Khamis aku ke perpustakaan Jabatan hal Ehwal Orang Asli di batu 10 Gombak. Jumaat, diri kebosanan. Jam 9.45 aku dah keluar dari pejabat mengulor. Stereng kuhalakan ke Bangi Lama, membelok ke Bukit Unggul, Salak Tinggi, Sepang, dan terus ke Bagan Lalang. Belum pun jam 10.30 aku dah pandang luas laut yang menghampar.
Dah sampai Bagan Lalang, apa lagi yang diidamkan kalau bukan makanan lautnya. Namun, kedai makan di sini hanya dibuka selepas jam 6 petang. Waduh...kempunan betul nak belasah ikan bakar dan sotong celup tepung!
Jam 11.30 pagi, aku jengah sebuah gerai. Itupun setelah pusing sepanjang pantai peranginan itu dua tiga kali. Pagi tadi belum sarapan, terus sahaja ambil makan tengahari. Kalau ada apa-apa masakan berlandaskan makanan laut pun kira dah boleh lepaskan kempunan. Namun, yang ada hanya kerang dan sambal udang sahaja. Lainnya adalah ayam. Ikan gorengpun tak ada. Nak tak nak, senduk saja udang masak pedas dan sayur kacang goreng, dilengkapkan dengan teh o ais limau.
Iza si Bintang mintak aku tulis puisi kat pantai indah ini. Bila jumpa batang kayu terbiar di bawah pohon ru, aku terus tulis puisi untuk Iza comel tu. Inilah puisi yang kutulis itu, moga-moga Iza seronok menikmatinya...
Langit mendung ketika tumit
menjamah halus pasirmu,
Gumpal awan memintal-mintal temali angin,
menyeru-nyeru dikau ke sini
Pujuk nyiur melambai ayun temayun
menggamit seberkas rindu pada mesra kita.
Daku tidak pernah bercanda
tiap kali lafazkan rindu padamu
seperti juga kaki ini tetap juga mesra di bumi
biarpun terpijak tahi lembu
atau sekawan burung lelayang lemparkan buangannya ke muka
saat kuberlindung di bawah dahan Rhu.
Bangan Lalang
26 Sept 2009
12.15 tengahari.
Encik Caluk bagi tahu Pantai Kelanang agak menarik juga. Pantai ini letaknya selepas Pantai Morib jika bergerak dari Bagan lalang. Ingatkan dekat, fuyooo 30 minit juga perlu memandu. Itupun gerak macam siput babi aje. Sepanjang jalan itu pula singgah merata. Snap gambar sana sini tanpa hiraupun semua orang pandang dengan pelik. Akhirnya, bateri tidak dapat diselamatkan lagi. Masa singgah sekejab di Pantai Morib, tiada sekeping gambar dapat dirakamkan.
Lebih kurang 6 km selepas Morib, papan tanda ke Pantai kelanang aku jumpa, namun aku teruskan perjalanan ke pekan Banting untuk cari charger. Sepuluh km tu, namun nak snap gambar punya pasal, bazirkan sedikit petrol pun tidak apa. Entah bila lagi dapat datang ke sini semula. Nasib baik ada satu kedai jual barangan komunikasi dah buka, RM10 saja charger tersebut.
Patah balik semula ke Pantai Kelanang pada waktu tengahari buta. Jam dua lebih. Panas terik. Kulit muka aku dah rentung terbakar dikunyah-kunyah terik mentari. Pedih! (Kan dah lama tak kena panas, sembunyi dari mentari setiap hari. Puteri lilinlah katakan, kena panas boleh cair!) Namun, buat-buat tak ambil peduli saja. Sepanjang pantai berbakau itu aku susur dua tiga kali. Berhenti sana sini untuk ambil gambar juga walaupun sentiasa jadi perhatian pengunjung lain. Apa taknya ada perempuan pelik sesorang menjelajah kawasan pantai. Orang lain berpasangan atau berkumpulan, hanya aku seorang yang sendirian. Berbaju kurung dan berselendang pula. Macam nak pergi majlis bacaan tahlil hu hu hu!
Jam 3.30 Pantai kelanang ditinggalkan. Sebenarnya dah lupa nak pergi ke Bukit Jugra. Bukit ini merupakan puncak yang terdapat rumah api. Tempat cerapan anak bulan juga. Asalnya nak terus balik saja apabila terlepas papan tanda untuk ke tempat itu, tetapi kemudiannya, simpang yang lain aku jumpa. Terus saja mengarah ke sana bila fikirkan “alang-alang dah datang...belum tentu lagi akan sampai lagi pada lain kali”.
i. Tingkatkan lagi kekuatan yang kerap benar menjunam jadi sisa. Biar sebagaimana cerita tentang hidup ini perlu ditempuh, terlalu banyak perkara yang belum aku lakukan sebelum menutup mata. Masa semakin singkat, lalunya, tidak perlulah buang masa dengan sesuatu yang remeh temeh. Masa untuk meratap hiba dah tamat!
ii. Isnin ini jadi pemula untuk aku tekan gear 5. Yup...terus ke gear 5. Sejak setahun ini, aku hanya tekan gear 2 sahaja. Banyak masa dibazirkan untuk meratapi kesedihan dan “kematian”. Jadinya, kalau selepas ini aku kian tidak punya waktu untuk kemas kini blog, apalagi lepak di forum borak, ampunkan daku rakan-rakan! Aku sedang berusaha untuk beli donia...harapnya aku tak akan lupa tentang mati. Ada dua perkara lagi dalam hidup ini perlu aku capai dalam tempoh terdekat ini. Perkara ke tiga: langsaikan hutang. Selepas itu, aku lebih bersedia untuk tinggalkan donia penuh kalut ini.
Sehari yang penat. Letih. Mengujakan. Menyeronokkan. Lain kali nak pergi lagi ke Bukit Jugra, ambil angin bersih. Tak perlulah merayau hingga Morib dan Bagan Lalang, cukup sekadar ke Bukit Jugra sahaja. Ada sesiapa yang ada kereta tayar besar nak bawak tak?