Rabu, 5 Mac 2014

Cerita Tentang Ayah Kami


Inilah nostalgia tentang ayah kami.


Selasa, 4 Mac 2014

Muda Lagi Dah Bertongkat


Masih lagi cerita pentang pengalaman yang aku jumpa masa pergi HUKM selasa lepas.

Dah selesai semua urusan (dah buat temujanji dengan doktor pakar, dah kutip MC 3 hari (SAHAJA) yang doktor bagi), makanya teringin, sebenarnya TERrindu nak makan mehun sup SEDAP yang selalu aku makan kat kafe HUKM dulu-dulu. Dulu-dulu itu bermakna pat lima tahun lepas, atau sebenarnya bermula awal tahun 2000.

Semua tu semata-mata sebab nostalgia. Tapi bila pergi...patah balik tanpa makan apa-apa sebab nostalgia yang indah itu dah tak ada. Jadinya, aku singgah duduk sekejab di deretan kerusi berhampiran farmasi. Caj tenaga. Sejak bertongkat ni kena selalu berhenti caj tenaga semula. Kalau tak, capek que!

Memerhati manusia memang dah perangai aku hinggakan ada seseorang pernah nasihatkan aku untuk hentikan tabiat itu. Mana mungkin! Jadinya, banyaklah perangai manusia aku jumpa sepanjang aku caj tenaga di situ.

Tetiba seorang akak menyapa dengan senyum manis dan duduk sebelah aku. Katanya dia dah pencen, tapi kalau tengok wajahnya tu...aku boleh kata umur dia 45 tahun. Paling utama, wajahnya itu begitu berseri-seri. Senyumnya itu sangat menawan dan terserlah keihlasan hatinya. Bukan senyum buat-buat macam aku. Ohhhhh! Tetiba aku sedar diri betapa palsunya aku!

Dia pandang tongkat dan berkata “kesiannya...muda-muda lagi dah bertongkat,”.

Walaupun dia tak cakap, sebenarnya aku tahu dia kesian kat aku bukan sebab tongkat tu...tapi sebab aku bertongkat dan uruskan semua perkara di HUKM sensorang diri. Terima kasihlah sebab kesian kat aku, tapi...aku dah biasa buat sendiri semua benda dalam hidup ni. Aku tak rasa terbebanpun. Aku rasa macam boleh je buat.

Aku senyum je lah. Nak kata apa? Nak komen apa? Tak ada perkataan masa tu. Dia bekas nurse, bila aku sebut slipped disc dah tentu dia memahaminya lebih dari aku sendiri.

“Akak baru je sihat dari kanser tiroid tahap 4. Lepas buat kimo, akak kena stroke dan koma sebulan. Tangan ni menggerekok tak boleh lurus...doktor kata akak boleh hidup 3 bulan je. Lepas tu semua organ dalaman akak rosak...jantung, paru-paru, buah pinggang, hempedu...kemudian darah tinggi dan kencing manis,” cerita kakak tu.

Aku diam, angguk-angguk kepala kusyuk dengar kakak tu cerita.

“Masa doktor sahkan ada kanser...akak rasa down sangat. Kecewa dan rasa nak bunuh diri...sebabnya, akak selalu check dan buat ujian, tapi doktor kata tak ada apa-apa. Sihat. Bila pergi swasta, baru boleh kesan. Tu pun dah tahap 4...”

Aku dengar lagi. Angguk-angguk juga.

“Berpuluh kali pembedahan buat...merata tempat. Satu kali sedara mara paksa pergi jumpa ustaz. Akak bukan percaya sangat benda-benda gini, tapi terpaksa pergi...bla bla bla...”

Belum habispun dia bercerita dengan ceria itu, dia minta diri untuk beli akhbar. Tak sempat habis pun sembang. Masih banyak lagi aku nak tanya sebenarnya, terutama tentang “macam mana dia boleh kelihatan begitu ceria dan gembira itu”. Dah lama aku tak jumpa orang yang bawa aura gembira sebegitu.


Isnin, 3 Mac 2014

Macam Mana Nak Pegang Senjata Ni?


Ini kisah Selasa lepas.

Jam lapan pagi, teksi ambil depan pagar rumah, gerak dalam jem ke HUKM. Orang kata, memerhati manusia yang pelbagai di hospital memberi banyak makna kepada hati. Lebih-lebih lagi kalau kita sendiri juga tidak begitu. Sihat. Jalan bertatih, berbantukan tongkat.

Untuk staf UKM (termasuk HUKM), kami mempunyai tempat berbeza dengan masyarakat umum untuk dapatkan rawatan. Ini bagi kes-kes biasa sahaja, iaitu bukan kes kecemasan dan bukan berkaitan dengan kepakaran. Jadi, masa menunggu tu singkat sahaja, dah jumpa doktor boleh terus pergi sambung kerja.

Sepuluh minit menunggu, giliran aku tiba. Doktor hensem dari Iraq yang gaya pertuturannya macam mat Bangla…kincing ada bagus? Vera ada ok? Gitulah lebih kurangnya. Kemudian, aku dirujuk kepada pakar. Buat temujanji dan balik tunggu dia orang telefon.

Masa di Jabatan Orthopedik HUKM masa buat temujanji, sementara tunggu giliran, aku sempat berbual dengan seorang lelaki. Usianya barangkali belum 40, berbadan tegap. Sekali pandang memang dah tahu dia itu seseorang berpangkat dalam pasukan keselamatan.

Ketika itu moodnya memang tengah hangin. Aku yang tidak tahu hujung pangkal menerima luahan kemarahannya itu.

“Dua tahun saya kat atas tu…boleh report doktor hilang, macam mana saya nak buat? Tak ada report tu…saya kena lapor diri. Macam mana saya nak pegang senjata?” luahnya geram.

Senjata????? Opssss! Senjata apakah?

Bila tengok aku blur…dia rendahkan nada suaranya.

“Tangan saya ni belum mampu lagi nak pegang senjata…macam mana nak bertugas?”

Aku tengok lengannya yang digawangkan kiri kanan itu. Lengan orang biasa bawa benda berat. Bukan lengan orang pengang pen macam aku hu huhuh u


“Sabar ya encik…adalah tu salah letak mana-mana, harapnya tak ada masalah dokumentasi lagi lepas ni,” kataku cuba tenangkan dia sebelum masuk jumpa cik adik nurse lawa untuk buat temu janji. Bila keluar, dia sudah tak ada. Kalau tidak, boleh sambung sembang-sempang lagi.

Akupun tak tahu kenapa sekarang ni aku sangat suka melayan orang menyembang lagu tu. Pertambahan usiakah?


Ahad, 2 Mac 2014

Celaru Otak...Jom Main Badminton!

Mengapa kita (akulah tu!) kerapkali merasakan hanya kita sahaja yang betul? Padahal, antara kita dan orang lain itu sangat banyak bezanya dari segi budaya, pengalaman masa kecil, ilmu, pendidikan, bla bla bla alih-alih kita tetap merasakan kita juga yang terbaik. Kita juga yang bagus. Kita juga yang benar. Kebenaran itu hanyalah mengikut acuan kita sahaja.

Contohnya, kita kata orang tu tak baik. Makanya, baik sangatkah kita yang sedang mengumpat dia?

Mengapa kita tak boleh terima perbezaan? Mengapa kita tidak boleh berada dalam kasut orang lain? Mengapa kita tak boleh berfikir di luar kotak?

Ish! Banyak sangatlah tanya...bila nak jawabnya?

Aku nak jawab apa...akupun tak tau! Hangpa jawab sendirilah...kemudian bagi tau aku biar aku tau! Boleh gitu?

Celaru otak betul! Lagi baik aku pergi main badminton sementara masa aku belum kena curi nih.




Sabtu, 1 Mac 2014

`Tribute` Muzikal Tan Sri P.Ramlee: Nostalgia Seniman Sepanjang Zaman


Pusat Kebudayaan, JPPel mengalu-alukan semua warga UKM dan sekitar Lembah Kelang untuk sama-sama memeriahkan program "Tribute" Muzikal Tan Sri P.Ramlee: Nostalgia Seniman Sepanjang Zaman" yang akan dipentaskan oleh Artis Budaya Pusat Kebudayaan dan Kumpulan Teater Rimba ARTISUKMA.


Masuk adalah percuma!

Tarikh Acara: 14/03/2014
Masa Acara: 08:00 Malam hingga 10:45 Malam
Tempat: Panggung Seni, UKM
Penganjur / Penganjur Bersama: Pusat Kebudayaan, JPPel