Khamis, 13 Mac 2014

Fisioterapi Pertama

Kejadian berlaku pada hari Rabu 5 Mac 2014. Dek tak mahu menunggu lama seperti dalam operasi mengumpul MC, makanya aku turun rumah jam 6.50 pagi. Singgah di Petronas beli bekal (sebotol air mineral, sebiji roti dan sebekas mehun goreng bodo).

Sampai di kawasan parking dah 7.15 pagi…macamlah jauh sangat kan? Maknanya aku tak memecut tu…macam kura-kura bawak kereta huh u hu. Masih banyak lagi tempat kosong, tapi aku perhatikan, menjelang 7.30 pagi, tempat parking dah pernuh.

Dari kawasan parking, aku ambil masa 20 minit untuk ke lobi utama, kemudian terus ke Jabatan Fisiologi. Mula-mula nampak lagi anak panah ke jabatan ni, bila dah masuk situ, tetiba dah bertukar jadi Jabatan Rehabilitasi. Entah bila perkataan ni wujud, ketinggalan zaman betul ambo!

Sebab tak pasti, aku tanya seorang adik beruniform biru yang selisih di muka pintu. Dia mengatakan memang dah betul tempat tu. Terus aku ke kaunter, tunjuk surat daripada Dr. Wahida.

Aku diminta tunggu sekejab di kaunter sebelah sebab orang yang uruskan temujanji tu belum sampai. Ingatkan aku akan dapat tarikhnya sahaja hari ini, rupanya masih ada kekosongan slot untuk pagi ni. Apa lagi, terus sahaja aku bersetuju. Jangan buang masa kan…alang-alang dah datang. Balik rumah pun bukan ada apa yang aku buat kecuali baca novel dan baca FB huh u huh u alangkah bahagianya hidup! Dah lama hidup aku tak lalui detik-deting senggang yang panjang hu hu hu hu
slipped disc...moga2 fisio cepatkan proses pemulihan

Jam 8.30 depa panggil nama dan bilik terapi ikut jenis fisio yang nak buat. Di bilik berkenaan, kena bagi dulu buku temujanji sebelum dipanggil masuk. Ini terapi fisio aku yang pertama kat sini, jadi Cik Puan Ira bagi penerangan dan ambil maklumat tentang kecederaan sebelum mulakan terapi. Berikut adalah latihan fisio yang aku kena buat sepanjang tempoh jam 8.30 pagi hingga 10.45 pagi tu…lama kemain:

  1. Duduk di kerusi. Luruskan kaki kanan dan kiri bergilir-gilir dalam kiraan 10 sebanyak 5 kali.
  2. Duduk di kerusi. Luruskan kaki kanan dan kiri bergilir-gilir, cuba sentuh hujung jari kaki dengan tangan dalam kiraan 10 sebanyak 5 kali.
  3. Berdiri gunakan satu kaki (kanan dan kiri) dan bilang hingga 10. Kaki kiri aku Berjaya buat. Kaki kanan tak boleh. Setelah berlatih berkali-kali, hanya mampu buat dalam kiraan 4 sahaja.
  4. Baring di katil. Angkat kaki 25 darjah, bilang satu hingga 10. Buat gilir-gilir kaki kanan dan kaki kiri dalam kiraan 10 sebanyak 5 kali.
  5. Baring di katil. Angkat kaki 45 darjah, bilang satu hingga 10. Buat gilir-gilir kaki kanan dan kaki kiri dalam kiraan 10 sebanyak 5 kali.
  6. Baring di katil. Angkat kaki 90 darjah, bilang satu hingga 10. Buat gilir-gilir kaki kanan dan kaki kiri dalam kiraan 10 sebanyak 5 kali.
  7. Baring di katil. Rapatkan lutut ke dada dalam kiraan 10. Ulang 5 kali.
  8. Baring di katil. Buat macam gambar di bawah, gilir-gilir kaki kiri dan kanan dalam kiraan 10 sebanyak 5 kali.
  9. Baring di katil. Bengkokkan lutut. Tolak kaki kanan ke kiri dalam kiraan 10, manakala kaki kiri ditolak ke kanan dalam kiraan 10 juga. Ulang sebanyak 5 kali.
  10. Meniarap. Luruskan kaki kiri dalam kiraan 10, begitu juga dengan kaki kanan.
  11. Meniarap. Letakkan hotpad kat belakang selama 15 minit.
  12. Meniarap. Letakkan plat 4 keping di beberapa tempat di belakang, kemudian getarkan mengikut kelajuan yang sesuai selama 15 minit.

Itulah pengalaman hari pertama buat latihan fisio di Hospital Sedang. Baliknya penat kemain. Yang penting, esoknya sakit-sakit satu badan macam mendaki gunung everest hu hu hu hu

Semasa pertemuan kedua, aku buat semua latihan kat atas dan tambah lagi satu latihan: kayuh basikal macam kat bawah ni selama 15 minit.



Fuhhhhh! Penat giler. Semoga cepat boleh berlari ya…

Rabu, 12 Mac 2014

Ampunilah Kami


Ya Allah,
ampunilah kami yang lemah ini
berikanlah kami kekuatan untuk terus kuat mental dan fizikal
moga-moga ujianMu ini lebih teguhkan hati kami
untuk terus mengingati kebesaranMu

Ya Allah,
berikan kami kekuatan emosi dan spiritual
melalui detik-detik getir ini
cabarannya tidak sekadar kekuatan iman dan takwa
dugaan tidak hanya merentap hati kami yang rapuh
namun menduga keyakinan kami dengan kasih sayangMu

ya Allah, kuatkanlah hati kami dalam imanMu
teguhkanlah kepercayaan kami dengan kuasaMu
hindarilah kami dari kesesatan yang nyata


Ya Allah, ampuni kami yang tergelincir dari jalanMu nan lurus
tetapkanlah hati-hati kami dari syirik kepadaMu
teguhkan pendirian kami dari terus terpesong menduakanMu
Jauhi kami dari malapetakaMu dengan kelalaian
sebahagian hamba-hambaMu, ya Allah

Ya Allah, kami hambaMu yang lemah untuk terus menanggung musibah
Kami hambaMu yang kerdil dan lalai dengan tipu daya syaitan
Andai kami hanyut, kembalikanlah ke jalan yang benar
Andai kami salah, ampunilah kami dengan kasih sayangMu Ya Allah.

~Annieyss~
Bandar Baru Bangi



Aminkan Doa Ini...


Biar di mana adanya kamu
Aku hanya harapkan pulanglah!
Resah gelisah ini leraikanlah
Ubatkanlah rindu dendam ahli keluarga mereka
Sapulah air mata kaum kerabat sedang nestapa

Kembalilah!
Masih ramai menanti dalam doa dan harap


Bersama kita aminkan berkas doa ini
pulanglah MH370...hentikan tangisan kami



Selasa, 11 Mac 2014

Kapten Norudin Abd Majid Ulas untuk MAS MH370


Bual bicara bersama bekas juruterbang pertama pesawat Boeing 777 Kapten Norudin Abd Majid. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengetuai pesawat Boieng 777. Pengalaman dan teori beliau amat menarik perhatian. Aku paparkan semula di blog terchenta ni sebab line tenet sangat slow untuk tengok semula.



Kita memerlukan lebih ramai insan dalam pelbagai bidang professional seperti Kapten Norudin Abd Majid ini yang mengetahui di mana jejaknya diri.

Dimalukan Dengan Keletah Anak?

Pernah tak rasa malu dengan keletah anak-anak di khalayak ramai? Kita rasa macam kita tak pernah ajar berbuat sesuatu perkata sebegitu. Pernah alaminya?

Anak sapalah tuh!

Adik perempuan aku pernah cerita, anaknya (umur 2-3 tahun ketika itu) ketawa terbahak-bahak melihat budak lain seusianya jatuh. Kejadian berlaku di pasaraya. Kata adik, dia rasa macam nak sembunyi muka dalam beg plastik ketika tu. Malu sangat kat orang keliling. Entah kat mana anaknya belajar buat begitu. Tak ada siapa yang ajar pun!

Masa aku ke klinik panel dalam usaha mengumpul MC hingga pernah terpaksa menunggu lebih 5 jam semata-mata nak dapat MC tu, seorang budak lelaki seusia anak buah aku itu juga ketawa dengan kuat bila tengok aku bertongkat. Kemudian dia berkata “sakit ler tew,”.

Tindakannya buatkan air muka maknya berubah merah padam. Aku buat-buat tak nampak sahaja maknya, kalau aku pandang kang dia rasa bersalah pulak. Tapi aku buat pura-pura sakit depan budak tu sambil kerutkan muka.Siap mengaduh-ngaduh lagi.

Cara tu buatkan budak tu datang dekat dengan aku dan pandang kaki aku. Mukanya juga berkerut-kerut, macam dia pulak yang sakit. Bila mak dia suruh dia bukakan pintu untuk aku, cepat-cepat dia pergi buka pintu tu. Bersungguh-sungguh dia buka hingga ternganga luas, beri laluan untuk aku keluar. Kemudian dia melompat-lompat gembira bila aku ucapkan terima kasih.

Budak-budak dan anak-anak belajar dari persekitarannya. Walaupun mereka hiperaktif, cergas dan tidak duduk diam…usahlah “dipadanmukakan” atau ketawakan mereka bila jatuh, kena marah, atau kena hukum. Mereka belajar dari apa yang mereka alami, apa yang mereka tengok. Itulah  juga yang akan dilakukannya.

Jadi, usah salahkan anak bila suatu hari mereka bereaksi sebegitu, kerana itulah yang pernah mereka alami atau saksikan.Bagi mereka itu tidak salah. Tak ke muka kita sendiri yang malu kemudiannya?

PssssT: Macam pelik je bila aku yang belum ada anak ni cerita tentang kemahiran keibubapaan huh u huh u.