Memaparkan catatan dengan label erti mimpi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label erti mimpi. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Ogos 2016

Rahsia Mimpi



Wujud ke orang yang tak pernah bermimpi? Ramai orang kaitkan mimpi sebagai mainan tidur, namun tak kurang juga mentafsirkan mimpi dengan pelbagai tafsiran ikut si pemimpinya itu. Kalau mimpikan orang macam Hani Mohsin ke, kita nak tafsirkan sebagai apa? Itu belum masuk lagi mimpikan Adi Putera haaaaa nak tafsir apa pulak? Paling tak best kalau mimpikan orang yang kita tak suka.

Sedikit perkongsian diceritakan ustazah Norhafizah Musa sebelum azan Zuhur di Radio Klasik;

Seseorang pernah bercerita tentang mimpinya kepada ustazah Norhafizah Musa, iaitu seperti berikut;
Dia bermimpi berada di berada lautan luas, dengan ombak laut yang besar, ganas, hitam dan berwarna gelap bersama kakaknya. Dia ternampak suaminya terlantar sakit di sebuah pulau dihadapannya. Kakaknya bertanya, mengapa dia tidak menolong suaminya yang sakit di pulau tersebut, tetapi dia berkata dia tidak tahu berenang dan takutkan ombak yang ganas dan kuat yang berwarna gelap dan hitam itu (air laut berwarna biru gelap kehitaman menandakan kawasan tersebut sangat dalam). Tiba-tiba mereka ternampak ada satu benang kelihatan menghubungkan ke pulau dan dia gunakan benang tersebut untuk berpegang menuju ke pulau tersebut bagi menyelamatkan suaminya.

Sesampai di tengah perjalanan, benang berkenaan telah putus menyebabkan dia tenggelam ke dalam laut. Setiap detik ketika dia tenggelam ini dia merasakan yang dia akan mati. Detik-detik itu diharunginya dengan rasa yang amat sakit akibat dihempas ombak kuat dan bergulung-gulung itu. Laut yang dalam itu juga menimbulkan perasaan takut akibat “laut yang gelap” tak nampak apa-apa pun itu. Dan dia hanya terdengar kata-kata kakaknya sahaja iaitu “Ya Allah adik, mati rupanya kau dalam laut dalam ni,”

Dia rasa sangat takut. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk hidup dan tidak terus tenggelam. Usaha yang sungguh-sungguh itu juga disaksikan oleh anak-anak dan suaminya yang berusaha menyedarkan dia dari tidur umpama koma itu. Apabila terjaga, dia jadi keliru dan umpama hilang ingatan tidak tahu di mana berada sedangkan dia sebenarnya hanya tidur di tilamnya sendiri, di rumahnya sahaja. Dia memerlukan masa beberapa minit untuk kembali ke dunia nyata akibat mimpi yang menakutkannya itu.

Kemurungan dengan mimpi tersebut menyebabkan insan tersebut menjadi kurus kering akibat terlalu memikirkannya. Apabila berjumpa dengan ustazah, maka dia bercerita tentang mimpi berkenaan.

Menurut ustazah Norhafizah Musa, beliau tidak mengetahui tentang tafsir mimpi. Ustazah tidak ada ilmu untuk mentafsir mimpi, namun, ustazah menerangkan bahawa lautan penuh gelora dan ombak yang menakutkannya itu umpama dunia yang dihuni sekarang. Ada gelombang, ada kegelapan, ada laut yang gelap sedang dia jalani. Jadi ustazah minta kakak tersebut untuk fikirkan semula kehidupannya sekarang.

Menurut kakak tersebut, kehidupan mereka memang agak jauh dari Islam walaupun kehidupan mereka boleh dikatakan tergolong dalam keluarga yang senang. Satu projek masuk pun mereka sudah boleh hidup mewah. Mereka lalai dengan solat, zakat, sedekah dan sebagainya, namun, setelah alami mimpi yang sebegitu, mereka mula kembali ke landasan Islam. Alhamdulillah.

Kalau boleh dikatakan sebagai tazkirah, siarannya hanyalah beberapa minit sahaja, namun beberapa minit itu sangat berkesan dan insafkan. Ya, ramai antara kita termasuk ambo selalu lalai. Lengahkan solat atau berbuat kebaikan, suka tangguh-tangguh sedangkan masa semakin berputar. Masa kian singkat. Kita sendiri tidak tahu mana letaknya titik penamat kehidupan ini. Entah hari ini hari terakhir kehidupan kita, entah esok, entah lusa kita tinggalkan dunia fana ini. Kalaupun sepuluh tahun lagi, sudah bersediakah kita?