Sabtu, 16 Ogos 2014

Ciri-ciri Skim penipuan


Macam-macam cara orang menipu. Bahasa yang digunakan tu pula mengalahkan gula madu. Pendek kata, telinga yang mendengar tu memang boleh kembang jadi macam telinga gajah lah.

Jom kenali Skim Penipuan Ponzi yang banyak orang dah terkena;



Kenali 5 ciri penipuan yang sering digunakan untuk scam orang ramai. Usah terpedaya. Cara mereka menipu lebih kurang sama aje. Auta dan putar belit mereka gunakan 5 cara menipu ni aje...ayat saja sikit tukar!

Bagaimana dengan Dana haji Jasman?

Jangan tanya aku…aku tak pernah ikut dana ni. Cer Tanya mereka yang sangat yakin dengannya, apa yang buatkan keyakinan mereka sangat kukuh hingga sanggup tambah dana berkali-kali walaupun tidak pernah dapat pulangannya.

Terkini, Dana Haji Jasman kembali semula dengan cara yang sedikit berbeza.  Walaupun merata tempat dah paparkan tentang skim penipuan Dana haji Jasman ni termasuk Bank Negara Malaysia, namun tetap juga ada orang sangat yakin dengannya.


Jumaat, 15 Ogos 2014

Pagar Dah Roboh, Tapi Hatiku Masih Teguh

Mek pernah kata;

Allah tu satu je. Tak kiralah kita buat jahat kat orang, atau orang buat jahat kat kita…di akhirat nanti tak ada satu pun perkara akan terlepas untuk diadili. Masa tu aku kecik lagi, jadi aku pernah Tanya Mek “kalau Allah tu ramai?”

Jawab Mek mudah je “Kalau Allah tu ramai…dah tentulah Allah akan saling bergaduh sesama sendiri untuk jatuhkan hukuman mengikut kesalahan kita. Sebab Allah satu je lah maka Dia Maha Adil, tak ada siapa boleh pertikai,”

Hebat tak Mek yang hanya sekolah di Sekolah Dewasa macam P.Ramlee je tu?

Kata Mek, Hidup bukan nak tongkat langit. Apa-apa yang kita buat, kenalah ingat mati. Bukannya tak mahu bina hidup bahagia tetapi selalu ingat mati itu boleh menjadi had atau batasan untuk kita bertingkahlaku. Kalau dah ingat mati, dah tentulah kita tak akan berperangai macam setan menyusahkan orang lain. Dah tentu kita nak mati dalam keadaan yang baik-baik, mati mulia…mati dalam iman. Ya dak? Jadi, silalah buang perangai tak senonoh yang ada dalam diri. Jauhkan hasutan setan nirrojim. Insha Allah, hidup kita akan lebih tenteram.

Dua pesan tu aku sentiasa pegang dalam kehidupan ni. Tiap kali ada musibah, ada ujian, ada kesenangan dan kejayaan…itu jua yang aku kena ingat. Kalaupun perempuan terperasan lawa dah robohkan pagar rumah, ia belum jadi kudis. Hanya ruam-ruam gatal sahaja. Letak argan Oil hilanglah. Boleh jelita semula!

Bukan bermakna hati tidak tercalar, namun aku yakin Allah maha Adil. Kalaupun di dunia perempuan perasan lawa itu terlepas dengan sikap bongkak dan takburnya itu, di Sana semuanmya akan dibicarakan secara adil.

Ada orang kata, maafkanlah dia. Bagi aku semua tu pengalaman yang ada kesannya sebulan sahaja. Selepas itu akan lupa. Namun, jauh di sudut hatiku, aku sangat bersimpati dengan dia. Sangat Kasihan! Simpati juga dengan ibu bapanya. Moga-moga dia tidak berterusan begitu.

Dan aku mula menyedari bahawa “Allah itu adil” anugerahkan kelebihan dan kekurangan kepada hambaNya. Bila kita tidak dapat apa yang kita nak, seharusnya kita tahu bahawa ada sebab Allah tak bagi kat kita. Kita belum mampu untuk jaga amanahNya itu. 

Sebenarnya...hatiku roboh kat tempat lain.

Khamis, 14 Ogos 2014

MH370 Hilang, Wang Mangsa Dalam Akaun Turut Hilang


Misteri!

Dalam dunia serba canggih ni, macam-macam boleh berlaku.

Polis sedang menyiasat transaksi yang mencurigakan membabitkan akaun bank milik empat penumpang MH370. Sejak kehilangan pesawat MH370 itu, sebuah bank tempatan melaporkan sejumlah RM111,000 dikeluarkan daripada akaun milik empat penumpang pesawat itu.

Bank berkenaan menyedari sejumlah wang telah dikeluarkan daripada akaun terbabit pada 18 Julai lalu. Siasatan dalaman dilakukan sebelum laporan polis pada 2 Ogos lalu. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer. Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.


Kemungkinan ia dilakukan oleh pihak dalaman boleh berlaku dan polis sedang menyiasat kes tersebut dari pelbagai sudut.Dah lah MH370 belum ditemui, walaupun macam-macam usaha mengesan MH370 dilakukan... duit mangsa pulak boleh hilang? Tangan ghaib dari manakah?
 


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata siasatan mendapati sejumlah wang daripada akaun tiga mangsa terbabit dipindahkan ke akaun mangsa keempat melalui perbankan online.

Kalau bukan penyangak, kalau bukan orang dalam yang ambik… dah tentulah tuan punyanya yang keluarkan. Kalaulah benar begitu, kita patutnya bersyukur kerana mangsa MH370 masih selamat. Moga-moga.

Tak sabar nak tahu hasil siasatan ni! Sapa ambik, baik ngaku!

KEMASKINI:



Polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit mengeluarkan wang simpanan milik penumpang MH370 daripada akaun bank mereka. Mereka percaya ia dilakukan oleh orang dalam bank berkenaan. Polis sedang memburu suspek berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Empat akaun bank milik mangsa pesawat penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu dikesan 'dirompak' apabila wang simpanan mangsa berjumlah lebih RM100,000 lesap daripada akaun berkenaan.

Kehilangan itu disedari pada 18 Julai lalu oleh seorang pengurus bank selepas mendapati berlaku pengeluaran dan pemindahan wang daripada keempat-empat akaun oleh individu tidak dikenali.

Ini namanya pagar dah makan padi. Macam tak ada hati perut pulak. Teringin sangat nak tengok muka orang yang buat kerja ni...


KEMASKINI:



Seorang pegawai bank dan suaminya yang dipercayai terbabit dalam kes memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun milik penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 ditahan, Khamis.

Pegawai bank itu bekerja di bank berkenaan sejak 10 tahun lalu ditahan di rumahnya di Ampang kira-kira 4 petang. Suaminya yang berusia 33 tahun turut ditahan di bengkel kereta di Ampang ketika membaiki keretanya. Polis percaya suaminya mungkin turut terlibat. Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.