Jumaat, 1 Mac 2013

Video Pencerobohan Bersenjata Lahad Datu


Berikut tiga video yang tersebar di youtube berkaitan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina kononnya diketuai adik kepada 'Sultan Jamalul Kiram III' Agbimuddin Kiram dan berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Dua orang komando kita telah disahkan maut dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata ini di Kampung Tanduo, Lahad Datu tengahari tadi. Kedua-dua wira Negara tersebut adalah Insp. Zulkifli Mamat dan Kopral Sabaruddin Daud. Walau bagaimanapun terdapat kekeliruan tentang status Kopral Azman Ampong yang dikatakan pihak media turut terkorban sama, yang sebenarnya beliau hanya mengalami kecederaan.


DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang dirahmati. Amin. Takziah kepada seluruh ahli keluarga mereka.

Rakaman video suasana di Lahad Datu, Sabah dari laporan stesyen TV Filipina.




Dalam Bahasa Tagalog





Sebenarnya, video ini lebih menarik.
Agaknya siapa yang muat naik video ini? Ada sesiapa boleh terjemahkan?




Pihak berkuasa lebih ramai dikerah ke sini memandangkan Lahad Datu menangani situasi tegang ini walaupun menteri pertahan dan menteri dalam negeri kita kata keadaan masih lagi terkawal. Perdana menteri kita pun kata situasi masih lagi aman dan terkawal. Walaupun ramai blogger dan khabar angin maya kata berlaku perintah berkurung dikuatkuasakan di Lahad Datu, pihak berwajib mengesahkan bahawa tidak ada arahan perintah berkurung dikeluarkan.

Kejadian tembakan dimulakan pihak penceroboh kira-kira jam 10 pagi tadi. Dalam kejadian berbalas tembakan itu, 2 orang komando dan 12 orang penceroboh telah maut, manakala 3 orang anggota keselamatan turut cedera. Pihak berkuasa turut merampas M-16 dan pelancar roket.

Marilah sama-sama kita doakan semoga keadaan ini berakhir dengan segera. Sayangilah Negara kita.


2 Komando Maut Di Kampung Tanduo, Lahad Datu



Walaupun Lahad Datu tu nun berada di seberang laut sana, dah pastilah masih lagi dalam kedaulatan undang-undang Malaysia. Bila ada kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina kononnya diketuai adik kepada 'Sultan Jamalul Kiram III' Agbimuddin Kiram dan  berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, perut tiba-tiba rasa macam senak.

Banyak perkara pulak berlegar dalam batu gemala ni yang tak mampu nak jawab sendiri. Macam peliklah pulak macam mana semudah itu mereka boleh menguasai tanah kita. Bukan seorang dua pulak tu. Beratus.  

Sejak tengahari, dah tersebar berita yang lagi tak sedap untuk di dengar. Dua orang komando polis khabarnya terbunuh di Kampung Tanduo Lahad Datu setelah terkena serangan mortar ketika sedang berkawal di satu daripada pos yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu.

Para wartawan melihat mayat dua anggota keselamatan diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu. FBPDRM mengesahkan bahawa dua orang komando polis telah terbunuh dalam kejadian tembakan mortar berkenaan. Pihak Polis akan mengadakan sidang media di Lahad Datu kira-kira 5 petang ini berhubung operasi pasukan keselamatan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu.

Jam 2 petang tadi, pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar dari kawasan berkenaan kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku. Insiden tembakan berlaku setelah tamat tempoh rundingan dan kumpulan ini pula enggan meninggalkan kawasan itu setelah berkubu di situ lebih tiga minggu dengan membuat beberapa tuntutan.

Tiga minggu tu lama. Bayangkan  ketakutan dan rasa tak aman penduduk kampung yang perlu berdepan dengan situasi ini. Siang malam tidur tak lena.

Sama-sama kita doakan ketegangan yang berlaku ini dapat diatasi dengan sebaiknya pihak berkuasa kita. Moga tidak ada lagi berlaku pertumpahan darah. Kedaulatan Negara tanggungjawab kita bersama tak kira parti politik apa yang kita sokong ya. Sila sayangi Negara sendiri.





Petua dan Tips Tuntut Hutang Cara Islam

Pernah tengok Rancangan Kalau Dah Jodoh di Astro Aosis yang dikendalikan Ustaz Kazim Elias? Berikut adalah Promonya;




Apa hukumnya seorang suami yang gagal memberikah nafkah yang halal kepada keluarganya. Video di bawah ini adalah petikan Rancangan Kalau Dah Jodoh di Astro Aosis yang dikendalikan Ustaz Kazim Elias dalam siri berjudul Hukum Suami Gagal Beri Nafkah Halal Kepada keluarga.

Gaji sebulan RM1800 tetapi; Guna telefon pintar Samsung harga RM2 ribu, Guna TV LCD 3D, Peti ais besar yang boleh muat anak, melancong setiap bulan. Gaji hanya RM1800, tetapi gaya hidup macam gaji bulanan RM81 ribu. Ini menyebabkan ramai orang mula berhutang, termasuk hutang Along.

Ramai orang pernah hadapi masalah apabila memberi hutang. Masalah paling utama adalah bagaimana cara untuk mendapat semula atau menuntut hutang berkenaan. Ramai jugak rupanya kaki hutang yang liat nak bayar hutang.

Andai kalian juga hadapi masalah sama, silalah dengar rakaman ini. Pada minit ke 5.00 hingga minit 6.02, Ustaz Kazim Elias ada bagi petua cara mengutip hutang dari orang yang tak nak bayar hutang kita tu, cer dengar;



Menurut Ustaz Kazim Elias, petua supaya peminjam duit tu bayar hutang kepada kita; baca surah Yaasin. Pada setiap sebutan perkataan “mubin”, berhenti seketika dan berdoa sambil menyebut nama orang yang berhutang dengan kita tu. 

Setiap kali bacaan kita bertemu dengan perkataan “mubin”, maka kita akan berdoa sambil menyebut nama orang berkenaan.

Terdapat sebanyak 9 Kali sebutan perkataan “mubin” dalam surah Yaasin. Jadi kita akan berdoa sambil menyebut nama malaun yang liat nak bayar hutang dengan kita itu. 

Kepada rakan-rakan yang berhadapan dengan masalah kesukaran menuntut bayaran hutang, bolehlah mencuba cara ini. Jom ramai-ramai kita pakai cuba!



Khamis, 28 Februari 2013

Jambatan Putrajaya Runtuh


Lebih kurang jam dua petang tadi, satu kejadian jambatan runtuh berlaku di laluan Putrajaya Link selepas Plaza Tol Putrajaya Lebuhraya Elite berhampiran Selangor Science Park 2. Aku baca berita mengejutkan ni di ondscene



Secepat siput babi melakukan aksi kayuhan lentang kononnya nak jadi Juara Langkawi de Tour 2013, aku terus cari maklumat dan jumpa berita singkat di Sinar Harian berkaitan hal ini. Jambatan itu rupanya masih lagi dalam pembinaan di Selangor Science Park 2 Interchange, antara Plaza Tol Putrajaya dan Putrajaya / Cyberjaya di Lingkaran Putrajaya. Jambatan yang runtuh itu merupakan lebuh raya sambungan ke Putrajaya dan ia di bawah kawal selia PKNS.



Walau bagaimanapun tiada laporan kemalangan jiwa kerana jambatan tersebut masih ditutup untuk kegunaan awam. Maklumat lanjut, kita tengok berita perdana malam ni.

Harapnya, tak adalah spekulasi macam-macam ya walaupun dah mula laju je spekulasinya kat FB dan mana-mana hu hu hu 



PDRM Sahkan Penipuan Panggilan Antarabangsa


Aku salin terus dari FB PDRM lah ya…biar maksudnya tak terpesong.

PERINGATAN PENTING: PDRM mengesahkan bahawa hebahan mengenai kod panggilan telefon antarabangsa tertentu, yang berupaya menyalin maklumat dan mengenakan cas yang tinggi kepada pemanggil adalah sahih. Orang ramai diingatkan agar tidak membuat panggilan kembali terhadap nombor luar negara +375602605281, 37127913091 atau mana-mana nombor yang bermula dari +375, +371 atau 081 (missed call/panggilan yang tidak dikenali).

Panggilan tersebut boleh membuatkan pemanggil dikenakan caj yang tinggi (premium rates) dan semua maklumat yang berada didalam telefon bimbit akan diambil sepantas 3 saat termasuk maklumat bank dan kad kredit sekiranya maklumat tersebut berada di dalam telefon bimbit.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan agar tidak menerima dan mengikut mana-mana arahan hyperlink yang diterima dari sumber yang tidak pasti atau diragui. Sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan diri menjadi mangsa jenayah siber.

Sumber imej daripada Facebook 1Sabah



Baguslah dah ada pengesahan dari pihak PDRM, maknanya maklumat ni boleh disebarkan secara berleluasa. Sekarang ni telefon bukan sahaja telefon, banyak fungsinya. Bukan sahaja ada nombor telefon, macam-macam nombor ada. Kalau ada telefon pintar tu, macam-macam dokumen pula disimpan.

Dua tiga minggu lepas, (sebenarnya bulan lepas) aku ada juga terima panggilan dari nombor pelik ni. Aku memang jawab pun panggilan tu, tapi tak ada dengar suara sesiapapun. Lebih lah jugak dari 3 saat tu, kalau nak anggarkan, lebih kurang setengah minit juga. Tiga empat kali lah kiranya aku dok helo-helo tak ada siapa nak jawab tu.

Tapi aku bersyukur sebab masa tu isi kepala telefon aku tak banyak bendapun ada. Hanya ada no telefon (bila mereka sedut maklumat dari telefon kita, nombor-nombor telefon yang ada dalam telefon kita pun kena sedut sama. Itu sebabnya mereka boleh dapat banyak nombor untuk disedut dan ditelefon lagi) sahaja sebab telefon lama aku tu dah nazak asik pengsan je memanjang.

Awal minggu ini, aku ada juga terima panggilan dari nombor-nombor sebegini. Sekali dering aje pun, terus senyap. Dah tahu memang ini cara menipunya, buat tak tahu aje.

Harapnya, maklumat ini akan tersebar dengan lebih meluas. Kongsikanlah maklumat ini seluas-luasnya kepada semua rakan, kenalan dan kaum keluarga. Semoga, kita bukanlah antara mereka yang malang menjadi mangsa mereka. Insha Allah.