Memaparkan catatan dengan label tembikar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tembikar. Papar semua catatan

Khamis, 18 Disember 2008

Kuching yang Kukenal



Kuching sedang menangis berhiba diri ketika kakiku memijak buminya. Tangis langitnya masih gerimis saat tibaku jam 10.45 malam setelah lebih sejam setengah berada dalam penerbangan. Setelah hampir tiga tahun tidak kuhirup wangi udara segar buminya, patutnya aku yang menangis berhiba diri. Di hati, ada tangis lain yang dah lama serek.

Dalam tempoh itu, banyak perubahan yang berlaku di sana sini. Dah banyak bulatan yang dah tak ada lagi. Jalan bertingkatnya gagah luas, mudah sahaja diredah untuk ke hotel. Kuching memang telah banyak berubah. Seperti aku juga. Namun, masih ada lagi tempat-tempat yang menggamit ingatan dan tinggalkan kenangan. Manis dan pahit. Suka dan duka. Indah dan menyiksakan minda.

Crown Plaza Riverside. Pertama kali menginap di hotel ini. Selesa. Luas. Kalau boleh, hanya mahu memerap sahaja di bilik setelah lelah perjalanan yang panjang dan letih berkerja pada hari Sabtu di pejabat. Tiap kali datang di sini, biasanya aku menginap di Holiday Inn, Merdeka Palace ataupun kiranya dengan perbelanjaan sendiri, beberapa hotel tanpa bintang seperti Merlin Inn, Penrisen Inn atau beberapa buah hotel lagi jadi pilihan.

Biliknya yang luas, mewah dan selesa. Boleh main kejar-kejar. Malangnya hanya aku seorang yang ada. kalaulah ada anak buah aku tu...sah-sah sekejab je bersepah seluruh tempat.

Hotel ini berada di seberang jalan, berbanding Holiday Inn yang benar-benar berada di tebing Sungai Sarawak. Namun, dari tingkap kecil di tepi meja study yang tidak sempat kumanfaatkan sebaiknya itu, pandangan masih lagi dapat dihalakan ke sungai itu yang kian melebar ke muara. Indah. Namun tidak sempat dinikmati sebaiknya.



Kafe yang luas, cantik, tersusun dan banyak hidangan untuk sarapan paginya, namun tidak sempat kunikmati semuanya kerana pemandu teksi sudah tunggu di bawah. Selera juga telah mati kerana selsema


Berhala kucing ni berada di sisi hotel, iaitu di hadapan Holiday Inn. Ramai pelancong ambil gambar di sini sekiranya tidak berkesempatan untuk bergambar dengan Berhala Bapak kucing yang dibina di hadapan pintu gerbang Jalan (tiba-tiba pulak aku lupa nama jalan tu, tapi rupanya seperti di bawah).


Tempat bergambar kegemaran pelancong yang datang ke Kuching, di hadapan Berhala kucing besar ini.

Apa yang untung, hotel ini berada bersebelahan dengan pusat beli belah. Parkson. Giant. Cukuplah sekadar nak dapatkan keperluan semasa (aku perlukan roti dan tuna kerana di sini sukar untuk aku pastikan kedai makan Islam atau bukan-tak punya kepakaran untuk kenal pasti). Di Pusat beli belah itu juga terdapat KFC, Sugar Bun dan beberapa restoran makanan segera yang lain.

Jeti penambang yang hubungkan perkampungan Melayu di seberang sungai di Waterfront. Sungai ini juga digunakan untuk lumba perahu.Ada juga bot ekspress untuk perjalanan jauh.

Waterfront masih lagi ada di situ, gurauku dengan adik teksi yang peramah itu. Aku kagum dengannya. Malam buat part time bawa teksi ayahnya, siang berkerja bank. Anak muda yang gigih dan berwawasan. Siapa kata Melayu malas!

Pemandangan sepanjang Waterfront (sebahagian daripadanya). Kelihatan Hotel Hilton (putih) dan Crown Plaza Riverside di sebelahnya.

Seronok bersantai sepanjang sungai sambil menikmati pemandangan indah dan kegiatan seharian penduduk di seberang sungai.

Dan teksi itulah yang aku gunakan sepanjang dua hari di sini. Selain memberi rezeki kepada anak bangsa aku sendiri (Melayu bangsa ke 3 terbesar di Sarawak, berbanding di Semenanjung), Pak Cik bekas tentera itu memang profesional. Peramah dan banyak membantu juga. Banyak info yang aku dapat dalam pelbagai hal. Bagi sesiapa yang nak pergi ke Kuching, bolehlah guna perkhidmatan teksi Pak Cik Ahmad Jamel (016-8841522) teksi bernombor HQ 1522. Dah tentu dia berbeza dengan pemandu teksi yang hantar aku ke KLIA tempoh hari, yang buat drift sepanjang jalan. Tak sempat ke litar F1 Sepang agaknya!

Pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan, aku diberitahu pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan di Waterfront. Selain menjadi tempat yang cantik untuk bersantai, pemandangan sungai di sini pasti mampu menarik minat pengunjung. Di tebingnya 2 ekor replika Bujang Senang dibina. Biarpun berkali datang ke sini, aku tak pernah jemu datang ke sini. Aku pernah saksikan pertandingan lumba perahu yang diadakan di sini suatu masa dahulu.

Di seberang sungai, gagah kukuh Astana terlihat. Dibina sejak kedatangan Brooke dan masih kekal hingga kini. Di tebing seberang sungai juga terdapat perkampungan Melayu. Ada bot ulang alik menyeberang sungai dengan tambang hanya 30 sen (dahulu, tetapi tidak pasti tambangnya kini. Mungkin dah naik seiring dengan kenaikan harga petrol). Berada di tebing sungai di kampung Melayu itu sambil mengadap pusat bandar pada waktu malam memang mengujakan. Terlalu indah dengan gemerlap lampu-lampunya.

Pusat bandar pada waktu malam di lihat dari perkampungan Melayu di seberang sungai.






Peminat pasu?


Sepanjang jalan di seberang jalan kawasan Waterfront, terdapat kedai-kedai kraf yang menjadi tumpuan pelancong untuk membeli barangan kraf seperti pasu, barangan tembikar, tikar, dan sebagainya. Harga, boleh tahan juga mahalnya. Namun, kalau sesekali datang, apalah sangat berkira tentang harga. Bukan selalupun berbelanja barangan sebegitu. Bukan semua tempat ada barangan begitu. Sebagai barangan kenangan. Lainlah kalau sudah selalu datang. Rasa macam dah tak ada apa istimewanyapun. Sama seperti akulah, tak beli apa-apa pun sebab rasa macam dah terlalu biasa nampak.

Tidak jauh dari sini, terdapat India Street. banyak dijual pakaian dan keperluan lain dengan harga yang lebih murah. Tidak jauh beza suasananya dengan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Meriah bila dah dekat dengan musim perayaan Begini rupanya.

India Street


Pasar Satok yang glamer tu...


Nak beli ikan terubuk? Pasar Satoklah tempatnya. Boleh juga diperolehi makanan tempatan yang lain. Istimewanya pasar ini adalah pada hari Jumaat. Bermula dari tengahari, terdapat pasar tamu di sini yang berlangsung hingga Sabtu tengahari. Pelbagai barangan daripada penduduk tempatan boleh dilihat di sini. Penduduk sendiri yang pasarkan. Mereka datang dari jauh, bawa hasil tempatan dan pasarkan sendiri kepada pembeli.

Dijual oleh orang tempatan. Hasil taninya murah amat! Segar.

Pertama kali aku ke pasar ini, aku sudah sukakannya. Pelbagai hasil tempatan boleh didapati. Pucuk paku yang besarnya melebihi dua cekak besar hanya RM1 harganya. Kalau di Bangi, confirm harganya RM5. Dah lah banyak, hijau dan subur, segar pula. Pada datangku kali pertama itu, aku lihat dua perkara yang unik yang tak dapat kulupakan. Sayangnya masa itu aku tak dapat snap gambar.


Ulat sagu. Berani untuk rasa?


Keunikannya yang Pertama, sejenis ulat sagu yang boleh dimakan. Saiz ulat itu agak besar, lebih kurang saiz ibu jari tangan. Putih warnanya. Gemuk dan lembut. Cara makannya tidaklah pula kutahu. Kedua, aku melihat seorang perempuan tua Iban menjual itiknya. Apa yang unik, cara mak cik Iban itu gunakan untuk pamerkan dua ekor itik jualannya. Itik itu diletakkan secara saling membontoti dan dibalut badannya dengan guni. Jadi, hanya kepala itik sahaja yang kelihatan di kedua-dua belah, sedangkan badannya dibalut kemas. Pandangan itu aku temui masa pertama kali jejakkan kaki di Pasar Satok sekitar tahun 1999 dahulu.

Di sini tak banyak makanan tempatan dijual tetapi kalau setakat nak dapatkan tebaloi (sejenis snek diperbuat daripada sagu yang dibuat kaum Melanau) boleh diperolegi. Tebaloi ni kat lapangan terbang pun boleh dapat. beza harganya sekitar 50 sen hingga seringgit sahaja. Kalau tak sempat nak cari di mana-mana, boleh beli sahaja di airport.

tebaloi


Kek lapis sarawak memang popular. Kalau nak beli, boleh tanya pak cik pemandu teksi yang aku ceritakan di atas tadi. Dia tahu hal-hal tempatan seperti kilang tembikar untuk beli pasu, tempat jual lada hitam ataupun tempat jual kek lapis. Kalau nak rasa masakan tempatan juga boleh. Pak cik ni bersedia untuk bawa ke sana dan tunjukkan tempat. Aku tak beli kek lapis, pasu atau lada hitam kerana bukan keperluan buat masa ini. Kek lapis dah terlalu acap kali rasanya. Semasa adik di Politeknik Kuching, dia selalu bawa balik benda-benda sebegitu. Bagi keluarga kami dah tidak jadi benda tersohor lagi.

keunikan kek lapis Sarawak. Perlu masa 6 jam untuk siapkan sebiji kek ni. Kalau aku yang buat, sah-sah rentung!

Kalau ke Sarawak, cubalah rasa Laksa Sarawak dan Mi Kolok. Kedua makanan ini agak istimewa dan enak. Laksa Sarawak macam meehun karilah lebih kurang tetapi rasanya berbeza sedikit. Mi Kolok pula seakan-akan mehun sup, hanya berbeza dari segi rasa sahaja. Disediakan juga cili kicap sama. Namun, kedua makanan ini masih boleh didapati di Kuala Lumpur, Cuma tak pasti pula rasanya original atau pun tak.

Laksa Sarawak

Gemar bersantai dan menikmati keindahan alam? Pergilah ke Gunung Santubong dan Pantai Damai. Berhampiran kedua tempat ini terdapat perkampungan budaya. Bayaran masuk RM60. Itu dahulu, sekarang tak pastilah. Tapi aku lebih sukakan Gunung Santubong. Cantik, terutama pada waktu pagi. Berkabus. Indah. Tenang dan damai. Patutlah nama kawasan pantai berhampiran itu adalah Pantai Damai.
Gunung Santubong dan Pantai Damai...memang mendamaikan!


Masih banyak liku-liku Kuching tidak sempat kuselongkar, terutama galeri dan muziumnya yang banyak terdapat di sini. Ada masa, aku ingin berada dalam denyut nadinya. Merasa takdir hidupnya. InsyaAllah. Ada sesiapa sudi pergi bersama aku tak?