Sabtu, 20 November 2010

Menangani Stress Musim Peperiksaan


Entri sebelum ini berkisah tentang Stress Menjelang Peperiksaan yang biasa berlaku kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting. Stress sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira pelajar, orang biasa atau pekerja. Malah, bayi juga boleh stress.

Kali ini aku nak kongsi tentang bagaimana untuk menangani stress. Hal ini sangat penting kerana jika tidak ditangani secara sepatutnya, ia bukan sahaja akan memakan diri sendiri, tetapi stress yang kronik boleh bahayakan orang lain di sekeliling. Dah banyak kes yang berlaku kan? berikut adalah beberapa cara yang boleh kita sama-sama amalkan bila berdepan dengan stress;


1. Minum air dengan kadar yang banyak untuk membekalkan oksigen
Air putih sangat baik untuk kesihatan, sebab itu orang yang nampak awet muda dan nak sentiasa awet muda sentiasa mengamalkan minum banyak air putih. Jaga juga pemakanan dan kesihatan diri. Dahlah nak kena beri tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan, kalau tiba-tiba sakit dan mendapat stress yang terlampau, itu akan kurangkan fokus adik-adik.

2. Cukup tidur.
Untuk saat-saat akhir sebegini, aku tidak galakkan adik-adik berjaga malam secara melampau untuk ulangkaji. Sepatutnya saat sebegini, adik-adik dah bersedia sepenuhnya, kecuali hanya tengok nota pendek pada tajuk-tajuk tertentu yang diramalkan akan keluar dalam peperiksaan. Itupun membaca secara ringan dan santai, bukannya menelaah dan menghafal. Bukannya baru nak mula belajar.

Tidurlah dengan cukup. Sebelum tidur juga, semak jadual peperiksaan untuk kali terakhir. Mana tahu, kalau-kalau adik-adik tersalah tengok jadual. Inilah kesilapan paling tak boleh diterima kalau berlaku. Bila terlepas waktu peperiksaan hanya kerana adik-adik cuai atau terlambat bangun, menyesalnya bukan untuk sehari dua. Bagi yang bersemangat waja, mereka akan mengulang ambil semula pada tahun hadapan (setahun perlu tunggu untuk tebus silap ini) atau sekurang-kurangnya ambil peperiksaan Julai yang orang kata lebih sedikit tahap susahnya. Saya tak tahu sebab belum pernah ambil untuk kertas Julai.

Cukup rehat dan tidur buatkan minda adik-adik lebih tenang, segar, bersemangat dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Ini secara tidak langsung akan kurangkan stress.


3. Jaga pernafasan. Tarik nafas melalui hidung, tahan hingga kiraan tiga saat kemudian lepaskan melalui mulut
Setiap orang memang akan stress bila berhadapan dengan sesuatu yang digelar ujian. Tanyalah pemidato terbaik duniapun, dia tetap gementar setiap kali berhadapan dengan penonton atau pendengarnya. Apa yang berbeza adalah bagaimana cara dia berhadapan dengan perasaan gementar dan stress tersebut.

Setiap kali adik-adik rasa gementar, gemuruh dan stress, amalkanlah cara pernafasan yang betul. Tarik nafas perlahan-lahan, kosongkan otak sekejab, tahan nafas tersebut beberapa detik di dada sebelum lepaskan semula melalui mulut. Lakukanlah beberapa kali hingga dada adik-adik rasa lapang, rasa gementar semakin hilang dan rasa yakin diri perlahan-lahan muncul dalam diri. Pada peringkat awal, mungkin memerlukan masa yang agak lama juga tetapi apabila dah sentiasa lakukan begitu…dalam tempoh beberapa saat sahaja, adik-adik dah boleh kontrol diri semula.

4. Belajar cara bertenang dan kawal emosi sendiri
Hanya diri sendiri yang tahu bagaimana cara untuk bertenang dan mengawal emosi. Ada orang akan terkawal emosinya bila makan aiskrim atau coklat, ada orang cukup dengan hanya menyanyi lagu kegemaran, manakala sesetengah orang yang lain akan gunakan cara yang lain. Lain orang, lain caranya.

Salah satu cara yang aku amalkan setiap kali mahu buat pembentangan, laporkan kajian dan sebagainya terutama di hadapan khalayak dan orang-orang yang lebih terpelajar dariku, hadiri temuduga atau jumpa boss laporkan sesuatu biasanya aku akan ulang baca surah Al-Ikhlas (Qul huwallah hu ahad; lagi baik ketahui maknanya) secara berulang-ulang kali hingga hati rasa lapang. Hingga aku benar-benar yakin diri. Hingga aku kejapkan hati bahawa “hanya Allah sahaja yang patut aku gentar” tiada lain selain daripada itu. Ambillah berapa lama masapun untuk tenangkan emosi dan diri ini dengan mengulang baca surah berkenaan, kemudian senyumlah. Senyum itu akan tambah keyakinan diri juga.


5. Jalani cara hidup yang sihat; bersenam, jauhi dadah, alkohol dan rokok
Badan sihat, otak cerdas. Kurangkan stress dengan melakukan pelbagai kegiatan yang kita suka seperti menari, karaoke, bersenam atau ada juga yang akan masuk panggung wayang. Walau bagaimanapun semua aktiviti ini tidak boleh melampau pula, karang terlupa nak masuk dewan peperiksaan, cukuplah sekadar kurangkan stress. Jauhilah daripada perkara negatif seperti dadah, alkohol, rokok atau ubat batuk (ketagih, bukan sebab batuk ya).

Pada masa ini juga adik-adik perlu lebih jaga diri. Elakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan jalan raya, jaga kesihatan supaya tidak sakit dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti bahaya seperti bergaduh, mandi sungai atau melakukan aktiviti lasak macam daki gunung (Daki gunung? sempat lagi ek?). Kalau dah sakit, cedera atau terlibat dalam kemalangan, makin menyusahkan diri pula untuk ambil peperiksaan di katil hospital. Kalau dah elak, tetapi masih juga jadi, kira telah ditakdirkan…lainlah pula cerita.

6. Komunikasi dengan orang lain tentang hal yang sama
Orang kata, belajar dari pengalaman, walaupun pengalaman orang lain. Nasihat daripada orang yang dah pernah lalui perkara yang sama dengan apa yang akan kita lalui itu lebih tulus dan ikhlas, kecuali orang itu ada niat serong dengan kita. Jadi, tanyalah kepada orang yang dah berjaya lepasi halangan itu dengan cemerlang. kita tak akan rugi kalau bertanya.

Untuk tips saat akhir sebegini, payah juga kalau baru nak kaji bagaimana Nur Madihah berjaya dengan cemerlang walaupun ada dua buah buku diterbitkan tentang ini. kalau anda pernah membeli buku tersebut sebelum ini, boleh sahaja membacanya sepintas lalu. kalau baru hari ini nak pergi beli di kedai buku yang belum tentu lagi anda akan perolehinya, rasanya langkah itu lebih buatkan adik-adik bertambah stress. Namun, boleh sahaja berbual kosong dengan ahli keluarga terdekat untuk dapatkan tips dan panduan.

7. Doa
Walaupun doa aku letakkan pada nombor terakhir, namun tidak bermakna ia tidak penting. Ia sebenarnya lebih bermakna “setelah berusaha, maka angkatlah tangan dan mintalah kepada Yang Kuasa”. Makanya, sila berusaha, bukan hanya tahu berdoa nak cemerlang tanpa usaha. Sama seperti, “tambat dahulu unta sebelum berdoa agar unta tersebut tidak terlepas dan lari” (errrr…ramai ke unta di malaysia ni?).

Ramai orang kata (entah siapalah orang tu!), kalau dah tertulis sejak azadi takdir hidup kita, usaha macam mana pun tak guna. Itu kan memang takdir? Usah silap. Takdir boleh diubah, dan senjata yang boleh mengubah takdir adalah doa. Berdoalah dengan seikhlasnya. Dengan sesungguh hati. Dan dan pengharapan kepada Allah akan mengubah takdir yang telah tertulis (itu ustaz cakap masa sekolah dulu). Jadi, berdoalah. Mintalah. Tapi ingat, minta dan doalah hanya kepada Allah. Jangan syirik. Ramai orang kita sekarang ni telah lakukan syirik tanpa sedar. Bahaya tu!


Moga-moga cara ini boleh membantu anda. Aku bukanlah pakar psikologi, motivasi atau kaunselor, namun biasanya aku mampu tangani semua perkara walau seburuk mana situasinya pun. Perkara utama yang aku pegang adalah: yakin diri. Seterusnya berserahlah kepada Yang Kuasa. Biar sehebat mana kita, siapalah sangat berbanding Sang Pencipta.

Bila yakin dan berusaha, seterusnya berserah kepada Ilahi, insyaallah, kita akan mampu gapai apa yang diimpikan walaupun semua itu bukannya mudah. Paling tidak, kita masih lagi berpeluang untuk berusaha dan mengatasinya dengan tenang. Akhirnya, sama ada anda dapat capai atau terkandas setelah diusahakan sebaiknya, yakinilah bahawa apa yang diperolehi itu adalah dengan izinNya. Dengan ketentuanNya. TakdirNya. Apa yang berlaku itu adalah Yang Terbaik sepatutnya berlaku. Jadinya, terimalah dengan hati yang terbuka. Hidup ini mudah sahaja, usahlah kita sukarkannya. Usah juga kita ambil lebih mudah daripada sepatutnya.

Selamat menduduki peperiksaan!


Stress Menjelang Peperiksaan

23 November nanti peperiksaan SPM akan berlangsung. Ramai pelajar dah makin stress atau tertekan. Maklumlah, SPM akan tentukan arah perjalanan masa hadapan mereka. Ramai pelajar tidak begitu suka untuk ke Tingkatan Enam selepas SPM. Kalau boleh nak masuk universiti terus, nak ke kolej. Nak elak ke Tingkatan enam sedaya dapat. Katanya sebab susah. Susah sangat ke belajar di tingkatan enam? Lain kalilah kita jawab ya…kali ni kita tengok dulu gejala stress menjelang peperiksaan.

1. Berdebar-debar dan jantung berdegup kencang
Setiap saat dada terasa ketat. Berdebar-debar. Jantung pula berdegup kencang. walaupun tidak melakukan aktiviti lasak seperti berlari, degupan jantung bergerak dengan kencang bagaikan anda baru menyudahkan larian beribu kilometer. Nafas anda jadi pendek. Anda perlu tarik dan lepas nafas anda dengan kadar yang cepat, bagaikan dada anda telah kehabisan oksigen. Kalau salah kawal, anda boleh pengsan juga sebenarnya.


2. Perut rasa memulas (sekejab-sekejab)
Aku selalu perhati yang Mek selalu berdepan dengan situasi ini setiap kali dia nak pergi mana-mana. Sekejab-sekejab masuk bilik air, buang air kecil dua titik…keluar, kemudian rasa nak buang air lagi. Bila masuk tandas, tak jadilah pula. Kalau perjalanan jauh, Mek sanggup tak makan dan minum hingga sampai ke destinasi. Lupa nak tanya dia, masa pergi Mekah tahun sudah, dia ada buang air dalam penerbangan ke tak hu hu hu nakal betul anak dia ni kan?

Kadang-kadang aku juga rasa begitu terutama bila kena buat pembentangan depan orang-orang yang aku rasa lagi hebat dari aku. Namun, sebab perangai aku yang “pakai redah” je, tak kiralah siapa…aku tetap akan bentangkan juga dengan suam-suam kuku awalnya, kemudian payah nak berhenti. Yakin aje walaupun aku bentang dalam bahasa Malaysia di hadapan orang asing yang tak reti dan tak faham bahasa Melayu. Boleh gitu? kalau Jepun boleh, tak kan kita tak boleh hu hu hu


3. Berpeluh dan rasa sejuk (tanpa lakukan apa-apa aktiviti)
Ini biasa berlaku. Ramai orang alaminya terutama bila nak exam atau temuduga walaupun cuaca panas, bilik tak ada pendingin hawa. Hujung jari bagaikan beku. Stress tahap ni masih lagi normal.

4. Suara bergetar
Ini juga biasa berlaku. Ramai orang alaminya terutama bila nak exam atau temuduga, atau pembentangan. Ada juga berhadapan dengan masalah ini bila diminta bercakap dikhalayak ramai. Bukan semua orang boleh jadi hebat bila berhadapan dengan orang ramai. Rasa macam makhluk asing sahaja dipandangi oleh semua mata. Salah hari, tangan gigil-gigil dan nampak kat kertas yang kita pegang.

5. Tangan menggigil
Aku pernah alaminya sekali dalam hidup setakat ni dan tak mahu lagi alaminya. Masa tu aku terduduk. Lutut jadi lembut, tak daya nak berdiri lagi dah. Tulang belakangpun dah tak daya menampung diri. Rasa nak baring di lantai je…Aku rasa langit dah jatuh menimpa kepala. Nafas jadi sesak. Masa itu, aku memang nampak tangan sendiri dah gigil-gigil. Cara aku lakukan untuk stabilkan kembali diri ketika itu adalah: beristifar sebanyak-banyaknya; tak tahupun berapa banyak, hingga rasa diri kuat semula. Setelah itu baca surah Al-Ikhlas (Qul huwallah hu ahad; lagi baik ketahui maknanya) hingga aku mampu positifkan diri bahawa apa yang berlaku ketika itu memang telah ditentukan Allah dan ada hikmah yang tersembunyi, yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Hingga aku yakin bahawa apa yang berlaku ketika itu adalah sesuatu yang terbaik untuk hidup aku. Fuhhhhhh! aku memang tak mahu situasi itu berulang sekali lagi dalam hidup ni. Sangat menderita!

Kalau anda nak masuk peperiksaan, gigil tangan ini akan ganggu tumpuan menjawab sebab nak tulis pun susah. Pen bergoyang tu. Biasanya anda akan alami kalau terlambat masuk dewan peperiksaan atau soalan yang anda ramal tidak masuk dalam peperiksaan. Jadi, jangan amalkan pergi lambat ke dewan peperiksaan. Lima belas minit pertama itu akan anda bazirkan untuk tenangkan diri sahaja. Anda akan lebih tenang kalau sampai awal, sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan berlangsung. Juga, jangan terlalu yakin dengan soalan ramalan tanpa ulangkaji keseluruhan topik. Bukan tak boleh meramal, namun perlu ada back up. Soalan ramalan itu hanyalah topik tertentu yang anda lebih tekankan berbanding topik yang lain, bukannya anda belajar berdasarkan soalan ramalan semata-mata. Namapun soalan ramalan, dah pasti belum tentu terkena atau tidak ramalan itu. Kalau kena, anda bernasib baik. Kalau tidak kena, paling kurang ada telah pun bersedia dengan keseluruhan silibus.

6. Mual dan nak muntah
Stress yang tidak mampu dikawal boleh menyebabkan anda mual dan muntah. Ini kira dah berada pada tahap yang agak kronik juga sebab anda gagal tanganinya. Setakat ni aku belum pernah muntah disebabkan stress, tetapi kalau sebab migrine agak selalu juga sampai ke tahap ni.

7. Kurang atau bertambah selera makan
Gejala ini bergantung kepada individu. Ada orang akan kurang makan bila stress, ada orang yang lain akan terlebih makan. Banyak kes obesiti terjadi akibat daripada stress, tak kiralah stress itu berpunca daripada tekanan di tempat kerja, diberhentikan kerja, putus cinta dan sebagainya.

Walaupun makan boleh hilangkan stress, namun itu hanyalah bersifat sementara kerana selagi punca stress itu tidak diatasi sebaiknya, ia tetap tidak akan selesai. Menjadi obes atau terlalu kurus kerana kurang atau terlebih selera makan akan memberi laluan kepada masalah baru yang lain pula. Jadi, berpada-padalah. Jalanilah cara hidup yang sihat. Bersenam umpamanya boleh mengurangkan gejala stress.


8. Pening kepala/sakit bahagian belakang kepala
Pening kepala, sakit pada bahagian belakang kepala ataupun adakalanya rasa tegang pada leher dan bahu juga antara gejala disebabkan stress. Kepada pengidap migrine macam aku pula, akan berlaku kekerapan migrine berbanding biasa walaupun faktor penyebab kepada migrine tidak ada langsung. Bagi sesetengah orang pula, mereka berhadapan dengan masalah untuk tidur ataupun tidak mampu untuk mencapai mutu tidur harian yang baik, umpamanya tidak dapat tidur, selalu terjaga dan tidur yang tidak nyenyak (walaupun dah terjaga dan tidur dengan lama tetapi masih lagi mengantuk). Seterusnya akan berlaku gangguan terhadap kesihatan.


Sebenarnya masih banyak lagi tanda-tanda dipamerkan apabila kita stress, namun cukuplah setakat itu sahaja ya. Harapnya tulisan ini dapat membantu adik-adik kita yang bakal hadapi peperiksaan SPM nanti ya. Cara mengatasi stress akan aku kongsikan dalam entri seterusnya.

Jumaat, 19 November 2010

Berapa Panjang Nak Tulis Entri?

Blogger otai selalu sahaja bagi tip tulis entri “tak payah panjang-panjang…bukan ada orang nak menelaah macam baca kitab sejarah tua untuk masuk peperiksaan”. Nasihat mereka lagi “Updet kena selalu. Kerap. Sepuluh kali seharipun tak apa”. Barulah orang serbu banyak kali sehari.

Betul ke entri kena pendek? Kenapa kena pendek? Tak boleh ke tulis panjang-panjang?
Kalau ikut formula nak kena kemas kini blog beberapa kali sehari, secara logiknya memanglah entrinya pendek-pendek dan kontot-kontot sahaja. Kalau panjang berelung-relung, bila masa pula nak buat kerja lain dalam hidup ni selain dari tulis blog.

Setiap entri itu pendek, padat, ringkas. Cerita apa yang perlu sahaja. Apa yang orang nak baca. Apa yang orang nak tahu. Tak payah nak ulang perkataan yang sama nanti jadi spam pula. Teori ini juga sangatlah benar. Betul.

Jadi, bagaimana dengan aku? kenapa masih lagi tulis panjang-panjang macam kereta lipang jalang gedung gedang? Ohhhh mudah sahaja sebabnya. Aku hanya kekalkan identiti sahaja. Identiti aku adalah menulis dengan santai…panjang lebar dan, dah tentu mengulang-ulang perkataan yang sama, kata-kata yang sama kerana itulah nilai seninya. Keindahannya.

Jadinya, bagaimana?
Antara trafik dan kepuasan kala menulis, mana satu daku dambakan?

PsssT: Mmmmm ingatkan entri ini akan jadi pendek. Rupanya masih lagi panjang. Gimana dehhh mau kukontotkan ia?

Selasa, 16 November 2010

Bila Pengorbanan Tidak lagi Dihargai

P.Ramlee dendangkan..berkorban apa sahaja, harta atau nyawa. Ahli falsafah akan kata “pengorbanan adalah tulang belakang dalam cinta”, manakala ahli agama pula akan kata “pengorbanan yang ikhlas kerana Allah”, namun apa kata hati? Apa akan jadi bila cinta dikhianati, pengeorbanan tidak lagi dihargai.

Sesiapa sahaja boleh katakan bahawa pengorbanannya itu ikhlas; Lillah hi taala. Namun, siapa yang mampu menilai tahap peratusan ikhlas itu? ataukah, sepanjang masakah dan selamanyakah pengorbanan itu berada pada tahap 100 peratus? Masa hadapan bagaimana?

Bagaimana pula andai pengorbanan itu tidak lagi dihargai? Atau dinafikan? Masihkah nilainya 100 peratus? Masihkah berpaksikan “Lillah hi taala”?

Ikhlas lagikah anda, andai…orang yang anda selamatkan dari perigi buta (bayangkan macam perigi magika pun ok jugak!) dengan susah payah itu, menghentak kepala anda sebaik sahaja dia berada di atas? Sedangkan, lelas di tangan anda masih berbekas merah kesan berat badannya yang perlu anda heret di tali?

Masih jua ikhlaskah anda andai kiranya mulut yang anda suap itulah yang meracuni anda dengan maki nista setelah berperiuk nasi ayam yang anda masak ditelannya? Dengan mulut itu jualah dia membuat pengumuman satu negeri mengatakan anda tidak tahu masak nasi ayam.

Ataukah anda masih lagi tidak apa-apa, andai pada hari hujan yang lebat (barangkali di Perlis atau Kedah…boleh juga di Kelantan), kemurahan hati anda untuk berkongsi payung dengan entah sesiapa yang kehujanan, akhirnya membuatkan anda kuyup. Menggigil kesejukan. Dia bukan sahaja berlalu tanpa ucapan terima kasih kerana kesudian anda menumpangkan teduhan berpayung itu, tetapi juga turut membawa pergi payung kesayangan anda. Lalunya, anda pula yang kehujanan dan kebasahan (errr…dah lama tak main hujan!). Saat itu, masih ikhlaskah anda?

Anda cirit birit kerana kecuaian sendiri makan di restoren yang nampak macam bersih dan cantik, tetapi kat ruang dapurnya tikus-tikus sedang bersilat pedang menyebarkan wabak. Anda memerlukan pil chi kit teck aun, tetapi nak jadi cerita, gaji bulan itu dah kering kontang sebab bayar bil astro yang tertunggak (bil astro boleh tertunggak tak?...nampak sangat tak pernah nengok Astro kan hu hu hu).

Bila anda mengenali seseorang teman sebegitu lama, tak kesahlah 6-7 tahun ka, 10 tahun ka…bertahun-tahun ka, dan anda sentiasa sahaja sanggup membantunya biar apapun kesukaran yang dia alami. Kucingnya mati dan dia melolong-lolong kesedihan, maka anda serahkan bahu anda untuk dia sandarkan. Anda tetap sabar dengan leleh hingusnya yang menitik di baju cucian kering anda. Anda tahankan hati juga mendengar dia hembuskan hingusnya sambil mulutnya tak henti mengomel tentang kematian kucing itu. Anda dengar juga biarpun berjam-jam dia berduka nestapa kebanjiran air mata hanya kerana seekor kucing kurap yang ditemu dalam hujan renyai, kemudian dibawa balik ke rumah dan dimandikan…diberi makan makanan dalam tin yang lebih mahal dari makanan anda makan sendiri, tetapi kucing itu akhirnya mati tercekik chewing gum (sadis tak cara kucing tu mati?). Kemudiannya dia berlalu setelah gelora di hatinya reda, itupun setelah dia angkut bersama kucing parsi kepunyaan buah hati anda sambil berkata “terima kasih…kaulah kawan aku dunia akhirat” tanpa sempat untuk anda beritahunya kucing itu bertuan juga. Padahal setelah dia menderum pergi dengan kereta merah mewahnya yang merelip-relip kilatnya tersilau lilin, anda pula perlu memerah otak untuk memberitahu pujaan hati tentang tragedi kucingnya itu telah disambar pergi. Padahal anda telah tahu yang ada gunung berapi lebih hebat dari Pinatubo akan meletup di rumah anda hanya kerana itu.

Ketika letupan Merapi menguasai diri anda, saat anda sedang mengelak debu beracun itu…anda terlihat dia sedang humban kucing parsi kepunyaan orang yang anda sayang itu ke lorong belakang kerana tidak tahan perabut mewah di rumahnya dicakar. Lalu andapun merangkaklah mengutip kucing parsi yang sudah comot dan bersalut air longkang itu, mencari sangkarnya yang telah kemik dan bawa balik semula ke rumah, mandikan dengan syampu dan gel mandian kepunyaan anda sendiri hingga wangi dan gebu semula seperti asal. Namun hati anda bagai disentap-sentap bila dia muncul semula dengan jurai air mata dan air hidung memberitahu bahawa kucing parsi yang dirembatnya dari rumah anda itu telah lari dipujuk rayu dek kucing siam jalang. Dan, kiranya anda mengalami situasi ini, masihkan jauh di sudut hati anda paling dalam terisi 100 peratus ikhlas?

Masihkah kita ikhlas, kiranya burung yang kita bela, yang kita beri makan di tangan…akhirnya berakkan tangan kita yang berlosyen mahal setelah habis makanan itu dipatuknya. Patukan itu anda tahan jua biarpun sesekali terasa bisa, bau beraknya itu juga masihkah perlu ditahan jua? Masihkah anda ikhlas.

Entri ini hanyalah satu perlambangan (bukan kisah benar tentang sesiapa yang jatuh dalam perigi buta atau masak nasi ayam yang tak sedap, atau mana-mana kucing parsi atau siam…hanya perumpamaan) tanpa jawapan, hanya ada persoalan. Jawapan ada pada hati anda sendiri. Tanyalah pada hati sendiri, dan itulah jawapannya setelah anda renung-renungkan. Jangan jawab dahulu kerana jawapan pada masa tersebut adalah apa yang anda fikir. Jawapan dari kepala dan akal. Bukannya jawapan dari gerak hati yang menentukan peratusan ikhlas itu.

Setelah membaca entri sepanjang ini, dengan ayat yang berbelit liku mengalahkan filem Tamil (dengar cerita Filem Cuci telah diolah semula dalam bahasa Tamil…jom pi tengok!), kemudian anda pening-pening lalat dan kehilangan rasa waras setelah menikmatinya…masih juakah anda akan ikhlas untuk menyudahkannya hingga nokhtak terakhir?

Selamat hari Raya Aidiladha. Selamat menunaikan ibadah korban. Selamat mengikhlaskan diri saat melakukan pengorbanan. Selamat mencari tempat jejaknya diri. Selamatlah segala-galanya.


PssTT: Semasa entri ini anda tatap, mungkin aku sudahpun mengasah parang dan pisau. Mengupas bawang, memotong segala yang perlu. Pernahkah anda alami kelelahan menguruskan seekor lembu pada musim Aidiladha dengan beberapa orang ahli sahaja? Daku perlu lakukannya jua sekalipun lelah, melainkan aku sanggup tengok Mek tertidur di atas lambakan daging.

PsssT: Jemput ke rumah pada Aidiladha. Kami akan hidangkan sup GEARBOX, segar dari ladang…strow bawa sendiri ya ;)

Isnin, 15 November 2010

Gambar Menara Jam di Mekah

Dah nak sambut raya. Aidiladha bakal menjelma. Bagi rakyat Malaysia, tak ramai yang sambut. Maklumlah cuti hanya satu hari. Tambah pula tahun ni jatuh di tengah minggu pula. Susah betul nak dapat cuti. Kalau cikgu tu lagilah parah. Serba salah dibuatnya.

Di Kelantan, Aidiladha sangat meriah. Jem tak payah nak cerita. Memang kalau tak ada jem macam tak sah pula. Selepas balik bercuti, Insyaallah, aku akan letak entri tentang raya. Namun kali ini aku hanya akan tampal gambar-gambar tentang menara jam yang cantik di Mekah. Baru siap. Kalaulah berkesempatan pergi sana, mesti menara ni antara tempat yang akan jadi sasaran kamera aku hu hu hu

Walaupun belum pernah sampai, gambar ni dah lama sampai sebenarnya kat aku. Aku nak kongsi dengan semua walaupun kira macam dah basilah kan. Selamat menikmati…