Rabu, 18 Mei 2011

Semua Barang Naik, Hujanpun Malas Nak Turun

Ismail Sabri Yaakob kata
harga Ron 95 akan disemak mulai bulan depan
semenjak dua menjak ni
acap juga harga petrol naik
akan diikuti dengan kenaikan harga barang lain
gula naik 20 sen pun
macam-macam barang lain naik
kuih sepotong naik 20 sen
macamlah sepotong tu guna gula 1 kg
teh tarik segelas juga naik 20 sen
macamlah segelas teh tarik tu guna gula 1 kg

Zahid Hamidi kata
kerajaan diminta kaji beban rakyat sebelum naikkan Ron 95
golongan marhaen macam aku
dah tak mampu ke Pasar Malampun
apalagi gedung berbintang-bintang
nak beli ikan, ikan naik harga
nak beli ayam, ayam pun serupa
nak beli telur,
betul ke telur itu asli?

belanjawan negara 2012 lambat lagi
apalagi nak mimpi nak berangan dapat hingga dua bulan
teruskanlah!
apalah sangat takat berangan kejar biri-biri je
mimpi memang indah
apalagi kalau bersama Ady Putra
kalaupun ada bonus
bukan semua rakyat Malaysia penjawat awam

 
gula dah naik harga
Rom 95 pun akan naik juga bila-bila masa
darahpun boleh naik
apalagi bila musim kian hangat
ahhhhh hujanpun malas nak turun
usah pula nanti
hujan juga turun naik!


PSSSSST: selepas siap tulis entri ini…hujanpun turun dengan syahdu. Ohhhhhh aku suka. Bestnya dapat tidur malam ni tapi…kerja aku sangat Sangat SANGAT banyak belum siap. Sila abaikan bantal dan selimut! Adehhhhhh!

Selasa, 17 Mei 2011

Untuk Seorang Bekas Sahabat

Usahlah terlalu takbur membuat pengakuan
“Kaulah sahabat aku dunia akhirat”
andai di duniapun
dikau tak mampu menjadi teman terbaik

aku tidak mengharapkan
buah tangan tiap kali kembali dari kampung halaman
tidak jua kudambakan
hulur belanja saban kali bertemu
atau longgok hadiah kala menyambut ulang tahun

hanya sekadar
sapa ikhlasmu tanyakan khabar
hanya setakat
pengertianmu tiap kali
daku terkedu dalam simpuh ratap
onak kehidupan
aku hanya harapkan
telingamu mendengar bisik hati tak henti kata
atau fikirmu
saat diri dibelenggu keliru

aku hanya dambakan
bahumu buat bersandar harapan
jarimu untuk mengesat si air mata
diammu menemani duka
dan doamu mententeramkan jiwa.

Usahlah terlalu takbur membuat pengakuan
“Kaulah sahabat aku dunia akhirat”
andai di duniapun
dikau tak mampu menjadi teman baik


~~Anyss~~
16 Mei 2011
Bandar Baru Bangi


PsssT: terima kasih kepada kalian yang mewargai duniaku. Terima kasih kepada Cik Bintang yang sudi menjadi sebahagian daripada cerita hidupku. Terima kasih jua kepada mereka yang pernah lelaskan hati ini, tetap diingat jadi sandaran dan mana letaknya diri.

PsssT: Bila hati berkata-kata, sekalipun berat...itulah hakikatnya. Untuk apa menafikan sebuah ciretera yang tidak semanis mana. Usah jua menafikan betapa hati tidak pernah terdera, sebuah pengakuan jua sukar dilafaz biar sedaya mahu ditolak kenyataan nan perit.

PsssT: Selamat bercuti sempena Hari Wesak. Aku? Kena kerja keras sepanjang hari cuti ini...

Isnin, 16 Mei 2011

Selamat Hari Guru

selamat menyambut hari guru
baktimu tetap dikenang

Kepada semua murid di Malaysia,
selamat belajar
kejarilah ilmu biar setinggi mana


Cikgu Sulizi - Tuntutlah Ilmu


Kepada semua guru di Malaysia
selamat menyambut hari guru
baktimu tetap dikenang

tanpamu tiada daku gemar berbakti
tanpamu,
tiada penyerahan jiwa nan hakiki


Terima kasih guru



Terima kasih, cikgu
ajari aku hingga jadi manusia
Terima kasih, cikgu
benarkan mimpi ini menjadi nyata.

Ahad, 15 Mei 2011

Hari Ini Sesudah 42 Tahun Berlalu

Entri tertunda yang tidak disiarkan dek blogger pada hari semalam, kacau bilau dibuatnya bila blogger.com merajuk;


42 tahun nan lalu
pada tanggal hari inilah
Kuala Lumpur bermandi darah
mayat bergelimpangan
dan apipun membakar
dalam nyala yang amat marak.

yang mati bukan hanya jasad
namun rasa
yang dikuburkan bukan sahaja mayat
namun jiwa
parut yang ditinggalkan hitamnya
tidak hanya pada bangsa
namun terpalit arang dalam catatan sejarah.

Bacalah sejarah dengan nurani nan terbuka,
pada hari ini
Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Darurat jam 7.00 malam

Kawasan panas semasa 13 mei 1969;
Sekitar kawasan Kampung Baru
Sekitar kawasan Datuk Keramat
Sekitar Chow Kit melalui Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut dan kawasan berhampiran
Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur sekitar Jalan Bandar dan Parlimen.
kawasan Jinjang dan Kepong
sekitar kawasan Salak South (Balai Polis Salak South), kawasan Pudu, Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya.

Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley
menganggar 2 ribu orang hilang nyawa dalam peristiwa berdarah ini
catatan di Malaysia hanya menyebut
Angka rasmi: 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan
211 kenderaan musnah.
Statistik tidak rasmi untuk jumlah kematian;
Melayu: 86 orang, Cina: 342 orang, Lain-lain: 3 orang

Setelah 42 tahun berlalu
sekamnya terasa dengan peristiwa Kampung Rawa, Pulau Pinang
kemudiannya Kampung Medan
tidakkah terasa
bibit dan bahang itu sentiasa sahaja membara
ditiup golongan yang mementingkan diri sendiri?
tak fikirpun anak, cucu dan cicitnya
apalagi anak bangsa
negara berdaulat ini

Biarlah Tragedi 13 Mei hanya terpahat di dalam sejarah pahit Malaysia
jadikan iktibar
Kita bangunkan Malaysia merdeka selama 54 tahun
menjadi seperti hari ini
meninggalkan 42 tahun tragedi berdarah di belakang
ketahuilah, untuk hancurkannya hanya memerlukan masa satu hari sahaja.
Buktinya sudah ada
hanya pada satu tarikh 13 Mei 1969
kita hampir kehilangan negara tercinta ini.

Sesudah 42 tahun berlalu
usah bicarakan lagi tentang
darah yang sudah kering di kerikil jalanan
biarkan hujan masa
membasuhnya dari ingatan
mengalirkannya bersama azam baru
daulatkan negara tercinta ini.

usahlah bermain dengan api
kita tak akan mampu menghadangnya
andai marah sekali lagi.


~~Anyss~~
13 Mei 2011
Bandar Baru Bangi

Rabu, 11 Mei 2011

Bajet 2012: Penjawat Awam Dapat Bonus 2 Bulan Gaji????

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2012,
akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober 2011,
adalah inklusif,
bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi.
sesuai dengan dasarnya 1 Malaysia Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP)
meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi ekonomi dan kerajaan.
GTP menghasilkan keputusan yang ketara dalam mengurangkan jenayah,
kemiskinan dan rasuah,
selain meningkatkan akses kepada infrastruktur asas,
keputusan pendidikan dan pengangkutan awam bandar.
sebab itulah mula tahun ni
2011 ini…kadar jenayah sangat rendah
mana ada dengar berlaku kes jenayah dah mulai tahun ni
kalau kita tak buka radio
akupun tak tengokpun kes-kes jenayah dilaporkan
tv kat rumah tu dah bersawang lupa nak tengok
baca akhbar pun tak
pada aku, tak ada langsung kes-kes jenayah
kes miskin
kes rasuah
semua dah sifar.
Sangat bagus negara kita ni. Sila contohi aku ya
tak sempat tengok duniapun
sangat sibuk berkerja
kalau tak sibuk cari rezeki
macam mana nak beli gula sekilo sehari
Mek ayah di kampung guna gula sekilo sehari
namapun orang Kelantan
kalau tak manis dalam senyuman
kena jugak manis dalam minuman
mana boleh Mek ayah minum air paip je setiap hari
nak juga merasa milo dan teh
walaupun tinggal di negeri paling miskin
di dunia manusia
tak kan sehayat hidup dia orang nak teguk air telaga je
(orang Kelantan mesti marah aku
Hoittttt! akupun orang Kelantan jugaklah!)

Cabaran baharu kata PM kita
peningkatan kos hidup dan perumahan mampu milik,
terutama di kawasan bandar,
mampu sewa juga sepatutnya
ye lah, kalau gula naik 20 sen
teh tarik juga naik 20 sen
bila petrol naik 20 sen
barang lain juga naiknya bukan 20 sen je
angin aku pulak naik lagi berganda
dah lah hujan dah seminggu tak turun
buat turunkan suhu hatiku ini

dia nak ‘satu peruntukan dana
memasukkan subjek pengurusan kewangan dalam syllabus pendidikan’.
bagus benarlah apa yang dia nak
bukan takat bonus 2 bulan gaji yang boleh habis tak sampai 2 minit
tapi memanfaatkan entah berapa ganerasi
sangat penting ya tuan-tuan dan puan-puan
barulah semua orang tahu tentang kira duit
tentang harga barang naik
tentang tambang pengangkutan naik
atau harga minyak dunia naik
tak lah jadi macam aku yang GAGAL matematik
sejak sekolah rendah lagi ni
sebab tu aku tak tahu kira harga minyak dunia
harga pasaran saham
harga getah dan kelapa sawit
yang aku tahu kirapun
harga gula naik je
tu pun nasib baik 20 sen je naik
kalau naik lebih dari seringgit
aku dah tak reti kira
dah blurrr
sila jangan jadi macam aku ya tuan-tuan dan puan-puan


PssssT: ada pokok bergoyang-goyang ditiup ribut bagi tahu aku, bonus kakitangan awam untuk 2012 akan dapat 2 bulan gaji. Errr itu bisik-bisik goyang masa aku tidur dengan nyenyak dalam ekon semalaman setelah 2 hari berpeluh.

Errrr…ada pelepasan cukai tak untuk bil letrik bagi orang yang guna ekon pada musim panas macam ni? Maklumlah, aku dulu lahirnya masa musim salji di Kutub Utara…pantang panas sikit nak sembunyi dalam peti ais hu hu hu

Pssst: Aku suka berangan. Paling suka berangan pasal biri-biri gemok. Tapi, lagi suka kalau berangan dapat bonus 2 bulan gaji hu hu hu