Memaparkan catatan dengan label hidup terlantar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hidup terlantar. Papar semua catatan

Selasa, 3 Disember 2013

Bila Usia Sudah Renta


Aku pernah tulis tentang dilema yang aku terfikir-fikir tentang pencen. Apa nak buat bila pencen nanti, apa yang berlaku masa tu…mampu tak aku survival diri dengan pencen yang tidak seberapa. Paling merisaukan bila KWSP dikatakan hanya cukup untuk 3 tahun sahaja. Nasib baik aku ambil sistem pencen, risiko yang tu tak termasuk dalam senarai. Namun, bagaimana pula dengan penjagaan kesihatan ketika usia lanjut?

Balik kampong masa Aidiladha hari tu, aku sempat juga melawat ziarahi sanak saudara warga emas yang dah tentulah memang tak ada KWSP atau pencen. Bila usia semakin renta, apa lagi yang daya dilakukan melainkan serahkan diri kepada takdir.

Upaya fizikal memang dah merosot. Nak kerja memang tak mampu, kalau boleh berjalan dan sihat tubuh badan itupun dah kira rahmat. Mampukah nak kerja? Masak untuk mulut sendiripun dah tak mampu, apalagi berkerja.

Seorang Tok Sedara hanya boleh menginsut sahaja, dah tak mampu berjalan. Sepanjang hari hanya berbaring di tilam kusam. Dukacitanya, Allah takdirkan IQnya memang rendah. Tanpa jodoh juga. Dah pasti tiada anak-anak untuk jaga dia.

Tinggal pula berdua dengan kakaknya yang lebih kurang sama sahaja tahap kesihatannya. Kakaknya itu pula baru sahaja kematian anak tunggalnya, mewariskannya banyak hutang piutang. Semua cucu tinggal di KL, maka bersendirianlah dia terlantar.

Kita sebenarnya tidak tahu apa bakal berlaku pada masa hadapan. Tok Sedara yang tidak kahwin itu memang menganggap anak buah dan kakaknya dapat membantu pada usia senja begitu. Kakaknya pula ingat hidupnya lebih baik kerana ada anak dan cucu yang bakal menjaganya. Namun takdir Allah tidak berlaku seperti yang kita kehendaki.

Bila Mek tanya, “Cucu balik raya tak?”, air mata kami hampir menitik bila dia menjawab “Ni lah cucu aku,” sambil memuncungkan bibirnya ke arah kami.

Sumpah! Aku tahan perasaan je masa tu. Rasa nak meraung!

Gamaknya, bagaimana takdir kita bila seusia dia nanti?