Selasa, 3 Disember 2013

Bila Usia Sudah Renta


Aku pernah tulis tentang dilema yang aku terfikir-fikir tentang pencen. Apa nak buat bila pencen nanti, apa yang berlaku masa tu…mampu tak aku survival diri dengan pencen yang tidak seberapa. Paling merisaukan bila KWSP dikatakan hanya cukup untuk 3 tahun sahaja. Nasib baik aku ambil sistem pencen, risiko yang tu tak termasuk dalam senarai. Namun, bagaimana pula dengan penjagaan kesihatan ketika usia lanjut?

Balik kampong masa Aidiladha hari tu, aku sempat juga melawat ziarahi sanak saudara warga emas yang dah tentulah memang tak ada KWSP atau pencen. Bila usia semakin renta, apa lagi yang daya dilakukan melainkan serahkan diri kepada takdir.

Upaya fizikal memang dah merosot. Nak kerja memang tak mampu, kalau boleh berjalan dan sihat tubuh badan itupun dah kira rahmat. Mampukah nak kerja? Masak untuk mulut sendiripun dah tak mampu, apalagi berkerja.

Seorang Tok Sedara hanya boleh menginsut sahaja, dah tak mampu berjalan. Sepanjang hari hanya berbaring di tilam kusam. Dukacitanya, Allah takdirkan IQnya memang rendah. Tanpa jodoh juga. Dah pasti tiada anak-anak untuk jaga dia.

Tinggal pula berdua dengan kakaknya yang lebih kurang sama sahaja tahap kesihatannya. Kakaknya itu pula baru sahaja kematian anak tunggalnya, mewariskannya banyak hutang piutang. Semua cucu tinggal di KL, maka bersendirianlah dia terlantar.

Kita sebenarnya tidak tahu apa bakal berlaku pada masa hadapan. Tok Sedara yang tidak kahwin itu memang menganggap anak buah dan kakaknya dapat membantu pada usia senja begitu. Kakaknya pula ingat hidupnya lebih baik kerana ada anak dan cucu yang bakal menjaganya. Namun takdir Allah tidak berlaku seperti yang kita kehendaki.

Bila Mek tanya, “Cucu balik raya tak?”, air mata kami hampir menitik bila dia menjawab “Ni lah cucu aku,” sambil memuncungkan bibirnya ke arah kami.

Sumpah! Aku tahan perasaan je masa tu. Rasa nak meraung!

Gamaknya, bagaimana takdir kita bila seusia dia nanti?
 
 
 

Isnin, 2 Disember 2013

Tarif Letrik Naik Bermula Januari 2014


Pak Menteri kata subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014. Sekarang ni tarif elektrik 33.54 sen.

Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5 sen KWJ atau peningkatan 16.9 peratus daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen KWJ kepada 34.52 sen KWJ, berkuat kuasa pada tarikh yang sama. Katanya 70.67 peratus atau 4.56 juta daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang menggunakan elektrik pada kadar 300 KWJ dan ke bawah, tidak terlibat dengan semakan itu.

Kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air lagi, kerajaan akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Dis 2014. Pelaksanaan tarif baharu letrik ini, kerajaan masih perlu menanggung RM14 bilion subsidi setahun melalui pelepasan hasil perolehan gas asli ke atas semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia, termasuk RM2.4 bilion setahun untuk pengguna domestik kurang daripada 300 KWJ sebulan. Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, subsidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM570 juta setahun, termasuk RM155 juta setahun untuk kategori pengguna yang sama.

Selaras dengan penyelarasan kadar purata tarif elektrik daripada 33.54 sen/KWJ kepada 38.53 sen/KWJ ini kerajaan akan menyelaraskan semula tarif elektrik yang melibatkan pengguna domestik, komersil dan industri. Ini juga melibatkan kesan penetapan harga gas asli cecair (LNG) yang diimport pada harga RM41.68/mmBtu ke atas tarif elektrik sebanyak 10.17 peratus atau 3.41 sen KWJ," katanya.


Komen aku: masa perubahan tarif lama tu, bil letrik bulanan aku bertambah 50%. Kali ni naik 50% lagi tak? Mmmmm nape sikit sangat…naiklah dua tiga ratus peratus. Aku memang suka bila segala benda di Malaysia ni naik harga, bukan je petrol atau gula aje…pendek kata, bila hujan turun, patutnya rakyat Malaysia perlu dikenakan caj tau untuk pengurusan air hujan tu.

Sabtu, 30 November 2013

Siapakah Di Sisi Ketika Itu?


Dalam beberapa entri aku sebelum ni ada menyebut tentang apa perancangan nak buat bila dah pencen nanti. Memanglah hidup mati itu Allah dah tentukan panjang singkatnya, entahkan esok lusa kita padam tan sempat nak pencenpun. Namun, sekurang-kurangnya kita perlu ada perancangan untuk hidup bila pencen nanti.

Persoalannya, mampukah kita nak hidup selesa masa pencen nanti? Tak kesah sangat bagi yang berkamampuan, namun bagi aku yang sangat terasa tak mampu dengan kehidupan pada hari ini, masih terfikir-fikir tentang kemampuan untuk hidup ketika dah pencen nanti. Ketika usia renta, apa lagi kudrat yang ada untuk membanting tulang mencari sesuap nasi?

Sepuluh atau 20 puluh tahun mendatang ini, semua perkara akan lebih banyak berubah. Kos sara hidup semestinya akan lebih tinggi. Kalau sekarangpun semput tak tertarik nafas nak beli rumah pertama, apalagi rumah kedua…apa jadi pada 20 tahun akan datang? Merempat di manakah kita?

Terfikirkah kita tentang satu lagi perkara selain daripada peningkatan kos sara hidup? Bagaimana dengan kesihatan? Sekarang ni bolehlah berlagak masuk klinik panel disediakan kampeni masing-masing. Bila usia dah renta, bila dah pencen…masihkah kita boleh nikmati keselesaan perkhidmatan perubatan seperti sekarang? Layakkah kita dapat perkhidmatan kesihatan secara percuma di mana-mana klinik atau hospital?

Pada usia renta itulah, banyak penyakit mula hinggap. Kalau sekarang ni kita selsema, adakah selsema yang sama seperti sekarang ni mampu kita lalui semudah sekarang? Itu baru selsema. Bagaimana dengan pelbagai penyakit kronik lain seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi…bagaimana dengan kanser?

Benar-benar yakinkah kita hidup dengan gaya yang sihat hingga pelbagai penyakit berkenaan gerun untuk hinggap? Bersediakah kita? Sekiranya menggunakan hospital atau klinik kerajaan, adakah meliputi rawatan untuk penyakit kronik serupa itu? Ataukah terbiar berbulan-bulan hanya untuk dapatkan satu tarikh temujanji dengan doktor pakar? Sekarang ni...paling cepat untuk dapat tarikh temujanji dengan doctor pakar adalah 3 bulan. Bergantung kepada siapa kita...kalau bukan sesiapa, masihkah tiga bulan?

Tiap kali baca di akhbar atau tengok berita TV tentang golongan yang tidak bernasib baik menderita kanser memohon bantuan, hati jadi sayu. Akan begitukah nanti kehidupan aku pada masa depan? Mengharap ehsan dan bantuan orang ramai. Walaupun kita ada insuran kesihatan, pernah tak semak semula setakat mana insuran kesihatan yang kita bayar setiap bulan selama bertahun-tahun itu mampu melindungi kita? Ataukah nanti, pada saat kita sangat memerlukan itu, "110 CancerCare" juga yang datang membantu?
 
 
 

Khamis, 28 November 2013

Mencintaimu...Daku Jadi Nanar


Semangat k-pop dah melanda. Sangat-sangat-sangat-sangat suka dengan filem ni. Indah;




cerita yang manis... muzik yang indah. Tetiba teringat satu filem Thailand yang indah sebegini juga...lain kali aku tampal ya...

Rabu, 27 November 2013

Maaf dari Hati Paling Dalam


Maaf, andai harapmu yang menggunung itu
Tak tertunai di alam nyata
Bukan setiap saat daku mampu laksanakan

Maaf, bukan hatimu sahaja perlu kujaga
Hati ini jua perlu dirawat
Dari luka yang membekas dalam.



Harap yang terlalu besar akan hampakanmu kembali
Kerna aku…banyak kurangnya.
Habis daya upaya jua.

Maaf, dari sudut hati yang paling dalam...