Memaparkan catatan dengan label mencari isteri yang hebat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mencari isteri yang hebat. Papar semua catatan

Ahad, 10 Mac 2013

Awak Tak Akan Kahwin Sampai Bila-Bila Kalau Tak Kahwin Dengan Saya


“Awak tak akan kahwin sampai bila-bila kalau tak kahwin dengan saya”

Apa perasaan kalau dengar ayat begitu?

Kongsi sedikit kisah pribadi kat blog ni, walaupun sebenarnya malas nak cerita bab-bab peribadi ni.

Kisahnya begini:

Aku pernah diperkenalkan oleh seseorang yang aku kenal dengan seorang lelaki ni. Menurut kakak tu, lelaki ni kawan dia masa kat kampong dulu. Dia kenal dan berkawan sejak sekolah rendah lagi. Menurutnya, kawannya itu dah berkahwin dan ada seorang anak lelaki. Isterinya sakit, jadi isterinya itu benarkan suaminya untuk kahwin seorang lagi dengan syarat tidak diceraikan. Bakal madunya itu pula mesti LEBIH berbanding dia dari segala sudut.

Aku jumpa lelaki tu sebab tak boleh nak mengelak dengan kakak itu. Tapi aku dah beritahu awal-awal lagi kat kakak tu bahawa kalau ada pilihan, aku memang tak akan pilih suami orang. Lainlah kalau dah ditentukan Ilahi, dah tertulis di Loh mahfuz yang aku memang dijodohkan dengan suami orang, memang tak boleh tolak dah.

Jadi, akupun jumpa juga dengan lelaki itu walaupun dengan hati yang berat. Maklumlah, dia kan suami orang.

Lelaki ini biasa-biasa sahaja. Bukan YB, tapi bercita-cita nak jadi YB juga suatu hari nanti. Katanya dia suka berpolitik. Dia perlukan seorang isteri muda yang boleh dibawa dalam majlis-majlis rasmi dihadiri orang-orang besar, yang boleh dibawa ke tengah dan ke tepi, boleh sentiasa senyum dan kelihatan berprestej. Bila bercakap, isteri mudanya itu perlulah kelihatan hebat. Sama hebatnya dengan gayanya.

Malangnya, aku bukanlah seorang yang cantik, gaya apalah lagi memang ke laut. Make up tak pernah calit kecuali medak nipis dan gloss. Lipstick pun jarang pakai, apalagi untuk kelihatan segak bergaya. Tak reti nak bergaul dengan orang-orang besar sebab sentiasa hidup dikalangan orang-orang kecil sahaja. Tak ada prestej. Tak ada gaya. Bercakap pun tak hebat. Pendek kata, tak ada satu ciripun yang dia nak itu aku miliki.

Masa dua jam kami makan malam di kedai makan yang biasa-biasa sahaja itu sepenuhnya dia isi dengan manifestonya. Dengan impiannya. Dengan cita-citanya. Dengan senarai isteri impiannya itu.

Hanya setengah jam terakhir itu sahaja aku terangkan bahawa aku sudi bertemunya hanya kerana hormatkan kakak itu sahaja. Kakak itu pun tahu aku cuba mengelak untuk memilih suami orang. Alasannya mudah sahaja, keluarga aku tentu tak akan izinkan. Nak kena parang dengan ayah, bolehlah cuba huh u hu

Tanpa bertanya aku yang aku ingini dalam sebuah ikatan, apa yang aku harapkan, apa yang aku dambakan…apalagi nak tanya apa yang aku tak suka, dia kemudiannya menuturkan:

“Awak tak akan kahwin sampai bila-bila kalau tak kahwin dengan saya..awak rasa ada ke orang nak kahwin dengan awak?”



Aku hanya senyum. Urusan jodoh urusan Allah. Usahlah masuk campur.

Sebelum berpisah dia berpesan: “Fikir dulu, kalau rasa ok…telefon saya”

Aku senyum lagi. Macam cari kerja pulak. Jawatannya: menjadi isteri terhebat BAKAL wakil rakyat.

Malangnya, dia tak tahu aku paling anti bila diugut. Malam itu juga aku hapuskan nombor telefonnya. Bagaimana dia boleh kuhormati dalam rumahku andai dia sendiri tidak pernah mencuba untuk kuhormati di luar rumahku.

Mungkinkah aku tak akan kahwin sampai bila-bila kalau tak kahwin dengan dia? Aku sendiri tak tahu. Tengoklah macam mana nanti. Mana kita tahu, kalau-kalau dia dapat panggilan telefon dari malaikat yang membuka loh mahfuz melihat jodohku dengan siapa. Aku sendiripun tak tahu. Kalau tahu, agak mudah juga ya…tak payah fikir apa-apa, tak perlu tertanya-tanya.

Semoga dia dah jumpa pengisi jawatan isteri yang sebegitu. Maaf, aku bukanlah pilihan yang terbaik. Aku kurang segala-galanya.