Orang kata, kalau orang tu tak dapat nak fahami kita, baiklah lupakan terus. Ya…nak jadi kawan pun ada tahap pemahaman yang tertentu juga. Asyik kita sahaja nak kena faham, lama-lama boleh bertahan ke? Apalagi kalau nak lebih dari seorang kawan.
Bagi aku, hidup ni mudah sahaja. Ada orang boleh jadi kawan untuk aktiviti beli belah. Ada kawan sesuai untuk aktiviti redah belukar hendak anak biawak kemudian tembak dengan lensa. Ada orang yang lain hanya sesuai untuk berada di majlis mewah bertemankan neon galak lip lap lip lap. Dan, tak kurang pula hanya sesuai bergelumang mentari terjun masuk laut dan mengejar duyung di Antara timbunan indah karang.
Kalau beruntung, kita akan punya seseorang yang boleh bersama kita di semua tempat itu. Yang sentiasa berdiri di sisi sekalipun tanpa berkata apa-apa. Yang sentiasa mendengar dengan mata dan hati. Dan yang sentiasa menyokong segala usaha kita biarpun tanpa sepatah lafaz. Namun, kita tahu dia akan sentiasa sebegitu di sisi biarpun dia tak mampu nak lap air mata sendiripun, apalagi air mata kita. Untunglah bila ada insan begitu di sisi. Usah lepaskannya pergi.
Namun, amat malang benarlah kalau kita punyai seseorang yang datang dan perginya sesuka hati dia sahaja. Masa kita senang dia tak ada, masa kita susah dia entah di mana. Munculnya pula hanya menuntut apa yang perlu kita lakukan untuk dia tanpa sedarpun dia tak pernah lakukan apa-apa buat kita. Dia hanya jadi angin yang tidak kita Nampak, tak mampu kita miliki, tak upaya kita tahu kehadirannya.
Perlukah persoalkan “U Elak Jumpa I Kan?” bila tiba-tiba munculnya hanya melalui SMS setelah duri yang tersangkut direngkungku berjaya kutarik perlahan dan ubati lelas itu. Bukan salah dia aku tertelan duri, bukan salah dia juga ada parut dek tikaman duri itu. Soalnya, kemana dia kala duri itu begitu mencengkam rengkung. Bukannya dia tak tahu aku tercekik duri waktu itu.
Ini bukan soal dendam atau membalas semula. Ini soal hati. Hati itukan sukar untuk dimengertikan. Lalunya, bila hati menjadi hambar, bukan ada sambal belacan boleh ditambah buat pengubah rasa.Atau letak kicap agar membantu tekak untuk menelan.