Memaparkan catatan dengan label apa nak buat bila pencen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label apa nak buat bila pencen. Papar semua catatan

Sabtu, 30 November 2013

Siapakah Di Sisi Ketika Itu?


Dalam beberapa entri aku sebelum ni ada menyebut tentang apa perancangan nak buat bila dah pencen nanti. Memanglah hidup mati itu Allah dah tentukan panjang singkatnya, entahkan esok lusa kita padam tan sempat nak pencenpun. Namun, sekurang-kurangnya kita perlu ada perancangan untuk hidup bila pencen nanti.

Persoalannya, mampukah kita nak hidup selesa masa pencen nanti? Tak kesah sangat bagi yang berkamampuan, namun bagi aku yang sangat terasa tak mampu dengan kehidupan pada hari ini, masih terfikir-fikir tentang kemampuan untuk hidup ketika dah pencen nanti. Ketika usia renta, apa lagi kudrat yang ada untuk membanting tulang mencari sesuap nasi?

Sepuluh atau 20 puluh tahun mendatang ini, semua perkara akan lebih banyak berubah. Kos sara hidup semestinya akan lebih tinggi. Kalau sekarangpun semput tak tertarik nafas nak beli rumah pertama, apalagi rumah kedua…apa jadi pada 20 tahun akan datang? Merempat di manakah kita?

Terfikirkah kita tentang satu lagi perkara selain daripada peningkatan kos sara hidup? Bagaimana dengan kesihatan? Sekarang ni bolehlah berlagak masuk klinik panel disediakan kampeni masing-masing. Bila usia dah renta, bila dah pencen…masihkah kita boleh nikmati keselesaan perkhidmatan perubatan seperti sekarang? Layakkah kita dapat perkhidmatan kesihatan secara percuma di mana-mana klinik atau hospital?

Pada usia renta itulah, banyak penyakit mula hinggap. Kalau sekarang ni kita selsema, adakah selsema yang sama seperti sekarang ni mampu kita lalui semudah sekarang? Itu baru selsema. Bagaimana dengan pelbagai penyakit kronik lain seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi…bagaimana dengan kanser?

Benar-benar yakinkah kita hidup dengan gaya yang sihat hingga pelbagai penyakit berkenaan gerun untuk hinggap? Bersediakah kita? Sekiranya menggunakan hospital atau klinik kerajaan, adakah meliputi rawatan untuk penyakit kronik serupa itu? Ataukah terbiar berbulan-bulan hanya untuk dapatkan satu tarikh temujanji dengan doktor pakar? Sekarang ni...paling cepat untuk dapat tarikh temujanji dengan doctor pakar adalah 3 bulan. Bergantung kepada siapa kita...kalau bukan sesiapa, masihkah tiga bulan?

Tiap kali baca di akhbar atau tengok berita TV tentang golongan yang tidak bernasib baik menderita kanser memohon bantuan, hati jadi sayu. Akan begitukah nanti kehidupan aku pada masa depan? Mengharap ehsan dan bantuan orang ramai. Walaupun kita ada insuran kesihatan, pernah tak semak semula setakat mana insuran kesihatan yang kita bayar setiap bulan selama bertahun-tahun itu mampu melindungi kita? Ataukah nanti, pada saat kita sangat memerlukan itu, "110 CancerCare" juga yang datang membantu?