Isnin, 22 Jun 2009

Kota Kinabalu II

17 Jun 2009

Hari ke tiga di Kota Kinabalu. Dengarnya petang nanti ada acara ronda-ronda bandar. Maknanya, tak payahlah aku membazir tambang teksi. Kalau dia orang bawa ke beberapa tempat kat kawasan bandar pun dah ok, sebab masa memang tak banyak. Dapatlah aku melingkar puas-puas esok pagi sebelum balik kan?

Acara di UMS memang bermula jam 8 pagi, tetapi jam 7.30 baru aku pergi sarapan. Semasa dalam lif yang sempit itu, aku berkenalan dengan seorang kakak (Shanti), OKU (berkerusi roda), berbangsa India yang datang sambut ulang tahun ke 50nya selama seminggu di Kota Kinabalu. Dia sendirian, hanya ditemani pekerja hotel yang tolakkan kerusi roda ke Elusion Sky Lounge. Orangnya peramah, terus sahaja ajak sarapan bersamanya.

Aku memang dah lambat. Ingatkan nak sarapan seadanya sahaja dan pecut ke UMS secepat mungkin. Namun, nampak macam kurang ajar pula sebegitu. Jadinya, aku temani dia sambil berbual. Dia memang peramah dan nice sangat-sangat. Ada-ada sahaja yang kami bualkan. Sempat lagi dia ajak aku sambut parti kecil untuk sambut hari lahirnya malam nanti. Selepas potong kek, boleh berkaraoke sampai pagi katanya.

Aku hanya ketawa kecil. Aku beritahunya yang suara aku sumbang kalau menyanyi. Bimbang kalau-kalau boleh mentangkan banjir pula. Dalam tawa panjang, dia beritahu “suka-suka saja”. Dengan sifat peramahnya itu, memang sukar nak menolak. Akhirnya aku beritahu dia yang aku tak pasti jam berapa aktivitiku hari ini habis. Aku berjanji untuk temani dia bersarapan esok pagi sambil berbual dengan lebih santai. Aku juga janji untuk jalan-jalan di 1Borneo yang terletak di bangunan sama dengan hotel kami esok hari kalau masa mengizinkan. Nyatanya dia amat gembira dengan tawaran itu.

Sepanjang aktiviti hari ini, aku selang seli dengan membaca novel Puteri Imaneisya “Kasih Ini Milik Kita” yang baru kumulakan saat punggung kulabuhkan ke bangku.

Selepas makan tengahari, pihak penganjur sediakan bas dan bawa peserta ke bandar. Ke pasar Filipina sebenarnya. Pasar ini terletak di tebing Teluk Likas. Cantik pemandangannya. Jadinya, kerjaku hanyalah snap gambar sana sini sahaja berbanding beli barang. Sekalipun gambar itu taklah cantik dan jelas sangat kerana gunakan kamera telefon sahaja, namun itu terlebih baik daripada tak ada langsung.

Bas akan bertolak balik dari kawasan itu pada jam 5 petang. Kami ada masa 2 jam 30 minit untuk beli belah di kawasan tersebut. Memandangkan hanya aku satu-satunya rakyat Malaysia dalam rombongan berkenaan (peserta Malaysia yang lain membawa haluan sendiri. Peserta dari Indonesia sahaja yang ikut kerana itu lebih jimat berbanding tambang teksi sendiri yang mahal. Kiranya aku ni tergolong antara yang kedekutlah...), maka aku tunjukkan arah kepada mereka hingga tiba di pasar Filipina tu. Macamlah aku arif sangat dengan Kota Kinabalu. Takat tunjuk arah pasar Filipina tu, dapatlah. Dah sampai sana, masing-masing bawa haluan.

Di sini aku lebih banyak snap gambar, termasuk gambar dua orang remaja yang memang mintak gambarnya dirakamkan. Aku hanya beli dua keping kraftangan diperbuat daripada rumbia kot (aku pun tak pasti- baunya macam rokok daun arwah tok ayah aku hu hu hu), boleh letak atas meja sebagai alas (boleh juga dibuat alas apa-apapun, aku bukannya reti manfaatkan benda-benda yang sebegini. Ikut suka kaulah Dina nak buat alas apapun) untuk Dina sempena dia masuk rumah baru. Otak aku dah penat pikir nak beli apa untuk dia sempena masuk rumah baru. Masa balik kampung dulupun aku cari juga benda-benda yang sesuai, tetapi tak jumpa satu apapun yang berkenaan. Dua kali tawaf pasar Filipina, akhirnya benda alah itu je lah yang aku beli untuk kau ya, Dina. Untuk aku, beli 1 kg udang kering dan ikan masin. Nanti aku akan bahagikan pula dengan kakak dan adik aku. Salah hari boleh sampai ke kampung tu...(aku kan dah tak masak sangat sekarang ni, dari membazir, baik aku hantar kampung. Merasalah jugak mak aku udang kering Sabah ni. Dah lama dia tak rasa. Kalau dulu, ikan terubuk tu dah jadi makanan ruji mereka, macam beli kat pasar malam aje. Kalau aku tak beli, adik yang masa tu tengah belajar di Politeknik Kuching akan borong berpuluh ekor sebagai bekalan).
Lupa la pulak apa nama pasar ni...
Ni dia suasana di Pasar Filipina...
Pandangan luar Pasar Filipina
Uniknya...boleh jahit apa-apa je di kaki lima

Kat belakang pasar Filipina tu pula ada pasar malam. Betul-betul di tebing teluk. Masa tu, para peniaga masih belum mula berniaga lagi. Mereka sedang bersiap sedia buka gerai. Banyak kapal dan bot singgah kat jeti Jeselton kelihatan dari sini. Apalagi, snap gambar sajalah tak putus-putus. Sekalipun jadi perhatian ramai dengan cara jakun aku tu, aku peduli apa. Tiap kali bertembung mata dengan orang-orang yang memandang aku dengan pandangan pelik itu, senyum ajelah aku. Nampak macam peramah je kan, tapi sebenarnya kaver line hu hu hu...

Tak jauh dari pasar Filipina tu, ada waterfront. Masa aku datang dulu-dulu, waterfront ini masih dalam pembinaan. Itu masa tiga empat tahun lalu. Sekarang ni memang cantik pemandangan di kawasan waterfront tu. Berderet kedai makan. Macam romantik saja makan malam sambil mengadap laut. Angin malam yang berhembus, ombak yang mengalun. Lampu di tengah laut dek feri dan bot-bot. Cahaya lampu di Pulau Gaya yang bertentangan dengan Waterfront...tak terbayang dek impian. Mmmm macam best je buat lokasi untuk novel kan, Dina!

Sambil snap gambar sana sini tu, aku susur sepanjang waterfront. Masa masih banyak lagi, hampir 50 minit. Aku ingat nak lah lepak sekejab kat waterfront sambil sedut air kelapa. Menghayati keindahan laut kononnya. Tengok kapal. Berangan aku yang dok kat atas tu, tengah dating dengan Putera Raja Brunei ke, paling tak pun dengan Raja Gopal. Dari kedai makan pertama, hingga kedai makan terakhir, pintu hatiku tak terbuka pun untuk singgah kat mana-mana kedai walaupun tekak memang kering sangat. Haus. Dahaga. Kaki dah lenguh. (Maklumlah berkasut seharian hingga kasut itupun tunjuk protes. Dah pecah kedua-dua bahagiannya. Pergi kerja pun aku pakai sandel je, kali ni pakai kasut. Siksa amat!).

Aku tak dapat bezakan kedai makan mana satu yang halal. Pekerjanya, tuan punya kedainya hampir sama sahaja, tak mampu mata rabunku untuk bezakan. Aku berhenti di satu kedai, tetapi masih belum beroperasi lagi. Itupun hanya sebab nampak salah seorang pekerjanya bertudung. Walaupun hatiku 50-50 untuk minum di situ, tetapi aku berhenti juga. tanyakan pada pekerjanya. Mereka baru bersiap sedia untuk mulakan perniagaan. Akhirnya aku nampak dulang calsberg kat situ. Syukurlah kedai itu belum beroperasi lagi. Akhirnya aku sedar yang setiap kedai makan di situ memang menyediakan calsberg. Seleraku tumpul tiba-tiba. Haus hilang hanya dengan menelan air liur. Air liur yang kutelan kerana rasa syukur yang aku belum sempat minum di mana-mana kedai pun. Nikmati je lah suasana di waterfront kat bawah ni...













Tempat ni dulu stesen bas, sekarang dah jadi bangunan

Dari waterfront aku terus ke tempat bas menunggu. Tak ada siapa lagi yang dah siap borong barang. Hanya aku seorang. Masa masih ada 30 minit. Aku seberang jalan dan nampak satu kedai kain yang buatkan aku tersenyum seorang. Masuk sahaja ke dalam, aku tanyakan kepada taukeh kedai tu “Ada sut punjab tak?”. Dia geleng kepala. “Saya peminat Shah Rukh Khan tau...tak kan tak ada jual kat sini?” usikku buatkan hero hensem ala-ala Kamal Hassan itu tersengih dan beri alasan “baru saja habis”. Tak kesahlah bhai...asalkan aku boleh buang masa 10-15 minit kat sini!
Dina mesti pergi shooping kat kedai kain ni












Unik kan pondok polis tu...nak snap kereta sport sebenarnya...



Malamnya, hanya aktiviti lepak depan tv, sambil sambung baca novel “Kasih Ini Milik Kita”. Jam 2.30 khatam semuanya. Tunggulah, nanti kedua-dua novel yang berjaya aku khatamkan sepanjang berada di Kota Kinabalu ini akan aku ulas dalam blog ini.

Jumaat, 19 Jun 2009

Kota Kinabalu I

16 Jun 2009

Jam 4.15 pagi aku dah bangun. Bukannya nak buat qiamulail, tapi siapkan power point yang masih belum lagi dikemaskini. Risau jugak kot aku kena ganyang hari ni. Orang kata bersedia awal-awal. Sebabnya, aku tak tahupun atur cara. Kalau tahu, senang sikit. Jam 5 tidur balik. Mengantuk sangat.

Acara bermula jam 7.30 pagi kata urusetia masa aku sms malam semalam, namun jam 7 pagi barulah aku terhegeh-hegeh pergi sarapan. Matahari dah naik tinggi. Dah rasa bahangnya. Kat sini kira matahari celik dan tutup mata awal sejam. Kalau jam 7 pagi tu, kira macam jam 8 pagi di Semenanjunglah. Jam lapan aku ke UMS naik teksi. Orang belum mula acarapun lagi. Kira tak menyesallah datang lambatpun kan?

Habis makan pagi jam 9.30 pagi tu, aku interprem “sifuku” yang sedang berbual dengan peserta lain. Dah lama tak jumpa sifu tu, rupanya dia kini bertugas di Brunei Darissalam. Dah setahun. Sejak arwah isteri keduanya meninggal. Katanya, akibat khianat. Derita lebih dua bulan dengan busung yang berlaku tiba-tiba saat dia berjuang habiskan belajarnya, akhirnya Allah akhiri jua. Katanya lagi, selepas arwah hembuskan nafas terakhir, busung terus hilang. Perutnya yang membusung seperti sedang mengandung sembilan bulan itu kempis tiba-tiba. Ikut logik, memanglah tak logik. Sendiri mau pikir la...

Aku kenal arwah isteri muda sifuku itu. Semasa mereka kahwin dahulu, arwah itu janda kematian suami dengan dua orang anak. Cantik orangnya. Potongan badan yang seksi walaupun dia tidak mengenakan pakaian yang menjolok mata. Ukiran badannya bak gitar. Aku yang perempuan inipun kagumi dia. Cantiknya itu bukan kerana kulit yang putih melepak atau gebu, tetapi dek senyumnya yang manis. Senyum tanpa paksa. Senyum yang datang dari hati. Peramah juga. ceria. Dan tentunya, manja. Aku tahu itu faktor utama mendorong sifuku itu tangkap leleh dengan arwah. Kerana manjanya itu. Dan manja itu pula semulajadi sifatnya. Bukan mengada-ngada. Bukan gatal. Memang citarasa sifuku itu sebegitu. Sebelum berkahwin dengan arwahpun, sifuku itu pernah kahwin dengan seorang rakanku yang mempunyai hampir semua ciri itu, tetapi hanya bertahan selama tiga bulan sahaja. Sebabnya, semua sifat itu tidak semulajadi. Dengan arwah, sifuku itu bukan sahaja “memberitahu dunia” tentang kewujudan isteri keduanya itu, tetapi tidak kekok tampil di khalayak ramai. Berbeza benar semasa dia berkahwin dengan kawan aku sebelumnya; main sorok-sorok dan tarik tali terutama dengan isteri pertamanya.

Aku dapat rasakan kekecewaan yang terpalit pada raut wajahnya. Pada usianya yang sebegitu, dia kehilangan orang yang dikasihi. Orang yang sentiasa menyayanginya sepenuh hati. Bukan sekadar kerana pangkat atau harta. Membawa dirikah dia sejauh itu? Seberang lautan semata-mata mengubat duka lara di sudut hati? Sebenarnya banyak perkara tentang sifuku itu aku tahu, dan dia juga mengetahuinya yang aku tahu tentang itu. Sekalipun ramai bercerita tentang buruknya dia, namun aku amat kagum dengan dia. Orang kata dia lelaki tua yang gatal, namun dia tidak pernah tonjolkan buayanya itu kepada aku sejak aku berguru dengannya lebih 15 tahun. Orang kata dia itu si tua yang lucah, namun tidak pernah sekerat perkataan lucahpun sampai ke telingaku dari mulutnya sendiri. Malah, dia pernah menolak gesaan seorang teman hampir sebayanya (punya anak enam) untuk jadi orang tengah kenalkan kawan itu denganku (kalau dia jadi orang tengah tu, tak pasal-pasal aku dapat kawin pakej...6 + 1. Fuyoooo letih tu, kena perang dengan anak tiri seramai 6 orang!). Setahun selepas kawannya itu berkahwin dengan orang lain, barulah dia buka cerita. Itupun setelah aku tahu hal itu dari orang lain yang juga jadi “agen jodoh” orang yang sama. Alasannya mudah sahaja, “Tak payah nak aniaya dia jadi mak tiri anak-anak kau yang ramai tu...”. Aku ketawa saat dia ceritakan tentang hal itu, namun pada masa yang sama aku amat kagum dengannya.

Aku tak pasti dia buat semua itu sebab dia fikirkan tentang kebaikan aku ataupun dia takut banyak rahsianya yang aku tahu akan aku bocorkan. Walau apapun, aku memang hormat dia. Hal pribadi dia tetap pribadi, untuk apa aku campur. Tak kesahlah orang nak kata apa dengan dia. Orang tua gatal, orang tua tak sedar diri ataupun apa-apa saja... yang pasti aku tahu, dia hanya menggatal dengan orang yang boleh menggatal dengannya sahaja. Sejak kenal dia lebih 15 tahun, kenapa dia tak pernah menggatal dengan aku? Sebabnya, aku tak pernah benarkan diri aku menggatal dengan dia. Dan aku tahu, dia memang respek aku. Dia tahu aku bukan jenis perempuan gatal.

Setelah bicara dengannya, sekalipun sekitar sepuluh minit sahaja, akhirnya aku tahu juga. cerita tentang aku bukan sahaja heboh di Bangi. Melata hingga Sarawak. Merebak ke Sabah. Malah telah sampai ke Brunei. Tak sangka pula aku ni agak glamour juga kan? Namun, wabak yang tersebar itu tidak membanggakan langsung. Ia umpama selsema babi...melonggarkan urat sarafku, meruntuhkan benteng pertahanan diri yang telah kubina semula sedikit demi sedikit. Tuhan, aku belum kuat sepenuhnya lagi!

“Saya tahu, ini bukan awak yang saya kenal. Awak lain...” katanya buatkan air mataku hampir menitik. Beberapa detik aku terdiam. Hanya sekadar tebarkan senyum tawar. Hatiku juga mengatakan apa yang berlaku itu juga bukan diriku. Aku bukan begitu, namun itulah yang disebarkan dek angin. Meniti dari mulut ke mulut, hingga menjalar seberang Laut China Selatan ini.

“Saya sedang bangun. Kalaupun tak mampu berlari lagi buat masa ini, paling kurang saya sudah melangkah. Mungkin mula-mula memang perlahan, akhirnya saya tetap akan berlari. Saya akan pastikan yang saya tidak kalah sebegitu lama...” janjiku buatkan dia senyum kecil.
“Masa tak pernah tunggu kita...”

Yup...masa sentiasa berlari. Tak pernah tunggu walau sesaat. Dan aku yang sedang bertatih dengan kaki masih tempang ini aku terus ke hadapan. Dalam masa setahun dari sekarang, aku perlu berlari semula. Setahun aku terpenjara. Aku juga dah bazirkan masa setahun lagi untuk tangisi apa yang berlaku.

“Saya salah langkah. Cumanya, saya bersyukur...apa yang berlaku ini terjadi masa usia saya sebegini. Kalaupun semuanya ranap, saya masih sempat bangun. Tak tahulah macam mana jadi, kalau Allah bagi saya ujian masa umur dah senja,” memang aku benar-benar bersyukur dan akui itu. Kalaupun masa ini aku hampir hilang, malah benar-benar hilang upaya diri kerana itu. Pertemuan dengannya hari ini buatkan azamku menyala semula. Aku perlu buktikan yang penilaiannya tentang aku itu tepat. Dia kata aku kuat. Aku lasak. Aku kebal. InsyaAllah, bila bersua semula dengannya lain kali, aku dah jadi diriku semula. Maknanya, tiada masa lagi untuk aku main-main.

Selepas makan tengahari, acara lawatan ke sekitar UMS. Pergi ke muzium dan akuarium je. Semasa lawatan inilah sekitar UMS dapat aku nikmati. Cantik bangat kampusnya. Dahlah luas. Sebelah belakangnya ada laut yang membiru cantik. Boleh nampak kapal belayar. Sebelah depannya pun mengarah pandangan ke arah bukit yang menghijau. Aduhhhh nyaman. Indah. Cantik. Ramai yang cemburu nak kerja kat sini. kat bawah ni gambar-gambar yang sempat aku snap guna nokia je...so gambar dia taklah cantik sangat. Baik sikit daripada tak ada je...
Cantik UMS kan...sejuk je mata memandang
Tempat acara berlangsung selama 2 hari
Mesin ni telan RM30, tapi tak keluarpun top up. sadis!
Ni Dewan Canselor. Gah je...
Sekali pandang...macam UFO tengah mendarat kan...
Muzium
Akuarium bersekali dengan muzium...ok la tak pegi skuba pun. Nengok dalam akuarium je...
Selepas tu terus balik hotel. Nasib baik mereka hantar, jimat tambang aku RM15.

Malam sememangnya ada jamuan makan malam, tapi aku malas nak pergi. Sebabnya, bas datang ambil terlalu awal. Jam 6.15 dah kena tunggu depan hotel. Penat berjalan belum habis lagi. Gosok baju juga belum. Paling penting, rasa macam seronok je kalau dapat berkubang atas tilam empuk kan.

Malamnya aku ke 1Borneo lagi. Nak print power point sebagai bake up kalau-kalau nanti terkantoi mana-mana. paling kurang masih boleh rujuk power point. Hampeh! Kafe internet kat situ tak boleh print. Ada jugak ke gitu? Adalah tu! Memang dah jadi kat aku...depa buka kafe internet hanya untuk main game dan online internet saja. Entah bila budaya ni akan berubah!

Selepas beli bubur nasi McD (yang sejuk! Ayo yo...nampak sangat tak ada pelanggan pergi kan? Naik kembang pipi makan yang sejuk gitu...), terus saja balik hotel dan tanya kat kaunter kalau-kalau mereka ada sediakan perkhidmatan print. Business Center hotel ada problem, kata dia oranglah. Apapun, dia orang tolong juga aku print 4 halaman. Free lagi. Nasib baik. Kalau tak, tak taulah apa jadi. Menghabiskan malam, aku katamkan novel Kasih Aryssa sampai meleleh air mata. Jahat betul kau, Dina...aku ni kan brutal, mana boleh menangis. Kenapa kau buat aku menangis tiap kali baca? Adoiiii, sejak bilalah aku dah jadi perempuan ayu ni...mudah tangkap leleh!