Selasa, 26 April 2016

Cara Kerja Tiap Orang Itu Berbeza



Tiap orang ada cara tersendiri untuk uruskan kerja seharian di pejabat. Ada orang memang suka diarah-arah satu persatu, ada orang pula lebih suka buat kerja sendiri dengan gaya tersendiri pula.

Kerja aku ni pula jenis tak ada pemantauan. Ikut suka sendirilah nak buat macam mana, asalkan kerja siap. Setiap orang tahu bidang tugas masing-masing dan apa yang perlu dibuat untuk sepanjang tahun. Ada waktu tertentu, bebanan tugas itu akan bertambah, ada masa surut seketika. Sempatlah Tarik nafas seketika, tapi kalau musim tertentu tu, nak Tarik nafas pun tak sempat.

Masing-masing ada cara tersendiri uruskan kerja mereka. Dah tentulah ada kerja jenis jangka panjang yang perlu disiapkan ikut tahun, ada juga jangka pendek ikut semester, malah lagi pendek…ikut minggu. Kadangkala, tak sempat tunggu minggu pun. Yang utama, pada tarikh mati itu kerja kena siap tak kiralah macam mana cara buat pun.

kita hanya anggap kerja kita je susah, kerja orang lain semua senang!
Awal tahun aku akan senaraikan apa yang perlu aku capai untuk sepanjang tahun. Untuk musim biasa, kebiasaannya aku suka senaraikan apa yang perlu aku siapkan untuk hari tersebut. Biasanya pula, senarai itu jarang siap kerana akan ada jugak kerja lain mencelah kat tengah jalan. Tak apa, esok akan sambung lagi kerja yang belum siap itu.

Pertengahan tahun, lihat semula apa yang masih belum siap untuk sepanjang tahun tersebut.  Orang kata, sempatlah nak siapkan sebelum tibanya hujung tahun. Namun, biasanya juga…kerja itu tetap juga perlu di bawa ke tahun hadapan kerana tidak sempat disiapkan. 

Pada tahun depan, deretan senarai itu bertambah lagi. Fuhhhhhhh! Bila nak siap sepenuhnya kalau gini????

Kita hanya anggap kerja kita sahaja susah dan mencabar. Kerja kita sahaja penting. Semua yang orang lain buat tu senang belaka. Mudah belaka. Padahal, kalau kita berada dalam kasut mereka, memang tak terdaya nak capai KPI. Ya dak? 

Apapun, aku suka kerja aku. Kalau pun banyak aura negatif  juga melingkungi, selagi aku berpegang kepada matlamat mengapa aku kerja kat sini dulu, makanya aku akan terus di sini. Namun itu bukan bererti aku ni setia sangat. Mana tahu esok lusa jadi Raja Perempuan Kelantan, tulat tu terus lompat balik Kelantan huhuhuhu tak boleh BLAH punya contoh tuuuuu huhuhuhu 


Isnin, 25 April 2016

Selesai Urusan dengan Bank Unta

Minggu lepas balik kampong. Sekejab sahaja. Jumaat balik, isnin dah memecut datang semula. Macam tak puas je. Inilah cuti balik kampong paling singkat. Biasanya kalau tak cecah seminggu, memang tak balik.

Masa nak balik tu, aku tengah uruskan claim dengan sebuah bank UNTA ni, ada tulis dalam entri lepas. Bank kalau nak duit kita, sepuluh senpun berkira, tapi bila bank nak pulangkan lebihan bayaran kita, liat bebenornya.

Khamis petang, staff bank unta tu ada telefon, bagi tahu aku kena bayar semula dekat 4 ribu lebih. Sekejab kata ada lebihan bayaran, sekejab kata aku pulak nak kena bayar. Bila staff tu kata “Tak apa, saya akan tutup akaun puan dan puan tak payah bayar pun jumlah tu,” aku rasa ada sesuatu yang tak kena. Kenapa bank ni baik hati sangat sanggup lupus begitu sahaja sedangkan aku berhutang hampir 4K tu. Pelik dak?

“Boleh tak jangan buat drama samarinda? Setahu saya, bank ni tak adalah baik hati sangat nak tutup akaun macam tu sahaja tanpa buat bayaran. Terkurang sepuluh sen dalam bil pun berpuluh tahun bank tuntut bayar hantar surat,” haaaaaa tak pepasal suara dah mula tinggi, dah mula nak lanyak orang! Aku paling tak suka kalau marah, sebab boleh bertukar kaler hijau jadi HULK.

Dia pun terdiam dengan kata-kata itu dan berjanji untuk semak semula. Semak lagi! Berapa kali mau semak daaaaa!


Dan akupun balik kampong dengan hati yang berat. Kepala serabut. Poket pun tak berapa nak meriah tengah bulan gaji lambat lagi. Berbelanja pun cuba kawal kecuali bab beli makanan. Namun, sebelum balik sini semula, sempat juga penuhkan gerobok dapur dengan keperluan harian mereka. Beli buah mangga yang tak sempat makan pun. Yang utama sempat tunaikan permintaan Mek hantar dia ke klinik kegemarannya. Borak-borak buat lawak bagi senyuman yang panjang lebar kepada semua orang.

Isnin gerak balik Bangi. Dapat panggilan semuanya dah selesai. Sila ke bank unta berdekatan untuk buat tuntutan.

Alhamdulillah. Jumlahnya tak adalah 2.6B, tapi untuk aku yang kesesakan (sekalipun bukan di jalan raya), boleh Tarik nafas sekejab. Sekejab je! Terima kasih bank unta. Sekalipun bertahun penantian itu, akhirnya dadaku yang semput berat dah ringan semula. Sedang tunggu sekeping surat je lagi ni…surat yang mengesahkan penutupan akaun. Entah berapa lama lagi.

Jumaat, 22 April 2016

Coret-Coret Kata Hati




Setiap hari jumpa lebih banyak cerita yang bukan sahaja mematangkan, malah insafkan. Pada masa yang sama, makin rasa kerdilnya diri. Kerdil segala-gala. 

Sebanyak mana ilmu yang dikejar, masih banyak lagi yang belum diterokai. Sebanyak mana usaha yang dilaburkan, masih belum mencukupi untuk jadi saham buat ditinggalkan. Sebanyak mana peluang yang digapai, rupanya masih banyak lagi tak terusahakan. Kita sahaja perasan dah buat banyak benda sedangkan orang lain lagi banyak. 

Masa makin singkat, sedangkan masih terlalu banyak yang belum dilakukan. 

Dah suku tahun berlalu, plan tahunan hanya cincai-cincai tak tahu apa diburu tak tahu apa dikejar tetapi masih belum nampak apa-apa.  Alahai…nak pergi gua bertapa pun tak dan ni…

Khamis, 21 April 2016

Mengkarung Datang Bangi

Masa balik kampong hari tu, walaupun hanya 4 hari sahaja termasuk perjalanan pergi dan balik, sempatlah jugak angkut guni dedak untuk sedikit kegunaan di Bangi. Susah woooo mau dapatkan guni kat Bangi. Alang-alang dah balik kampong, bertimbun guni bekas dedak makanan lembu tak guna. Apa lagi, angkutlah.

Ada yang dah ikat-ikat, ada yang masih terburai lagi, tapi abang sumbat sebahagiannya ke dalam bonet.

Sampai di bandar Raub, tetiba je ada seekor mengkarung merayap sebelah. Tepi cermin. Terjerit jugak aku. Nasib baik mengkarung yang merayap…bukannya ular. Kalau ular cemana nak buat tu?

mengkarung bersisik macam ular


Sekalipun dah terjerit sensorang, stereng masih lagi boleh control. Mungkin sebab otak aku tafsirkan mengkarung tu tak bahaya. Tak macam ular. Jadinya, pelan-pelan aku turunkan cermin kereta suruh dia keluar. Ingatkan dia akan terjun keluarlah. Rupanya, dia lagi memasukkan diri ke dalam kereta. Entah mana dia menyorok.

Nak tak nak terpaksalah aku bawa dia hingga sampai Bangi. Sepanjang jalan tu asyik merayap aje kerjanya. Sekejab bunyi kat belakang. Sekejab bunyi kat sebelah. Aku hanya risau kalau dia merayap atas kepala aje…kang aku pejam mata kereta masuk gaung.

geli geleman nengoknya eh


Akhirnya sampai juga di Bangi. Masa aku buka bonet masih lagi Nampak dia. Dah siap angkut barang, entah kemana dia hilang. Fuhhhhhhh! Seram juga bila diingatkan.

Jumaat, 15 April 2016

Pemenang Teka Barang

Sekarang ni musim buang sampah sarap dalam rumah. Walaupun agak banyak juga dan dibuang seperti kertas kitar semula yang aku kumpul sepanjang siapkan tesis dahulu, adalah lebih kurang 7-8 kotak juga, segala harta benda yang ditinggalkan penyewa sebelum ni, malah libatkan juga selipar sandel yang dah tak selamat lagi dipakai, namun, rumah masih lagi macam tempat pelupusan sampah.

Masa dok sidai kain (anak-anak kain sebenarnya), secara tak sedar aku terkira usia hanger yang aku tengah gunakan itu. Apa taknya, hanger tu bukan sahaja dah patah dan reput bahagian tertentu, tetapi juga aku anyam dengan tali raffia untuk jadi penyangkutnya. Selagi boleh pakai memang aku akan guna walaupun Nampak memanglah tak lawa langsung. Asal boleh guna!


Bila bahagian reput itu dah makin banyak dimamah usia, aku pun gantikan dengan hanger baru. Harapnya hanger baru tu mampu bertahan 20 tahun lagi. Sebelum buang hanger lama ni, aku ambil gambar tanda kenangan, kemudian tampal di FB. Tetiba keluar idea nak buat soklan kuiz pulah huhuhuhu

Tahu tak berapa usia hanger comot tu? Pemenangnya adalah;


Haaaaaaa itulah usianya. Aku beli masa mula kerja di UKM ni. Rupanya dah 18 tahun usia benda ni. Patutpun dah reput huhuhuhu

Kedekut dak aku?

Tahniah abah Zino, Berjaya jawab dengan tepat. Nanti bagi alamat ya, nak bagi hadiah. Apa hadiahnya? Jenggg jengggg jenggg