Ahad, 9 Mei 2010
Ibu...Engkaulah Ratu Hatiku
Bukan nak membandingkan, tapi hati lebih suka yang ni... Entah kenapa
Tasbih Cinta Ini Sentiasa Untukmu
Biarpun Mek tak akan baca puisi ini, tak akan fahaminya biar seayat...di ruang yang tak berpenjuru ini, aku lekatkan suara hati tang tak terlafaz itu. Tiap patah katanya kulakarkan pada 2008, namun tajuknya baru sahaja aku lekatkannya seketika tadi.
Mek, Aku Terlalu Ingin
Mek, aku berusaha jadi anak terbaik
sentiasa patuh ingin seorang ibu
selalu redha mahumu
akan lunasi seluruh mimpimu
tunai semua hajatmu
Setiap detik kuingin jadi anak terbaikmu
yang menyenangkan hati lusuhmu
yang gembirakan minda jiwamu
yang ceriakan setiap harimu
yang menenangkan sepenuh ragamu
Mek, bantulah daku jadi anak terbaikmu
dalam upaya nan terbatas ini
restuilah aku terus gigih mencari redhaNya untukmu
dalam kehilangan daya tak terucap ini
kuingini contohimu mengharung payah hidup dalam sabar
kumahu sepertimu kebal menahan taufan sukar
tega menadah ribut gundah
Mek, kuingin jadi anak terbaikmu
yang akan sentiasa meranumkan kuntum senyummu
yang akan sentiasa membanggakanmu
yang akan selalu meriakanmu
yang akan selamanya mengekang gundahmu
Mek, aku terlalu ingin
menjadi anak terbaikmu dalam waktu terhad ini
biarpun upayaku kian terbatas
biarpun masa berlari itu terlalu pantas
dan aku lelah terjelepok kehilangan nafas
aku tetap ingin menjadi anakmu nan terbaik
biarpun, aku tidak pernah begitu
di matamu di hatimu.
Mek, aku tetap sentiasa ingin menjadi anak terbaikmu.
Kota Bharu
Mei 2008
Aku hanya mahu berikan semua yang terbaik untuknya. Sejak dahulu. Sampai bila-bilapun, sekalipun tiada siapa yang sedar. Sekalipun tanpa tahunya. Biarpun dia pernah nafikannya.
Mek, andai hasrat itu tidak sempat disempurnakan sehayat ini...ampunkanlah daku. Dayaku tak setinggi mana. Upayaku tak seteguh karangpun.
Mek, Selamat Hari Ibu.