Rabu, 18 Mei 2011

Edisi Tayang Mami Jarum

Wahhhhh....lama sangatkan blog ni tak ada entri tayang menayang macam mami jarum. Tengahari ni nak buat edisi tayang menayanglah. Jom tayang!

Makan malam semalam;


Sepatutnya ada kuah, tapi dah kering hu hu hu
Usah tanya apa namanya, kerana ia tidak bernama. Nak mudah, sebut sahaja mehun campak-campak.


Ni edisi tengahari sekejab tadi;


Penuh dengan sayur. Sendiri punya campak, kalau mintak kedai yang campai, memang penuh dengan mehunnya sahaja. Nampak tak sayurnya tu?

Errrr tak nampakpun mehunnya. Yang penuh hanya sayur. Jadi masakan ini namanya...sayur mehun ntah apa-apa. Rasanya? Sedap untuk tekak aku sahaja. Tekak orang lain boleh menyebabkan muntah darah hu hu hu

Urrrrpppppp, alhamdulillah! Itulah seadanya rezeki hari ni. Aminnnn.
Jommmm sambung kerja lak...jangan nak berFB je manjang!

Semua Barang Naik, Hujanpun Malas Nak Turun

Ismail Sabri Yaakob kata
harga Ron 95 akan disemak mulai bulan depan
semenjak dua menjak ni
acap juga harga petrol naik
akan diikuti dengan kenaikan harga barang lain
gula naik 20 sen pun
macam-macam barang lain naik
kuih sepotong naik 20 sen
macamlah sepotong tu guna gula 1 kg
teh tarik segelas juga naik 20 sen
macamlah segelas teh tarik tu guna gula 1 kg

Zahid Hamidi kata
kerajaan diminta kaji beban rakyat sebelum naikkan Ron 95
golongan marhaen macam aku
dah tak mampu ke Pasar Malampun
apalagi gedung berbintang-bintang
nak beli ikan, ikan naik harga
nak beli ayam, ayam pun serupa
nak beli telur,
betul ke telur itu asli?

belanjawan negara 2012 lambat lagi
apalagi nak mimpi nak berangan dapat hingga dua bulan
teruskanlah!
apalah sangat takat berangan kejar biri-biri je
mimpi memang indah
apalagi kalau bersama Ady Putra
kalaupun ada bonus
bukan semua rakyat Malaysia penjawat awam

 
gula dah naik harga
Rom 95 pun akan naik juga bila-bila masa
darahpun boleh naik
apalagi bila musim kian hangat
ahhhhh hujanpun malas nak turun
usah pula nanti
hujan juga turun naik!


PSSSSST: selepas siap tulis entri ini…hujanpun turun dengan syahdu. Ohhhhhh aku suka. Bestnya dapat tidur malam ni tapi…kerja aku sangat Sangat SANGAT banyak belum siap. Sila abaikan bantal dan selimut! Adehhhhhh!

Selasa, 17 Mei 2011

Untuk Seorang Bekas Sahabat

Usahlah terlalu takbur membuat pengakuan
“Kaulah sahabat aku dunia akhirat”
andai di duniapun
dikau tak mampu menjadi teman terbaik

aku tidak mengharapkan
buah tangan tiap kali kembali dari kampung halaman
tidak jua kudambakan
hulur belanja saban kali bertemu
atau longgok hadiah kala menyambut ulang tahun

hanya sekadar
sapa ikhlasmu tanyakan khabar
hanya setakat
pengertianmu tiap kali
daku terkedu dalam simpuh ratap
onak kehidupan
aku hanya harapkan
telingamu mendengar bisik hati tak henti kata
atau fikirmu
saat diri dibelenggu keliru

aku hanya dambakan
bahumu buat bersandar harapan
jarimu untuk mengesat si air mata
diammu menemani duka
dan doamu mententeramkan jiwa.

Usahlah terlalu takbur membuat pengakuan
“Kaulah sahabat aku dunia akhirat”
andai di duniapun
dikau tak mampu menjadi teman baik


~~Anyss~~
16 Mei 2011
Bandar Baru Bangi


PsssT: terima kasih kepada kalian yang mewargai duniaku. Terima kasih kepada Cik Bintang yang sudi menjadi sebahagian daripada cerita hidupku. Terima kasih jua kepada mereka yang pernah lelaskan hati ini, tetap diingat jadi sandaran dan mana letaknya diri.

PsssT: Bila hati berkata-kata, sekalipun berat...itulah hakikatnya. Untuk apa menafikan sebuah ciretera yang tidak semanis mana. Usah jua menafikan betapa hati tidak pernah terdera, sebuah pengakuan jua sukar dilafaz biar sedaya mahu ditolak kenyataan nan perit.

PsssT: Selamat bercuti sempena Hari Wesak. Aku? Kena kerja keras sepanjang hari cuti ini...

Isnin, 16 Mei 2011

Selamat Hari Guru

selamat menyambut hari guru
baktimu tetap dikenang

Kepada semua murid di Malaysia,
selamat belajar
kejarilah ilmu biar setinggi mana


Cikgu Sulizi - Tuntutlah Ilmu


Kepada semua guru di Malaysia
selamat menyambut hari guru
baktimu tetap dikenang

tanpamu tiada daku gemar berbakti
tanpamu,
tiada penyerahan jiwa nan hakiki


Terima kasih guru



Terima kasih, cikgu
ajari aku hingga jadi manusia
Terima kasih, cikgu
benarkan mimpi ini menjadi nyata.

Ahad, 15 Mei 2011

Hari Ini Sesudah 42 Tahun Berlalu

Entri tertunda yang tidak disiarkan dek blogger pada hari semalam, kacau bilau dibuatnya bila blogger.com merajuk;


42 tahun nan lalu
pada tanggal hari inilah
Kuala Lumpur bermandi darah
mayat bergelimpangan
dan apipun membakar
dalam nyala yang amat marak.

yang mati bukan hanya jasad
namun rasa
yang dikuburkan bukan sahaja mayat
namun jiwa
parut yang ditinggalkan hitamnya
tidak hanya pada bangsa
namun terpalit arang dalam catatan sejarah.

Bacalah sejarah dengan nurani nan terbuka,
pada hari ini
Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Darurat jam 7.00 malam

Kawasan panas semasa 13 mei 1969;
Sekitar kawasan Kampung Baru
Sekitar kawasan Datuk Keramat
Sekitar Chow Kit melalui Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut dan kawasan berhampiran
Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur sekitar Jalan Bandar dan Parlimen.
kawasan Jinjang dan Kepong
sekitar kawasan Salak South (Balai Polis Salak South), kawasan Pudu, Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya.

Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley
menganggar 2 ribu orang hilang nyawa dalam peristiwa berdarah ini
catatan di Malaysia hanya menyebut
Angka rasmi: 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan
211 kenderaan musnah.
Statistik tidak rasmi untuk jumlah kematian;
Melayu: 86 orang, Cina: 342 orang, Lain-lain: 3 orang

Setelah 42 tahun berlalu
sekamnya terasa dengan peristiwa Kampung Rawa, Pulau Pinang
kemudiannya Kampung Medan
tidakkah terasa
bibit dan bahang itu sentiasa sahaja membara
ditiup golongan yang mementingkan diri sendiri?
tak fikirpun anak, cucu dan cicitnya
apalagi anak bangsa
negara berdaulat ini

Biarlah Tragedi 13 Mei hanya terpahat di dalam sejarah pahit Malaysia
jadikan iktibar
Kita bangunkan Malaysia merdeka selama 54 tahun
menjadi seperti hari ini
meninggalkan 42 tahun tragedi berdarah di belakang
ketahuilah, untuk hancurkannya hanya memerlukan masa satu hari sahaja.
Buktinya sudah ada
hanya pada satu tarikh 13 Mei 1969
kita hampir kehilangan negara tercinta ini.

Sesudah 42 tahun berlalu
usah bicarakan lagi tentang
darah yang sudah kering di kerikil jalanan
biarkan hujan masa
membasuhnya dari ingatan
mengalirkannya bersama azam baru
daulatkan negara tercinta ini.

usahlah bermain dengan api
kita tak akan mampu menghadangnya
andai marah sekali lagi.


~~Anyss~~
13 Mei 2011
Bandar Baru Bangi