Ahad, 9 Jun 2013

Latifah Omar Meninggal Dunia


DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Belum lagi reda dengan pemergian tokoh S.Samsudin @ Sudin, hari ini Negara kehilangan seorang lagi senewati Negara, si jelita bertahi lalat di sudut bibir, Latifah Omar. Arwah sudah menjalani dua pembedahan dan disahkan meninggal jam 6.19 petang pada usia 74 tahun.


Arwah Latifah Omar dilaporkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang tadi setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM selepas menjalani pembedahan pada pukul 2 petang semalam akibat penyakit ulser. Seniwati yang merupakan pelakon era tahun 1950-an itu sebelum ini telah menjalani pembedahan pada bahagian perutnya dan tidak sedarkan diri selepas pembedahan tersebut.

Pelakon veteran Latifah Omar dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital. Sebelum dimasukkan ke HUKM, Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Islam Kampung baru namun dipindahkan ke HUKM ekoran kos perubatan terlalu tinggi.


Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah AU3, Taman Keramat di Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi Isnin. (ada laporan mengatakan Jenazah akan dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Ampang yang turut semadikan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan beberapa seniman serta seniwati lain).

Selamat Tinggal...malam dan keindahannya
 Filem: SUMPITAN RACHUN (1961) Cathay-Keris, lakonan Latiffah Omar (suara Saloma)



Latifah yang sering digandingkan dengan Nordin Ahmad membintangi sebanyak 23 filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Jebat, Jalak Lenteng, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Che Mamat Parang Tumpul dan terakhir Hati Batu pada 1973.



Filem: MERANA (1954) Malay Film Productions: lakonan Latifah Omar (suara Normadiah)

Sebenarnya aku lebih suka lagu dalam filem Bawang Puteh Bawang Merah, tapi dalam filem tu, arwah berkemban...tak sesuai untuk aku letak kat sini. Lagu ni best apa...selamat beradu nanda ;)

Alfatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Aminnn.

Tahniah juga kepada Farid Kamil dan Diana Danielle yang dah menimang cahaya mata lelaki mereka. Tak perlu rasanya nak buat spekulasi pelbagai. Doakan mereka sentiasa bahagia dan rumahtangga mereka dirahmati. 

Persoalannya, betul ke Diana Danielle dah bersalin? Betul ke gambar yang tersebar itu adalah anak Farid Kamil? cerrr jawab!


 


Jumaat, 7 Jun 2013

Video Selepas Runtuhan Jambatan Kedua Pulau Pinang


Selepas 12 jam runtuhan....usaha pembersihan sedang dilakukan.



Ini laporan Metro yang mereka rakamkan semalam, selepas runtuhan.



Sama-sama kita doakan semoga pihak terbabit yang bertungkus lumus bersihkan kawasan ni dan operasi menyelamat sebuah kereta yang masih terperangkap di bawah runtuhan berjalan lancar. Moga semua kerja-kerja tu dimudahkan.

Tak perlu kot nak babitkan semua ni dengan macam-macam hal termasuk politik. Tak perlu tuding jari kepada pihak lain kalau takat nak sedapkan cerita di kedai kopi masa gebang pepagi, padahal tak sedarpun kita sendiri dah TERambil masa kerja.

Biarlah kita jadikan tragedi ni sebagai iktibar. Banyak iktibarnya kepada semua orang.




Nak tengok lebih banyak gambar dari lokasi runtuhan jambatan kedua pulau pinang? Silalah baca Blog Mazidul. 




Bila Kena Ngurat Dengan Budak Bawah Umur


Alahaiiiiiii!

Namapun budak bawah umur….barangkali lap hinguspun belum bersih lagi, tapi pra-san dah besar. Pra-san dah boleh mengurat anak orang. Sayangnya, salah urat. Yang dok pi urat makcik macam aku ni apa hal?

Aku kagum dengan kegigihan dia. Tak pernah jemu nak dapatkan perhatian dan kasih sayang. Walaupun dah cakap “makcik ni dah tua nak…carilah kawan remaja sikit nak bersenda gurau,” namun nyatanya, entah kenapa dia seronok pula bermain kata mohon berbalas rasa dengan sang makcik.

Bila dah usia sebegini, perasaan untuk melayan cerita budak-budak awal remaja begitu memang tak ada langsung. Hingga rasa terganggu pulak. Makcik ni banyak kerja nak buat, nak...tidurpun tak cukup dok menunaikan amanah! Nak aje bagi dua posen "nak pi main jejauh!"


Payah jugak bila kena urat dek budak bawah umur ni. Bagi tahu secara berhemahpun bukannya dia faham. Berterus terang bagi ayat paling mudahpun, masih juga tak reti-reti. Tak kan nak kena maki hamun bagai kot.

Nyatanya, budak-budak bawah umur zaman sekarang ni yang pra-san “dia dah besar” itu ada masanya mengguris hati tuaku. Ohhhhhh! Tetiba hari ni rasa dah tua. Biasanya rasa macam remaja 18 tahun.

Tolonglah, nak!
Usah panggil orang lain, walaupun rakan seusiamu dengan panggilan “hoi…hoi…” kalau dikau dihadapanku, nescaya ….berterabur gigi kena lempang!


Jambatan Kedua Pulau Pinang Runtuh


Alamak!!!! Tajuknya tak leh blah. Sebenarnya, hanya penyambung jambatan kedua pulau pinang sahaja yang runtuh bukannya keseluruhan jambatan ya…

Jalan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang berhadapan dengan kilang Motorola di sini runtuh kira-kira jam 7.15 malam tadi. Menurut jurucakap Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada ‘ramp’ di bawah kerja-kerja pembinaan pakej 3A yang sedang giat dijalankan. Runtuhan palang penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak melibatkan struktur pembinaan, tetapi hanya bahagian tanjakan konkrit serta besi penyambung Pakej 3A, iaitu penyambung jalan susur keluar dari jambatan ke lebuh raya sebelah pulau.


Polis mengesahkan empat mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa maut dihempap runtuhan sebahagian rangka susur masuk Jambatan Kedua Pulau Pinang di sini, petang tadi. Runtuhan terbabit dianggarkan seberat 200 tan dan panjang 50 meter.

Sehingga jam 11 malam seramai 48 anggota termasuk pegawai polis; 11 anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan 50 anggota bomba dari lima balai sedang bertungkus lumus melakukan S&R.



Seorang pemandu lori konkrit mendakwa lima minit sebelum kejadian mereka terdengar bunyi retakan disusuli penyambung konkrit rangka jambatan bergoyang dan runtuh di susur masuk ke Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Maung di sini, petang tadi.

Enam pekerja dilihat melarikan diri dalam debu yang melingkungi 200 meter kawasan pada jam 7.15 petang. Setelah itu, dua kereta jenis Proton Waja dan Perodua Viva serta sebuah motosikal yang menghala Batu Maung dilihat dihempap penyambung kongkrit seberat 200 tan. Selepas runtuhan itu, kenderaan terbabit langsung tidak kelihatan. Dua pekerja iaitu seorang Myanmar yang cedera parah manakala seorang lagi warga Indonesia patah kaki kanan diselamatkan orang awam.

Projek pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang itu dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 3 Mac 2009. Ketika ini sebanyak 94 peratus kerja-kerja pembinaan berjaya dilaksanakan.

Pada 30 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin pertama negara yang menggunakan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 kilometer dari bahagian pulau ke tanah besar untuk ke satu majlis di Kepala Batas, Seberang Perai.


Jambatan kedua Pulau Pinang ialah jambatan terpanjang di Asia Tenggara yang dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang dengan kos RM4.5 bilion.

Nak tengok video runtuhan jambatan kedua pulau pinang? Nampak sikit suasana keseluruhannya berbanding tengok gambar runtuhan jambatan kedua pulau pinang sahaja:



Komen aku: Tak tau nak komen apa sebab kat opis akupun menghadapi masalah hampir sama. Entah kenapa bangunan binaan zaman sekarang ni mudah benar tumbang dan runtuh berbanding bangunan sejarah lampau zaman guna gajah dan tenaga manusia macam di tembok besar china ka, piramid ka...menara cinta ka...


Khamis, 6 Jun 2013

Pendaki Everest, Pelumba Muda Basikal Trengganu Meninggal

Baru sahaja kehilangan pelakon komedi arwah Pak Sudin @ s.Shamsuddin, hari ni Negara kehilangan dua orang anak bangsa lagi. Dua-duanya masih muda belia dan bakal bangunkan Negara iaitu pasukan pendaki Everest Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, dan pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Mohd Syafiq Imran Shahril.

Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, seorang daripada pasukan pendaki Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam Ekspedisi Kem Induk Everest (EBC) dan Kala Patthar di Banjaran Himalaya, Nepal bermula 27 Mei lalu meninggal dunia kelmarin dipercayai akibat penyakit akut gunung (Acute Mountain Sickness).

Jenazah penolong jurutera Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari yang meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kala Pathar dan Everest Base Camp di Kathmandu, Nepal dijangka diterbangkan ke Malaysia hari ini (Khamis). jenazah Allahyarham berjaya dibawa ke Lukla pukul 3 petang Selasa (5.15 petang waktu Malaysia) namun tidak dapat diterbangkan ke Kathmandu berikutan cuaca yang berkabus serta batasan pergerakan trafik udara berikutan kedudukan di lereng gunung.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan menggunakan penerbangan alternatif sekiranya usaha untuk menghantar jenazah menggunakan MAS yang dijadualkan pada 12.20 tengah hari esoknya tidak Berjaya. kesemua 13 peserta ekspedisi lain kini dilapor berada dilaluan turun di kawasan Dingboche (berhampiran Periche). Ekpedisi yang bermula pada 27 Mei itu disertai 14 pendaki (11 lelaki dan tiga wanita) mewakili Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan PPj. Kumpulan ekspedisi berkenaan dijangka pulang pada 10 Jun ini. Mereka perlu berehat secukupnya sebelum ke Gunung Kala Patthar dan EBC.

Di KUALA TERENGGANU, Seorang pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu maut selepas dirempuh lori treler di atas sebuah jambatan ketika menjalani sesi latihan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, di sini, pada jam 9.30 pagi Rabu. Mohd Syafiq Imran Shahril, 15, dikatakan gagal mengawal basikalnya selepas cuba mengelak rakannya yang terjatuh sebelum dirempuh lori terbabit dari arah bertentangan. 

Ketika kejadian, arwah bersama 44 rakan sepelatih sedang berkayuh ke Bukit Besi, Dungun sebagai sebahagian daripada latihan untuk menghadapi sebuah kejohanan di Perlis pada 19 Jun ini. Rakan sepelatih mangsa, Che Ku Mohd Nazimie Che Ku Romli, 19, berkata kejadian berlaku apabila salah seorang pelumba di hadapan terlanggar lubang sebelum dia yang mengekori di belakang tidak sempat mengelak. 

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman. Aminnnn.