Rezeki itu datang dengan bermacam cara. Ada orang, Allah berikan
dia anugerah sihat yang berpanjangan, itu juga rezeki yang tak terkira. Bukan seronokpun
sakit.
Ada orang Allah limpahkan dia dengan harta benda yang melimpah ruah,
ladang kebun beratus ekar, duit berkepuk-kepuk. Semua orang tahu betapa Allah yang
pemurah itu anugerahkan dia sebegini tetapi Allah tarik sikit rezekinya itu melalui
hal-hal lain seperti hilang selera makan, tak ada keluarga kesayangan dan
macam-macam. Itulah rezeki atau bahagian dia di dunia.
Ada orang lain dikasihi seluruh orang sekelingnya. Ada suami
tercinta yang hensem kacak baik serba serbi sempurna. Ada keluarga bahagia. Ada
ibu bapa dan mertua yang sangat baik. Itu juga rezeki. Ada orang lain lagi,
walaupun dia kerja biasa-biasa sahaja, hidup biasa-biasa sahaja tetapi punya
anak-anak yang cerdik pandai, dengar kata, baik dan cemerlang. Itupun rezeki.
Bila kita sakit, tetap juga rezeki. Ada hikmah setiap apa yang
terjadi. Setelah ambo terlibat dengan sakit ni, banyak juga yang ambo pelajari
selain meningkatnya tahap sabar. Itu pun rezeki, ambo tak nafikan pun.
Di di pejabat, ambo ada seorang kawan baik yang selalu hadiahkan
bakso (dia buat part time jual bebola bakso- mereka yang datang negara kita ni
dapat aje peluang merata cari rezeki lebih, kenapalah kita rasa sesak nafas
cari rezeki ni?). Jumlah yang diberikan itu pula bukan calang-calang. Bapakkkk banyak!
Tak kiralah yang dah siap dimasak atau yang masih mentah berbentuk bebola
daging.
Selalunya ambo kongsi-kongsi bahagikan kepada rakan-rakan sebab
memang tak akan habis nak makan. Ambo bukan penggemar bakso. Makan sikit bolehlah, tapi
kalau dah seperiuk diberinya….mau sebulan tak habis nak makan. Persoalannya,
ambo memang tak reti nak menolak dan bila dah cakap ambo ni “kurang” sikit makan
bakso, dia tidak begitu faham kok. Dibawanya lagi dan lagi dan lagi. Ambo rasa
masalah utama kami adalah saling tak memahami Bahasa Malaysia dan Indonesia.
Bebola bakso yang besar ini dijual dengan harga RM10 sebiji. Kat dalam ada biji-biji bebola daging yang kecik-kecik (sebesar fishball, telur puyuh dan telur ayam juga. |
Sebelum ini diberikannya sebiji bebola bakso yang besar dan sebiji yang
kecil. Bebola bakso yang kecil itupun sudah sebesar penumbuk, apalagi yang
besar. Penuh mangkuk sebiji itu. Tak muat nak letak apa-apa dah dalam mangkuk
tu. Kat dalam bebola bakso besar tu pula masih ada biji-biji bakso yang kecil dan telur puyuh.
Dah selamat berkongsi dengan kawan-kawan yang lain. Satu pack ada 50 biji |
Hari ini dia bawakan pula (yang dah siap masak) 2 biji bakso
yang besar dan tetap ada juga biji-biji bebola daging bakso yang kecil. Bila
ambo beritahu ianya sangat banyak, seminggu pun belum tentu mampu ambo
habiskan, jawapan yang ambo terima adalah;
“Ngak apa-apa kok, makan aje sementara saya masih di sini…nanti
saya sudah balik, tiada sudah baksonya,”
Perghhhh sedih pulak dengarnya. Ya, dia akan kembali ke
Indonesia bulan September nanti. Tetiba sahaja air mukanya jadi mendung.
“Kok saya sangat senang dengan Puan…jadinya saya bawakan bakso. Saya
ngak tahu buat selain itu,”
Ya, rezeki yang tertulis itu bukan sahaja bakso percuma yang dah
siap masak, atau bebola bakso sejuk beku buatan sendiri, tetapi juga punyai
kawan sebaik dia. Katanya balik kali ini dia dah tak datang lagi.
Syahdu pulak rasaaaaaa!