Memaparkan catatan dengan label kek lapis sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kek lapis sarawak. Papar semua catatan

Rabu, 29 Disember 2010

Kek Lapis Sarawak

Sebelum ke Dhaka, aku perlu ke Kuching dahulu. Macam biasa, dua hari berkerja, dua hari lagi aku sambung untuk merayau di bandaraya itu dengan tujuan yang lain. Kali ini aku ke seberang sungai sarawak; kampung Boyan dan Kampung Gersik yang berada di tebingan sungai sarawak. Betul-betul di hadapan waterfront.

Naik perahu seberang sungai, tambangnya hanya 50 sen sehala (jangan bagi tahu Cik Bintang yang aku sebenarnya teruja nak naik perahu tambang ni lebihi dari cari kek lapis Sarawak tu hu hu hu). Seminit je masa pun untuk seberang. Aku ke sana kira-kira jam tiga petang. Terus ke kilang kek lapis Dayang Salhah yang diusahakan di rumah sahaja sebenarnya.


Waterfront dari Seberang (kampong Boyan dan Kg Gersik). Waktu malam mesti cantik ni..


Sampai di teping seberang sana, aku ikut kaki sahaja, kemudian tanya orang. Kita akan jumpa beberapa gerai menjual kek lapis di kampung ini, tetapi disebabkan aku nak cari kek lapis Dayang, aku cari juga sampai jumpa. Letaknya di belakang surau Kampung Gersik. Kalau kat gerai tu, kek lapis diusahakan orang lain. Ramai orang yang aku jumpa berpesan untuk beli kek lapis Dayang sahaja kerana rasanya yang lebih sedap. Tak tahulah pula sejauh mana kebenarannya. Aku bukannya kaki kek lapis, mana-manapun pakai rembat sahaja. Namun, alang-alang dah menyeberang, cuba ajelah cari yang paling sedap.



Kek lapis Dayang Salhah diusahakan di rumah sahaja. Bila sahaja masuk, kita akan lihat satu meja yang dipenuhi kek lapis tersedia dipotong dan dimasukkan dalam bekas tertutup. Kita boleh rasa sebanyak manapun yang nak. Rasa sahaja sebanyak mana kita mahu. Banyak jenis dan macam-macam rasa.








Kek-kek lapis pula tersedia di atas rak keliling bilik tersebut. Pelbagai jenis dan rasa. Paling murah RM10 tetapi sekiranya kita nak beli yang agak sedap sedikit, harganya pelbagai. Jadinya…rasa dahulu hingga kenyang (aku rasa sampai nak muntah), kemudian boleh pilih sendiri di rak ataupun minta adik-adik yang kerja kat situ tolong ambilkan.


Seberang sungai semula untuk balik


Mereka akan packing dengan kemas sekiranya kita beli banyak. Masukkan dalam kotak dan tulis alamat sekiranya kita nak masukkan dalam kargo. Bagi sesiapa yang nak beli secara online juga boleh…boleh buat tempahan seperti yang terdapat di web mereka Kek Lapis Dayang Salhah.

Sejarah dan cerita tentang kek lapis Sarawak boleh dibaca di sini

Sekarang Ni, anda tidak perlu lagi ke Sarawak semata-mata hanya nak rasa kek lapis. Order sahaja secara online, nanti tunggu depan pintu je.

Maklumat lanjut pasal tempat ni boleh diperolehi di laman web Kek Lapis Dayang Salhah.

email: sedap@keklapisdayangsalhah.com, keklapisdayangsalhah@gmail.com

 

Khamis, 22 April 2010

Hari Yang Panjang dan Melelahkan

13 April 2010.
Pagi-pagi buta lagi Cik Bintang terpaksa bangun dan hantar ke LCCT. Jam 7 pagi terus daftar masuk. Nasib baik beg sesuai untuk angkut sebagai bagasi tangan (hand bagage hu hu hu macamlah ada bagasi untuk kaki yang bawa). Terus saja ke balai pelepasan tanpa terasa nak isi tembolokpun. Masih terlalu awal lagi kan.

Masa terhegeh-hegeh ke balai pelepasan, kaki kanan bagai terasa sesuatu yang diluar normal. Kenapa lah pula sandel yang aku pakai ni terasa macam longgar sebelah? Bila menelitinya sepuas hati, barulah sedar bahawa bahagian dalam di sebelah kanannya telahpun terkopak jahitannya. Memang tak akan sempat untuk dipakai walaupun hingga ke perut pesawat, apalagi jejakkan kaki di bumi Kuching.

Entah macam mana mentol menyala di dalam kepala. Semasa beli air mineral, aku tanyakan adik di kaunter kalau-kalau ada getah pengikat. Dia yang bersimpati dengan nasib malang aku terus beri dua urat getah, tetapi disebabkan urat getah itu sudah meregang, keselamatan untuk tidak putus sepanjang perjalanan memang tidak dapat dijamin lagi. Namun, mahu tak mahu...ikatkan sahaja sandel itu. Dah lah sandel hampir terburai putus, terminal untuk ke Kuching pula berada nun di hujung. Terpaksalah aku menapak dengan penuh sopan santun dan susila, bak seorang model sedang melakukan acara berjalan kucing (catwalk) nan gemalai.



Tak ramai yang guna penerbangan hari ni, hanya suku tempat sahaja. Namun semuanya ditempatkan pada kerusi bahagian tengah pesawat. Tak ramai yang pilih kerusi panas (malas nak membazir RM5 atau RM25 hanya kerana tempat duduk). Bila pesawat sudah berada di awan biru, aku pindah tempat duduk ke belakang. Cari tepi tingkap untuk tangkap gambar awan.

Dalam penerbangan, ada juga aku tanyakan si pramugari manis kalau-kalau dia ada alat-alat hikmat atau sakti macam Doraemon untuk jadikan sandel buruk itu kasut emas. Tak ada! Mmmmm tak nampak pun ada inisiatif nak cari tali rafia merah ke, hijau ke untuk ikat sandel buruk itu(baru beli tau, baru beberapa kali pakai...kilat pun masih merelip-relip). Akhirnya mentol dalam kepala aku menyala lagi (ni berkat makan herba cina yang mahal berganda-ganda itu kot. Ada juga pekdahnya faedahnya aku habiskan duit gaji beratus-ratus hanya untuk telan herba yang bucuk wangi itu!). Secepat Cimpanzi menggaru gatal, aku korek handbeg yang ala-ala saku perut Doraemon hingga akhirnya terjumpa satu skrudriver kecil yang digunakan untuk kemaskan skru cermin mata.

Kalau diikutkan, barangan sebegini sangat dilarang untuk dibawa ke kabin, namun hingga saat ini aku tak pernah kena tahan kerana membawanya sama ada untuk pelepasan dalam negeri atau antarabangsa. Mungkin mesin pengimbas tak sempat nak nampak sebab handbeg aku penuh dengan sampah sarap yang entah apa-apa (rasanya tak ada perempuan lain mengisi beg tangannya dengan apa yang aku isi. Hanya Doraemon sahaja yang ada isi sebegini, lengkap skrudriver. Nasib baik tak ada tukul atau pahat, kalau tak...sempat bina banglow atas awan hu hu hu).

Disebabkan sandel yang terbertas itu meninggalkan benang yang terjulur keluar, makanya, aku gunakan skru driver ini sebagai jarum untuk menjahit semula sandel tersebut. Taklah kemas dan cantik sangat, namun setelah dijahit sebegitu dan diikat sedikit lagi dengan getah gelang tadi, aku dah boleh berjalan dengan yakin. Dah boleh berjalan ala-ala kucing gatal masa mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kuching.

Dah selesai masalah kasut, aku nikmati keindahan awan melalui tingkap sambil menghayati keenakan Old Town White kopi. Sambil-sambil juga tangkap gambar awan. Sejam setengah masa untuk penerbangan itu tidak terasa. Mungkin sebab setengah jam dah habis untuk jahit kasut, setengah jam untuk minum kopi dan setengah jam lagi membaca sedikit kerja yang perlu aku hantar sebulan lepas (adoiiilah! Lihatlah dunia, betapa tak terkejarnya urusan dunia ini untuk aku laksanakan. Harap-harapnya, bila tiba masa untuk aku tinggalkan dunia ini, aku dah siapkan semua urusan jual beli donia hu hu hu Masa tu aku dah beli ke tidak dunia ni agaknya ya?).

Ini pulau aku yang perintah! Boleh gitu? Hu hu hu

Setiap kali kaki kujejakkan ke bumi Kuching, setiap kali itu juga alam menangisi kedatanganku. Setiap kali. Sejak dahulu. Adakah bahasa alam memang telah lama mengetahui yang hatiku akan sentiasa basah di sini? Dalam Gerimis yang terundang sejak subuh (menurut abang driver limo), aku meredah ke Wisma Saberkas. Nak ke hotelpun masih awal lagi, baru jam 10 pagi. Masuk saja pintu utama, aku terkam ke kedai kasut. Bata. Hasilnya...jeng jeng jeng...cantik tak kasut baru?

Malayang RM70. Aku tahu harganya memanglah tak sampai semahal itu kalau aku beli di Kuala Lumpur atau Bangi. Sandel ... yang aku beli Billion PKNS itupun hanya RM40 sahaja, itulah sandel paling mahal pernah aku miliki. Apa nak buat...ada masa RM tidaklah bernilai apa-apapun berbanding apa yang perlu ditukarkan. Hanya yang ini sahaja ada...yang selesa dan boleh dibawa ke mana-mana sahaja tanpa perlu tukar. Lainnya, hanya sesuai untuk acara tertentu sahaja. Juga, belum tentu sesuai dengan kaki aku yang teramat sensitif ini. Sebab tu, sangat sukar untuk aku tukar sandel atau kasut bila dah selesa pakai. Dah lunyaipun masih lagi pakai.

Selesai sarapan (sepinggan nasi berlaukkan hati ayam goreng campur kacang dan segelas teh ais limau), terus ke tingkat 10 dengan heret bagasi merata tempat. Peduli apa aku kalau orang nak pandang. Biar sahaja mereka nak tengok, masing-masing ada mata. (mesti mereka hairan tengok sorang minah sesat ke komplek beli belah sambil heret bagasi segala). Pi mai pi mai sana sini, akhirnya aku diminta datang semula jam dua petang dan jumpa Cik Idja, maka heretlah aku bagasi ke sana sini seluruh kompleks beli belah yang taklah meriah sangat itu. Berbanding Warta di Bangi, Warta tu lebih meriah dengan manusia dan kedai-kedainya berbanding Wisma Saberkas ini. Maklumlah kompleks ini berada agak jauh sedikit daripada tempat tumpuan ramai. Kedai buku yang dahulunya ada sebuah kat sini pun dah lama tak ada. Mati kutu aku sekejab. Akhirnya aku ke kafe Siber di tingkat 2, online sekejab dan borak-borak dengan Cik Bintang sementara menunggu jam dua.

Tak ada apa yang boleh Cik Idja bantu (katanyalah). Dah jumpa bosnya juga, tetap depa kata depa tak dapat bantu. Tak relevan. Tak ada kaitanpun baca novel dengan sungai. Kalau baca novel tu, baca sahajalah novel...beranganlah sama seperti yang diingini penulis novel. Apa pula nak dikaitkan dengan pencemaran sungai ke, empangan ke, atau apa-apa jabatan kerajaan. Tak berkaitan. Novel adalah novel.

Jam tiga, aku terus ke tune.hotel yang terletak berhadapan dengan Hotel Hilton. Hotel baru. Bangunan ini sebelumnya adalah deretan rumah kedai. Jadi, jangan hairan sekiranya anda akan jumpa banyak bendul dalam bangunan hotel ini kerana mereka telah pecahkan dinding-dinding rumah kedai menjadi satu hotel.


Ini pengalaman pertama aku tinggal di tune.hotel. Cik Bintang yang cadangkan. Awalnya aku terima dengan hati yang berat kerana aku tidak pasti lokasinya. Risau juga kalau-kalau perlu jalan jauh ke pusat kemudahan seperti teksi, kedai runcit dan tempat makan. Pengalaman aku di Kuching sebelum ini, hotel kecil berada agak jauh dan susah nak dapat teksi kecuali dipanggil. Bila teksi dipanggil, kos akan lebih tinggi. Sebelum datangpun aku dah tanya kekasih hatiku nan serba tahu itu, Inche Google.com kedudukan hotel ini tetapi aku masih lagi blur. Bila sampai sini, aku sangat gembira dengan lokasinya yang sangat strategik itu. Tak sia-sia ikut nasihat pakar kan, Cik Bintang? hu hu hu

Hotel ni tiga tingkat sahaja. Sangat selesa untuk aku. Padanlah dengan aku yang bukan bertaraf VVIP ataupun bukannya Datin mahupun gundik kepada mana-mana Datok, hanya berstatus cucu atok je. Aku ambil bilik single sahaja. Kan seorang sahaja, sesuailah tu! Bersih biliknya (sangat penting untuk aku. Kaki aku sangat sensitif dengan habuk, hama, debu dan apa-apa yang boleh menyebabkan kegatalan tahap kronik), mungkin sebab masih baru. Ataupun memang depa sangat utamakan kebersihan.

Sama seperti yang mereka canangkan “katil taraf 5 bintang”, memang empuk, selesa dan nyaman untuk beradu. Namun, jika anda perlukan penghawa dingin, sila buat tempahan dan bayaran semasa tempahan bilik dibuat. Kalau tak tempah, anda boleh guna sahaja kipas sebab setiap bilik disediakan kipas. Kipas pun ok juga, tapi hanya boleh guna hingga kelajuan no 3 sahaja (no 3 pun dah cukup sejuk), no 4 & 5 tidak berfungsi. Barangkali mereka bimbang kipas akan melayang jauh dek kerana terlalu laju putarnya. Jika anda ada buat tempahan untuk penghawa dingin sama ada 12 jam, 24 jam ataupun berapa jam sahaja yang anda nak, ekon tersebut berfungsi seperti kad top up kredit telefon, iaitu mengikut masa yang anda gunakan. Kalau anda tinggal 3 hari 2 malam, ambil untuk 24 jam ekon pun dah cukup sebab ekon berkenaan dikira masanya bila sambungan elektrik dalam bilik berkenaan berfungsi. Bermakna, kalau anda tidak ada dibilik, jumlah jam ekon yang anda tempoh itu tidak akan berkurang. Chomel kan sistem yang mereka gunakan?


Rupanya gini ke? Jakun betul aku ni kan hu hu h u
Kita kat situ bukannya untuk berada dalam bilik setiap masa, jadi tak payahlah buang banyak duit sangat untuk ekon. Bagi aku yang tak berapa gemarkan ekon dek kerana tak tahan sejuk, ekon hanya diperlukan 30 minit pertama balik ke bilik sahaja. Selepas itu, kipas pun dah terlebih dari cukup.

Begitu juga dengan barangan lain dalam bilik ini, tidak disediakan. Anda hanya boleh guna kipas, lampu, bilik air (tanpa tuala, sabun, tisu), ekon (kalau anda tempah) dan plug sahaja. Jadinya, kalau anda nak minum kopi atau teh (panas atau sejuk), perlu minum kat kedai. Kat bawah ada satu kafe yang simple, bolehlah minum atau makan makanan ringan. Tidak ada almari dan seterika juga. namun, disediakan 3 penyangkut pakaian berhampiran kipas yang berada di dinding. Kalau bilik anda mempunyai tingkap, di tepi tingkap disediakan palang besi. Jadi bolehlah aku sidai tuala selepas guna dan pakaian lain yang telah disterika.

Bilik air di hotel ini tak ada selak. Awalnya aku ingatkan hanya bilik single sahaja begitu, namun apabila pindah ke bilik standard pada hari terakhir, aku dapati bilik itu juga sebegitu. Pintu bilik air yang tak berkunci itu pula terdiri daripada cermin materialnya (bahagian luar diblurkan sedikit bahagian tengahnya tetapi di bahagian atas dan bawah tetap transperans, manakala di bahagian dalam bilik air pula semuanya transperans). Jadi, sendiri mau ingatlah ya kalau anda bercuti dengan teman-teman yang nakal dan tinggal sebilik di hotel ini hu hu hu...jangan cari aku pulak kalau gambar korang tengah mandi tetiba tersebar kat FB atau diiklankan secara maya la la la...aku dah cakap awal-awal ni.



Apa yang aku suka tentang bilik air kat hotel ni adalah tempat mandinya. Sangat kuat dan banyak air menyerbu turun bila mandi. Aku sangat berpuas hati dengan kepala shower depa nan besar itu. Terasa macam mandi air terjun je, tambah lagi kalau guna air sejuk. Fuhhhhhh puas hatilah pendek kata hinggakan “panjang kata” tak terkata apa-apa. Sebenarnya aku hanya dapat vouncher percuma dari AirAsia sahaja, tunehotel aku tak dapatpun. Jadi, kalau aku puji melebih-lebih ni, korang rasakan...ada tak tunehotel nak bagi vouncer percuma untuk aku? Hmmmmm berangan tak payah bayar kan?

Apa yang aku tulis ni berdasarkan pengalaman aku, jadi, tak ada kena mengena dengan pengalaman orang lain. Harapnya ia boleh jadi panduan kepada orang yang akan ke Kuching nanti. Taklah macam aku hari tu, terkial-kial mencari maklumat tentang hotel ni, tetapi tak ada pun maklum balas yang boleh aku jadi panduan secara menyeluruh. Ada juga aku jumpa beberapa komen tentang tunehotel, tetapi hanya maklumat negatif sahaja yang aku jumpa. Maklumlah, orang yang beri komen tu juga orang-orang yang biasa tinggal di hotel-hotel mewah yang berbintang-bintang. Pada pendapat aku yang hina dina ini, hotel ini dah mewah dengan kos serendah itu. Kalau anda mengharapkan semuanya lima bintang tetapi bayaran yang tak ada bintang, rasanya usahlah dipilih hotel ini kerana hotel ini hanya menawarkan tilam sahaja berjenama lima bintang. Yang lainnya ada kala ada bintang, ada kala tak muncul pun bintang. Sekarang ni, aku pun dah tak larat nak taip perkataan bintang lagi. Dah berbintang-bintang mata aku hu huhu.

Kalau menginap di hotel ini di sini, sila bawa kapas bersama kerana di bahagian belakang hotel ini ada pusat karoeke (kotlah!). Asal sahaja jam 8 malam, maka akan bising dan gempitalah bunyi muzik, diselang seli juga suara-suara menyanyi yang sedap dan enak didengar, mahupun yang sumbang lagi menyumbangkan lagu-lagu asalnya. Namun, disebabkan aku memang dah terlalu capek sepanjang hari penuh dengan aktiviti yang memenatkan dari pagi sampai malam, bila letak sahaja kepala ke bantal, terus sahaja aku belayar ke kayangan berjumpa dengan kekasih hatiku Tuanku Malim Deman hu hu hu jadinya, dunia nak gempa ke, nak runtuh ke,...aku sudah selamat ke alam yang lain. Apalah sangat setakat muzik yang taklah sekuat mana itu.

Jom Karoeke. Ada berani?


Dah masuk bilik, pasang ekon dan kipas, lepas lelah sesaat dengan check setiap inci bilik hingga ke bilik air, aku telefon Cik Bintang, lapor diri (Cerita pasal tunehotel dah habis ya, sambung aktiviti aku pulak!). Hari masih awal untuk aku terperap di bilik tanpa berbuat apa-apa. Jadinya, selepas mandi dan kenakan pakaian yang sama (yang dah bau masampun sebenarnya tetapi pakai ajelah, tak ada pakaian extra untuk jalan-jalan. Plan asalnya terus buat kerja tetapi mood dah turun 50% selepas jumpa Cik Idja nan manis [alasanlah tu kan!]) dan bawa kamera serta beg sandang menuju waterfront. Dah lama tak merayau!

Boleh, gini?



Jam 3.30 petang aku dah terpacak di waterfront dan mula ambil gambar. Kira berlagak macam pelanconglah ya...semua orang pandangpun buat tak peduli je. Sesekali ambil gambar sendiri juga. Tersengih sana tersengih sini, snap sana snap sini. Kaki melangkah saja sepanjang waterfront hingga mengadap ke arah bangunan DUN baru. Bangunan ini yang buatkan aku benar-benar teruja sebenarnya. Masa datang tahun 2008, belum siap lagi. Kini dah siap sepenuhnya. Dah cantik tersergam. Strategik juga lokasinya.

Waaaaaa romantik jugak kalau dating kat sini sambil nikmati pemandangan indah

Aku sempat juga ke Jalan India (macam jalan Masjid India kat KL) dan Jalan Carpenter (macam Jalan Petaling). Jalan carpenter masih lagi baru untuk aku sebab sebelum ni belum ada berbanding Jalan India yang terkenal dengan kedai-kedai yang murah. Apa yang murah, akupun tak tahu. Kiranya boleh tawar menawarlah, bukannya kedai harga tetap. Bila senja, aku kembali ke waterfront semula. Nak ambil gambar matahari terbenam kononnya, sedangkan matahari tak terbenam kat situ. Hanya cahaya senja sahaja indah terpandang. Apapun, tak kesahlah. Asalkan dapat gambar-gambar yang cantik itu.

warna senja di Waterfront aku upload dalam entri yang berasinganlah ya...macam dah panjang sangat pulak entri ni.

Akhirnya aku ke KFC yang terletak di pusat beli belah terdekat. Hanya dua ketul ayam goreng, strowberi sejuk dan kentang putar. Cukuplah kan, untuk makan malam sebelum lelapkan mata setelah lebih kurang empat jam mendera kaki berjalan. Ohhhh kasihan kakiku ini!

Sedikit pesanan kepada yang pergi sendirian ke waterfront:
Ini kali ke empat aku dinasihatkan agar tidak ke waterfront secara sendirian. Menurut masyarakat tempatan (pemandu teksi), kawasan ini sangat tinggi kes pukau melibatkan orang yang berjalan sendirian tanpa mengira lelaki atau perempuan. Jadi, sekiranya anda nak kunjungi kawasan ini, sila berhati-hati dan waspada dengan orang yang kelihatan mencurigakan yang sentiasa memerhatikan tindak tanduk orang asing seperti kita (Dah pasti akan terlihat tercangak-cangak dan terlebih kagum). Saya juga dinasihatkan tidak ke sini pada waktu tidak ramai orang seperti pagi, tengahari atau malam. Kawasan ini ramai orang pada waktu petang, terutama pada hari minggu.

Walau bagaimanapun, di kawasan ini pihak berkuasa ada tempatkan preman yang berpakaian biasa. Sekiranya diragut atau diugut, jika berpeluang untuk menjerit, silalah jerit kerana kemungkinan untuk ditolong tetap ada. Sepanjang 4 jam di waterfront, aku juga turut diekori oleh dua orang yang mencurigakan dan tidak dikenali tetapi alhamdulillah, semuanya selamat. Mereka cuba mendekati konon-kononnya untuk jual sesuatu sebagai cenderamata, tetapi aku mengelak dan tunjukkan reaksi tidak berminat dengan tawaran itu. Sila berhati-hati sekiranya anda didekati oleh seseorang yang pura-pura “mengenali anda dan lama tak jumpa”, kerana ramai pelancong tempatan dan luar dipukau dengan cara ini.

Mohon maaf kepada penduduk Sarawak dan Kuching dengan catatan ini. Kamek sik ada niat nak jatuhkan nama kitak, namun hal-hal sebegini perlu disebarkan untuk pengetahuan umum terutama orang yang ingin ke sana agar mereka akan lebih berhati-hati. Harapan aku, tahap keselamatan perlu ditingkatkan di kawasan ini, tak kiralah tambah jumlah preman, polis peronda ataupun pasang cctv. Waterfront memang terkenal dan indah untuk dihayati oleh ramai orang, namun...andai hal sebegini kerap berlaku, rugi kan?

Khamis, 18 Disember 2008

Kuching yang Kukenal



Kuching sedang menangis berhiba diri ketika kakiku memijak buminya. Tangis langitnya masih gerimis saat tibaku jam 10.45 malam setelah lebih sejam setengah berada dalam penerbangan. Setelah hampir tiga tahun tidak kuhirup wangi udara segar buminya, patutnya aku yang menangis berhiba diri. Di hati, ada tangis lain yang dah lama serek.

Dalam tempoh itu, banyak perubahan yang berlaku di sana sini. Dah banyak bulatan yang dah tak ada lagi. Jalan bertingkatnya gagah luas, mudah sahaja diredah untuk ke hotel. Kuching memang telah banyak berubah. Seperti aku juga. Namun, masih ada lagi tempat-tempat yang menggamit ingatan dan tinggalkan kenangan. Manis dan pahit. Suka dan duka. Indah dan menyiksakan minda.

Crown Plaza Riverside. Pertama kali menginap di hotel ini. Selesa. Luas. Kalau boleh, hanya mahu memerap sahaja di bilik setelah lelah perjalanan yang panjang dan letih berkerja pada hari Sabtu di pejabat. Tiap kali datang di sini, biasanya aku menginap di Holiday Inn, Merdeka Palace ataupun kiranya dengan perbelanjaan sendiri, beberapa hotel tanpa bintang seperti Merlin Inn, Penrisen Inn atau beberapa buah hotel lagi jadi pilihan.

Biliknya yang luas, mewah dan selesa. Boleh main kejar-kejar. Malangnya hanya aku seorang yang ada. kalaulah ada anak buah aku tu...sah-sah sekejab je bersepah seluruh tempat.

Hotel ini berada di seberang jalan, berbanding Holiday Inn yang benar-benar berada di tebing Sungai Sarawak. Namun, dari tingkap kecil di tepi meja study yang tidak sempat kumanfaatkan sebaiknya itu, pandangan masih lagi dapat dihalakan ke sungai itu yang kian melebar ke muara. Indah. Namun tidak sempat dinikmati sebaiknya.



Kafe yang luas, cantik, tersusun dan banyak hidangan untuk sarapan paginya, namun tidak sempat kunikmati semuanya kerana pemandu teksi sudah tunggu di bawah. Selera juga telah mati kerana selsema


Berhala kucing ni berada di sisi hotel, iaitu di hadapan Holiday Inn. Ramai pelancong ambil gambar di sini sekiranya tidak berkesempatan untuk bergambar dengan Berhala Bapak kucing yang dibina di hadapan pintu gerbang Jalan (tiba-tiba pulak aku lupa nama jalan tu, tapi rupanya seperti di bawah).


Tempat bergambar kegemaran pelancong yang datang ke Kuching, di hadapan Berhala kucing besar ini.

Apa yang untung, hotel ini berada bersebelahan dengan pusat beli belah. Parkson. Giant. Cukuplah sekadar nak dapatkan keperluan semasa (aku perlukan roti dan tuna kerana di sini sukar untuk aku pastikan kedai makan Islam atau bukan-tak punya kepakaran untuk kenal pasti). Di Pusat beli belah itu juga terdapat KFC, Sugar Bun dan beberapa restoran makanan segera yang lain.

Jeti penambang yang hubungkan perkampungan Melayu di seberang sungai di Waterfront. Sungai ini juga digunakan untuk lumba perahu.Ada juga bot ekspress untuk perjalanan jauh.

Waterfront masih lagi ada di situ, gurauku dengan adik teksi yang peramah itu. Aku kagum dengannya. Malam buat part time bawa teksi ayahnya, siang berkerja bank. Anak muda yang gigih dan berwawasan. Siapa kata Melayu malas!

Pemandangan sepanjang Waterfront (sebahagian daripadanya). Kelihatan Hotel Hilton (putih) dan Crown Plaza Riverside di sebelahnya.

Seronok bersantai sepanjang sungai sambil menikmati pemandangan indah dan kegiatan seharian penduduk di seberang sungai.

Dan teksi itulah yang aku gunakan sepanjang dua hari di sini. Selain memberi rezeki kepada anak bangsa aku sendiri (Melayu bangsa ke 3 terbesar di Sarawak, berbanding di Semenanjung), Pak Cik bekas tentera itu memang profesional. Peramah dan banyak membantu juga. Banyak info yang aku dapat dalam pelbagai hal. Bagi sesiapa yang nak pergi ke Kuching, bolehlah guna perkhidmatan teksi Pak Cik Ahmad Jamel (016-8841522) teksi bernombor HQ 1522. Dah tentu dia berbeza dengan pemandu teksi yang hantar aku ke KLIA tempoh hari, yang buat drift sepanjang jalan. Tak sempat ke litar F1 Sepang agaknya!

Pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan, aku diberitahu pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan di Waterfront. Selain menjadi tempat yang cantik untuk bersantai, pemandangan sungai di sini pasti mampu menarik minat pengunjung. Di tebingnya 2 ekor replika Bujang Senang dibina. Biarpun berkali datang ke sini, aku tak pernah jemu datang ke sini. Aku pernah saksikan pertandingan lumba perahu yang diadakan di sini suatu masa dahulu.

Di seberang sungai, gagah kukuh Astana terlihat. Dibina sejak kedatangan Brooke dan masih kekal hingga kini. Di tebing seberang sungai juga terdapat perkampungan Melayu. Ada bot ulang alik menyeberang sungai dengan tambang hanya 30 sen (dahulu, tetapi tidak pasti tambangnya kini. Mungkin dah naik seiring dengan kenaikan harga petrol). Berada di tebing sungai di kampung Melayu itu sambil mengadap pusat bandar pada waktu malam memang mengujakan. Terlalu indah dengan gemerlap lampu-lampunya.

Pusat bandar pada waktu malam di lihat dari perkampungan Melayu di seberang sungai.






Peminat pasu?


Sepanjang jalan di seberang jalan kawasan Waterfront, terdapat kedai-kedai kraf yang menjadi tumpuan pelancong untuk membeli barangan kraf seperti pasu, barangan tembikar, tikar, dan sebagainya. Harga, boleh tahan juga mahalnya. Namun, kalau sesekali datang, apalah sangat berkira tentang harga. Bukan selalupun berbelanja barangan sebegitu. Bukan semua tempat ada barangan begitu. Sebagai barangan kenangan. Lainlah kalau sudah selalu datang. Rasa macam dah tak ada apa istimewanyapun. Sama seperti akulah, tak beli apa-apa pun sebab rasa macam dah terlalu biasa nampak.

Tidak jauh dari sini, terdapat India Street. banyak dijual pakaian dan keperluan lain dengan harga yang lebih murah. Tidak jauh beza suasananya dengan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur. Meriah bila dah dekat dengan musim perayaan Begini rupanya.

India Street


Pasar Satok yang glamer tu...


Nak beli ikan terubuk? Pasar Satoklah tempatnya. Boleh juga diperolehi makanan tempatan yang lain. Istimewanya pasar ini adalah pada hari Jumaat. Bermula dari tengahari, terdapat pasar tamu di sini yang berlangsung hingga Sabtu tengahari. Pelbagai barangan daripada penduduk tempatan boleh dilihat di sini. Penduduk sendiri yang pasarkan. Mereka datang dari jauh, bawa hasil tempatan dan pasarkan sendiri kepada pembeli.

Dijual oleh orang tempatan. Hasil taninya murah amat! Segar.

Pertama kali aku ke pasar ini, aku sudah sukakannya. Pelbagai hasil tempatan boleh didapati. Pucuk paku yang besarnya melebihi dua cekak besar hanya RM1 harganya. Kalau di Bangi, confirm harganya RM5. Dah lah banyak, hijau dan subur, segar pula. Pada datangku kali pertama itu, aku lihat dua perkara yang unik yang tak dapat kulupakan. Sayangnya masa itu aku tak dapat snap gambar.


Ulat sagu. Berani untuk rasa?


Keunikannya yang Pertama, sejenis ulat sagu yang boleh dimakan. Saiz ulat itu agak besar, lebih kurang saiz ibu jari tangan. Putih warnanya. Gemuk dan lembut. Cara makannya tidaklah pula kutahu. Kedua, aku melihat seorang perempuan tua Iban menjual itiknya. Apa yang unik, cara mak cik Iban itu gunakan untuk pamerkan dua ekor itik jualannya. Itik itu diletakkan secara saling membontoti dan dibalut badannya dengan guni. Jadi, hanya kepala itik sahaja yang kelihatan di kedua-dua belah, sedangkan badannya dibalut kemas. Pandangan itu aku temui masa pertama kali jejakkan kaki di Pasar Satok sekitar tahun 1999 dahulu.

Di sini tak banyak makanan tempatan dijual tetapi kalau setakat nak dapatkan tebaloi (sejenis snek diperbuat daripada sagu yang dibuat kaum Melanau) boleh diperolegi. Tebaloi ni kat lapangan terbang pun boleh dapat. beza harganya sekitar 50 sen hingga seringgit sahaja. Kalau tak sempat nak cari di mana-mana, boleh beli sahaja di airport.

tebaloi


Kek lapis sarawak memang popular. Kalau nak beli, boleh tanya pak cik pemandu teksi yang aku ceritakan di atas tadi. Dia tahu hal-hal tempatan seperti kilang tembikar untuk beli pasu, tempat jual lada hitam ataupun tempat jual kek lapis. Kalau nak rasa masakan tempatan juga boleh. Pak cik ni bersedia untuk bawa ke sana dan tunjukkan tempat. Aku tak beli kek lapis, pasu atau lada hitam kerana bukan keperluan buat masa ini. Kek lapis dah terlalu acap kali rasanya. Semasa adik di Politeknik Kuching, dia selalu bawa balik benda-benda sebegitu. Bagi keluarga kami dah tidak jadi benda tersohor lagi.

keunikan kek lapis Sarawak. Perlu masa 6 jam untuk siapkan sebiji kek ni. Kalau aku yang buat, sah-sah rentung!

Kalau ke Sarawak, cubalah rasa Laksa Sarawak dan Mi Kolok. Kedua makanan ini agak istimewa dan enak. Laksa Sarawak macam meehun karilah lebih kurang tetapi rasanya berbeza sedikit. Mi Kolok pula seakan-akan mehun sup, hanya berbeza dari segi rasa sahaja. Disediakan juga cili kicap sama. Namun, kedua makanan ini masih boleh didapati di Kuala Lumpur, Cuma tak pasti pula rasanya original atau pun tak.

Laksa Sarawak

Gemar bersantai dan menikmati keindahan alam? Pergilah ke Gunung Santubong dan Pantai Damai. Berhampiran kedua tempat ini terdapat perkampungan budaya. Bayaran masuk RM60. Itu dahulu, sekarang tak pastilah. Tapi aku lebih sukakan Gunung Santubong. Cantik, terutama pada waktu pagi. Berkabus. Indah. Tenang dan damai. Patutlah nama kawasan pantai berhampiran itu adalah Pantai Damai.
Gunung Santubong dan Pantai Damai...memang mendamaikan!


Masih banyak liku-liku Kuching tidak sempat kuselongkar, terutama galeri dan muziumnya yang banyak terdapat di sini. Ada masa, aku ingin berada dalam denyut nadinya. Merasa takdir hidupnya. InsyaAllah. Ada sesiapa sudi pergi bersama aku tak?