Tiap kali sambut tahun baru, sambut hari kemerdekaan atau apapun perayaan yang selalunya mengundang perhimpunan di Dataran Merdeka atau kawasan tumpuan lain seperti KLCC dan Putrajaya, aku memang tak akan ikut serta. Jawapannya sangat mudah, aku ada kerja lain yang nak kena buat dan siapkan cepat-cepat supaya perancangan untuk kerja yang lain, dan lain dan lain dan lain tak terganggu.
Malam tadi, aku balik dari pejabat jam 10 malam. Singgah pasar malam beli barang keperluan untuk hidup sehari dua. Memang semua benda barang dah naik harga termasuk nasi putih ayam goreng berempah. Begitu juga dengan barang-barang basah. Jadi, tak hairan sangatlah bila ramai yang sanggup berhimpun mengikut perhimpunan TURUN di Dataran Merdeka menjelang tahun baru 2014.
Pandangan dari atas Dataran Merdeka ambang tahun baru 2014
Aku rakyat marhaen. Sejak dua tahun lepas lagi dah terasa beban kenaikan harga, apalagi kebelakangan ini. Apalagi esok, menjelang tahun baru. Bukan sahaja petrol dah naik harga, tambah pula satu lagi perkara akan naik iaitu tariff elektrik.
Pak Menteri kata, kenaikan harga itu masih lagi mampu dihadapi oleh rakyat. Kata menterilah. Aku ni rakyat marhaen, dahlah gaji sejemput, kepala pun bukannya terpelajar mana. Masa ambil Matematik Tambahan dulu, jenuh cikgu Zulkifli yang hensem berlesung pipit di pipi itu jentik telinga, masih jugak bengap. Manalah mungkin aku reti nak bilang tentang kenaikan harga barangan dan ekonomi semasa kalau dah Matematik Tambahan pun gagal.
Laungan TURUN harga barang dalam himpunan TURUN di Dataran Merdeka
Aku tak salahkan mereka bila sanggup hurung Dataran Merdeka diambang tahun baru 2014 melaungkan khalimah TURUN berulangkali. Kagum dengan mereka pun ada, sebabnya kesanggupan mereka sangat tinggi berbanding dengan aku. Aku ni, dah lah marhaen, nak pergi berarak macam merekapun bukan main malas lagi.
Kalau tanya aku, dah tentu aku akan izinkan mereka nak berhimpun. Himpun je lah. Launglah kalau nak laungpun. Mereka tengah stress. Mereka perlu lepaskan keserabutan yang mengepung dalam diri. Biarkan je lah mereka nak berhimpunpun. Dah penat berhimpun, dah mengantuk mereka akan balik juga. Selagi kita dok halang, selagi itulah berlaku kekasaran dan kemusnahan. Memang resam manusia, akan protes dan berkasar bila niat terhalang. Cuba bukak stadium bagi peluang mereka berhimpun secara aman, akupun sudi pergi jual air mineral kat sana sebab mereka akan balik bila acara lepas perasaan itu selesai.
Tak apalah. Itu cara mereka berjuang. Cara aku berjuang berbeza. Makanya, siapa aku untuk pertikaikan perjuangan orang lain. Asalkan tidak bahayakan nyawa sendiri, tidak ancam keselamatan awam yang lain, tidak dedahkan bahaya kepada anak-anak kecil yang dibawa…terpulanglah kepada diri sendiri nak memilih jalan perjuangan.
Nyanyian lagu TURUN di Dataran Merdeka
Tujuan perhimpunan bantah kenaikan harga barang @ TURUN itu digelar perhimpunan gulingkan kerajaan. Tang ni aku memang tak faham, tapi tak pentingpun faham ke tidaknya aku tentang isu ini. Kalau sanggup membaca FB, blog, twitter dan seangkatan dengannya, ramai yang muat naik gambar dan video perhimpunan TURUN di Dataran Merdeka. Manakala di akhbar pula, tak kira Berita Harian, Sinar Harian, Mstar ataupun berita TV, masing-masing melaporkan tentang sambutan ambang tahun baru 2014 di Dataran Merdeka anjuran DBKL telah dibatalkan berikutan peserta perarakan TURUN dan naik pentas. Hishhhhh! Asyik turun, asyik naik je…akhir sekali aku jugak yang keliru.
Akhirnya mereka berjaya merampas pentas di Dataran Merdeka dan hentikan konsert serta pertunjukan bunga api seperti biasa bila menyambut ambang tahun baru. Kira pertama kali dalam sejarah. Kemudiannya lagu Negaraku berkumandang di Dataran Merdeka sempena sambutan tahun baru 2014.
Itu tandanya mata dan mengantuk. Selamat tahun baru 2014 ya…entri siang esok tak sempat taip lagi. Esok je lah taip…malam ni tidur dulu ya…banyak lagi perkara kena siapkan esok.
Jommmm beradu!