Wujud ke orang yang tak pernah bermimpi?
Ramai orang kaitkan mimpi sebagai mainan tidur, namun tak kurang juga
mentafsirkan mimpi dengan pelbagai tafsiran ikut si pemimpinya itu. Kalau
mimpikan orang macam Hani Mohsin ke, kita nak tafsirkan sebagai apa? Itu belum
masuk lagi mimpikan Adi Putera haaaaa nak tafsir apa pulak? Paling tak best kalau mimpikan orang yang kita tak suka.
Sedikit perkongsian diceritakan ustazah
Norhafizah Musa sebelum azan Zuhur di Radio Klasik;
Seseorang pernah bercerita tentang
mimpinya kepada ustazah Norhafizah Musa, iaitu seperti berikut;
Dia bermimpi berada di berada lautan luas,
dengan ombak laut yang besar, ganas, hitam dan berwarna gelap bersama kakaknya.
Dia ternampak suaminya terlantar sakit di sebuah pulau dihadapannya. Kakaknya
bertanya, mengapa dia tidak menolong suaminya yang sakit di pulau tersebut,
tetapi dia berkata dia tidak tahu berenang dan takutkan ombak yang ganas dan
kuat yang berwarna gelap dan hitam itu (air laut berwarna biru gelap kehitaman
menandakan kawasan tersebut sangat dalam). Tiba-tiba mereka ternampak ada satu
benang kelihatan menghubungkan ke pulau dan dia gunakan benang tersebut untuk
berpegang menuju ke pulau tersebut bagi menyelamatkan suaminya.
Sesampai di tengah perjalanan, benang
berkenaan telah putus menyebabkan dia tenggelam ke dalam laut. Setiap detik ketika
dia tenggelam ini dia merasakan yang dia akan mati. Detik-detik itu
diharunginya dengan rasa yang amat sakit akibat dihempas ombak kuat dan
bergulung-gulung itu. Laut yang dalam itu juga menimbulkan perasaan takut
akibat “laut yang gelap” tak nampak apa-apa pun itu. Dan dia hanya terdengar
kata-kata kakaknya sahaja iaitu “Ya Allah adik, mati rupanya kau dalam laut
dalam ni,”
Dia rasa sangat takut. Dia berusaha
bersungguh-sungguh untuk hidup dan tidak terus tenggelam. Usaha yang
sungguh-sungguh itu juga disaksikan oleh anak-anak dan suaminya yang berusaha
menyedarkan dia dari tidur umpama koma itu. Apabila terjaga, dia jadi keliru
dan umpama hilang ingatan tidak tahu di mana berada sedangkan dia sebenarnya
hanya tidur di tilamnya sendiri, di rumahnya sahaja. Dia memerlukan masa
beberapa minit untuk kembali ke dunia nyata akibat mimpi yang menakutkannya
itu.
Kemurungan dengan mimpi tersebut
menyebabkan insan tersebut menjadi kurus kering akibat terlalu memikirkannya. Apabila
berjumpa dengan ustazah, maka dia bercerita tentang mimpi berkenaan.
Apa tafsiran mimpi tu?
Menurut ustazah Norhafizah Musa, beliau
tidak mengetahui tentang tafsir mimpi. Ustazah tidak ada ilmu untuk mentafsir
mimpi, namun, ustazah menerangkan bahawa lautan penuh gelora dan ombak yang
menakutkannya itu umpama dunia yang dihuni sekarang. Ada gelombang, ada kegelapan,
ada laut yang gelap sedang dia jalani. Jadi ustazah minta kakak tersebut untuk
fikirkan semula kehidupannya sekarang.
Menurut kakak tersebut, kehidupan mereka
memang agak jauh dari Islam walaupun kehidupan mereka boleh dikatakan tergolong
dalam keluarga yang senang. Satu projek masuk pun mereka sudah boleh hidup
mewah. Mereka lalai dengan solat, zakat, sedekah dan sebagainya, namun, setelah
alami mimpi yang sebegitu, mereka mula kembali ke landasan Islam. Alhamdulillah.
Kalau boleh dikatakan sebagai tazkirah,
siarannya hanyalah beberapa minit sahaja, namun beberapa minit itu sangat berkesan
dan insafkan. Ya, ramai antara kita termasuk ambo selalu lalai. Lengahkan solat
atau berbuat kebaikan, suka tangguh-tangguh sedangkan masa semakin berputar. Masa
kian singkat. Kita sendiri tidak tahu mana letaknya titik penamat kehidupan
ini. Entah hari ini hari terakhir kehidupan kita, entah esok, entah lusa kita tinggalkan
dunia fana ini. Kalaupun sepuluh tahun lagi, sudah bersediakah kita?