risau nak ambil makanan di luar kerana risau keracunan makanan. Namun, akhirnya aku terkena juga. Nasib baik, setelah aku sampai di rumah. Kalaulah masih di sana, tak tahulah macam mana nak buat.


Secara keseluruhan, beberapa benda aku pelajari dan fahami di sana;
1. Penduduk Bandung memang padat. Kepadatan itu wujudkan persaingan. Walaupun ramai di kalangan mereka miskin, namun satu hal yang aku lihat adalah: mereka ringan tulang dan kreatif. Mereka berjualan di tengah jalan raya semasa kenderaan berhenti di lampu merah. Mereka gigih berkerja dan berusaha walaupun modalnya kecil. Jual air minuman di Pasar Baru, jual peta bandung, akhbar, malah jajan dan buah-buhan yang telah siap dipotong di tengah kesesakan jalan raya. Aku tabik spring dengan mereka.


2. Mereka kreatif. Apa-apa sahaja yang tidak terfikirpun oleh kita telah mereka buat. Contohnya, mereka jual air minuman menggunakan bekas yang ditarik di lantai pun. Mereka berjualan di kaki lima dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di Pasar baru. Persaingan itu menyebabkan mereka lebih kreatif. Kita di Malaysia ni manja sangat kan? Semua benda, bila nak buat perlukan modal juta-juta (bukan rupiah pulak tu), usahanya entah apa-apa. Buat sekejab, tinggal! Mudah sangat menyerah kalah!


3. Setiap orang daripada mereka saling membantu ekonomi sesama sendiri. Contohnya, mereka membantu pemandu kereta parking kenderaan dengan bayaran sekecil RP1 ribu. Kalau ditukarkan dalam RM, tak sampai 30 sen pun. Kalau nak melintas jalan, ada juga orang bertindak menahan kenderaan dan beri kita laluan untuk kita melintas jalan. (Ya ampunnnn! Pada masa ini aku tak tahu pun sistem itu, jadinya tak serahkan walau RP1 ribupun kepada mas itu. Tak ada siapa beritahu aku masa itu). Bila dah tahu, tiba-tiba rasa terlalu kejamlah pulak. Aduhhhhhh!



4. Apa-apa sahaja “boleh” di sini, bukan Malaysia sahaja yang Boleh. Untuk keluar dari tempat parking atau masuk parking di tempat tertentu, kenderaan di jalan raya yang sibuk itu boleh ditahan oleh sesiapa sahaja. Agakku orang majlis bandaran berdasarkan seragamnya itu. Namun, aku memang pasti bukan pak polisi. Mereka juga boleh buka gerai mangga di atas jalan raya hingga menutup satu lorong laluan. Orang yang nak beli boleh berhenti beli sahaja di tepi jalan tersebut, ataupun boleh juga parking di sebelah jalan raya yang telah ditutup satu lorong itu. Para peniaga boleh sahaja tolak kereta sorongnya dan benarkan kereta masuk untuk parking, kemudian mengekalkan kedudukan seperti biasa. Pengguna jalan raya itu pula cool sahaja dengan situasi tersebut. Bersesak sikit tidak mengapa. Kalau di KL, dah panti jemnya beribu batu, maki hamun juga dapat kot! Betapa tak sportingnya kita dengan usaha orang lain untuk meneruskan hidup. Terlalu pentingkan diri sendirikah kita?



5. Masyarakat di sini rata-ratanya berbadan kecil dan rendah. Jadinya, agak susah untuk dapatkan pakaian siap atau blouse bersaiz banyak xxxxl. Namun, bagi aku yang sukakan blouse yang labuh, di sini bagaikan syurga. Tak terpilih. Rabun mata dibuatnya. Kalau di Kuala Lumpur, memang susah nak dapatkan blause yang murah, lengan panjang, labuh, saiz L atau XL. Biasanya kalau saiz sebegini, tak labuh sangat. Yang labuh tu banyak bilangan XXXnya. Sebab itulah baju-baju aku banyak yang terlebih nilai Xnya itu (banyak yang tak dipakai @ sekali sekala sahaja pakai kerana nampak macam besau bebenorr nyee) ataupun lebih mudah untuk pilih baju punjab sahaja. Konon-kononnya boleh nampak macam Kajol sikit, padahal, aku perlukan baju lengan panjang yang labuh dan saiz yang sesuai.


6. Kain, pakaian dan sulamannya bermutu tinggi walaupun ada ketika kainnya jenis yang panas. Kena pandai-pandai pilihlah. Paling utama, harganya memang murah (walaupun bagi aku yang sentiasa cari barangan terlebih murah ni). Namun kena pandai tawar menawar, kalau beli main sambar sebab kejar masa, tak sempat sangat nak tawar.


7. Walaupun Bandung sangat panas berbanding Kuala Lumpur yang dilanda musim hujan ketika ini, Bandung memang berdebu. Bangunannya tidak seimbang antara yang baru dan yang usang hingga ada masanya mencacatkan pemandangan, namun perlu diakui bahawa kota bandung sebenarnya sebuah kota yang bersih (dari sampah sarap yang bertaburan dan bersifat fizikal sahaja, bukan dari segi habuk, udara, bunyi hon) walaupun hanya dibandingkan dengan Kajang sahaja pun. Sejak pagi hinggalah malam, kawasan yang aku lalu atau tengok itu tetap tak ada sampah. Kawasan lain tak tahulah pulak!


8. Bagi sesiapa yang akan ke bandung, pastikan minum air mineral sahaja. Air paipnya sedikit berbau dan dengar ceritanya tidak selamat untuk diminum walaupun selepas dimasak. Kebenarannya aku tidak tahu, namun apa yang aku alami mungkin antara kesannya. Angin yang dilepaskan sepanjang empat hari di sana dan beberapa hari selepas kembali dari sana sangat berbau busuk. Macam terbanyak makan telur rebus. Aku tidak pasti apa kaitannya, namun itu memang petanda yang tidak baik, dan...dah tentu memalukan. Tak kanlah nak lepaskan angin pun kena pergi ke tandas. Nampak macam melampau sangatlah pulak. Namun, “pencemaran udara” sebegini agak membimbangkan juga. Bagi penduduk tempatan, mereka sudah terbiasa dengan makanan atau air minum sebegitu, sudah mangli. Bagi yang tak biasa, terutama aku yang boleh saja cirit birit kerana makan meggi, tak sanggup untuk tanggung risiko sebegitu.

Walaupun tak sempat sampai ke Tengkuban Prahu (yang menjadi igauanku), aku mengharapkan masih punya kesempatan lagi lain kali untuk ke sana dan mendaki cerun. Menikmati bau belerang di kawasan puncak pergunungan gunung berapi itu. Aku ingin bau asli belerang itu, aku mahu lihat sendiri batu batannya. Aku juga mau ke sungainya yang jernih walaupun aku tak pandai berenang. Dapat sejukkan kaki di celah batunya pun dah cukup. Namun, kalau boleh berendam...lagi bagus kan?

Terima kasih tak terhingga buat Alya dan tantenya yang bersusah payah seharian menemani kami. Aku mengharapkan masih punya masa untuk bertamu semula ke sana dan terus ke Ciamis nan tergambar indah di khayalanku. Namun, aku tak punya tarikh yang tepat untuk itu. Alya, masihkah sudi temani aku sekali lagi? Kali ini menjelajah dari toko buku ke toko buku yang lain. Aku mahu seharian di situ. Seharian lagi di Tengkuban Prahu. Sehari juga di Pasar Baru. Sehari yang lain menjelajah outlet demi outlet dan ke Cibaduyut semula. Akhirnya, sudi tak kamu bawa aku ke mana-mana pasentren untuk sehari. Aku mau melihat bagaimana pasentren ini beroperasi; sama tak dengan sistem pondok di Kedah atau Kelantan, mau jumpa Pak Kiyai yang hensem, mau cuci-sental hati dan minda yang dah berdaki entah seberapa banyak lapis hitamnya. Satu hari yang akhir, mana-mana sahaja yang kamu fikir aku suka pergi. Mmmmm berapa banyak hari sudah aku berangan ni? Adussssssss!

Entri ni terlalu panjang, aku memang maklumi itu. Namun, anggaplah ianya sebagai satu latihan jari untukku yang gian untuk menaip setelah sekian lama blog ini bersawang tidak dikemas kini secara wajar (Ada aje alasan untuk mewajarkan keadaan kan?)

5 ulasan:

Nursuzry berkata...

poei x habaq. klu x leh kirim mukena yg shantek2 tu.

iza~de~bintang berkata...

Waaa teringin nya nak pi. Rasa macam tak lengkap penjelajahan ke Indonesia sebab tak sampai lagi ke Jawa Barat. Ada dua lagi city dalam list- Bandung dan Jogja(dan Solo). Ntah bila nak sampai ni.

Trima kasih daun keladi sebab sudi terima pesanan. Lenkali bleh kirim lagi kan uhuk uhuk :D

Amboi di iringi pak polisi tuu, kira vvip ler tu :p

anyss berkata...

Su:kalau habaq, karang kata over lak. Kot2 timbul riak...payah nak ubat!

Iza cik Bintang: Jommmm book airasia (offer RM9 sekarang ni)...

Pak polisi di sana taklah begitu "diherankan" sangat. Macet punya pasal, siren pak polisi tu tak ada makna apa-apa, laju sikit je lah dari tak ada pak polisi. Acara tu rasmi, sebab tu tak sempat merendax lelama kat tempat shoping. Hari ke 3 tu pun aku "KABUR" dari acara deh! hu hu hu

Cetusan berkata...

foyyyyyyoo

dapat kembara melalui gambar pun jadilo..thankiu

anyss berkata...

ZZ: moga2 sama-sama dapat pengalaman tu walaupun x pegi sama. Tak de niat nak nunjuk2 pun...hanya perkongsian, agar nanti silap yang aku wat kat sana tak ada orang lain yang ulang